/

Peminat Punk Takut Dipau Ketika Tonton Video Muzik Che Using Oleh No Good

Sentimen terhadap rakyat Kelantan dalam aktiviti memeras ugut jelas tiada sempadan.

KUALA LUMPUR – Rata-rata peminat muzik punk tempatan berasa takut untuk menonton video muzik Che Using oleh kugiran No Good kerana ia mengingatkan mereka pada pengalaman diperas ugut (atau pau) oleh orang Kelantan sewaktu bersiar-siar di ibu kota suatu masa dahulu.

No Good yang dianggotai oleh ahli Killer Calculateur dan Dirgahayu baru sahaja melancarkan video muzik Che Using kira-kira seminggu lalu di saluran YouTube. Penyampaian lirik lagu sepenuhnya dalam loghat Kelantan dan penggunaan bandar raya Kuala Lumpur sebagai lokasi penggambaran ternyata mengembalikan trauma “kena pau” kepada para peminat meskipun masing-masing telah lama menantikan kemunculan video muzik tersebut.

“Bila dengar mereka sedang menyiapkan muzik video Che Using, saya memang tak sabar,” jelas Anuar Syafiq, seorang peminat setia muzik punk dari Kajang. “Tapi bila tengok video tu yang mula-mula dah tunjuk tiga orang Kelantan borak-borak di kedai tomyam, saya mula tak sedap hati. Sekali bila tiba adegan mereka kejar seorang lelaki yang kelihatan tak bersalah dengan senjata, terus saya teringat pengalaman yang sama di Sinar Kota sekitar 20 tahun lalu. Kaku saya dibuatnya. Terus rasa kebas dari paras pinggang ke bawah.”


Peminat lain turut menyatakan perasaan yang sama. Biarpun minatnya terhadap No Good masih tidak luntur, Khairil Naim tidak menafikan dia khuatir barangan peribadinya hilang sewaktu menonton video muzik tersebut. “Saya tak sangka tiba-tiba tangan saya mula meraba poket seluar kerana takut dompet hilang,” jelas Khairil yang pernah diperas ugut oleh orang Kelantan di Hentian Bas Bangkok Bank, Jalan Petaling semasa zaman universiti dahulu. “Selepas itu, saya periksa pula telefon pintar saya. Tak ada! Rupanya tertinggal dalam kereta. Lega tu memang lega, tapi saya terpaksa minta pulang awal dari tempat kerja kerana rasa gementar tu tak boleh nak kikis.”

Nik Daniel, seorang peminat dari Pasir Mas pula berkata reaksi ini hanyalah sentimen yang sudah tertanam di dalam diri rakyat Malaysia terhadap orang Kelantan. “Mereka memang tak senang dengan ‘sek kito.’ Asal jenayah sahaja fikir Kelantan, padahal kes ‘pau’ sudah lama tak berlaku di tengah bandar raya Kuala Lumpur. Mungkin sudah tiba masanya saya dan saudara-mara pulang ke ibu kota dan mempopularkan semula aktiviti peras ugut sebaik sahaja Perintah Kawalan Pergerakan tamat nanti,” rungut Nik Daniel.