BOLA SEPAK

Croatia: Lahir Dari Perang Tidak Kecundang

dalam BOLA SEPAK/SUKAN

Hari ini, usai dua minggu pertandingan Piala Dunia berlalu. Tapi bagi negara yang tewas atau pun menang ianya akan menjadi memori yang tak terlupakan. Baik buat pemain, jurulatih mahu pun para penyokong warga kebangsaan negara yang terlibat memori Piala Dunia akan diingati secara kolektif.

Pertandingan kali ini pasti diingati kerana tumbangnya pasukan-pasukan pilihan dan kemunculan pasukan-pasukan baru di bawah radar yang berjaya menonjolkan diri mereka sebagai pasukan yang lebih menarik untuk diperhatikan.

Antaranya pastilah Croatia. Siapa sangka sebuah pasukan dari sebuah negara yang hanya punya penduduk sedikit lebih 4 juta orang mampu melangkah ke perlawanan akhir Piala Dunia.

Ketika wisel penamat perlawanan separuh akhir Piala Dunia antara Croatia dan England ditiupkan, Dataran Ban Jelacic di Zagreb bergegar. Suasana seakan sebuah gempa bumi yang dasyat. Cumanya teriakan dan laungan yang berkumandang bukanlah datang dari rasa ketakutan tapi kegembiraan.

Puluhan ribu warga Croatia tua-muda, lelaki-perempuan, berpesta di Zagreb. Bir disembur, suar dinyalakan, asap dan cahaya pelbagai warna menerangi ruang, bendera dikibarkan, lagu-lagu dalam bahasa Croatia dinyanyikan beramai-ramai dan kata-kata semangat “Nogomet dolazi doma” yang dilaungkan secara kolektif dan berulang-ulang di Dataran Ban Jelacic  berbunyi seperti genderang perang.

Nogomet dolazi doma” kurang lebihnya bermaksud “bolasepak pulang ke tanah air” (“football comes home”). Tapi malangnya tiga hari selepas itu ternyata Piala Dunia pulang ke kota percintaan. Croatia tewas di tangan Perancis 4-2. Walau pun tak menang, Croatia tidak kecundang.

Dalam sebuah wawancara dengan seorang wartawan yang membuat liputan Piala Dunia di Zagreb seorang perempuan berbangsa Croatia yang turut berada di dataran Ban Jelecic mengungkapkan dengan penuh semangat, “kami punya semangat, kami bangga, kami lahir dari perang”.

Kata ganti nama “kami” itu khas merujuk kepada bangsa Croatia dan perjalanan sejarah bangsanya yang panjang dan berbeda dengan sejarah negara  lain di dunia ini dan dicirikan pula oleh warganya sebagai sebuah negara yang lahir dari perang.

Sejarah Croatia adalah sebahagian daripada sejarah negara-negara di wilayah Balkan. Di dalam wilayah Balkan ini terkandung pelbagai rupa bangsa yang berbeda-beda. Bukan sahaja perbedaan itu dicirikan oleh bahasa, agama dan budaya tetapi juga sejarah kolektif bangsa masing-masing yang melalui jalan berasingan dan tidak sama.

Malahan di dalam sejarahnya yang rumit, panjang dan berbeda antara satu sama lain itu turut ditandai oleh sejarah perang antara mereka.

Namun di sebalik perbedaan dan peperangan itu sebahagian daripada wilayah Balkan yang berasal-mula daripada keRAJAan-keRAJAan awalnya yang membentuk Serbia, Croatia, Slovenia, Kosovo, Montenegro dan Macedonia ini pernah disatukan di dalam sebuah persekutuan yang dinamakan Yugoslavia.

Yugoslavia di awal kewujudanya adalah gabungan keRAJAan-keRAJAan tua di wilayah Balkan dan dikenali dengan nama “Kingdom of Yugoslavia”. Namun ianya hanya dapat bertahan selama 22 tahun sahaja sebelum digulingkan oleh Liga Komunis Yugoslavia. Di bawah kepimpinan Liga komunis Yugoslavia, nama “Kingdom of Yugoslavia” itu ditukar menjadi Persekutuan Republik Sosialis Yugoslavia.

Penyatuan pelbagai bangsa di dalam Persekutuan Yugoslavia itu diteruskan oleh Liga Komunis Yugoslavia. Kali ini Yugoslavia diikat dengan sebuah fahaman negara yang dominan di wilayah tersebut pada era itu iaitu fahaman komunisme/sosialisme.

Penyatuan Yugoslavia di atas dasar fahaman komunisme/sosialisme ini sebahagiannya adalah berteraskan kepada kepercayaan bahawa kelas pekerja di semua negara dalam dunia ini adalah berkongsi nasib yang sama dan seharusnya bersatu untuk membentuk kuasa pekerja dan menjadi pemerintah yang seterusnya akan membina masyarakat tanpa kelas yang dicita-citakan.

Kerana itu semboyan “workers of the world unite” atau “kaum pekerja sedunia bersatu” menjadi slogan yang dilaungkan oleh mereka yang memegang fahaman atau keyakinan ini. Dan pemerintah Persekutuan Republik Sosialis Yugoslavia juga pada era kewujudannya dahulu turut meyakini fahaman ini.

Dipimpin oleh kepimpinan Liga Komunis Yugoslavia khususnya ketika di bawah pemerintahan Josip Broz yang lebih dikenali dengan nama Tito, sebarang peluahan rasa kebangsaan secara terbuka dibungkam oleh beliau. Rasa kebangsaan dilihat sebagai unsur yang tidak selari dengan fahaman komunisme yang berteraskan kelas.

Tapi ternyata rasa kebangsaan yang di dalamnya tersulam unsur-unsur budaya yang emotif dan bersifat kesejarahan seperti agama, tradisi, adat-istiadat, ritual, bahasa, sejarah bangsa, sastera, kesenian, simbol-simbol kebangsaan dan mitos bangsa itu sukar untuk dibendung apabila tercetusnya “Croatian Spring” sebuah gerakan politik dan budaya yang menuntut reformasi ekonomi, politik dan kebudayaan buat wilayah Croatia.

Croatian Spring” ini bermula apabila 130 orang penyair, intelektual, aktivis seni-budaya dan pejuang bahasa Croatia menerbitkan sebuah deklarasi pada tahun 1967 menuntut supaya bahasa Croatia diberi status yang sama dan bahasa kesusasteraan Croatia diajar di sekolah-sekolah dan digunakan di dalam media.

Antara yang aktif di dalam gerakan Croatian Spring ini ialah tokoh politik perempuan Croatia, Savka Dabcevic Kucar yang kemudiannya menjadi presiden pertama Parti Rakyat Croatia pasca perang Balkan 1990an.

Kemuncak kepada gerakan Croatian Spring ini ialah apabila suatu demonstrasi besar-besaran yang disertai oleh ribuan mahasiswa telah diadakan di kota Zagreb pada tahun 1971. Namun tindakbalas dari negara terhadap tuntutan kebangsaan itu diredam bila Tito mengarahkan polis untuk menyuraikan protes secara kekerasan.  Ribuan mahasiswa, intelektual, pejuang bahasa dan aktivis seni-budaya ditangkap dan dipenjarakan kerana terlibat di dalam gerakan tersebut.

Selepas “crack down” atau tindakan kekerasan itu dilakukan yang muncul adalah zaman senyap. Tapi senyap tidak bermakna rasa kebangsaan Croatia itu mati. Ianya tetap subur dan hanya menanti masa untuk meletus kembali. Senyap di dalam bara.

Dan bara itu muncul menjadi api yang marak menyala setelah Presiden Persekutuan Republik Sosialis Yugoslavia, Josep Broz Tito yang memerintah selama hampir 30 tahun meninggal dunia. Faham sosialisme yang berteraskan kepada solidariti kaum pekerja merentas sempadan negara dan bangsa tak dapat membungkam keinginan kebangsaan Croatia. Keinginan, impian dan cita-cita untuk punya negaranya sendiri setaraf dengan negara-bangsa yang lain – duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan bangsa-bangsa lain di dunia ini.

Lebih kurang 10 tahun selepas kematian Tito rasa kebangsaan yang cuba dibungkam itu tak dapat diredam lagi. Bermula dengan Slovenia yang mengisytiharkan kemerdekaannya daripada Persekutuan Republik Sosialis Yugoslavia, Croatia menyusul sejurus selepas itu.

Perisytiharan kemerdekaan pada 25 Jun 1991 oleh pemimpin Croatia, Franjo Tudman yang pernah ditangkap dan dipenjarakan oleh Tito ketika Croation Spring mengundang tindakbalas ketenteraan daripada pemerintah Yugoslavia. Dan perang pun meletus.

Perang kemerdekaan itu hanya selesai pada tahun 1995. Empat tahun mengharung duka dan sengsara, korban jiwa dan harta, hilang tempat tinggal dan kematian saudara – semua itu menjadi memori kolektif buat bangsa Croatia yang membentuk keperibadiannya di dalam mengharungi perjalanan sejarah bangsa mereka.

Dan ini dapat dilihat dari corak permainan pasukan bolasepak kebangsaan Croatia yang tetap cekal dan gigih berjuang walau pun beberapa kali ketinggalan gol. Seperti yang diungkapkan oleh salah seorang penyokong perempuan Croatia dengan penuh emosi, “kami punya semangat, kami bangga, kami lahir dari perang”. Walaupun tak menang pasukan kebangsaan Croatia tidak kecundang!

Piala Dunia: Berahi Apa Yang Menggerakkannya

dalam BOLA SEPAK/SUKAN

Stadium gegak gempita dengan sorakan penyokong dan bunyi-bunyian yang membingitkan gegendang telinga. Tapi dalam keriuhan itu di satu sudut seorang gadis kulit putih berambut perang menangis teresak-esak. Air mata yang mengalir deras memudarkan warna bendera sebuah negara yang dilukis di pipinya.

Seorang lelaki muda dengan seluruh wajahnya diwarnakan dengan warna bendera pasukan negaranya turut menghamburkan air mata tanpa henti. Wajah sedihnya itu disorot dan dirakam kamera untuk disaksikan oleh masyarakat dunia.

Di satu sudut yang lain pula satu kelompok lelaki-perempuan, tua-muda yang memakai jersi sebuah pasukan bolasepak kebangsaan melonjak-lonjak bersorak gembira menyanyikan lagu dalam bahasa mereka sendiri sambil berpeluk-pelukan sesama mereka. Entah kenal atau tidak antara satu sama lain tidaklah diketahui tapi tetap saja mereka berpelukan seperti saudara paling rapat. Di saat itu apa saja perbezaan yang mungkin ada pada mereka sebelumnya lebur diganti dengan persaudaraan yang tak terputus. Terpampang di wajah mereka kegembiraan yang amat sangat yang dikongsi bersama-sama.

Begitulah suasana yang hampir seragam pola tingkah-lakunya yang dapat kita lihat pada penyokong-penyokong yang memenuhi stadium di mana-mana perlawanan bolasepak Piala Dunia di Russia pada musim ini sebaik sahaja wisel penamat dibunyikan. Gerak emosi yang tak terbendung terhambur keluar. Baik buat mereka yang kalah mahu pun yang menang – pelbagai manifestasi kepada emosi gembira atau sedih dipertontonkan kepada khalayak dunia untuk melihatnya.

Emosi kegembiraan atau kesedihan bersama ini dikongsikan oleh mereka secara kolektif. Perkongsian emosi kolektif inilah yang mengikat rasa persaudaraan sesama mereka sebagai sebuah komuniti kebangsaan di dalam suatu wilayah politik negara-bangsa yang terpilih untuk bertanding di pusingan akhir Piala Dunia kali ini.

Di saat pasukan kebangsaan mereka beraksi di atas padang, mereka menjadi saudara sehati, sejiwa dan serasa. Rasa yang menyatu dalam sebuah idea yang ditanggapi oleh meraka sebagai berkebangsaan sama.

Dan rasa ini tidak mati di stadium. Turut dibawa secara kolektif hingga ke luar, ke jalanraya, ke kafe, ke pub hinggalah ke dalam rumah sendiri samada melalui aktiviti merayakan kemenangan atau berkabung kesedihan kerana kekalahan. Semuanya rasa yang dirasai secara kolektif.

Malahan rasa ini turut melangkaui sempadan ruang dan masa. Di luar Russia di negara masing-masing kegembiraan dirayakan bagi yang menang. Manakala kesedihan diperkongsikan bersama oleh mereka yang kalah. Malahan komuniti diaspora pelbagai bangsa yang terlibat di dalam Piala Dunia ini turut berkongsi rasa yang sama.

Rasa yang di dalamnya terkandung unsur emosi yang kuat ini kemudiannya diperpanjangkan pula oleh media di negara masing-masing pada hari-hari berikutnya melalui laporan berita, perbincangan, perkongsian pandangan, kritik, analisa, wacana dan perbahasan di ruang awam. Kemungkinan sebulan pun masih belum habis dibahaskan.

Walaupun perbahasan di ruang awam di negara masing-masing adalah tentang Piala Dunia tapi di sebalik pertandingan bolasepak Piala Dunia ini adalah rasa: rasa kebangsaan.

Rasa kebangsaan yang hadir di hati para penyokong pasukan-pasukan yang bertanding inilah merupakan penggerak utama kepada berahi (passion) terhadap pertandingan Piala Dunia. Tanpa rasa kebangsaan Piala Dunia mungkin akan kehilangan riuh-rendah, hingar-bingar, ghairah-berahi dan suka-duka selama sebulan yang dialaminya itu.

Dan rasa ini akan terus diingati dan disimpan dalam memori hidup mereka. Warga Argentina mana yang bisa melupakan kejuaraan Piala Dunia yang mereka rangkul di tahun 1986 dengan bantuan gol “hand of god” Maradona di peringkat suku akhir ketika melawan England?

Dan warga Brazil mana yang dapat melupakan perkabungan kesedihan nasional tatkala pasukan terbaik mereka pada Piala Dunia 1982 yang dibarisi oleh lagenda seperti Zico, Socrates, Falcao dan Eder tewas tipis 3-2 di tangan Itali di dalam perlawanan yang cukup mendebarkan itu?

Begitu juga dengan kenangan perlawanan akhir Piala Dunia 1966 pasti takkan dapat dilupakan oleh warga England. Satu-satunya pertandingan Piala Dunia yang dijuarai oleh England sehinggakan memori kemenangan 4-2 ke atas German Barat itu diabadikan di dalam sebuah lagu pop yang cukup popular berjudul “Three Lions”.

Dan setiap kali Piala Dunia atau Piala Eropah berlangsung lagu “Three Lions” yang berisi memori luka dan harapan itu diulang-ulang oleh radio dan dinyanyikan oleh penyokong England sebagai lagu tema buat pasukan kebangsaan mereka. Walaupun sudah lebih separuh abad berlalu namun memori kolektif kebangsaan itu tetap tak hilang malah diulang-ulang dan diwarisi pula kenangan itu oleh generasi yang selanjutnya.

Memori momen-momen suka dan duka itu pastinya berbekas dan terus dikenang sehingga sekarang oleh warga ketiga-tiga negara bangsa ini walaupun sudah berdekad-dekad ianya berlalu. Apatah lagi di zaman teknologi yang serba canggih ini di mana momen-momen yang membangkitkan rasa emotif itu boleh dirakam, dikongsi dan dipertontonkan semula berulang-ulang kali di YouTube, Facebook, Twitter, Instagram dan WhatsApp. Dan ianya akan kembali dikenang sebagai suatu ritual ingatan pada Piala Dunia 2022 nanti biasanya dalam segmen mengimbas semula pertandingan yang lepas.

Begitulah pengulangan rasa ini dibawa oleh para penyokong pasukan-pasukan negara yang terlibat dalam pertandingan Piala Dunia ini melalui pelbagai medium perantara sehingga ia menjadi ingatan bersama atau memori kolektif yang tak terpadam.

Memori bersama ini juga kemudiannya turut diceritakan, diperturunkan dan diwarisi kepada generasi-generasi penyokong bolasepak negara masing-masing yang berikutnya hingga ia menjadi sebahagian daripada sejarah bangsa yang diingati setiap kali musim Piala Dunia tiba.

Piala Dunia dalam konteks ini adalah suatu acara sukan yang dicipta untuk memberi ruang dan peluang kepada negara-bangsa bersaing antara satu sama lain sebagai sebahagian daripada usaha untuk merapatkan hubungan diperingkat antarabangsa. Tapi tanpa disedari Piala Dunia yang kelihatannya bersifat non-politikal sebenarnya tersirat unsur politik yang halus. Politik rasa: rasa kebangsaan yang makin diperkuatkan.

Rasa yang menginginkan pasukan kebangsaan masing-masing menang. Menang memberikan suatu bentuk pengiktirafan, kegembiraan dan kebanggaan kepada penyokong-penyokong negara-bangsa tersebut.

Kalah pula memberikan suatu bentuk perkabungan kesedihan dan kedukaan yang diperkongsikan bersama oleh penyokong-penyokong negara yang terlibat dan pada masa yang sama juga turut melahirkan cita dan keazaman kolektif untuk bangun menebus kembali kekalahan di perlawanan yang akan datang.

Walaupun hanya berlaku empat tahun sekali tetapi oleh kerana wujudnya kitaran ritual yang berbentuk pengulangan berkala yang tetap dan sama pada setiap empat tahun itu, maka rasa kebangsaan yang merupakan unsur politik yang cukup berbisa ini diperbaharui dan diperbaharui secara berterusan sehingga ia menjadi rasa yang mendalam, lestari dan mapan.

Piala Dunia ternyata bukan hanya sekadar sukan. Tapi suatu ritual yang sangat berpengaruh dalam menumbuhkan dan memperkukuhkan rasa kebangsaan di hati dan sanubari mereka yang terlibat di dalam pertandingan Piala Dunia ini khususnya para penyokong yang tak henti-henti melaung, menjerit, memekik, menyanyi, menari, mengangkat sepanduk, meniup bunyi-bunyian, mengibarkan bendera, mewarnakan wajah, tubuh serta rambut, memaki, mengutuk, meraung, menangis dan melontarkan segala macam perasaan serta emosi mereka secara kolektif ketika memberikan sokongan buat pasukan kebangsaan masing-masing.

Tak dapat dibayangkan betapa hambarnya Piala Dunia tanpa rasa berahi (passion) yang menggerakkannya: rasa kebangsaan!

 

P/S: Saya memilih pasukan (rujuk featured image) untuk menang pada Piala Dunia kali ini. Pilihan ini tidak hanya disebabkan keberanian seorang Ketua Pasukan berjuang menentang penindasan dan memperjuangkan semangat kebangsaan, tetapi kerana pasukannya kini memiliki gaya permainan menyerang yang saya gemari dan anuti!

Just Fontaine, Platini, Papin, Cantona, dan Henry tidak pernah membawa Piala Dunia ke bumi Perancis

dalam BOLA SEPAK/SUKAN

Saya sudah cakap banyak kali sebelum ini bahawa Perancis akan ke final. Selagi Giroud berada dalam kesebelasan utama. Dan itulah yang berlaku.

20 tahun lalu, saya masih seorang remaja. Remaja yang cergas, cerdik bermain bola hingga mendapat jolokan Bergkamp di sekolah, pandai mendengar muzik, menonton filem, membaca buku dan majalah, juga begitu faham dan terang tentang hal-hal yang berlaku di sekeling malah seisi dunia sampai tidak peduli tentang peperiksaan. Remaja sedemikian jarang kita lihat pada masa ini.

Ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah ke asrama, seorang peminat jenama Manchester United telah bertanya kepada saya, “Siapa akan menang final nanti?”

Sambil melonggarkan ikatan tali leher, saya menjawab tenang, “Perancis. Perancis akan menang 3-0.”

Semua orang yang sedang berduyun-duyun berjalan pulang memandang ke arah saya dengan pandangan yang negatif (perkataan negatif sedang meningkat naik ketika itu). Mereka jelas tidak setuju. Saat itu saya sedar bahawa 80% penduduk dunia adalah penyokong Brazil. Namun fakta itu tidak sedikit pun menggoyahkan perasaan hati saya yang sudah sedia terang. Sebab apa? Sebab Guivarc’h bermain dalam semua perlawanan peringkat kalah mati Perancis.

Pada malam final, itulah yang berlaku. Perancis menang 3-0. Guivarc’h bermain sebagai penyerang tunggal dengan 800 peluang di depan gol dan menjaringkan sebanyak 0 gol (juga 0 gol sepanjang kempen Piala Dunia 98). Saya membuat balik kuang di dalam bilik tv asrama sebaik Petit dari Arsenal menjaringkan gol terakhir untuk Perancis dan menambah luka kepada 80% penduduk dunia.

Hari ini pada tahun 2018, Perancis dikendalikan oleh Deschamps. Deschamps adalah anak emas kepada Aime Jacquet, jurulatih skuad Perancis 1998. Semua orang sepatutnya faham apa dalam kepala Deschamps jikalau arif tentang bola sepak lagi-lagi tentang tindakannya memilih Giroud.

Namun orang ramai masih hijau tentang bola sepak. Mereka sering berkata buruk tentang Giroud kerana mereka mahu Benzema. Setiap hari sehingga ke pagi ini mereka menulis ke akaun Twitter saya berkata kesat menghina Giroud. Saya hanya tersenyum. Saya menelefon Deschamps memberitahu kepadanya dan dia juga ketawa lalu terus menyenaraikan Giroud pada setiap perlawanan. Orang yang betul betul faham tentang bola sepak akan menyokong Giroud, contohnya imam besar bola sepak Skandinavia, Henrik Larsson dan juga salah seorang pemain simpanan kepada Guivarc’h iaitu Thierry Henry. Dugarry yang selalu sepak tidak kena juga telah menghina Giroud sebelum Piala Dunia bermula tapi akhirnya menyesal lalu membuat pusingan U.

Keadaan ini sama seperti 20 tahun yang lalu. Semua orang menghina Guivarc’h. Tapi Aime Jacquet terus-terusan tetap mempertahankan Guivarc’h dan menyingkirkan Cantona yang kuat keinginannya bermain untuk Perancis di tanah air sendiri. Cantona akhirnya membawa diri dan membodohkan diri menjadi penyokong England. Saya pasti tiada apa yang lebih menusuk hatinya bila melihat Guivarc’h mengangkat Piala Dunia.

“Perancis hari ini tidak sama seperti 20 tahun dahulu. Mereka tidak lagi memiliki Zidane!” Jerit seorang peminat Liverpool yang tidak lupa membayar yuran keahlian Kelab Penyokong Liverpool Rasmi setiap tahun.

Sekali lagi saya tersenyum. Betul, saya akui Perancis kali ini tidak ada barisan pemain tengah yang matang, yang boleh menghantar bola dengan baik seperti Zidane, Petit, Djorkaeff atau Deschamps sendiri. Mereka cuma ada seorang mangkuk dari Manchester United, Pogba. Mbappe dan Griezmann pula selalu lupa menggunakan otak.

Sebenarnya itulah istimewanya Perancis pada tahun ini dengan adanya Giroud. Dialah satu-satunya pemain yang mampu mengimbangi masalah itu. Itu jugalah yang Deschamps cuba sampaikan dan berasa begitu beruntung. Sebab apa?

Sebab Giroud pada hakikatnya adalah pemain bola sepak yang 200 kali lebih baik daripada Guivarc’h. Dia adalah penyerang terbaik dunia. Kalau dia mahu menjaringkan gol, dia akan menjaringkan gol. Dan kalau dia menjaringkan gol, gol itu pasti gol yang beautiful. Olivier Giroud seorang penyerang lampai gagah, berotak dengan sentuhan pertama bak sutera adalah Zidane dan Guivarc’h dalam satu tubuh!

Kawan-kawan sekalian, ingatlah bahawa semua penyerang terbaik Perancis tidak kira Just Fontaine, Platini, Papin, Cantona, dan Henry tidak pernah membawa Piala Dunia ke bumi Perancis. Yang melakukannya cuma Guivarc’h dan kelak Giroud pada malam final bertemu Croatia nanti.

 

 

NotaBerapi: Saya tersenyum bila terlihat Ketua Pengarang Bola Sepak di Independent akhirnya menulis perkara yang sama semalam sedang saya sendiri sudah tahu hal ini lama dahulu.

It’s Coming Home

dalam BOLA SEPAK/SUKAN

IT’S COMING HOME!

Kempen Piala Dunia edisi 2018 terasa seperti bergerak dalam gear reverse, semakin dekat dengan Final, semakin hilang nama-nama besar bola sepak. Satu demi satu gergasi bola sepak dunia tumbang dan menempah tiket pulang awal. Janggal melihat Piala Dunia pada stage semi final tanpa nama seperti Germany, Brazil mahupun Spain, tapi itulah dia resmi bola sepak. Bola itu bulat dan shits happen.

Tanpa nama besar bolasepak untuk disokong, kedai-kedai mamak jadi sugul. Anak-anak kecil juga tidak lagi bermain bola di halaman rumah sambil memakai jersi Brazil. Magis bola sepak semakin pudar.

Namun dalam magis yang semakin pudar itu, membara pula satu lagi magis yang kurang disebut-sebut oleh peminat bolasepak dunia. Magis itu tidak lainnya adalah pasukan England yang dipimpin oleh Gareth Southgate. Jika ada diantara kita yang sedang berkelana di England pada ketika ini, tentulah pub pub dan pejabat-pejabat kerajaan mereka sedang sibuk menyanyi lagu ‘The Three Lions (Its Coming Home)’. Satu anthem bola sepak Inggeris yang dipopularkan oleh band The Lightning Seeds.

England yang bukan pasukan pilihan pada tahun ini, yang lebih jolok dipanggil underdog, telah defied all odds dan mara ke saingan separuh akhir setelah mengalahkan Sweden malam semalam. Satu pencapaian terbaik England sejak tahun 1990.

Berbalik kepada lagu ‘The Three Lions (Its Coming Home)’ dendangan kugiran Inggeris The Lightning Seeds, anthem ini adalah lagu mengenai bagaimana peminat bolasepak Inggeris masih dalam hati kecil mereka percaya yang satu hari nanti Piala Dunia bakal pulang ke pangkuan mereka. Bolas epak bakal pulang ke negara kelahirannya setelah lama berada di dalam pelukan orang asing.

‘We still believe, its coming home’- Begitulah permulaan anthem tersebut.

’30 years of hurt never stopped me dreaming’ pula adalah bait-bait terakhir puisi agung peminat bola sepak Inggeris tersebut.

Pada permulaan video music ‘The Three Lions’, terdapat kilp pendek di mana Gareth Southgate (yang ketika itu merupakan seorang pemain) gagal menyempurnakan sepakan penalti pada perlawanan UEFA Euro 1996 menentang Germany yang akhirnya menyebabkan England gagal mara ke final. Sejak dari itu, England seolah-oleh disumpah dengan satu sumpahan maha mengecewakan. Mereka kalah 3 perlawanan Piala Dunia dalam 3 edisi seterusnya melalui sepakan penalti. Mereka juga kalah 6 kali dalam 7 perlawanan besar dek kerana sumpahan yang sama.

Secara statistik, kebarangkalian England untuk menang melalui sepakan penalti hanyalah 14%. Satu angka yang membuatkan semua lelaki dan juga perempuan Inggeris yang acah minat bola sebab layan pakwe jadi tidak keruan semasa pertembungan mereka dengan Colombia tempoh hari terpaksa ditentukan dengan sepakan penalti.

Gareth Southgate yang ketika ini memimpin England sebagai pengurus pasukan tentulah lembik lutut apabila nasib England bakal ditentukan oleh sumpahan penalti. Jika England kalah lagi dalam Piala Dunia dek kerana penalti, Southgate bakal menjadi lelaki Inggeris pertama merasai pedihnya gagal menyempurnakan sepakan penalti sebagai pemain dan juga sebagai seorang pengurus pasukan. Trauma dan dilema yang bakal dilalui oleh Southgate bukan lah sesuatu yang boleh dibuat main.

Dalam keheningan Moscow, pada perlawanan England menentang Colombia tempoh hari, Gareth Southgate mendongak ke  langit dan berdoa dalam hati kecilnya dengan seikhlas doa. Akhirnya doa itu terjawab dan sumpahan England terlerai. England menang melalui sepakan penalti ke atas Colombia.

Dengan terlerainya sumpahan itu England menjadi lebih garang. Sweden diratah seperti meatball Ikea pada saingan malam tadi. Zlatan tepuk dahi kerana kalah bet dengan Beckham. Manager Ikea jadi marah kerana Zlatan dan Beckham tak jadi shopping perabut di Ikea.

Dan akhirnya segalanya nampak lebih indah di seluruh pelosok tanah Inggeris. Kanak-kanak menari di jalanan. Ayah-ayah pulang kerja awal. Mak-mak keluarkan pinggan mangkuk Correlle untuk menghidang tetamu. England menyanyi girang. Lagu ‘The Three Lions’ berkumandang di setiap corong radio utama.

Walaupun tanpa nama besar, England dengan sedaya mereka cuba untuk merangkul kejuaraan pada tahun ini. Harry Kane, Delle Alli dan Pickford menjadi nama yang membasahi lidah orang Inggeris kini.

Mungkin magis belum lagi hilang dari Piala Dunia. Magis hanya bertukar tangan.

Bolasepak bakal pulang ke negeri kelahirannya tahun ini.

Messi, Ronaldo dan Rukun Bola

dalam BOLA SEPAK/SUKAN

Ramai yang mengimpikan pertembungan dua nama besar dalam bola sepak dunia di lapangan suku akhir, namun Messi dan Ronaldo terpaksa berpuas hati hanya dapat bertemu di lapangan terbang untuk berangkat pulang selepas tersingkir. Teori Messi akan bertemu Ronaldo terbukti benar cuma lokasinya yang disalah tafsir peramal bola, sepertimana mereka meramal seorang mamat Liverpool akan mengemudi Mesir melepasi peringkat kumpulan. Kelakar.

Penyingkiran Argentina dan Portugal tidaklah begitu mengejutkan bagi mereka yang betul-betul pandai tengok bola, kerana dua pasukan ini hanya gah lantaran peranan media mensensasikan mereka. Ramai yang termakan umpan dan mengakui Argentina power, Portugal power tapi ia perbuatan yang sia-sia sama seperti macai Barisan Nasional mengangguk sambil berkobar-kobar semangat Melayu dan anti-DAP menonton Buletin Utama TV3 yang kasi up Najib setiap malam sebelum PRU. Kesudahannya semua kecundang.

Tidak perlulah untuk mengulas tentang statistik dan rangkuman perlawanan serta barisan pemain Argentina dan Portugal yang bermain macam celaka kerana kita sedia maklum pemain mereka hanya biasa-biasa. Mereka hanya menumpang power dan populariti Messi dan Ronaldo. Seperti kita tahu, mereka saling bersaing untuk menunjukkan siapa yang lebih hebat dan mereka sudah menang segala trofi di peringkat kelab. Dengan kegagalan mereka untuk memenangi Piala Dunia pada tahun ni, adakah segala rekod yang telah dibuat sedikit tercalar? Adakah mereka sekadar power di kelab tapi bila bermain untuk negara bangang macam Safiq Rahim?

Pemain bola bila mencecah usia 30-an menandakan mereka semakin dekat dengan persaraan, tidak sama dengan kerja cikgu mahupun kerani yang boleh bersara maksimum sehingga 60 tahun. Mereka (pemain bola professional) bekerja menggunakan fizikal, stamina dan tenaga. Tidak seperti pekerja kerajaan yang masih boleh closing member untuk sign up penapis air Korea ketika waktu kerja dan pergi lunch dua kali sehari.

Dengan Ronaldo yang sudah berumur 33 dan Messi 31, adalah sukar untuk mereka memenangi Piala Dunia pada edisi seterusnya. Kedua-dua mereka mengisi posisi menyerang, agak mustahil untuk mereka masih bermain di pentas antarabangsa pada usia 35 tahun ke atas melainkan mereka sudah mula berlatih untuk bertukar posisi sebagai penjaga gol. Jika dicongak untuk tempoh empat tahun akan datang, Messi akan berumur 35, manakala Ronaldo 37 tahun. Ronaldo sedikit bernasib baik berbanding Messi di peringkat antarabangsa kerana berjaya memenangi kejuaraan Piala Eropah 2016 dan Messi masih gagal menghadiahkan sebarang trofi kepada Argentina walaupun sangat hampir mendakap Piala Dunia apabila berjaya ke final pada tahun 2014 di Brazil namun tewas kepada Jerman.

Faktor kegagalan Ronaldo adalah kerana skuad Portugal yang tidak cukup hebat di setiap posisi, dia mempunyai karisma yang cukup sebagai seorang ketua pasukan dan ia sedikit berbeza dengan Messi yang tidak begitu vokal di tengah padang sebagai kapten walaupun barisan pemain Argentina tidaklah sebegitu teruk jika dibandingkan dengan Portugal.

Ada yang berharap alangkah baiknya jika Lionel Messi dilahirkan di Sepanyol kerana semua tahu Messi amat berbisa dengan gandingan rakan sepasukannya di Barcelona yang majoritinya pemain Sepanyol dan kita sendiri dapat tengok betapa terbebannya Messi mengemudi skuad Argentina yang rata-rata pemainnya bebal. Namun kita harus ingat, bagaimana Zidane memimpin Perancis memenangi Piala Dunia 1998 pertama bagi negara mereka menundukkan Brazil yang dibarisi pemain serba lengkap.

Apakah status mereka sebagai power dan legenda sedikit cacat atau boleh dipersoal oleh generasi raver dan budak basikal lajak pada masa akan datang seperti “Pakcik cakap Messi & Ronaldo power tapi kenapa tak pernah menang Piala Dunia?” atau “Torres yang bangang pernah main Liverpool pun menang Piala Dunia, kenapa mereka tak boleh menang?” Jika anda ditanya begini, tenang, senyum dan ingat kembali artikel ini.

Ya. Messi dan Ronaldo memang power sebab sudah menang segala piala liga, eropah, dunia untuk kelab dan bergilir-gilir merangkul anugerah pemain terbaik dunia Ballon d’Or. Cuma mereka gagal melengkapkan Rukun Bola. Ya. Rukun Bola.

Apakah itu Rukun Bola? Seperti Rukun Islam ada lima perkara iaitu mengucap dua kalimah syahadah, solat, puasa, berzakat dan menunaikan haji (bagi yang mampu). Segala Rukun Bola Messi dan Ronaldo sudah dilengkapkan cuma rukun terakhir mereka berdua gagal iaitu memenangi Piala Dunia. Seperti contoh Ustaz Firdaus seorang pengajar agama yang sudah mengucap, solat cukup lima waktu, puasa, dan berzakat tapi tidak mampu menunaikan haji. Ustaz Firdaus tetap diterima sebagai seorang muslim dan pengajar agama yang bagus cuma tidak bergelar Tuan Haji Firdaus. Begitulah yang terjadi kepada Messi dan Ronaldo yang tidak berkemampuan memenangi Piala Dunia.

Mengapa memenangi Piala Dunia disamakan dengan rukun mengerjakan haji? Mudah. Kedua-duanya merupakan medan tumpuan umat yang berpusu-pusu bagi memperoleh kejayaan. Haji yang mabrur impian bagi umat Islam dan menang Piala Dunia adalah matlamat tertinggi umat bola. Tiada apa yang lebih manis daripada mengakhiri karier dengan memenangi Piala Dunia sama seperti nikmat mengerjakan haji sesudah pencen kerja kerajaan dan melihat penyata akaun KWSP yang masih selamat tidak terusik daripada kutu MLM. Lengkap kan hidup anda?

Jadi di sini jelas dan nyata bahawa memenangi Piala Dunia (bagi yang mampu) tidak akan menjejaskan status power dan legenda seorang pemain bola jika mereka gagal mendakapnya. Tapi jika menang, lagi elok dan boleh duduk sebaris dengan imam bola lain seperti Ronaldo Sebenar dan Zinedine Zidane. Apa yang pasti, era Messi dan Ronaldo akan berakhir dalam beberapa tahun lagi. Pemain lain pula akan muncul memimpin umat bola. Tidak perlulah kita hendak membandingkan siapa yang lebih hebat antara mereka berdua kerana pertarungan pemain terhebat abad ini boleh dikatakan seri dan adalah lebih baik kita meraikan mereka sebagai pemain terbaik pada zaman ini yang tidak mampu memenangi Piala Dunia.

Wallahualam.

Perihal mengapa Jerman terkandas?

dalam BOLA SEPAK/SUKAN

Malam kelmarin tidak ada perlawanan bola sepak Piala Dunia berlangsung. MyTeam pun tidak ada bermain. Jadi saya ke sebuah restoran. Makan malam bersama ahli falsafah dari Jengka.

Kami berbual tentang perkara yang berat berat seperti hal John D-Blend, bengkel motor di Tong Kiat, sehingga ahli falsafah dari Jengka bertanya satu soalan yang cukup rumit. Rumit terutamanya bagi peminat bola sepak yang masih hijau, yang cenderung beriman kepada VAR dan yang dalam kepalanya hanya ada watak Messi dan Ronaldo atau anak anak, isteri, kaum keluarga dan sanak saudara dua pemain tersebut bila bercakap tentang bola sepak.

“Siapa pemain bola sepak Jerman yang terbaik sepanjang zaman?”

“Ozil,” cepat saja saya menjawab, “sebab dia sendiri adalah bola sepak. Bukan hasil kejuruteraan Jerman daripada besi, kayu, batu dan plastik yang diprogram untuk main begitu begini.”

Seisi restoran tiba-tiba diam seketika. Perlahan-lahan satu kumpulan di meja sebelah kami mengangguk tanda setuju. Kemudian diikuti kumpulan orang di meja sebelahnya. Kemudian di sebelahnya dan di sebelahnya lagi sehinggalah satu restoran mengangguk tanda setuju. Saya fikir tidak kurang 300 orang yang mengangguk malam itu.

Begitulah akhirnya persoalan itu selesai.

Secara tidak langsung orang ramai juga menjadi faham mengapa Jerman terkandas di peringkat kumpulan dalam Piala Dunia edisi ini.

Selepas 10 hari Piala Dunia

dalam BOLA SEPAK/SUKAN

“Saya menunggu 10 hari sejak malam pembukaan Piala Dunia. Tidak ada sesiapa menulis tentang Piala Dunia dan hantar kepada kami. Jangan buat saya marah. Kalau saya marah, saya sendiri yang akan menulis dan orang lain tidak akan ada peluang lagi….” kata Ketua Pengarang Neon Berapi, Firdaus Abdillah Hamzah. Nadanya kecewa. “Orang selalu marah dan tidak setuju bila saya menulis idea saya tentang bola sepak. Tapi mereka tidak mahu menulis… dan mereka menyokong England, menyokong Liverpool.” Sambung beliau lagi.

Berikut adalah sedikit tulisan Ketua Pengarang Neon Berapi mengenai Piala Dunia khususnya tentang malam pembukaan. Neon Berapi secara jujurnya berharap beliau akan menulis lebih banyak tentang Piala Dunia edisi kali ini. Namun beliau awal-awal sudah menjawab, “Piala Dunia bukan lagi keghairahan saya. Saya sudah tidak ada hero bola sepak. Semua pemain yang beraksi rata-rata lebih muda daripada saya. Kalau saya mahu menonton, saya hanya mahu lihat penyerang terbaik dunia, Olivier Giroud.”

 

‘Hurry boy, it’s waiting there forrr youuu…’

Fak fak fak! Lagu Toto yang keluar radio kereta semalam masih bermain dalam kepala ketika aku mula mengarang tulisan ini. Aku mencari butang off. Fak fak fak! Adakah ini satu isyarat daripada Tuhan Bola dalam menyampaikan wahyu bahawa negara Afrika akan muncul juara pada edisi kali ini? Aku merenung ke langit senja.

Tidak ada satu ilham atau gumpalan awan membentuk kalimah. Mungkin Tuhan Bola sedang sibuk melayani permintaan penyokong England menjelang pertemuan dengan Panama kira-kira satu jam lagi. Aku insaf bila memikirkan ketakwaan penyokong England. Sengsara dan malapetaka menimpa mereka tidak pernah selesai meski di bumi bertuah Inggeris itulah Tuhan Bola menurunkan bola sepak.

10 hari yang lalu Piala Dunia bermula dengan perasaan aku yang agak sentimental dan nostalgik. Acara dan perlawanan pembukaan jatuh tepat pada malam raya. Ia menjadi satu malam yang syahdu bila memikirkan inilah Piala Dunia pertama tanpa kelibat abah aku, peminat bola sepak terunggul yang semasa hayatnya setia menonton hampir semua perlawanan bola sepak yang wujud di muka bumi ini (kecuali liga-liga Eropah) tidak kira langsung atau ulangan. Jika malam itu dia masih ada, aku pasti malam itu jadi malam yang penuh kebersamaan dengan kerusinya lurus menghadap tv. Anak cucu, duduk dan baring di tepi atau di belakang.

Lahir pada tahun 1937, pasukan kegemarannya sudah tentu Brazil. Dia juga menggemari pasukan-pasukan dari Afrika. Pendek kata bola sepak yang kena dengan seleranya hanya bola sepak yang dimainkan oleh orang kulit hitam dan kulit coklat. Orang kulit putih kata dia kurang bahasa bolanya, keras lenggoknya dan tak ada gelek pula. Main meluru. Bola sepak apakah itu? Itulah kata-katanya ketika bercakap kepada Musa Lembu yang meminati Manchester United dan ‘Roni’ beberapa tahun sudah.

Aku fikir ada betul katanya. Tapi hari ini sebenarnya orang kulit hitam dan orang kulit coklat sudah mulai lupa untuk bermain bola sepak gaya mereka dahulu. Kini mereka cenderung bermain mengikut gaya bola sepak orang kulit putih. Di Malaysia dalam 20 tahun ini setiap hari tv menayangkan bola sepak orang kulit putih khususnya Liga Inggeris. Anak-anak sekarang celik mata sahaja sudah menonton Liverpool atau Manchester United. Generasi ini tentu akan fikir bahawasanya gaya bola sepak orang kulit putih itulah sepatutnya bola sepak dimainkan. Meluru macam Liverpool itulah cara yang betul bermain bola sepak. Hasilnya pasukan bola negara sentiasa dibarisi pemain dengan gaya metroseksual yang sebelum tidur menggunakan produk pemutih dan ketika perlawanan meluru tidak tentu hala di atas padang.

Mungkin sudah tiba masanya generasi hari ini disedarkan semula bahawa bola sepak ini adalah satu perkara yang syumul atau dengan kata lain, universal. Kiblat bola sepak kita tidak harus membabi buta mengikut gaya orang Inggeris atau Eropah. Orang kulit coklat seperti kita di Malaysia pasti ada satu cara yang sesuai dengan fizikal, rohani dan keadaan muka bumi untuk bermain bola sepak dan menjadi pemain bola sepak yang sempurna. Selagi tidak bercanggah dengan hukum syarak bola sepak, tidak haram untuk kita bermain bola sepak cara kita, dekat dengan budaya kita. Tuhan Bola tidak kejam malah adil. Dan bola sepak itu mudah bila kita berakal.

Acara pembukaan Piala Dunia 2018 di kaca tv bertambah syahdu bila Robbie Williams muncul menyanyi. Lima minit aku termenung berfikir kenapa Rusia memanggil Robbie Williams? Kata kawanku semalam, seorang ahli falsafah dari Jengka, Robbie Williams sangat terkenal di Rusia. Tapi bagi aku, itu bukan alasan konkrit untuk mereka mengenepikan gelek Shakira yang sudah bersama kita semua dalam 3 edisi Piala Dunia sebelum ini. Dan tidak ada siapa peduli gadis penyanyi opera Rusia yang jangan jangan seorang ejen KGB. Walau bagaimanapun Robbie Williams seperti kebiasaan tahu kerjanya – menyanyi dua lagu lama dan menunjuk jari tengah ke kamera.

Ronaldo Sebenar mendatangkan satu perasaan sebak kepadaku malam itu. Dia masuk ke dalam padang dengan seorang budak kecil lalu membuat satu acah sebelum budak kecil itu menendang bola ke arah Zabivaka, serigala maskot Piala Dunia. Semacam itu sahaja imam besar bola sepak dunia digunakan. Begitulah syahdunya acara pembukaan Piala Dunia 2018 itu sesuai dengan perlawananan pembukaan yang julung kalinya hanya menampilkan dua pasukan ranking terbawah, tuan rumah Rusia dan Arab Saudi.

Aku tidak berminat untuk mengulas panjang mengenai perlawanan pembukaan itu. Rusia sebagai tuan rumah faham peranannya sebagai pasukan tuan rumah. Tidak seperti Malaysia ketika menjadi tuan rumah Piala Asia. Arab Saudi pula kita tidak perlu bercakap banyak tentang mereka. Mereka telah menderma 2.6 billion ringgit kepada kita dan sampai hari ini kita tidak tahu apa tujuan mereka. Selepas 10 hari Piala Dunia ini juga aku tidak tahu apa tujuan mereka bermain bola sepak sedemikian rupa.

 

 

Nota Berapi: Syukur Tuhan Bola memakbulkan doa penyokong England.

Pilihan dan Kejutan

dalam BOLA SEPAK/SUKAN

Rangkuman pusingan perlawanan pertama Piala Dunia 2018 Rusia oleh editor Neon Berapi yang kini sedang berpangkalan di Turki.

Perlawanan pertama untuk semua pasukan telahpun berlangsung. Bermula dengan kemenangan besar Tuan Rumah sehinggalah perlawanan terakhir pusingan pertama yang dimenangi oleh Senegal dengan keputusan 2-1. Namun, apa yang lebih menarik dalam pusingan pertama adalah keputusan yang melibatkan pasukan-pasukan yang dianggap sebagai ‘pasukan pilihan’ sebelum sepak mula Piala Dunia 2018.

Sebelum berlanjut jauh, perlu ditegaskan bahawa artikel ini tidak akan membahas mengenai taktikal, statistik, mahupun formasi yang digunakan oleh pasukan ‘pilihan’ terbabit. Itu mungkin kerja orang lain. Saya percaya pada taktikal, statistik, dan formasi. Tapi di Malaysia, jarang sekali orang mengulas perkara ini tanpa keluar daripada kerangka nombor. Apa yang sering kita lihat adalah penegasan mengenai pentingnya peratusan, kumulatif larian, jumlah percubaan, dan sebagainya. Akhirnya, ulasan-ulasan tersebut tidak jauh beza dengan ulasan di dada akhbar atau di laman sesawang LiveScore.

Pada pusingan perlawanan pertama edisi kali ini, saya jangkakan ramai yang terkesima atau terkejut. Mana tidaknya, beberapa pasukan ‘pilihan’ (sebelum Piala Dunia bermula) mencatatkan keputusan yang kurang memberangsangkan. Ada yang seri, ada yang menang tipis, malah, ada pula yang mengalami kekalahan yang dianggap ‘’mengejutkan’’. Saya percaya, pasukan-pasukan ini mempunyai jumlah penyokong ‘angkat’ yang besar di Malaysia. Jika saya boleh berhipotesis, rakyat Malaysia cenderung memilih Jerman, Brazil, Argentina, Sepanyol, Perancis, England, Portugal, dan Belgium untuk menjadi juara pada edisi kali ini. Mana mungkin warga akan memilih Jepun untuk menjadi juara. Apatah lagi memilih Panama, Maghribi, mahupun Iceland.

Pemilihan kepada pasukan-pasukan ini pastinya berdasarkan tiga perkara. 1) kerana tradisi bola sepaknya, 2) kerana senarai pemainnya, dan 3) kerana kemashyuran liga bola sepaknya. Mungkin ketiga-tiga perkara ini tidak semua dipenuhi. Tetapi, paling tidak, daripada tiga yang dinyatakan, dua daripadanya menjadi asas kepada pemilihan pasukan untuk disokong dan diharap merangkul kejuaraan pada kali ini.

Untuk pusingan pertama, perlawanan tumpuan pastinya perlawanan yang melibatkan Portugal menentang jirannya, Sepanyol yang berakhir dengan keputusan seri. Selain itu, terdapat juga perlawanan ‘tumpuan’ lain antaranya perlawanan yang melibatkan pasukan Perancis, Argentina, Jerman, Brazil, Belgium dan England. Pandangan universal menganggap bahawa perlawanan pertama sangat penting untuk memudahkan laluan pasukan melayakkan diri, selain membina dan mengekalkan momentum untuk perlawanan kedua. Ya, saya juga percaya pada teori itu. Namun, apa yang terjadi kepada pasukan Argentina, Jerman, dan Brazil sangat ‘mengejutkan’ pada pandangan umum. Malah, Perancis dan England bolehlah dianggap bernasib baik kerana memperoleh kemenangan, meskipun bermain tidaklah seperti yang diharapkan.

Persoalannya, kenapa kita menganggap bahawa keputusan ini sangat mengejutkan? Untuk menjawab persoalan ini, marilah kita bersama-sama merenung kembali ketiga-tiga aspek pemilihan pasukan seperti yang telah dinyatakan.

Kita tahu, malah ada yang jauh lebih tahu bahawa pasukan seperti Argentina, Brazil, dan Jerman memiliki tradisinya bola sepaknya yang sangat kuat. Malah, ketiga-tiga negara ini turut memiliki liga kompetetif dan menarik, meskipun Liga Apertura dan Campeonato Brasileiro Série A kurang mendapat tempat di Malaysia. Walau bagaimanapun, kekurangan tersebut ditampung oleh lambakan pemain kelahiran Brazil dan Argentina yang berkelana di eropah, khususnya di liga-liga yang sangat berpengaruh seperti La Liga, Serie A, Premier League, Ligue 1, dan juga Bundesliga, yang sering meniti di dada televisyen. Oleh itu, kita tidaklah ralat dan merasa kehilangan kerana untuk menyaksikan kelibat Amerika Latin, kita boleh mengaksesnya dengan mudah.

Selain itu, kita juga percaya bahawa kebanyakan pemain yang bermain di liga-liga terkenal ini pastinya memiliki kelebihan tertentu seperti teknik, gaya permainan yang menarik, larian pantas, kebolehan menggelecek, dan sebagainya. Tambahan, ia digemburkan lagi dengan cahaya populariti yang disuntik oleh para penaja sama ada dalam bentuk fizikal mahupun material. Populariti yang diberikan oleh media sekaligus memberikan kita satu gambaran awal betapa ‘power’nya seseorang itu menjinakkan bola. Ia kemudiannya diuli sekali lagi dengan peranan yang dimainkan oleh kelab-kelab kaya dengan pelaburan yang kadang tidak munasabah.

Ketiga-tiga hal ini kita dapat lihat dengan merujuk kepada pasukan Jerman, Argentina, dan juga Brazil. Sebelum Piala Dunia 2018 bermula, saya rasa tidak hanya media tempatan (maksud saya, media Argentina, Brazil dan Jerman), tetapi juga media antarabangsa menjangkakan bahawa ketiga-tiga pasukan ini merupakan pasukan favourite untuk memenangi edisi kali ini. Hal ini kerana jika dihamparkan senarai pemainnya, serta salutan tradisi bola sepaknya, seolah-olah kita tidak lagi boleh mengatakan ‘tidak’ untuk pernyataan yang dibuat oleh media. Lihat sahaja Jerman dan Brazil. Seolah-olah, tidak ada kecacatan langsung dari aspek posisi. Semuanya diisi dengan barisan bintang-bintang ternama dunia. Manakala Argentina pula, jika ditebarkan senarai penyerangnya, kita mungkin bingung untuk memilih siapa yang patut memulakan perlawanan, memandangkan kesemua pemain serangannya berbakat besar.

Ya, saya tidak menafikan perkara ini. Memang benar ketiga-tiga pasukan ini merupakan pasukan pilihan. Tapi, apabila mereka seri ataupun kalah, atau bermain dengan jelek sekali, kenapa kita menganggapnya sebagai ‘kejutan?’ Bukankah kalah dalam perlawanan merupakan perkara biasa?

Nah, inilah yang saya cuba kupas sebenarnya. Kita menganggap ‘kejutan’ berlaku kerana media telah memanipulasi kerangka fikir kita agar tertumpu kepada pasukan-pasukan serta individu yang sering mendapat cahaya lampunya. Sinar populariti terhadap liga dan individu ini mengaburi mata kita untuk menjengah pasukan-pasukan lain, misalnya Mexico, Iceland dan sebagainya. Kita hanya tertumpu kepada pasukan-pasukan yang sering bermain di dada akhbar. Laporan-laporan yang sering dikeluarkan oleh akhbar cetak mahupun tabloid seringkali memenangkan pasukan-pasukan ini, walaupun sepak mula belum ditendang. Maka, jika sesuatu yang buruk menimpa pasukan ini, kita kemudiannya menganggap ia sebagai satu ‘kejutan’. Ia secara tidak langsung memberi gambaran bahawa hanya negara-negara ini sahaja yang tahu bermain bola, mempunyai tradisi bola sepak yang unggul, liga yang prestij dan sebagainya. Manakala negara lain, dianggap masih hijau lagi dan perlu banyak belajar. Sedangkan, kesemua sentimen ini disalurkan oleh peranan media, di samping sokongan kuat daripada para penaja. Jika media dan penaja tidak berbuat demikian, saya jangkakan bahawa keputusan yang dianggap sebagai ‘kejutan’ tidak akan berlaku. Malah, kita akan menerima keputusan dengan tangan terbuka dan berlapang dada.

Perlawanan kedua bagi semua pasukan juga sudah hampir selesai. Sehingga sekarang, saya masih ragu-ragu untuk memilih siapakah yang bakal memenangi edisi kali ini. Apa yang pasti, saya tidak pernah percaya kepada keputusan ‘kejutan’. Saya hanya percaya bahawa setiap pasukan yang beraksi dalam kancah Piala Dunia merupakan pasukan yang kuat dari semua segi dan mempunyai peluang yang sama rata untuk merangkul kejuaraan. Ya, sama-sama kita nantikan.

Piala Dunia 2018 Bersama Neon Berapi

dalam BOLA SEPAK/EDITORIAL

Dalam tempoh sebulan mendatang, hari-hari kita dihiasi dengan dua temasya yang paling ditunggu-tunggu. Pertama, sambutan Hari Raya Aidilfitri dan kedua, Piala Dunia Rusia 2018. Walaupun kedua-dua temasya ini berlangsung serentak, tetapi tidak pula kerajaan baru kita mengada-ngada menggabungkan kedua-dua temasya ini kepada satu, seperti tahun-tahun lepas. DeepaRaya misalnya. Tak menarik langsung. Kami di Neon Berapi tidak akan mengkaver temasya sambutan Hari Raya Aidilfitri kerana pada kami, hanyalah sehari. Hari Raya ke-2, ke-3, ke-4, hatta ke-28 sekalipun, pada kami hanyalah tradisi yang kerap kali diulang-ulang saban tahun.

Menjelang sepak mula Piala Dunia Rusia 2018 pada 14 Jun 2018, Neon Berapi merancang untuk mengkaver kesemua 64 perlawanan. Bermula dari perlawanan di peringkat kumpulan sehinggalah perlawanan akhir yang bakal berlangsung pada 15 Julai 2018. Jika berkesempatan, tidak satupun perlawanan yang tidak diulas Pada kami, setiap perlawanan yang berlangsung amatlah penting, meskipun negara kita tidak melayakkan diri walaupun sudah hampir 40 tahun mencuba.

Oleh itu, dalam usaha merealisasikan hasrat ini, Neon Berapi mengundang saudara-saudari, rakan taulan yang mempunyai kapasiti serta kebolehan menyusun ayat bertema bola sepak untuk mengirim tulisan bernas ke laman sesawang Neon Berapi untuk disiarkan. Kapasiti serta kebolehan menyusun ayat ini sebenarnya sangat penting untuk dititikberatkan. Ini kerana kami tidak mahu membuang-buang waktu serta tenaga membaca satu karangan yang entah apa-apa isinya, tidak kukuh, fakta yang berterabur, serta banyak melencong. Jika saudara-saudari menghantar karangan seperti itu, awal-awal lagi kami akan reject!

Seperkara lagi, kami di Neon Berapi memohon kepada saudara dan saudari menggunakan bahasa yang sedap dibaca, molek dipandang, penuh santun tanpa ada sebarang cacimakian, dan paling penting, menggunakan Bahasa Kebangsaan. Akan tetapi, pesanan ini tidak bermakna anda tidak boleh menggunakan langsung Bahasa Inggeris. Anda boleh gunakan, tetapi jika tidak keberatan, mohon di ‘Italic’ kan lah ayat tersebut agar tidak memberi kecacatan pada karangan anda.

Format karangan bola sepak anda sangatlah mudah. Anda diberi ruang yang luas untuk berekperimentasi dengan tulisan anda. Yang penting, tulisan anda itu hendaklah berkait dengan perlawanan yang telah ditentukan.

Anda tidak perlu menulis panjang lebar kerana kebanyakan penulisan yang panjang lebar ini beberapa perenggan sahaja berguna, selebihnya mengarut. Oleh itu, kami menetapkan saudara-saudari menulis lebih kurang 900-1000 patah perkataan sahaja. Jadi, semua isi-isi yang ingin anda lontarkan melalui penulisan anda itu hendaklah berlingkar di sekitar itu sahaja.

Jika anda bersetuju dengan syarat yang dikenakan, anda bolehlah menghantar nama pena dan perlawanan yang saudara ingin kaver ke alamat email editor@neonberapi.com untuk pengesahan. Artikel anda sangatlah dinanti-nanti. Marilah bersama-sama Neon Berapi, saluran perdana belia berbudaya, memeriahkan temasya Piala Dunia Rusia 2018.

Enjoy!

Nota Berapi: Tapi, kalau boleh, kami mahukan karangan bola yang kuat perasaannya dan cerdas pula kata-katanya.

Harimau, Selatan, dan Malaya

dalam BOLA SEPAK/SUKAN

Tentang hal-ehwal bola sepak tanah air

Teringat saya sebelum sebuah kelab swasta di selatan tanah air ditubuhkan. Paras suhu global biasa-biasa, Badak Sumbu Sumatera masih belum pupus, Pulau Pinang dan Kedah perlahan-lahan naik liga dan P. Maniam masih belum musnahkan Selangor. Matawang Ringgit ketika itu ditutup lebih tingi berbanding US Dollar, warganegara cuma terbahagi pada tiga bangsa iaitu Melayu Bumiputera, Cina dan India tanpa mengikut negeri. Sebelum tertubuh kelab swasta tersebut, ikan di laut lebih banyak, Itali muncul juara Piala Dunia dan bola sepak adalah wadah menyatukan orang Malaysia, walaupun kalah tapi tidak terbawa-bawa hingga ke luar stadium. Setiap seorang masih menerima diri mereka sebagai salah satu bangsa dari Melayu, Cina ataupun India dan tidak mengguna pakai konsep bangsa negeri.

Foto: Rojak Daily

Walaupun Selangor menang menentang Kedah di pentas final, orang-orang Kedah masih tenang ke pejabat dan menuai padi, tidak pula mereka meminta keluar dari Malaysia dan memusuhi orang-orang Selangor bagai tiada hari esok. Mereka bijak dan matang. Mereka faham andai ditakdirkan pasukan mereka kalah atau menang sedikit pun tidak menjejaskan bilangan beras mahupun harga ikan kembung di pasar. Mereka sedar gaji RM10 ribu mahupun Ferrari adalah habuan pemain, mereka penyokong cuma tumpang bangga dan gembira.

Apabila perlawanan antarabangsa diadakan, persatuan dengan tenang melepaskan pemain mereka untuk sertai kem kebangsaan. Andai kata pasukan kebangsaan mengalami kekalahan mereka tidak panggil semula pemain-pemain untuk pulang ke pusat latihan pasukan masing-masing mahupun membiarkan pemain mereka yang dipanggil pulang untuk ke laut berselam-selaman. Jurulatih juga tidak perlu dijadikan kambing hitam mahupun terpaksa lakonkan skrip yang dikarang Tuan Presiden dengan alasan pemain dilepaskan kerana mahu memberi peluang pada pemain lain. Bukankah dengan menggunakan alasan tersebut Mat Duan di Kodiang patut dipanggil bermain kerana dia juga handal bermain bola sepak dan pernah mewakili pasukan daerah ketika zaman persekolahannya? Bukankah itu lebih adil? Semua warganegara dapat bermain untuk negara dan seandainya pasukan negara kalah, jurulatih boleh memberi alasan yang sama? Maka dengan itu tidak perlulah pemain-pemain professional bergaji RM20 ribu ulang-alik ke Wisma FAM untuk sesi latihan kerana mereka cuma bermain untuk kelab dan tuannya. Tambahan pula ini dapat menggalakkan bakat-bakat baru dalam kalangan rakyat marhaen untuk digilap dan diterokai oleh jurulatih profesional.

FAM ketika itu masih belum pandai menggunakan media sosial seperti Facebook. Apa-apa berita disalurkan melalui berita di kaca televisyen dan juga akhbar. Halaman FAM juga tidak nampak seperti diari seorang anak raja yang selalu menangis ketika diketawa dan dicemuh masyarakat dek kerana hatinya yang halus. Halaman Facebook FAM tidak juga seperti dikawal sekumpulan macai atau penjilat tegar yang sentiasa membuat status-status bela diri apabila satu-satu isu berkaitan jadi tular. Sikap cepat melatah adalah salah satu sifat mustahil bagi FAM ketika FAM dahulu sentiasa tenang seperti tidak ada langsung buaya di Sungai Pahang. Tidak kira dimaki, dicemuh, dinaikkan tifo bergambar anjing ataupun didesak letak jawatan, presiden dan ahli-ahli masih santai dan tidak mengarahkan bahagian media mereka untuk mengeluarkan kenyataan balas.

Foto: FAMalaysia Official

Sebelum kelab swasta itu ditubuhkan itu juga, pemain-pemain bermain dengan penuh semangat demi negara. Apabila mereka umumkan persaraan, mereka betul-betul bersara dengan penuh maruah dan jasa mereka dikenang hingga ke hari ini. Nama-sama seperti Soh Chin Aun, Santokh Singh, R. Arumugam masih kita kenal dan kenang hingga ke hari ini dek kerana keikhlasan mereka bermain demi negara sehingga sebuah filem didedikasikan demi mengabadikan sumbangan mereka pada negara. Waktu itu tidak ada pemain yang dipengaruhi oleh anasir-anasir jahat untuk menolak panggilan skuad kebangsaan dan kemudian tiba-tiba berminat sertai kem negara apabila FAM ditadbir tampuk pemerintahan baru.

Teringat juga saya sewaktu FAM baru diambil alih, kerap betul media FAM berkongsi di media sosial bagaimana seorang individu terpenting di Malaysia memotivasikan pemain secara langsung dan juga melalui Skype. Katanya beliau tidak kisah jika pasukan mengalami kekalahan kerana para pemain sudah beri yang terbaik (walaupun kita tahu bagaimana sebenarnya).

Pemain yang dulu elok akhlak dan moralnya juga sudah berubah 180 darjah apabila berhijrah ke kelab elit gagah perkasa dan paling handal di Asia itu. Kalau dulu dia tidak pandai berkata-kata kesat di hadapan media dan peminat tapi selepas ke sana dengan penuh semangat dan teruja dia menjerit memberitahu dunia (atau mungkin juga tuhan) bahawa dia seorang juara dan menyumpah-nyumpah para pengkritik yang terdiri daripada penyokong pasukan kebangsaan sendiri. Mengucap panjang para peminat melihat telatah pemain tersebut yang mungkin barangkali sudah lupa akan Penciptanya sejak memiliki kereta mewah dan bermain untuk tuan yang kaya-raya.

Tapi sebagai penyokong pasukan kebangsaan kita juga perlu sedar akan hakikat dan realiti waktu sekarang. Dicuih sedikit melatah, dicubit lagi dikatakan tidak setia, ditegur keluar status merajuk, dalam diam panggil pemain pulang. Entah apa lagi bala yang bakal melanda pasukan kebangsaan tercinta kita. Dulu kita dijanjikan bulan bintang, sembang tak pernah tak kencang, sampai giliran tiba-tiba bulan hilang, bintang pun entah ke mana. Kalau dulu kita mendengar sebuah cadangan begitu bernas dari seorang kerabat, katanya antara syarat untuk menjadi presiden FAM adalah bukan datang dari keturunan raja tapi nampaknya ramai sudah lupa akan idea bernas tersebut. Apa-apapun sama-samalah kita doakan pada Tuhan yang Maha Kuasa agar bola sepak Malaysia kembali pulih dan subur serta layak Piala Dunia sebelum sangkakala ketujuh ditiup.

Balik ke Atas