MUZIK - page 2

Satu laporan gig daripada brader lori JB

dalam MUZIK/SENI & BUDAYA

Skudap Skudip band terakhir main untuk show hari pertama tadi. Kamu tidak mungkin salah meneka apa jenis lagu yang mereka mainkan bila satu band pakai nama yang macam gitu. Kamu pasti boleh agak apa jenis hadirin yang mula memenuhi ruang depan pentas saat ahli band mula keluar melakukan sound check. Lagu pertama pemanas badan. Yang kedua makin menggila. Masuk lagu ketiga, melalui tempat duduk mini kolosium -tapi ada kerusi- sebelah tepi, saya rasa saya sedang menyaksikan mosh pit termeriah sejak Sunburst tahun 2009. Tapi tu la, konsert atau konsert-ish terakhir saya ter-hadiri ialah pertandingan karaoke terbuka dekat satu kompleks beli belah daerah Kota Tinggi beberapa minggu sebelum puasa hari tu. Long story, beside the point.

Anyway, di bawah neon kelam (pun intended) melihat satu persatu budak punk, budak skin, budak hippies, budak nerd, budak Johor kebanyakan mereka, silih berganti bergerak terapung diangkat crowd buat beberapa saat, ia zon sureal kalau layanan perasaan kamu agak berlebih-lebihan. Entah apa agaknya perasaan budak punk, budak skin, budak hippies, budak nerd, budak Johor kebanyakan mereka, kalau mereka lihat satu mat lori yang masih lengkap dengan pakaian kerja pergi ikut sama terjun ke arah mosh pit, saya tertanya tanya.

Hampir-hampir saya cari jawapannya kalau tak mengenangkan beberapa perkara. Pertama, kesemua pasang Doc Mart pelbagai warna di tengah Mosh Pit itu kalau digabungkan sekali masih beberapa kati lebih ringan berbanding salah satu dari sepasang industrial grade safety boot yang terpasang kemas di kaki saya. Kedua dan lebih penting, saya pasti dipandang serong oleh komrad scene lori kalau mereka lihat saya viral dengan aksi macam gitu. Something yang tajuk youtubenya “mat lori tak sedar diri” along the line mungkin. I mean, sebagai mat lori kami ada tanggungjawab sosial untuk mengekalkan persepsi umum masyarakat yang mat lori tidak berperangai begitu, status quo. Mat lori sepatutnya berperut gendut, kami suka layan dangdut.

Saya sebenarnya mahu servis motor petang itu selepas habis kerja dari Pasir Gudang. Bengkelnya di Nusa Idaman. Event IP Kreatif itu berlangsung di Mall of Medini, saya sampai ke sini secara tidak sengaja. Beberapa orang yang agak mahir tentang susun atur bandaraya Johor Bahru telah mempersoalkan saya tentang “tidak kena”nya cerita saya ini dari segi geografi. How the hell dari pasir gudang ke Nusa Idaman kena lalu Medini mereka kata. Kalau kamu ini mat motor yang dari jenis makwe atau bini kamu syak ada scandelleus affair antara kamu dengan motor kamu, saya tidak akan kamu persoalkan. Mereka tidak nampak apa-apa benda yang menjolok mata di sini. Kamu belum dengar cerita seorang kenalan saya dengan scrambler klasiknya yang hampir roboh. Beberapa bulan lepas, Yudi itu dia mahu ke bengkel motor tidak jauh dari rumahnya dekat Bangsar. Route dia termasuk cop passport di sempadan imigresen utara Malaysia seterusnya menempuh negara-negara indo china sebelum actually sampai bengkel yang asalnya kurang 10km dari rumah. Tiada siapa dari kami persoalkan dia. Untuk kamu yang bukan Yudi, percaya cakap saya benda-benda yang pada pandangan kamu tidak selari dari sudut geografi begini, ia perfectly normal bagi kami penunggang motosikal yang komited. Jangan persoalkan.

Berbalik semula ke IP Kreatif. Ia sebahagian dari acara Festival Idea di Mall of Medini, JB. Mall of Medini ni kamu bolehla loosely bayangkan dia lebih kurang sama macam Publika dari sudut vibe-nya. Selain makwe hipster, dia ada ruang pameran seni, ada ruang untuk aktiviti konsert, teater bahkan disko atau pertarungan tinju kalau kamu penganjur yang kuat iltizam. Kalau kamu orang Pahang, dia kira hampir setara macam Rajawali artspace tempat Abdullah Jones tu saya rasa berdasarkan apa yang dia selalu temberangkan kita dekat Facebook dia cuma… ialah, mereka tu ialah sekumpulan orang tua. Sudah tentu mereka tiada makwe hipster. Tak pasti pula saya kalau kamu dari Hyderabad ia boleh disamakan dengan apa dekat sana. Post office kamu happening tak?

Ada 300 performer/exhibitor buat persembahan atau pameran sepanjang 2 hari dia berlangsung i.e, 22-23 Julai. Pameran dan pertunjukan pentas berlaku secara serentak di beberapa venue berlainan di dalam satu bangunan. Yang menarik perhatian saya ialah persembahan pentas di venue Black Box. Band yang main pun bukan calang-calang. Skudap-skudip saya dah sebut tadi. Ada The Times, band rock 80’s – Handy Black, Pitahati, The Otherside Orchestra, Johny Comes Lately, Shh…Diam! dan highlightnya ialah mereka tidak bawak Aiman Tino. Saya tak boleh nak tulis semua, kalau kamu mahu tahu, kamu check di FB IP Kreatif.

Hari kedua festival dan banyak lagi band buat persembahan sampai malam. Ada band rock 80’an – Febians. Band paling musically swanky dekat KL buat masa sekarang – Iqbal M dan band yang mungkin paling bergaya di atas pentas dewasa ini – Kugiran Masdo. Saya teringin mahu tengok Febians for the old time sake orang kata. Saya google kembali lirik lagu-lagu mereka pagi sebelum ke Medini. Not that saya akan sing along lagu-lagu mereka secara terbuka, takkanlah saya nak kasi klue usia sebenar saya dikelilingi makwe hipster dekat sana. Tapi sebagai mat rock sejati, kamu perlu get it right, lirik lagu rock itu biarpun kamu hanya berani sing along dalam hati. Ini soal etika.

Di sebalik semua ini, saya tidak berniat di sini mahu buat ulasan setiap band yang buat persembahan. Saya menulis ini dari sudut pengamatan seorang mat lori yang sudah lama tak pergi konsert kerana sibuk membangunkan negara. Sudahlah ini secara tidak sengaja. Jadi apa yang saya nampak? Saya nampak mereka yang aktif dalam scene ‘fringe’ 10 tahun lepas masih gagah bermain di atas pentas macam The Otherside Orchestra (TOO) itu biarpun dulu mereka bermain dengan band berbeza. Saya nampak band-band mainstream yang even lebih lama dari TOO i.e, band-band dari tahun 80’an masih dengan mullet yang dijelmakan semula secara terus dari pentas Salem cool planet. Saya nampak kemunculan band yang relatifnya datang dengan idea kreatif yang boleh tahan juga. Saya nampak masih ramai millenials yang kalis Aiman Tino, saya nampak harapan Rock N Roll itu, masih ada.

Oh ya. Malam tadi masa pulang dari sana, saya nampak satu Honda EX5 meluru laju di Lebuh Sultan Iskandar arah ke Danga Bay. Dua orang, satu jokey satu penumpang. Dua-dua dalam posisi tunduk untuk aerodinamik paling efficient. Ada yang tidak kena saya rasa kerana berdasarkan Doc Mart coklat dan baju petak mereka, ini bukan uniform rempit tipikal. Setelah diamati lagi sekali, saya perasan ini budak paling hyper dekat mosh pit tadi. Ahh… ada polis peronda di depan sedang tahan satu kereta Singapura. Saya rasa, dua budak skin ini mahu cepat-cepat melintasi situ, takde lesen agaknya mereka. Atau something yang macam gitu. Saya cepat-cepat cucuk angin belakang EX5 itu bukan kerana mahu berlumba. I mean, saya ada 100cc advantage berbanding mereka. Saya lindungi mereka dari dipandang polis trafik tadi sehingga ke selekoh Taman Perling. Mereka masuk simpang sambil melambai tangan. Saya lambai mereka kembali kemudian kasi amaran sign language ada lubang di depan. Tak sempat elak, dua budak skin lari dari pandangan polis trafik atas EX5, termasuk lubang. Tapi mereka masih gembira. Saya senyum. Dalam hati berkata sedikit jasa untuk rock N Roll goes a long way.

Tiada siapa yang akan dapat menyanyi seperti kau, Cornell

dalam MUZIK/SENI & BUDAYA

Pengalaman pertama aku dengan Cornell dan rakan-rakan Taman Bunyi (Soundgarden) agak lewat, sekitar tahun 1996. Ketika itu sedang aku ralit menyelongkar almari seorang kawan di dorm, aku terpandang satu kulit kaset dengan bayang 4 orang berlatar belakang kuning seperti api. “Ah, kau tak dengar band-band macam ni,” kata kawan aku sebelum menutup almari beliau. Terus hilang cerita kaset tersebut. Itulah detik pertama aku dengan Down On The Upside

Selepas diberhentikan daripada UiTM dengan jayanya, aku mula menjual burger di bandar Klang. Lebih tepat, di Jalan Melayu (depan Medan Mara). Di sini aku mula diperkenalkan dengan lebih mendalam tentang ‘Seattle scene’ – Alice In Chains, Pearl Jam, Soundgarden, Temple Of The Dog, Nona tapes (rockumentary Alice In Chains), Bogey Deport (project band Jerry Cantrell), Stone Temple Pilot, Mad Season (project band Layne Staley), dan banyak lagi. Sengaja aku tidak masukkan Nirvana kerana… well, siapa tak kenal Nirvana kan?

Dalam waktu yang sama, aku diperkenalkan juga dengan Euphoria Morning. Satu karya agung, avant garde; album solo pertama Chris Cornell. Sebelum itu, Sunshower telah terlebih dahulu mengetuk pintu hati aku hinggakan aku letakkan vcd Great Expectations sebagai ‘VCD wajib milik’ hinggalah akhirnya kami dipertemukan di ‘pasar malam’ Uptown Damansara Utama (the original Uptown). Siapa boleh lupa babak ketika lagu ini keluar? Ah, Gwyneth Paltrow pujaan aku!

Euphoria Morning menjadi soundtrack hidup aku agak lama. Aku pernah memberi lagu dan lirik Preaching The End Of The World kepada crush aku waktu itu semata-mata kerana bait lirik ‘I’m 24, and I’ve got everything to live for, but I know now, that it wasn’t meant to be.’ Tentulah akhirnya usaha itu menemukan kegagalan kerana selain alasan ‘tak faham’, crush aku juga rupanya sedang dalam persiapan untuk bertunang dan berkahwin pada waktu itu. Secara automatik, lagu ‘When I’m Down’ menjadi latar cerita.

Audioslave muncul ketika zaman aku masih seorang kutu dan penjual burger jalanan yang biasa-biasa di bandar Klang. Perasaan kali pertama mendengar gabungan RATM+Cornell itu seperti…pelik. Pelik kerana telinga sudah terbiasa dengan petikan sound berat Gibson SG Kim Thayil namun selain Show Me How To Live, Like A Stone dan I Am A Highway menjadi kegemaran aku dan juga menjadi mangsa rewind berkali-kali di radio gerai burger aku.

Zaman jamming aku juga dilatari dengan Chris Cornell dan Soundgarden. Kumpulan aku ketika itu seringkali memainkan Tighter & Tighter dan Blow The Outside World. Pernah juga cubaan untuk memainkan Fell On The Black Days dan Spoonman cumanya kami cepat tersedar akan kemampuan vokalis kami ketika itu sangatlah terhad walaupun beliau ketika itu mengamalkan petua Cornell yang kononnya memakan gula-gula Hacks hitam sebelum menyanyi dapat membantu menyanyikan lagu bernada tinggi. Agak mujarab sebenarnya petua itu. Aku sendiri pernah amalkan ketika sesi karaoke di Red Box. Memang menjadi!

Setelah itu agak lama juga aku terputus kepedulikan dengan Chris Cornell. Hinggalah pada suatu hari di laman web grunge.com ada menyiarkan ura-ura Soundgarden akan kembali membuat reunion. Aku masih skeptikal sampailah Telephantasm membuat kemunculan pada tahun 2010. Aku masih ingat inilah album pertama yang aku beli melalui Amazon.com dek kerana tak sabar menunggu tarikh ia dipasarkan di Malaysia. Walaupun agak kecewa kerana rupanya ini sebuah album kompilasi, tapi agak melegakan hati kerana ada satu rilisan baru Black Rain (unreleased version sebenarnya) dan juga special dvd yang disertakan bersama (aku beli yang special edition, memang dapat dvd).

Tayangan The Avengers membuatkan hati aku berbunga kembali. Sumpah aku tak tahupun yang Soundgarden terlibat dalam pembikinan lagu untuk filem ini. Biasalah, kalau menonton filem Marvel, pasti akan ada end credit scene. Sementara menunggu scene tersebut, tiba-tiba terdengar bunyi gitar umpama ‘seretan rantai besi’ atas jalan. Bunyi gitar yang sangat lama aku rindukan. Masuk pula suara ‘jantan’ Chris Cornell dan dentuman dram Matt Cameron dan dentingan bass Ben Sheppard, yeah!!! Soundgarden kembali! Buat pertama kalinya juga aku duduk dalam panggung sehingga layar menjadi gelap dek kerana menunggu sampai habis Live To Rise dimainkan.

King Animal muncul tak lama selepas The Avengers ditayangkan. Kali ini aku tak dapat nak beli special edition di Amazon kerana kadar tukaran mata wang yang makin merepek. Mendengar saja rilisan baharu ini, satu yang paling nyata – sudah kurang atau hampir tiada elemen ‘marah-marah’ seperti album mereka yang sebelum-sebelum ini. Mungkin mereka sudah bertemu dengan ‘Zen’ masing-masing. Album ini juga buat pertama kalinya menampilkan Dave Grohl sebagai pengarah untuk video klip By Crooked Steps.

Secara jujur, aku agak terkesan dengan kematian Cornell. Selain lagu-lagu beliau secara solo mahupun ketika bersama Soundgarden dan Audioslave menjadi latar hidup aku selama ini, aku juga sering merasakan yang beliau adalah seorang yang positif dalam hidup walaupun pernah melalui saat kematian kawan baik, Andrew Wood, Jeff Buckley mahupun ketka kes perceraian dengan Susan Silver. Siapa sangka yang beliau akan menulis lagu untuk filem Bond ‘Casino Royale’ yang pada aku lagu kedua dalam franchise filem Bond yang terbaik selepas Tomorrow Never Dies (TND). You Know My Name (YKMN) menjadi lagu Bond pertama yang dibikin secara up-tempo dan bukan seperti kebiasaan lagu tema Bond yang tipikal. Cuma suara serak-serak seksi Sheryl Crow yang meletakkan TND sedikit atas daripada YKMN dalam carta aku.

Kematian Cornell menjadikan cuma Mark Arm (Mudhoney) dan Eddie Vedder (Pearl Jam) sahaja ikon ‘Seattle sound’ era 90an yang tinggal. Menuruti jejak langkah Kurt Cobain (Nirvana), Layne Staley (Alice In Chains), Andrew Wood (Mother Love Bone), Shannon Hoon (Blind Melon), dan Scott Weiland (Stone Temple Pilot), Chris Cornell seharusnya diingati bukan sahaja sebagai salah seorang pelopor ‘Seattle sound’ malahan sebagai seorang penulis lirik yang sangat puitis (walaupun beliau sangat suka menggunakan perlambangan ‘ular’ dalam lagu-lagu Soundgarden) dan juga sebagai seorang penyanyi yang padu. Kematian Cornell juga memadamkan terus cita-cita aku untuk menonton persembahan Soundgarden secara langsung pasca reunion & King Animal.

Damailah kau di sana Chris. Akhirnya permintaan kau ditunaikan jua walau dalam keadaan paksarela.

Please, mother of mercy take me from this place…
and the long winded curses keep here in my head

Balik ke Atas