Croatia: Lahir Dari Perang Tidak Kecundang

BOLA SEPAK/SUKAN Teks oleh: Muhammad Hafez Darwis

Hari ini, usai dua minggu pertandingan Piala Dunia berlalu. Tapi bagi negara yang tewas atau pun menang ianya akan menjadi memori yang tak terlupakan. Baik buat pemain, jurulatih mahu pun para penyokong warga kebangsaan negara yang terlibat memori Piala Dunia akan diingati secara kolektif.

Pertandingan kali ini pasti diingati kerana tumbangnya pasukan-pasukan pilihan dan kemunculan pasukan-pasukan baru di bawah radar yang berjaya menonjolkan diri mereka sebagai pasukan yang lebih menarik untuk diperhatikan.

Antaranya pastilah Croatia. Siapa sangka sebuah pasukan dari sebuah negara yang hanya punya penduduk sedikit lebih 4 juta orang mampu melangkah ke perlawanan akhir Piala Dunia.

Ketika wisel penamat perlawanan separuh akhir Piala Dunia antara Croatia dan England ditiupkan, Dataran Ban Jelacic di Zagreb bergegar. Suasana seakan sebuah gempa bumi yang dasyat. Cumanya teriakan dan laungan yang berkumandang bukanlah datang dari rasa ketakutan tapi kegembiraan.

Puluhan ribu warga Croatia tua-muda, lelaki-perempuan, berpesta di Zagreb. Bir disembur, suar dinyalakan, asap dan cahaya pelbagai warna menerangi ruang, bendera dikibarkan, lagu-lagu dalam bahasa Croatia dinyanyikan beramai-ramai dan kata-kata semangat “Nogomet dolazi doma” yang dilaungkan secara kolektif dan berulang-ulang di Dataran Ban Jelacic  berbunyi seperti genderang perang.

Nogomet dolazi doma” kurang lebihnya bermaksud “bolasepak pulang ke tanah air” (“football comes home”). Tapi malangnya tiga hari selepas itu ternyata Piala Dunia pulang ke kota percintaan. Croatia tewas di tangan Perancis 4-2. Walau pun tak menang, Croatia tidak kecundang.

Dalam sebuah wawancara dengan seorang wartawan yang membuat liputan Piala Dunia di Zagreb seorang perempuan berbangsa Croatia yang turut berada di dataran Ban Jelecic mengungkapkan dengan penuh semangat, “kami punya semangat, kami bangga, kami lahir dari perang”.

Kata ganti nama “kami” itu khas merujuk kepada bangsa Croatia dan perjalanan sejarah bangsanya yang panjang dan berbeda dengan sejarah negara  lain di dunia ini dan dicirikan pula oleh warganya sebagai sebuah negara yang lahir dari perang.

Sejarah Croatia adalah sebahagian daripada sejarah negara-negara di wilayah Balkan. Di dalam wilayah Balkan ini terkandung pelbagai rupa bangsa yang berbeda-beda. Bukan sahaja perbedaan itu dicirikan oleh bahasa, agama dan budaya tetapi juga sejarah kolektif bangsa masing-masing yang melalui jalan berasingan dan tidak sama.

Malahan di dalam sejarahnya yang rumit, panjang dan berbeda antara satu sama lain itu turut ditandai oleh sejarah perang antara mereka.

Namun di sebalik perbedaan dan peperangan itu sebahagian daripada wilayah Balkan yang berasal-mula daripada keRAJAan-keRAJAan awalnya yang membentuk Serbia, Croatia, Slovenia, Kosovo, Montenegro dan Macedonia ini pernah disatukan di dalam sebuah persekutuan yang dinamakan Yugoslavia.

Yugoslavia di awal kewujudanya adalah gabungan keRAJAan-keRAJAan tua di wilayah Balkan dan dikenali dengan nama “Kingdom of Yugoslavia”. Namun ianya hanya dapat bertahan selama 22 tahun sahaja sebelum digulingkan oleh Liga Komunis Yugoslavia. Di bawah kepimpinan Liga komunis Yugoslavia, nama “Kingdom of Yugoslavia” itu ditukar menjadi Persekutuan Republik Sosialis Yugoslavia.

Penyatuan pelbagai bangsa di dalam Persekutuan Yugoslavia itu diteruskan oleh Liga Komunis Yugoslavia. Kali ini Yugoslavia diikat dengan sebuah fahaman negara yang dominan di wilayah tersebut pada era itu iaitu fahaman komunisme/sosialisme.

Penyatuan Yugoslavia di atas dasar fahaman komunisme/sosialisme ini sebahagiannya adalah berteraskan kepada kepercayaan bahawa kelas pekerja di semua negara dalam dunia ini adalah berkongsi nasib yang sama dan seharusnya bersatu untuk membentuk kuasa pekerja dan menjadi pemerintah yang seterusnya akan membina masyarakat tanpa kelas yang dicita-citakan.

Kerana itu semboyan “workers of the world unite” atau “kaum pekerja sedunia bersatu” menjadi slogan yang dilaungkan oleh mereka yang memegang fahaman atau keyakinan ini. Dan pemerintah Persekutuan Republik Sosialis Yugoslavia juga pada era kewujudannya dahulu turut meyakini fahaman ini.

Dipimpin oleh kepimpinan Liga Komunis Yugoslavia khususnya ketika di bawah pemerintahan Josip Broz yang lebih dikenali dengan nama Tito, sebarang peluahan rasa kebangsaan secara terbuka dibungkam oleh beliau. Rasa kebangsaan dilihat sebagai unsur yang tidak selari dengan fahaman komunisme yang berteraskan kelas.

Tapi ternyata rasa kebangsaan yang di dalamnya tersulam unsur-unsur budaya yang emotif dan bersifat kesejarahan seperti agama, tradisi, adat-istiadat, ritual, bahasa, sejarah bangsa, sastera, kesenian, simbol-simbol kebangsaan dan mitos bangsa itu sukar untuk dibendung apabila tercetusnya “Croatian Spring” sebuah gerakan politik dan budaya yang menuntut reformasi ekonomi, politik dan kebudayaan buat wilayah Croatia.

Croatian Spring” ini bermula apabila 130 orang penyair, intelektual, aktivis seni-budaya dan pejuang bahasa Croatia menerbitkan sebuah deklarasi pada tahun 1967 menuntut supaya bahasa Croatia diberi status yang sama dan bahasa kesusasteraan Croatia diajar di sekolah-sekolah dan digunakan di dalam media.

Antara yang aktif di dalam gerakan Croatian Spring ini ialah tokoh politik perempuan Croatia, Savka Dabcevic Kucar yang kemudiannya menjadi presiden pertama Parti Rakyat Croatia pasca perang Balkan 1990an.

Kemuncak kepada gerakan Croatian Spring ini ialah apabila suatu demonstrasi besar-besaran yang disertai oleh ribuan mahasiswa telah diadakan di kota Zagreb pada tahun 1971. Namun tindakbalas dari negara terhadap tuntutan kebangsaan itu diredam bila Tito mengarahkan polis untuk menyuraikan protes secara kekerasan.  Ribuan mahasiswa, intelektual, pejuang bahasa dan aktivis seni-budaya ditangkap dan dipenjarakan kerana terlibat di dalam gerakan tersebut.

Selepas “crack down” atau tindakan kekerasan itu dilakukan yang muncul adalah zaman senyap. Tapi senyap tidak bermakna rasa kebangsaan Croatia itu mati. Ianya tetap subur dan hanya menanti masa untuk meletus kembali. Senyap di dalam bara.

Dan bara itu muncul menjadi api yang marak menyala setelah Presiden Persekutuan Republik Sosialis Yugoslavia, Josep Broz Tito yang memerintah selama hampir 30 tahun meninggal dunia. Faham sosialisme yang berteraskan kepada solidariti kaum pekerja merentas sempadan negara dan bangsa tak dapat membungkam keinginan kebangsaan Croatia. Keinginan, impian dan cita-cita untuk punya negaranya sendiri setaraf dengan negara-bangsa yang lain – duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan bangsa-bangsa lain di dunia ini.

Lebih kurang 10 tahun selepas kematian Tito rasa kebangsaan yang cuba dibungkam itu tak dapat diredam lagi. Bermula dengan Slovenia yang mengisytiharkan kemerdekaannya daripada Persekutuan Republik Sosialis Yugoslavia, Croatia menyusul sejurus selepas itu.

Perisytiharan kemerdekaan pada 25 Jun 1991 oleh pemimpin Croatia, Franjo Tudman yang pernah ditangkap dan dipenjarakan oleh Tito ketika Croation Spring mengundang tindakbalas ketenteraan daripada pemerintah Yugoslavia. Dan perang pun meletus.

Perang kemerdekaan itu hanya selesai pada tahun 1995. Empat tahun mengharung duka dan sengsara, korban jiwa dan harta, hilang tempat tinggal dan kematian saudara – semua itu menjadi memori kolektif buat bangsa Croatia yang membentuk keperibadiannya di dalam mengharungi perjalanan sejarah bangsa mereka.

Dan ini dapat dilihat dari corak permainan pasukan bolasepak kebangsaan Croatia yang tetap cekal dan gigih berjuang walau pun beberapa kali ketinggalan gol. Seperti yang diungkapkan oleh salah seorang penyokong perempuan Croatia dengan penuh emosi, “kami punya semangat, kami bangga, kami lahir dari perang”. Walaupun tak menang pasukan kebangsaan Croatia tidak kecundang!

Balik ke Atas