/

Joe Kidd sukses beli The Patin Post

KUALA LUMPUR — Joe Kidd dilaporkan telah membeli The Patin Post di laman web Neon Berapi pada jam kira-kira 11.38 pagi tadi waktu tempatan. Pembelian yang dilakukan beliau melalui PayPal itu tidak mengambil masa yang lama dan berjalan lancar tanpa sebarang gangguan tidak diingini.

Kerani Jualan Kedai Digital Neon Berapi, Encik Sutrisno Hamid, 39 tahun berkata, “saya kaget bila ada satu order masuk yang didaftarkan dengan nama ‘Joe Kidd.’ Saya pasti benar order itu datang daripada Joe Kidd yang terkenal dengan band Carburetor Dung berdasarkan e-mel dengan pangkal ‘Dungboy.’ Jadi sepanjang urusniaga itu saya tidak henti-henti berdoa agar tidak terjadi sebarang masalah pada sistem di sini seterusnya memberikan pengalaman membeli yang terbaik kepada dia (Joe Kidd). Akhirnya urusniaga selesai cukup sempurna dan saya berasa bangga dapat berkhidmat kepada legenda punk negara yang saya ikuti perkembangannya sejak di bangku sekolah.”

Joe Kidd yang sinonim dengan Carburetor Dung dan The Shitworkers sehingga hari ini masih aktif sejak muncul dengan album pertama Songs For Friends. Selain bermain muzik Joe Kidd juga pernah menerbitkan zine berjudul Aedes sekitar hujung 80-an, menjadi kolumnis di akhbar The Sun dan turut beraksi di layar perak dalam filem Dari Jemapoh ke Manchestee arahan Hishamuddin Rais.


Sementara itu di Temerloh, satu rakaman video seorang lelaki yang dikatakan Weng, editor The Patin Post telah tular dalam grup-grup WhatsApp komuniti setempat termasuk grup Persatuan Pengusaha Ikan Patin Sangkar Sungai Pahang Melayu Halal. Dalam rakaman video itu Weng telah membuat satu pengumuman yang agak mengejutkan berbunyi;

Umat punk Malaysia yang dikasihi, saya yang dikenali dengan nama gelaran Weng, dengan rasa berat hati dan sayunya, dengan ini melepaskan jawatan Ketua Punk Malaysia yang dinobatkan oleh sidang redaksi Neon Berapi berkuatkuasa serta-merta untuk membolehkan tampuk pemerintahan baru yang bebas hierarki dibentuk demi menjamin kesejahteraan umat punk seluruhnya. Aming….

Apa yang lebih mengejutkan pengumuman itu dibuat dalam satu nafas sebelum dua tiga pemuda bingkas memegang bahu Weng menyuruh beliau menarik semula. Pihak Neon Berapi masih berusaha mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara ini.