Kumpulan cerpen Kota Para Insomnia: Sebuah ulasan pakar yang mengagumkan

Saya kira kumpulan cerpen ini bukanlah hasil terbaik Mohd Azmen, belum lagi maksud saya. Melihatkan potensi dalam dirinya yang sangat meyakinkan dan malangnya sangat underrated, kita masih berpeluang besar membaca hasil kerja Mohd Azmen yang digilap potensinya 100% tidak lama lagi kerana sejak dari awal dia bermain di landasan yang tepat atau definisi lainnya, di landasan yang sangat disenangi dan dipersetujui oleh saya. Besar harapan saya untuknya terus mempengaruhi sastera kontemporari tempatan.

Mohd Azmen memiliki apa yang saya kira menjadi ketandusan yang tak berkesudahan dalam lapangan penulisan kreatif tempatan iaitu IDEA. Saya tidak bercakap tentang ‘idea besar’ yang menjadi kecenderungan segelintir penulis. Kalian gumpallah segala kisah pengembaraan masa, dunia selari, pintalan plot berbelit, misteri hantu pembunuh, absurdity, surrealisme, post-modernisme, taboo dan mencabar naratif apa semua yang konon meletupkan minda, ketahuilah tiada kitaran yang lebih berulang dan bosan daripada itu setelah berpuluh tahun diputarkan atau masih berkeupayaan memeranjatkan orang yang pengalaman pembacaannya luas. Ya, saya bercakap tentang idea satu lagi yang sering disingkirkan dan terlepas pandang oleh pembaca yang mentah dan tidak tahu apa apa. Idea kecil yang jika digarap oleh mata yang pakar dan berbakat, lebih menambah perisa pada sebuah penulisan.

Tidaklah kumpulan cerpen Kota Para Insomnia ini bebas daripada pengaruh di atas, sedangkan cerpen pertama sudah bercerita tentang kawan imaginasi, cerpen kedua tentang dunia selari, dan ada cerpen berkaitan pengembaraan masa. Mohd Azmen bebas bermain dengan segala naratif dan dasar cerita yang dia boleh imaginasikan, saya tidak peduli semua itu. Apatah lagi tema manusia nokturnal dan imsomnia itu bukanlah tema yang baharu dan sesegar mana. Tetapi apa yang buat saya suka tentang penulisan Mohd Azmen ialah bakat beliau untuk menyelitkan perincian kecil yang bercitarasa. Kebolehan Mohd Azmen melihat dan mengenalpasti perincian kecil ini memerlukan mata dan daya pemerhatian yang terlatih. Dan of kos hanya pembaca terlatih seperti saya akan menyedarinya.

Apakah bendanya perincian kecil itu? Saya bagi contoh dalam cerpen Eureka penulis meletakkan objek ‘bathtub’ sebagai subjek kecil dalam cerpen tersebut, di mata pembaca hingusan mereka hanya mampu melihat subjek utama iaitu perempuan misteri imaginasi. Tetapi daya penarik seluruh cerita itu hanya ayat atau idea sepintas lalu watak cuba meletakkan tab mandi di ruang tamu kerana bilik air rumah Malaysia terlalu kecil.

Perincian kecil lain dalam cerpen Perca Mimpi Dari Rumah Solitud, bagaimana watak diajak keluar (lari) dari wad oleh watak perempuan yang sedang deman denggi, kemudian berpiknik di tanah perkuburan. Cerpen itu berkisar subjek dunia parallel tapi saya sudah tak ingat cerita utamanya kecuali hanya perincian kecil di atas yang menyelamatkan 1000++ perkataan lain dalam cerpen itu yang hampir tiada fungsi.

Dalam cerpen Laundry Pinggir Malam, ini cerpen kedua saya suka dalam kumpulan ini kerana ia hanya sekadar kisah perjalanan mencuci pakaian di dobi layan diri 24 jam kerana mesin basuh di rumah rosak. Tiada usaha yang terlalu mencuba untuk meletupkan-minda-tapi-tak-jadi pembaca. Cerpen ini sudah pun menapau cerpen konon meletupkan minda lain. Perincian kecil yang menariknya pula tentang hisap rokok di luar kedai serbaneka stesen minyak bersama seorang stranger (wanita) pukul 3 pagi, kemudian ada kereta berhenti di depan pintu kedai dan pemandu keluar tanpa mematikan enjin, selesai urusan di kedai serbaneka pemandu masuk semula ke dalam kereta dan beredar, dan watak stranger berseloroh kita patut curi kereta pemandu itu tadi. Tidak perlu apa apa lingering signifikasi, perincian ini sahaja sudah cukup.

Birah ialah cerpen yang paling saya tidak suka dalam kumpulan ini, tiada perincian kecil yang lekat dalam memori saya juga. Kisahnya juga seperti menampakkan usaha monolog ber-punchline tetapi hambar. Satu kecuaian kecil Mohd Azmen di situ yang mencacatkan sedikit kumpulan cerpen ini. Harap beliau lebih berhati-hati lain kali.

Buka Lewat Malam ialah cerpen yang paling saya suka. Perincian kecilnya kebetulan juga ialah subjek utama iaitu watak utama ialah seorang peninju. Antara lain dia pengsan ditumbuk seorang tua ketika diajak bertumbuk suka suka. Mungkin akan ada yang berfikiran ringkas menyatakan terdapat reference Fight Club di dalamnya tetapi ia jauh dari ketara. Tidak sama sekali.

Selamat Tinggal Dunia ialah cerpen yang ada unsur pengembaraan masa. Apa yang saya ingat cumalah perincian kecil watak utama membawa watak gadis ke hospital untuk menderma darah bersama-sama tanpa pengetahuan si gadis, dan watak utama pitam kejap sebab tak cukup bertenaga nak derma darah, dan watak gadis ialah seorang gadis suicidal (personal plus point).

Cerpen terakhir Sesudah Subuh tiada perincian yang bercitarasa dan memorable. Tetapi saya ok dengan cerpen ini kerana halatujunya yang intentionally tidak mahu ke mana-mana. Sekadar kisah perpisahan yang tenang dan seorang lelaki yang susah mahu tidur walaupun penat.

Perincian kecil ini bukanlah teknik memanjangkan atau menambah jumlah perkataan karya. Terdapat penulis yang berkebolehan luar biasa seperti contohnya, saya, menggunakan kemahiran perincian kecil ini dan meletakkannya sebagai titik mula menghasilnya karya, dan cerita dibuat mengelilingi idea kecil itu. Idea besarnya sekadar menghasilkan sebuah kisah yang lengkap, tidak lebih daripada itu. Pernah sekali saya menaikkan rating sebuah novel cinta remaja bangang 90an yang amat teruk hanya kerana terdapat sebuah perincian kecil (yang saya amat pasti tak disengajakan penulis) dalam novel itu. Agak mengejutkan juga penulis meluangkan masa menerangkan dengan teliti suasana watak utama dan teman lelaki, duduk di pangkin bersebelahan, tidak berkata apa-apa dan cuma memerhatikan kaki mereka berdua tergantung dan berhayun di bawah pangkin. Hanya disebabkan perincian kecil satu itu sahaja saya memaafkan seluruh novel yang amat teruk itu.

Selain kemahirannya melihat, mengenalpasti dan menyelitkan idea atau perincian kecil yang bercitarasa, serta kemampuannya mengenal apa itu quirkiness dan essentrik, kekuatan Mohd Azmen bukanlah bahasa, tetapi dalam penggunaan ayatnya yang mudah dan terus itu ia menghasilkan dialog atau watak yang nonchalant, hampir stoic. Dan ia seakan kena dengan sifat cerita Mohd Azmen yang wataknya kurang berdrama. Dalam kurangnya emosi itu sebenarnya setiap watak kelihatan tidak plastik dan sudah di peringkat developed dan menyelamatkan kita dari dihidangkan jalan cerita perkembangan watak yang sebenarnya tak cool dan boring dan menyampah jika dibaca karangan yang seperti itu. Ada juga suara-suara sumbang mengatakan karya Mohd Azmen terlalu kebaratan, tetapi orang orang Jepun juga mengadu perkara yang sama tentang Murakami dan lihat di mana dirinya berada sekarang.

Sudah sampai masanya bakat Mohd Azmen diperhatikan kerana saya percaya beliau tidak akan mengalami masalah kekurangan idea dalam masa terdekat ini. Tambahan pula dia nampak rajin menulis dan tidak mudah distracted dengan perkara lain. Akhir sekali saya berharap ulasan ini tidak dianggap sebagai pendapat peribadi saya sebaliknya dijadikan rujukan dan rukun yang patut dipatuhi tanpa soal demi mencapai kejayaan. Dan hapuskan novel thriller.