/

Weng dan Lee membuat kemunculan semula saat COVID-19

Satu berita penting buat mat minah punk/hardcore seluruh negara

KUALA LIPIS – Weng dan Lee, editor zine Biodegradable Material yang pernah menggegarkan scene punk/hardcore tempatan kira-kira 25 tahun lampau secara rasmi bergabung membuat kemunculan semula dalam arena penulisan dengan menerbitkan The Patin Post. Berita mustahak ini disampaikan daripada Weng sendiri melalui satu panggilan ke HQ Neon Berapi beberapa hari yang lalu. Beliau seterusnya melantik Neon Berapi sebagai pengedar sah The Patin Post format digital yang boleh mula dibeli berkuatkuasa hari ini di Kedai Digital Neon Berapi.

“Keh serah ke aok handle la senang. Kutu old school tak reti sangat benda gini,” ujar Weng, 54 tahun, dalam perbualan telefonnya dengan Editor in Chief Neon Berapi. Sebagai seorang yang sudah menganggap Weng sebagai Ketua Punk Malaysia dan meletakkan Lee (The Pilgrims / Carburetor Dung) sebagai vokalis punk paling mantap pernah negara hasilkan, Editor in Chief Neon Berapi terus memberi persetujuan serta-merta.

Neon Berapi telah cuba menghubungi Ian Mackaye untuk meminta sedikit maklum balas mengenai kemunculan semula ini, namun panggilan tak bersahut.

Kemudian Neon Berapi cuba pula menghubungi seorang pegawai belia iaitu Encik Nor Hisham Mohamed yang berpengalaman berucap di majlis-majlis kerajaan dan mempengerusikan mesyuarat. Dan beliau telah memberi reaksi panjang lebar.

“Kali pertama aku membaca zine Biodegradable Material lebih kurang 25 tahun yang lepas. Dua perkara pertama yang muncul dalam fikiran aku ialah pertama, ini ke zine punk? Dan keduanya, susah juga nak eja nama zine ni. Membaca zine ini ketika zaman remaja memberi perspektif yang lebih luas bahawa zine punk/hardcore bukan sekadar tentang muzik dan band semata-mata tetapi zine merupakan satu wadah untuk kita berpersepsi–memberi anggapan–pandangan–bayangan–hati terhadap kehidupan dan sistem yang kita lalui,” ujar Encik Nor Hisham, 41 tahun sebelum menyambung lagi.

“Biodegradable Material ditulis oleh dua orang pemuda dari Pahang iaitu Weng dan Lee. Weng seorang lelaki dari Temerloh, Pahang. Seorang punk rocker yang romantik yang tidak pernah terlepas membaca ruangan Cik Sri Siantan dalam Berita Minggu setiap Ahad. Selepas era Biodegradable Material beliau meneruskan dengan newsletter Hickey On Your Brain sekitar tahun 1999.  Lee pula terkenal sebagai penyanyi kumpulan The Pilgrims dan Carburetor Dung banyak menulis dengan suasana dan keadaan yang agak sederhana dengan perasaan yang kelakar namun sedikit sebanyak menyentuh hati. Kritikan-kritikan yang dilontarkan dengan penulisan yang bersahaja sebenarnya jika diteliti boleh mendatangkan keresahan hidup dan pedih hulu hati.”

“Aku kenal reggae bukan daripada Bob Marley atau Peter Tosh. Aku kenal Reggae melalui lagu Dangdut Reggae Zaleha Hamid. Biodegrable Material umpama Zaleha Hamid bagi aku. Banyak benda aku jumpa selepas aku membaca dua siri Biodegradable Material. Kadang kadang sambil membawa motor dengan kelajuan 30-40 km/j aku selalu berfikir, apa kejadahnya punk zine yang ada puisi T. S. Eliot di dalamnya? Mana aku nak cari puisi Khalil Gibran lagi? Dengan siapa aku nak mintak dub lagu-lagu The Smiths ni?”

Tahun 2020. Mereka kembali dengan The Patin Post. Aku suka. Maka benarlah kata-kata Ian Mackaye…”

Here’s how I define punk; It’s a free space.

NotaBerapi: Zine Biodegradable Material boleh dimuat turun di laman web Koleksi Zine.