/

Kajian: Pementasan Teater Dijangka Kekal Tiada Penonton Selepas PKPB

Norma baru masih lagi norma lama buat cabang seni ini.

KUALA LUMPUR – Sebuah hasil kajian oleh Pensyarah Fakulti Teater Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) Fasyali Fadzly Saipul Bahri mendapati kegiatan teater tanah air bakal menerima sambutan yang tidak kurang hebatnya dari sebelum-sebelum ini sebaik sahaja Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berakhir – iaitu penonton akan kekal tiada, menurut sumber yang bersimpati tapi tak lama mana.

“Sementara negara-negara yang mempunyai industri teater sedang memperhalusi prosedur kendalian standard untuk memulakan semula pementasan apabila hiruk-pikuk COVID-19 berakhir, kebanyakan kompeni di Malaysia tetap tenang kerana tahu khalayak tidak tertunggu-tunggu sebarang atur cara,” jelas Fasyali sambil bergoyang kaki ketika ditemui di kediamannya semalam. “Walaupun model anggaran saya kedengaran agak pesimistik, ia baik sebenarnya supaya pementasan teater negara tidak semena-mena dibanjiri dengan terlalu ramai penonton; takut kapasiti mental dan jasmani pengkarya yang selama ini sudah biasa dengan kehadiran satu dua baris penonton tidak terbeban.”

Khairunawab Rosdi, Pengasas Kumpulan Teater Submission Stage, berasa lega apabila diwartakan tentang jangkaan tersebut.


“Saya resah sebenarnya tengok orang berpusu-pusu ke serata tempat apabila PKPB bermula tempoh hari. Saya fikir, adakah persembahan teater bakal menerima nasib yang sama? Penonton penuh sampai ke tempat duduk belakang?” ujar Khairunawab lalu mengusap-usap bulu roma tengkok yang tegak mencanak. “Alhamdulillah, kami tak perlu risau semua tu. Walaupun sekarang ni sebarang bentuk persembahan kebudayaan tidak dibenarkan dan kami tidak mempunyai apa-apa lagi untuk dikais sebagai sumber rezeki, kami lebih sanggup bersusah payah begini sebab sudah menjadi resmi karyawan teater tempatan. Tapi sekonyong-konyongnya diserbu oleh umum yang dahagakan pementasan kerana sudah sekian lama terkurung di rumah? Minta dijauhkan sama sekali!”

Biarpun ramalan tersebut mengatakan ia turut akan memberi kesan terhadap pementasan-pementasan besar, seorang pegawai bahagian produksi di Istana Budaya (IB) yang tidak mahu namanya didedahkan masih bersikap optimistik dari sudut yang lain.

“Ya, saya ada dengar tentang kajian tersebut. Kegiatan teater ialah suatu lapangan yang sentiasa mencabar, tapi kalau betullah kehadiran penonton akan kekal statik selepas PKPB… baguslah. Kami sebenarnya dah bosan buat teater,” jelas pegawai tersebut sambil menyenaraikan projek-projek selain teater yang ingin dikemukakan kepada pihak atasan. “Maaf cakap, teater adalah antara bisnes yang paling tak menguntungkan dengan cerita yang tak pernah menarik minat saya dan para pelakon saya tak kenal. Saya sudah mula menyusun langkah untuk anjurkan ekspo telefon pintar, barangan IT, nasi lemak, dan apa sahaja di IB; asalkan bukan teater. Lagipun, saya tak rasa khalayak nak tengok orang berlakon atas pentas yang lebih kurang saiz rumah sendiri setelah berbulan-bulan terperap di dalamnya.”

Dalam perkembangan lain, sebuah pementasan teater muzikal berjudul Kami Juga Manusia yang berkisar tentang suka duka sekumpulan anak VVIP menempuhi liku-liku PKP sedang memasuki fasa praproduksi. Menurut salah seorang pelakon yang terlibat, ia akan “membuka mata masyarakat Malaysia terhadap golongan ini yang sedaya upaya melanggar undang-undang kuku besi perintah kawalan demi kemaslahatan rakyat untuk lebih bebas bergerak.” Pementasan ini tidak lain dan tidak bukan turut diterbitkan oleh seorang anak VVIP.