Pemain gitar bes Hellexist tidak betah berjauhan dengan anak

MUZIK/SENI & BUDAYA

KEDIRI — Zulkiflie Maarof gagal menahan sebak bila ditanya mengenai anaknya selepas berakhir persembahan Hellexist di Kediri malam tadi. Beliau ternyata sangat merindui anak yang diberi nama Elijah hasil perkongsian hidup dengan isteri tercinta, Aminah.

“Elijah, abi akan pulang… abi akan pulang…” itu saja yang berulangkali terungkap di mulut tatkala air matanya mencurah. Zulkiflie Maarof atau sinonim dengan gelaran Cabi kerana pernah gemuk pada masa lalu masih mempunyai baki beberapa hari sebelum dapat pulang bertemu anaknya. Siri jelajah Hellexist di Indonesia yang sudah bermula sejak 27 Jun di Surabaya hanya akan berakhir pada 3 Julai ini di Jakarta.

Norhafizi Wahab, vokalis Hellexist merangkap jurucakap kumpulan itu menyifatkan kejadian ini sebagai normal. “Tidak ada bapa yang tidak rindukan anak ketika berjauhan di perantauan. Saya sendiri seorang bapa dan anggota Hellexist lain juga. Kami semua amat memahami hal yang menimpa Cabi.”

Namun Norhafizi Wahab atau nama panggilannya Jimbo tetap mahu mengingatkan pemain bes Hellexist itu agar tidak menunjukkan sikap emosional itu di atas pentas. “Cabi perlu profesional. Hellexist sebuah band crust. Jadi di atas pentas perlu keras dan agresif. Tidak bolehlah bermain bes dalam keadaan tersedu-sedan.”

Petang ini Hellexist akan beraksi di Gosty Lounge, Semarang. Tiket sudah mula dijual pada harga 25,000 Rupiah. Kehadiran mat-minah punk di sana dijangka tinggi.

Balik ke Atas