Mukadimah Bola Sepak Malaysia

BOLA SEPAK/SUKAN

Sejak tiga dasawarsa belakangan ini, sering kedengaran di dada media sosial kita berkenaan kemerunduman sukan bola sepak di Malaysia terutamanya melibatkan pasukan kebangsaan. Maki hamun, tuduh menuduh, rasuah, ‘bangsat’, dan seangkatannya ringan bermain di bibir pe’minat’ bola sepak negara. Apatah lagi jika perkara ini kita sandarkan pada ‘Ultras Malaya’ yang sehingga masih lagi tegas dengan pendirian mereka akan perlunya pemansuhan struktur bola sepak negara terutamanya dari aspek kepemimpinan dan perkara tersebut sudahpun berlaku dan mungkin ramai yang bergembira akan perkembangan tersebut.

Sepanjang pemerhatian saya terhadap pendapat warga mengenai sukan bola sepak negara, terdapat seperkara yang tidak boleh untuk dipisahkan dan sering menjadi buah mulut orang ramai iaitu siapa yang memimpin sukan bola sepak negara. Sidang pembaca bolehlah merujuk mana-mana akhbar untuk mengabsahkan perkara ini. Setiap kali kita bermadah mengenai bola sepak di Malaysia, perkara ini akan menjadi topik hangat untuk diperbincangkan, selain ianya juga dianggap sebagai masalah terbesar yang tidak kunjung selesai. Persoalan utama, kenapa perkara ini dianggap sebagai masalah terbesar dalam korpus bola sepak negara dan adakah ianya merupakan masalah asas kepada bola sepak Malaysia yang menyebabkan kemerunduman sukan itu? Nah, perkara inilah yang kita akan bahaskan dalam tulisan ini.

Jika kita rujuk mana-mana media sosial yang membincangkan perkara ini, jelas menunjukkan ramai warga menganggap kejatuhan bola sepak negara adalah disebabkan kepemimpinan yang tidak efisien. Dari sudut pandang Ultras Malaya pula yang sebenarnya masih dalam ruang yang sama, masalahnya adalah kepimpinan Sultan Pahang sebagai presiden yang dikatakan tidak membawa apa-apa perubahan kepada bola sepak negara dan inilah corak masalah yang sering kita dengar dan mungkin, ramai yang bersetuju. Selama 3 dasawarsa, tidak dapat dinafikan bahawa bola sepak kita tidak banyak yang berubah, meskipun sudah mengalami fasa evolusi sama ada dari aspek liga tempatan, pembangunan akar umbi, mahupun penggantian jurulatih dalam atau luar negara. Perkara ini membangkitkan kemarahan peminat bola sepak negara kerana bola sepak dianggap sebagai ibu segala jenis sukan yang wujud di muka bumi ini. Istilah Ibu Segala Jenis Sukan ini saya sendiri tidak tahu dari mana datangnya. Dan sekarang ini, kepimpinan sukan bola sepak negara sudahpun beralih tangan kepada TMJ yang dikatakan sangat serius dalam perihal bola sepak negara dan ramai yang menjangkakan bahawa masa depan sukan ini akan berubah dalam sedikit masa lagi.

Sebagai langkah awal memacu sukan bola sepak negara, TMJ selaku presiden telah merombak keseluruhan tampuk kepimpinan FAM. Langkah awal ini mendapat sambutan oleh ramai peminat bola sepak di Malaysia. Perkara tersebut diperkuatkan lagi dengan bukti yang kukuh di mana pasukan JDT FC yang dinaung oleh TMJ telah mengecapi pelbagai kejayaan di peringkat antarabangsa. Ini membuktikan bahawa TMJ adalah calon yang ditunggu-tunggu oleh khalayak untuk mengubah nasib bola sepak negara. Akan tetapi, apakah benar masalah asas bola sepak negara ini datangnya daripada kepimpinan FAM? Saya fikir ianya hanya sebahagian dan bukannya masalah paling asas dalam bola sepak negara.

Dalam apa-apa bidang sekalipun, peri penting untuk mengetahui apakah asas kepada sesuatu perkara. Misalnya dalam membina sesuatu bangunan, perkara paling asas bukanlah bangunan tersebut dibina menggunakan material apa, tetapi yang lebih penting adalah dimanakah tapak untuk bangunan tersebut. Setelah itu, barulah kita memikirkan tentang hal-hal lain yang berkaitan dengan pembinaan seperti kesesuaian material, bentuk, corak dan sebagainya.Tanpa tapak, bangunan tersebut hanya menjadi hal bualan semata. Maka saya cuba untuk menggunakan konsep ini untuk membicarakan perihal bola sepak negara. Bolehkah saya bertanya kepada warga, apakah pegangan atau idealogi bola sepak negara selama sukan ini wujud dalam pensejarahan Malaysia? Pernahkah kita membina perkara tersebut sebagai asas kepada bola sepak negara? Atau mungkin yang lebih keras sedikit, pernahkah kita berfikir tentang itu?

Marilah kita sama-sama melihat sukan bola sepak di Negara Matahari Terbit iaitu Jepun. Ramai orang mengatakan bahawa pada satu ketika dahulu, Jepun mempelajari bola sepak dari negara kita. Benar, tapi apa yang dipelajari bukan bola sepak, tetapi pengurusan liga bola sepak. Jika warga melihat portal JFA dan memilih carian berkenaan The Ideal, Vision, and Values, anda akan terkejut kerana tidak ada satupun perkara yang menyebut tentang, ‘Kami akan ke Piala Dunia pada tahun….” Kesemua yang diutarakan oleh JFA sangat manusiawi, iaitu untuk berkongsi kekayaan budaya dengan masyarakatnya. Jepun mengangkat Bushido sebagai teras kepada semua bola sepaknya. Bushido, atau the way of samurai life adalah tradisi yang terpelihara sejak dahulu lagi. Dengan menekankan prinsip dan etika dalam semua bidang, kita dapat menyaksikan kejayaan demi kejayaan yang dikecapi oleh warga Jepun. Apa yang diterapkan oleh bola sepak Jepun bukanlah tentang peri pentingnya kejayaan, tapi peri pentingnya usaha dalam memartabatkan budayanya sendiri. Mereka percaya bahawa kejayaan menjelma setelah budaya dan usaha terpintal dan meresap kedalam masyarakatnya. Perkara ini tidak terhadap dalam perihal bola sepaknya, tetapi merangkumi dalam semua hal sama ada teknologi, perniagaan, pendidikan, mahupun hubungan antarabangsa. Dalam erti kata yang lain, Bushido dijadikan idealogi utama Jepun dalam semua hal yang berkaitan dengan masyarakatnya.

Kembali kita kepada bola sepak Malaysia. Selama tiga dasawarsa ini, bolehlah kita menepuk dada dan bertanya, apakah idealogi bola sepak Malaysia? Atau mungkin soalan ini terlalu ke depan dan sepatutnya ditukar kepada, ‘pernahkan kita membina idealogi bola sepak negara?”. Mungkin ada suara-suara yang mengatakan bahawa idealogi bola sepak negara adalah NFDP yang masih hijau itu. Tapi, pergilah atau muat turunlah kertas kerja NFDP dan lihatlah DNA yang telah dinyatakan. Saya yakin, anda semua akan menepuk dahi masing-masing kerana dalam barisan ayat dalam DNA tersebut tidak satupun terkait dengan cara hidup masyarakat ataupun budaya yang terkandung dalam negara. DNA tersebut hanya memikirkan satu perkara yang terkandung dalam sukan bola sepak iaitu teknikaliti, sedangkan, yang diperlukan terlebih dahulu adalah pengisian rohani dalam setiap jiwa pemain-pemain bola sepak. Maka tidak hairanlah satu ketika dahulu, ada beberapa pemain menarik diri dari pasukan kebangsaan tanpa memberi sebab jelas. Saya justeru tidak menyalahkan mereka, tetapi tundingan saya kepada kegagalan kita menerapkan idealogi bola sepak di dalam diri setiap pemain. Tapi bagaimana mahu menerapkan idealogi sedangkan pembinaan idealogi sahaja kita tidak pernah lakukan?

Di Malaysia, kita terlalu sibuk memikirkan tentang perkara-perkara yang jauh ke hadapan dan meninggalkan perkara-perkara teras seperti idealogi ini. Selain itu, kita juga sangat gemar beromantisme dengan sejarah-sejarah kegemilangan lampau yang sering diulang-ulang agar kita terus percaya bahawa suatu ketika dahulu, kitalah jaguh di benua Asia. Saya justeru senang untuk mengenang sejarah-sejarah ini, tetapi sejarah lampau ini tidak akan mengubah apa-apa dalam kamus bola sepak negara pada masa hadapan. Kita juga rajin menanam impian, misalnya, melayakkan diri ke Piala Dunia. Ringan mulut kita mengatakan itu seolah-olah Piala Dunia adalah syurga bagi sukan bola sepak. Tapi saya yakin ada segelintir warga yang tidak keterlaluan berimaginasi tentang Piala Dunia. Kalau saya boleh berhipotesis, apa yang segelintir warga ini mahukan adalah, kita bermain bola sepak dengan cara yang betul terlebih dahulu, kemudian barulah kita fikirkan tentang Piala Dunia.

Balik ke Atas