Satu laporan gig daripada brader lori JB

/
9 mins read

Skudap Skudip band terakhir main untuk show hari pertama tadi. Kamu tidak mungkin salah meneka apa jenis lagu yang mereka mainkan bila satu band pakai nama yang macam gitu. Kamu pasti boleh agak apa jenis hadirin yang mula memenuhi ruang depan pentas saat ahli band mula keluar melakukan sound check. Lagu pertama pemanas badan. Yang kedua makin menggila. Masuk lagu ketiga, melalui tempat duduk mini kolosium -tapi ada kerusi- sebelah tepi, saya rasa saya sedang menyaksikan mosh pit termeriah sejak Sunburst tahun 2009. Tapi tu la, konsert atau konsert-ish terakhir saya ter-hadiri ialah pertandingan karaoke terbuka dekat satu kompleks beli belah daerah Kota Tinggi beberapa minggu sebelum puasa hari tu. Long story, beside the point.

Anyway, di bawah neon kelam (pun intended) melihat satu persatu budak punk, budak skin, budak hippies, budak nerd, budak Johor kebanyakan mereka, silih berganti bergerak terapung diangkat crowd buat beberapa saat, ia zon sureal kalau layanan perasaan kamu agak berlebih-lebihan. Entah apa agaknya perasaan budak punk, budak skin, budak hippies, budak nerd, budak Johor kebanyakan mereka, kalau mereka lihat satu mat lori yang masih lengkap dengan pakaian kerja pergi ikut sama terjun ke arah mosh pit, saya tertanya tanya.

Hampir-hampir saya cari jawapannya kalau tak mengenangkan beberapa perkara. Pertama, kesemua pasang Doc Mart pelbagai warna di tengah Mosh Pit itu kalau digabungkan sekali masih beberapa kati lebih ringan berbanding salah satu dari sepasang industrial grade safety boot yang terpasang kemas di kaki saya. Kedua dan lebih penting, saya pasti dipandang serong oleh komrad scene lori kalau mereka lihat saya viral dengan aksi macam gitu. Something yang tajuk youtubenya “mat lori tak sedar diri” along the line mungkin. I mean, sebagai mat lori kami ada tanggungjawab sosial untuk mengekalkan persepsi umum masyarakat yang mat lori tidak berperangai begitu, status quo. Mat lori sepatutnya berperut gendut, kami suka layan dangdut.

Saya sebenarnya mahu servis motor petang itu selepas habis kerja dari Pasir Gudang. Bengkelnya di Nusa Idaman. Event IP Kreatif itu berlangsung di Mall of Medini, saya sampai ke sini secara tidak sengaja. Beberapa orang yang agak mahir tentang susun atur bandaraya Johor Bahru telah mempersoalkan saya tentang “tidak kena”nya cerita saya ini dari segi geografi. How the hell dari pasir gudang ke Nusa Idaman kena lalu Medini mereka kata. Kalau kamu ini mat motor yang dari jenis makwe atau bini kamu syak ada scandelleus affair antara kamu dengan motor kamu, saya tidak akan kamu persoalkan. Mereka tidak nampak apa-apa benda yang menjolok mata di sini. Kamu belum dengar cerita seorang kenalan saya dengan scrambler klasiknya yang hampir roboh. Beberapa bulan lepas, Yudi itu dia mahu ke bengkel motor tidak jauh dari rumahnya dekat Bangsar. Route dia termasuk cop passport di sempadan imigresen utara Malaysia seterusnya menempuh negara-negara indo china sebelum actually sampai bengkel yang asalnya kurang 10km dari rumah. Tiada siapa dari kami persoalkan dia. Untuk kamu yang bukan Yudi, percaya cakap saya benda-benda yang pada pandangan kamu tidak selari dari sudut geografi begini, ia perfectly normal bagi kami penunggang motosikal yang komited. Jangan persoalkan.

Berbalik semula ke IP Kreatif. Ia sebahagian dari acara Festival Idea di Mall of Medini, JB. Mall of Medini ni kamu bolehla loosely bayangkan dia lebih kurang sama macam Publika dari sudut vibe-nya. Selain makwe hipster, dia ada ruang pameran seni, ada ruang untuk aktiviti konsert, teater bahkan disko atau pertarungan tinju kalau kamu penganjur yang kuat iltizam. Kalau kamu orang Pahang, dia kira hampir setara macam Rajawali artspace tempat Abdullah Jones tu saya rasa berdasarkan apa yang dia selalu temberangkan kita dekat Facebook dia cuma… ialah, mereka tu ialah sekumpulan orang tua. Sudah tentu mereka tiada makwe hipster. Tak pasti pula saya kalau kamu dari Hyderabad ia boleh disamakan dengan apa dekat sana. Post office kamu happening tak?

Ada 300 performer/exhibitor buat persembahan atau pameran sepanjang 2 hari dia berlangsung i.e, 22-23 Julai. Pameran dan pertunjukan pentas berlaku secara serentak di beberapa venue berlainan di dalam satu bangunan. Yang menarik perhatian saya ialah persembahan pentas di venue Black Box. Band yang main pun bukan calang-calang. Skudap-skudip saya dah sebut tadi. Ada The Times, band rock 80’s – Handy Black, Pitahati, The Otherside Orchestra, Johny Comes Lately, Shh…Diam! dan highlightnya ialah mereka tidak bawak Aiman Tino. Saya tak boleh nak tulis semua, kalau kamu mahu tahu, kamu check di FB IP Kreatif.

Hari kedua festival dan banyak lagi band buat persembahan sampai malam. Ada band rock 80’an – Febians. Band paling musically swanky dekat KL buat masa sekarang – Iqbal M dan band yang mungkin paling bergaya di atas pentas dewasa ini – Kugiran Masdo. Saya teringin mahu tengok Febians for the old time sake orang kata. Saya google kembali lirik lagu-lagu mereka pagi sebelum ke Medini. Not that saya akan sing along lagu-lagu mereka secara terbuka, takkanlah saya nak kasi klue usia sebenar saya dikelilingi makwe hipster dekat sana. Tapi sebagai mat rock sejati, kamu perlu get it right, lirik lagu rock itu biarpun kamu hanya berani sing along dalam hati. Ini soal etika.

Di sebalik semua ini, saya tidak berniat di sini mahu buat ulasan setiap band yang buat persembahan. Saya menulis ini dari sudut pengamatan seorang mat lori yang sudah lama tak pergi konsert kerana sibuk membangunkan negara. Sudahlah ini secara tidak sengaja. Jadi apa yang saya nampak? Saya nampak mereka yang aktif dalam scene ‘fringe’ 10 tahun lepas masih gagah bermain di atas pentas macam The Otherside Orchestra (TOO) itu biarpun dulu mereka bermain dengan band berbeza. Saya nampak band-band mainstream yang even lebih lama dari TOO i.e, band-band dari tahun 80’an masih dengan mullet yang dijelmakan semula secara terus dari pentas Salem cool planet. Saya nampak kemunculan band yang relatifnya datang dengan idea kreatif yang boleh tahan juga. Saya nampak masih ramai millenials yang kalis Aiman Tino, saya nampak harapan Rock N Roll itu, masih ada.

Oh ya. Malam tadi masa pulang dari sana, saya nampak satu Honda EX5 meluru laju di Lebuh Sultan Iskandar arah ke Danga Bay. Dua orang, satu jokey satu penumpang. Dua-dua dalam posisi tunduk untuk aerodinamik paling efficient. Ada yang tidak kena saya rasa kerana berdasarkan Doc Mart coklat dan baju petak mereka, ini bukan uniform rempit tipikal. Setelah diamati lagi sekali, saya perasan ini budak paling hyper dekat mosh pit tadi. Ahh… ada polis peronda di depan sedang tahan satu kereta Singapura. Saya rasa, dua budak skin ini mahu cepat-cepat melintasi situ, takde lesen agaknya mereka. Atau something yang macam gitu. Saya cepat-cepat cucuk angin belakang EX5 itu bukan kerana mahu berlumba. I mean, saya ada 100cc advantage berbanding mereka. Saya lindungi mereka dari dipandang polis trafik tadi sehingga ke selekoh Taman Perling. Mereka masuk simpang sambil melambai tangan. Saya lambai mereka kembali kemudian kasi amaran sign language ada lubang di depan. Tak sempat elak, dua budak skin lari dari pandangan polis trafik atas EX5, termasuk lubang. Tapi mereka masih gembira. Saya senyum. Dalam hati berkata sedikit jasa untuk rock N Roll goes a long way.