Dari Kota Dosa ke Pasir Rawa, singgah sebentar di Kuala Semantan

/
13 mins read

Plague of Happiness Tunjal Tour 2017

 

Walaupun kelahiran aku di negeri Pahang, Mentakab adalah destinasi yang jarang aku tuju. Lokasi Mentakab 113 kilometer dari tempat kelahiranku, Kampung Tersan, Raub. 128 kilometer jaraknya dari tempatku bermastautin, Kuala Lumpur dan 124 kilometer dari ibu negeri Pahang, Kuantan. Jika dilihat pada peta semenanjung Malaysia, Mentakab terletak di tengah-tengah perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuantan.

Mentakab adalah kawasan mukim dalam jajahan Temerloh. Ia sebuah bandar berkepadatan kecil yang juga dikenali dengan nama Pasir Rawa satu ketika dahulu. Dengan terbinanya Lebuhraya Pantai Timur, Mentakab semakin dikenali lagi pesat membangun. Sebelum bandar Kuantan menjadi ibu negeri Pahang, Kuala Lipis menjadi pusat pentadbiran Pahang. Tetapi mungkin ramai yang tidak tahu bahawasanya sebelum Kuala Lipis, Mentakab telah menjadi ibu negeri Pahang sejak tahun 1901 lagi.

Apa yang memaksa aku datang kali ini ke Mentakab kerana empat sebab. Pertama, Nostalgia akan mengadakan persembahan. Ya, sebuah band adik kandungku, dan tambahan lagi pemain gitar terbaru Nostalgia adalah rakan kongsiku di Kuala Lumpur.

Kedua, kerana Plague Of Happiness (POH). Band ini pertama kalinya aku melihat mereka beraksi ketikaku masih teruna di Kuala Lumpur. Mereka sudah lama dalam arena muzik bawah tanah tempatan dan telah sekian lama juga menjadi muzik latar belakang kehidupanku. Maka ini kali kedua aku akan menyaksikan mereka secara langsung dalam persembahan jelajah mereka, Tunjal Malaysia Tour 2017.

Ketiga, aku ingin berjumpa dengan rakan-rakan peminat muzik Punk dari jajahan Temerloh yang rata-rata aku lama kenali melalui media sosial.

Akhir sekali yang keempat adalah kerana Gulai Tempoyak Ikan Patin.

Aku bersama band Nostalgia disambut oleh Salman Faris, pemain gitar band punk rock dari Temerloh. Siapa tidak kenal Salman Faris? Pemuda berambut panjang mencecah punggung, berkumis manja serta pandai berjenaka, tenang melayan kami yang sememangnya kepenatan membawa perjalanan. Salman Faris mengajak kami bersama anggota Plague Of Happiness mengisi perut tatkala tengah hari sudah senja di Warung Kancil Raja Ikan Patin. Sesuatu yang amat mengujakan kerana patin sememangnya kegemaran bangsa Pahang.

Warung Kancil Raja Ikan Patin kelihatan bersahaja. Berkonsep terbuka dengan binaan tipikal rumah beratapkan zink. Lokasinya bersebelahan dengan sungai Pahang, juga dihiburkan dengan pemandangan sangkar-sangkar patin di tebingnya. Tidak terlalu mahal, berpadanan dengan resepi gulai tempoyaknya yang sangat… padu, beb. Lahir dari keturunan Hulu Sungai, apalah nasib kalau tidak mengenal rasa patin. Tapi kali ini isinya terasa agak ‘lama.’ Barangkali air dari Sungai Semantan terlalu keruh.

Selesai makan kami terus dibawa Salman Faris ke rumah beliau. Rumah asal keluarga Salman sebelum mereka semua menetap di Kuala Lumpur. Di sini kami dan POH melabuhkan badan mengumpul segala kederat untuk acara gig pada sebelah malam. Perjalanan aku dan Nostalgia tidaklah sehebat POH, yang lebih jauh jaraknya nun dari Johor Bahru. Mereka bergerak dengan menaiki van 12 tempat duduk melalui jalan persekutuan menerusi Segamat yang mengambil jarak lebih 300 kilometer. Aku difahamkan, hanya pemain saksofon POH, Azmal bergerak dari Kulim, Kedah.

Mentakab adalah destinasi ke-11 Plague Of Happiness dalam siri Tunjal – Jelajah Malaysia mereka yang telah bermula sejak Julai 2017. Maka akan berbaki 3 lagi destinasi untuk menyempurnakan jelajah mereka yang bakal berakhir di Johor Bahru pada 4 November 2017 nanti. Mendengar cerita vokalis POH, Naz mengenai pengalaman perjalanan mereka cukup menggambarkan betapa banyaknya keringat tenaga, masa dan wang ringgit digunakan untuk menjayakan kembara muzik mereka.

Plague Of Happiness bukanlah sebuah band arus perdana yang mempunyai penyumbang-penyumbang besar. Mereka masih percaya semangat do-it-yourself (DIY) yang membina identiti berdiri di atas kaki sendiri. POH juga wujud atas dasar semangat setiakawan yang hebat, lalu menghapuskan konsep jurang kapasiti antara artis dan peminat. Di sebalik irama rentak ska-punk yang sememangnya mudah menarik halwa telinga muda-mudi, POH mengharungi pelbagai cabaran untuk mengekalkan barisan anggota yang ramai dalam satu kumpulan muzik. POH menunjukkan tauladan yang sangat baik untuk sebuah band. Sifat rendah diri kesemua anggota sedikit sebanyak mengusik jiwa emosional aku.

Setelah kesemuanya telah bersedia, kami bergerak ke lokasi gig di Mentakab. Perjalanan hanya mengambil masa 15 minit dari rumah Salman. Orchid Studio Hall adalah sebuah ruang sewa khas untuk persembahan gig, kesenian dan studio jamming. Terletak di sebuah kawasan yang strategik di tingkat satu sebuah deretan kedai, ia mengingatkan aku ketika era kegemilangan Paul’s Place di Jalan Klang Lama. Semasa itu ia sering menjadi pilihan untuk gig dalam radius Lembah Klang.

Orchid Studio Hall sebuah ruang yang ringkas. Keluasannya hampir sama dengan Rumah Api di Ampang. Tandasnya agak bersih dan tidak mempunyai pentas. Keseluruhan dinding dicat hitam menghidupkan suasana memberontak, anker, lagi misteri. Aku tidak boleh mengharapkan sesuatu yang lebih sempurna untuk Orchid Studio Hall. Ia diwujudkan atas kapasiti untuk anak-anak muda di sini terus menterjemahkan hasrat anti-establish. Satu ruang untuk melonjakkan mereka berdiri atas kaki sendiri dan mengenal erti kewarasan melalui kreativiti muzik. Aku tidak nampak unsur-unsur keuntungan melalui bayaran tiket. Aku kira Orchid Studio Hall perlu dipelihara demi kelangsungan etika kendiri dalam budaya punk. Manakan mahu kita jumpa matapelajaran ini di kampus ternama?

Hampir jam 8 malam, anak-anak muda mula memenuhi kaki lima di bawah Orchid Studio Hall. Dimeriahkan lagi dengan anak-anak muda tempatan berniaga barangan jualan seperti t-shirt, kaset, CD dan juga kuih-muih tradisional. Aku mula bermesra dengan angkatan muda-mudi dari jajahan Temerloh, Mentakab dan juga Jerantut. Rata-rata baru aku bersua muka yang selama ini hanya berhubung melalui rangkaian media sosial sahaja. Seronok juga berlawan loghat Hulu Pahang dengan mereka. Mengimbau suka-duka zaman mudaku di pekan Raub. Playlist lagu seperti All Cops Are Bastard, Whats The Point, England Belongs to Me sering saja berdengung liar di studio jamming kecil terletak di atas pasar besar Raub ketika itu. Zaman Microsoft Windows 98, buku-buku fotostat dan sahabat pena. Manakan lupa untuk mengenang tempat bermain lintah dan lumpur.

Band pertama memulakan acara adalah Soul Savior. Sebuah band punk rock dari Temerloh. Soul Savior bermula sekitar tahun 2006. Mempunyai album berjudul Punk My Ride pada tahun 2010. Tidak keterlaluan aku boleh katakan, Soul Savior sebagai duta punk rock di Temerloh. Pengaruh muzik mereka begitu kuat kepada Propagandhi, Lagwagon, NOFX dan No Use For A name. Fat Wreck style yang sebegitu ketara dan bersahaja buat Soul Savior terus bertahan hingga ke hari ini, sehinggakan Salman membuka cawangan di Kuala Lumpur sebagai jalan penyelesaian. Lagu ‘Sifar Rasisma’ adalah kegemaranku dikuatkan lagi lagu ini telah memenangi pertandingan Lagu Jalanan pada tahun 2012. Lagu Maestro pula adalah lagu terbaru mereka untuk tahun 2017 yang datang bersama video klip eksklusif. Penonton tempatan tenang melayan Soul Savior mewakili Patin Rock City hingga dikenali di seluruh negara.

Seterusnya band Piri Reis mengambil alih. Terus terang aku mengatakan bahawasanya aku tidak pernah mendengar nama Piri-Reis sebelum ini. Hasil pemerhatianku di laman sesawang mereka, demo Piri Reis dikeluarkan pada tahun 2015. Kemudian dua album mereka dikeluarkan secara berkembar dengan band lain, masing-masing pada tahun 2015 dan 2017. Ternyata Piri-Ries adalah sebuah band baru. Mendengar corak lagu mereka sah Piri Reis sebuah band berlatarbelakangkan emo-power-violence. Dengan jeritan vokal yang nyaring, diikuti rentak drum yang sangat-sangat laju kadang-kala menaikkan bulu tengkuk. Diperhebatkan lagi dengan vokalis mereka adalah seorang wanita. Untuk berlaku jujur, aku bukanlah peminat rentak sebegini. Satu-satunya lagu berhantu kegemaranku untuk genre sebegini satu ketika dahulu adalah lagu bertajuk Surrender dari Fingerprint, sebuah band legenda dari Paris.

Ketika dua band tadi belum dapat memecahkan kebuntuan penonton, Nostalgia cuba untuk menukar mood mereka. Ramai yang menyangka Nostalgia adalah band dari Kuantan tetapi sebenarnya mereka lahir dari Parit Raja! Ada sebatian kimia wujud di antara Nostalgia dan POH di mana mereka kerap bersama bermain di acara gig sekitar semenanjung satu ketika dahulu. Hanya vokalis Nostalgia sahaja berasal dari Pahang dan ironinya ini adalah persembahan pertama Nostalgia di Mentakab. Nostalgia telah mengumumkan persaraan pada tahun 2012, tetapi tidak mengambil masa yang lama. 2016 mereka kembali semula.

Genre Nostalgia adalah sesuatu yang lebih laju, keras dan agresif daripada punk rock. Aksi marah diselangi ritma semangat finger pointing menggamatkan suasana di Orchid Studio Hall hingga ke penghujung. Aksi lompatan liar dari pemain bass, Shahrin seakan-akan mahu melepaskan segala keterujaan yang ada. Ramai penonton bersesak ke hadapan untuk mendekati mikrofon. Nostalgia bermula sejak 1998, jadi hampir kesemua lagu-lagu Nostalgia sudah menjadi seakan anthem bagi peminat-peminat mereka. Lagu Terbit Sinarmu menjadi penutup persembahan mereka di Mentakab, meninggalkan satu pengalaman indah buat semua peminat Nostalgia di Mentakab.

Tibalah ke acara kemuncak POH mengambil alih kawasan pentas. Orchid Studio Hall mula dipenuhi anak-anak muda yang siap siaga untuk menyahut seruan band yang datangnya dari Johor Bahru ini. Gulai Tempoyak Ikan Patin dari Warung Kancil Raja Ikan Patin siang tadi cukup untuk memberikan mereka tenaga yang hebat untuk sebuah persembahan yang paling Istimewa buat warga Mentakab. Nazri, vokalis POH akan membimbing mereka semua skanking sepanjang persembahan. Tiupan saksofon oleh Azmal dan trombon oleh Azahari mengalunkan halwa harmoni yang memukau. Petikan padu bass oleh Kamarol Arifin membawa rentak ska bersama-sama hentakan mantap dram Fauzi melengkapkan rentak POH yang begitu mempesonakan.

Hampir kesemua lagu dimainkan dari album terbaru mereka berjudul Tunjal. Ada juga lagu-lagu dari album mereka sebelumnya (Kawan) seperti Konspirasi, Kawan dan Malam dimainkan untuk mengekalkan momentum. Tidak sedikit pun keletihan ditunjukkan oleh POH sepanjang persembahan. Dan tidak akan ada juga persembahan yang lebih hebat daripada ini, yang mana tiada langsung sempadan antara penonton dan band. Itulah keistimewaan persembahan gig di ruang kecil seperti Orchid Studio Hall. Bersama-sama dengan semangat POH, penonton juga tidak berhenti menari termasuklah aku yang sudah kuyup dengan peluh.

Lagu-lagu POH bagai meresap ke dalam tubuh melupakan seketika keadaan huru-hara dunia. Bersesuaianlah dengan nama band ini, momentumnya masih sama dengan keadaan semasa aku menyaksikan mereka hampir 13 tahun yang lalu. POH akan terus merencana semangat setiakawan. POH akan terus membuktikan sebuah band DIY mampu melangkau sempadan arus perdana. Plague of Happiness akan terus menjadi playlist-ku selamanya.

Persembahan Plague of Happiness diakhiri dengan lagu keramat, Viva La Punk.

Acara 1234! Who’s the Punk? What’s the score berjalan sungguh lancar dan sukses. Terima kasih kepada semua band yang bersama-sama menjayakan persembahan gig ini. Tidak lupa kepada jurugambar, kakak menjual air di kaki lima dan penjual-penjual Pasar Black Market. Moga Orchid Studio Hall akan terus mengacarakan persembahan-persembahan yang hebat demi membawa kelangsungan semangat punk tanahair. Mengulangi ayatku sebelum ini, Orchid Studio Hall perlu dipelihara demi kelangsungan etika kendiri yang telah sekian lama wujud dalam budaya Punk.

Terima kasih Mentakab!