Piala Dunia: Berahi Apa Yang Menggerakkannya

BOLA SEPAK/SUKAN Teks oleh: Muhammad Hafez Darwis

Stadium gegak gempita dengan sorakan penyokong dan bunyi-bunyian yang membingitkan gegendang telinga. Tapi dalam keriuhan itu di satu sudut seorang gadis kulit putih berambut perang menangis teresak-esak. Air mata yang mengalir deras memudarkan warna bendera sebuah negara yang dilukis di pipinya.

Seorang lelaki muda dengan seluruh wajahnya diwarnakan dengan warna bendera pasukan negaranya turut menghamburkan air mata tanpa henti. Wajah sedihnya itu disorot dan dirakam kamera untuk disaksikan oleh masyarakat dunia.

Di satu sudut yang lain pula satu kelompok lelaki-perempuan, tua-muda yang memakai jersi sebuah pasukan bolasepak kebangsaan melonjak-lonjak bersorak gembira menyanyikan lagu dalam bahasa mereka sendiri sambil berpeluk-pelukan sesama mereka. Entah kenal atau tidak antara satu sama lain tidaklah diketahui tapi tetap saja mereka berpelukan seperti saudara paling rapat. Di saat itu apa saja perbezaan yang mungkin ada pada mereka sebelumnya lebur diganti dengan persaudaraan yang tak terputus. Terpampang di wajah mereka kegembiraan yang amat sangat yang dikongsi bersama-sama.

Begitulah suasana yang hampir seragam pola tingkah-lakunya yang dapat kita lihat pada penyokong-penyokong yang memenuhi stadium di mana-mana perlawanan bolasepak Piala Dunia di Russia pada musim ini sebaik sahaja wisel penamat dibunyikan. Gerak emosi yang tak terbendung terhambur keluar. Baik buat mereka yang kalah mahu pun yang menang – pelbagai manifestasi kepada emosi gembira atau sedih dipertontonkan kepada khalayak dunia untuk melihatnya.

Emosi kegembiraan atau kesedihan bersama ini dikongsikan oleh mereka secara kolektif. Perkongsian emosi kolektif inilah yang mengikat rasa persaudaraan sesama mereka sebagai sebuah komuniti kebangsaan di dalam suatu wilayah politik negara-bangsa yang terpilih untuk bertanding di pusingan akhir Piala Dunia kali ini.

Di saat pasukan kebangsaan mereka beraksi di atas padang, mereka menjadi saudara sehati, sejiwa dan serasa. Rasa yang menyatu dalam sebuah idea yang ditanggapi oleh meraka sebagai berkebangsaan sama.

Dan rasa ini tidak mati di stadium. Turut dibawa secara kolektif hingga ke luar, ke jalanraya, ke kafe, ke pub hinggalah ke dalam rumah sendiri samada melalui aktiviti merayakan kemenangan atau berkabung kesedihan kerana kekalahan. Semuanya rasa yang dirasai secara kolektif.

Malahan rasa ini turut melangkaui sempadan ruang dan masa. Di luar Russia di negara masing-masing kegembiraan dirayakan bagi yang menang. Manakala kesedihan diperkongsikan bersama oleh mereka yang kalah. Malahan komuniti diaspora pelbagai bangsa yang terlibat di dalam Piala Dunia ini turut berkongsi rasa yang sama.

Rasa yang di dalamnya terkandung unsur emosi yang kuat ini kemudiannya diperpanjangkan pula oleh media di negara masing-masing pada hari-hari berikutnya melalui laporan berita, perbincangan, perkongsian pandangan, kritik, analisa, wacana dan perbahasan di ruang awam. Kemungkinan sebulan pun masih belum habis dibahaskan.

Walaupun perbahasan di ruang awam di negara masing-masing adalah tentang Piala Dunia tapi di sebalik pertandingan bolasepak Piala Dunia ini adalah rasa: rasa kebangsaan.

Rasa kebangsaan yang hadir di hati para penyokong pasukan-pasukan yang bertanding inilah merupakan penggerak utama kepada berahi (passion) terhadap pertandingan Piala Dunia. Tanpa rasa kebangsaan Piala Dunia mungkin akan kehilangan riuh-rendah, hingar-bingar, ghairah-berahi dan suka-duka selama sebulan yang dialaminya itu.

Dan rasa ini akan terus diingati dan disimpan dalam memori hidup mereka. Warga Argentina mana yang bisa melupakan kejuaraan Piala Dunia yang mereka rangkul di tahun 1986 dengan bantuan gol “hand of god” Maradona di peringkat suku akhir ketika melawan England?

Dan warga Brazil mana yang dapat melupakan perkabungan kesedihan nasional tatkala pasukan terbaik mereka pada Piala Dunia 1982 yang dibarisi oleh lagenda seperti Zico, Socrates, Falcao dan Eder tewas tipis 3-2 di tangan Itali di dalam perlawanan yang cukup mendebarkan itu?

Begitu juga dengan kenangan perlawanan akhir Piala Dunia 1966 pasti takkan dapat dilupakan oleh warga England. Satu-satunya pertandingan Piala Dunia yang dijuarai oleh England sehinggakan memori kemenangan 4-2 ke atas German Barat itu diabadikan di dalam sebuah lagu pop yang cukup popular berjudul “Three Lions”.

Dan setiap kali Piala Dunia atau Piala Eropah berlangsung lagu “Three Lions” yang berisi memori luka dan harapan itu diulang-ulang oleh radio dan dinyanyikan oleh penyokong England sebagai lagu tema buat pasukan kebangsaan mereka. Walaupun sudah lebih separuh abad berlalu namun memori kolektif kebangsaan itu tetap tak hilang malah diulang-ulang dan diwarisi pula kenangan itu oleh generasi yang selanjutnya.

Memori momen-momen suka dan duka itu pastinya berbekas dan terus dikenang sehingga sekarang oleh warga ketiga-tiga negara bangsa ini walaupun sudah berdekad-dekad ianya berlalu. Apatah lagi di zaman teknologi yang serba canggih ini di mana momen-momen yang membangkitkan rasa emotif itu boleh dirakam, dikongsi dan dipertontonkan semula berulang-ulang kali di YouTube, Facebook, Twitter, Instagram dan WhatsApp. Dan ianya akan kembali dikenang sebagai suatu ritual ingatan pada Piala Dunia 2022 nanti biasanya dalam segmen mengimbas semula pertandingan yang lepas.

Begitulah pengulangan rasa ini dibawa oleh para penyokong pasukan-pasukan negara yang terlibat dalam pertandingan Piala Dunia ini melalui pelbagai medium perantara sehingga ia menjadi ingatan bersama atau memori kolektif yang tak terpadam.

Memori bersama ini juga kemudiannya turut diceritakan, diperturunkan dan diwarisi kepada generasi-generasi penyokong bolasepak negara masing-masing yang berikutnya hingga ia menjadi sebahagian daripada sejarah bangsa yang diingati setiap kali musim Piala Dunia tiba.

Piala Dunia dalam konteks ini adalah suatu acara sukan yang dicipta untuk memberi ruang dan peluang kepada negara-bangsa bersaing antara satu sama lain sebagai sebahagian daripada usaha untuk merapatkan hubungan diperingkat antarabangsa. Tapi tanpa disedari Piala Dunia yang kelihatannya bersifat non-politikal sebenarnya tersirat unsur politik yang halus. Politik rasa: rasa kebangsaan yang makin diperkuatkan.

Rasa yang menginginkan pasukan kebangsaan masing-masing menang. Menang memberikan suatu bentuk pengiktirafan, kegembiraan dan kebanggaan kepada penyokong-penyokong negara-bangsa tersebut.

Kalah pula memberikan suatu bentuk perkabungan kesedihan dan kedukaan yang diperkongsikan bersama oleh penyokong-penyokong negara yang terlibat dan pada masa yang sama juga turut melahirkan cita dan keazaman kolektif untuk bangun menebus kembali kekalahan di perlawanan yang akan datang.

Walaupun hanya berlaku empat tahun sekali tetapi oleh kerana wujudnya kitaran ritual yang berbentuk pengulangan berkala yang tetap dan sama pada setiap empat tahun itu, maka rasa kebangsaan yang merupakan unsur politik yang cukup berbisa ini diperbaharui dan diperbaharui secara berterusan sehingga ia menjadi rasa yang mendalam, lestari dan mapan.

Piala Dunia ternyata bukan hanya sekadar sukan. Tapi suatu ritual yang sangat berpengaruh dalam menumbuhkan dan memperkukuhkan rasa kebangsaan di hati dan sanubari mereka yang terlibat di dalam pertandingan Piala Dunia ini khususnya para penyokong yang tak henti-henti melaung, menjerit, memekik, menyanyi, menari, mengangkat sepanduk, meniup bunyi-bunyian, mengibarkan bendera, mewarnakan wajah, tubuh serta rambut, memaki, mengutuk, meraung, menangis dan melontarkan segala macam perasaan serta emosi mereka secara kolektif ketika memberikan sokongan buat pasukan kebangsaan masing-masing.

Tak dapat dibayangkan betapa hambarnya Piala Dunia tanpa rasa berahi (passion) yang menggerakkannya: rasa kebangsaan!

 

P/S: Saya memilih pasukan (rujuk featured image) untuk menang pada Piala Dunia kali ini. Pilihan ini tidak hanya disebabkan keberanian seorang Ketua Pasukan berjuang menentang penindasan dan memperjuangkan semangat kebangsaan, tetapi kerana pasukannya kini memiliki gaya permainan menyerang yang saya gemari dan anuti!

Balik ke Atas