Pilihan dan Kejutan

BOLA SEPAK/SUKAN Teks oleh: H. Muhammad

Rangkuman pusingan perlawanan pertama Piala Dunia 2018 Rusia oleh editor Neon Berapi yang kini sedang berpangkalan di Turki.

Perlawanan pertama untuk semua pasukan telahpun berlangsung. Bermula dengan kemenangan besar Tuan Rumah sehinggalah perlawanan terakhir pusingan pertama yang dimenangi oleh Senegal dengan keputusan 2-1. Namun, apa yang lebih menarik dalam pusingan pertama adalah keputusan yang melibatkan pasukan-pasukan yang dianggap sebagai ‘pasukan pilihan’ sebelum sepak mula Piala Dunia 2018.

Sebelum berlanjut jauh, perlu ditegaskan bahawa artikel ini tidak akan membahas mengenai taktikal, statistik, mahupun formasi yang digunakan oleh pasukan ‘pilihan’ terbabit. Itu mungkin kerja orang lain. Saya percaya pada taktikal, statistik, dan formasi. Tapi di Malaysia, jarang sekali orang mengulas perkara ini tanpa keluar daripada kerangka nombor. Apa yang sering kita lihat adalah penegasan mengenai pentingnya peratusan, kumulatif larian, jumlah percubaan, dan sebagainya. Akhirnya, ulasan-ulasan tersebut tidak jauh beza dengan ulasan di dada akhbar atau di laman sesawang LiveScore.

Pada pusingan perlawanan pertama edisi kali ini, saya jangkakan ramai yang terkesima atau terkejut. Mana tidaknya, beberapa pasukan ‘pilihan’ (sebelum Piala Dunia bermula) mencatatkan keputusan yang kurang memberangsangkan. Ada yang seri, ada yang menang tipis, malah, ada pula yang mengalami kekalahan yang dianggap ‘’mengejutkan’’. Saya percaya, pasukan-pasukan ini mempunyai jumlah penyokong ‘angkat’ yang besar di Malaysia. Jika saya boleh berhipotesis, rakyat Malaysia cenderung memilih Jerman, Brazil, Argentina, Sepanyol, Perancis, England, Portugal, dan Belgium untuk menjadi juara pada edisi kali ini. Mana mungkin warga akan memilih Jepun untuk menjadi juara. Apatah lagi memilih Panama, Maghribi, mahupun Iceland.

Pemilihan kepada pasukan-pasukan ini pastinya berdasarkan tiga perkara. 1) kerana tradisi bola sepaknya, 2) kerana senarai pemainnya, dan 3) kerana kemashyuran liga bola sepaknya. Mungkin ketiga-tiga perkara ini tidak semua dipenuhi. Tetapi, paling tidak, daripada tiga yang dinyatakan, dua daripadanya menjadi asas kepada pemilihan pasukan untuk disokong dan diharap merangkul kejuaraan pada kali ini.

Untuk pusingan pertama, perlawanan tumpuan pastinya perlawanan yang melibatkan Portugal menentang jirannya, Sepanyol yang berakhir dengan keputusan seri. Selain itu, terdapat juga perlawanan ‘tumpuan’ lain antaranya perlawanan yang melibatkan pasukan Perancis, Argentina, Jerman, Brazil, Belgium dan England. Pandangan universal menganggap bahawa perlawanan pertama sangat penting untuk memudahkan laluan pasukan melayakkan diri, selain membina dan mengekalkan momentum untuk perlawanan kedua. Ya, saya juga percaya pada teori itu. Namun, apa yang terjadi kepada pasukan Argentina, Jerman, dan Brazil sangat ‘mengejutkan’ pada pandangan umum. Malah, Perancis dan England bolehlah dianggap bernasib baik kerana memperoleh kemenangan, meskipun bermain tidaklah seperti yang diharapkan.

Persoalannya, kenapa kita menganggap bahawa keputusan ini sangat mengejutkan? Untuk menjawab persoalan ini, marilah kita bersama-sama merenung kembali ketiga-tiga aspek pemilihan pasukan seperti yang telah dinyatakan.

Kita tahu, malah ada yang jauh lebih tahu bahawa pasukan seperti Argentina, Brazil, dan Jerman memiliki tradisinya bola sepaknya yang sangat kuat. Malah, ketiga-tiga negara ini turut memiliki liga kompetetif dan menarik, meskipun Liga Apertura dan Campeonato Brasileiro Série A kurang mendapat tempat di Malaysia. Walau bagaimanapun, kekurangan tersebut ditampung oleh lambakan pemain kelahiran Brazil dan Argentina yang berkelana di eropah, khususnya di liga-liga yang sangat berpengaruh seperti La Liga, Serie A, Premier League, Ligue 1, dan juga Bundesliga, yang sering meniti di dada televisyen. Oleh itu, kita tidaklah ralat dan merasa kehilangan kerana untuk menyaksikan kelibat Amerika Latin, kita boleh mengaksesnya dengan mudah.

Selain itu, kita juga percaya bahawa kebanyakan pemain yang bermain di liga-liga terkenal ini pastinya memiliki kelebihan tertentu seperti teknik, gaya permainan yang menarik, larian pantas, kebolehan menggelecek, dan sebagainya. Tambahan, ia digemburkan lagi dengan cahaya populariti yang disuntik oleh para penaja sama ada dalam bentuk fizikal mahupun material. Populariti yang diberikan oleh media sekaligus memberikan kita satu gambaran awal betapa ‘power’nya seseorang itu menjinakkan bola. Ia kemudiannya diuli sekali lagi dengan peranan yang dimainkan oleh kelab-kelab kaya dengan pelaburan yang kadang tidak munasabah.

Ketiga-tiga hal ini kita dapat lihat dengan merujuk kepada pasukan Jerman, Argentina, dan juga Brazil. Sebelum Piala Dunia 2018 bermula, saya rasa tidak hanya media tempatan (maksud saya, media Argentina, Brazil dan Jerman), tetapi juga media antarabangsa menjangkakan bahawa ketiga-tiga pasukan ini merupakan pasukan favourite untuk memenangi edisi kali ini. Hal ini kerana jika dihamparkan senarai pemainnya, serta salutan tradisi bola sepaknya, seolah-olah kita tidak lagi boleh mengatakan ‘tidak’ untuk pernyataan yang dibuat oleh media. Lihat sahaja Jerman dan Brazil. Seolah-olah, tidak ada kecacatan langsung dari aspek posisi. Semuanya diisi dengan barisan bintang-bintang ternama dunia. Manakala Argentina pula, jika ditebarkan senarai penyerangnya, kita mungkin bingung untuk memilih siapa yang patut memulakan perlawanan, memandangkan kesemua pemain serangannya berbakat besar.

Ya, saya tidak menafikan perkara ini. Memang benar ketiga-tiga pasukan ini merupakan pasukan pilihan. Tapi, apabila mereka seri ataupun kalah, atau bermain dengan jelek sekali, kenapa kita menganggapnya sebagai ‘kejutan?’ Bukankah kalah dalam perlawanan merupakan perkara biasa?

Nah, inilah yang saya cuba kupas sebenarnya. Kita menganggap ‘kejutan’ berlaku kerana media telah memanipulasi kerangka fikir kita agar tertumpu kepada pasukan-pasukan serta individu yang sering mendapat cahaya lampunya. Sinar populariti terhadap liga dan individu ini mengaburi mata kita untuk menjengah pasukan-pasukan lain, misalnya Mexico, Iceland dan sebagainya. Kita hanya tertumpu kepada pasukan-pasukan yang sering bermain di dada akhbar. Laporan-laporan yang sering dikeluarkan oleh akhbar cetak mahupun tabloid seringkali memenangkan pasukan-pasukan ini, walaupun sepak mula belum ditendang. Maka, jika sesuatu yang buruk menimpa pasukan ini, kita kemudiannya menganggap ia sebagai satu ‘kejutan’. Ia secara tidak langsung memberi gambaran bahawa hanya negara-negara ini sahaja yang tahu bermain bola, mempunyai tradisi bola sepak yang unggul, liga yang prestij dan sebagainya. Manakala negara lain, dianggap masih hijau lagi dan perlu banyak belajar. Sedangkan, kesemua sentimen ini disalurkan oleh peranan media, di samping sokongan kuat daripada para penaja. Jika media dan penaja tidak berbuat demikian, saya jangkakan bahawa keputusan yang dianggap sebagai ‘kejutan’ tidak akan berlaku. Malah, kita akan menerima keputusan dengan tangan terbuka dan berlapang dada.

Perlawanan kedua bagi semua pasukan juga sudah hampir selesai. Sehingga sekarang, saya masih ragu-ragu untuk memilih siapakah yang bakal memenangi edisi kali ini. Apa yang pasti, saya tidak pernah percaya kepada keputusan ‘kejutan’. Saya hanya percaya bahawa setiap pasukan yang beraksi dalam kancah Piala Dunia merupakan pasukan yang kuat dari semua segi dan mempunyai peluang yang sama rata untuk merangkul kejuaraan. Ya, sama-sama kita nantikan.

Balik ke Atas