/

Bintang Rock Tersohor Jayzuan Kehabisan Tokoh Untuk “Name-drop” Ketika Berbual

Beliau juga mengambil keputusan untuk mengurangkan percakapan sehingga dunia melahirkan personaliti baru.

IPOH – Penyanyi dan penulis Mohd Jayzuan hari ini mengumumkan beliau akan mengurangkan percakapan buat masa terdekat ini atas alasan yang agak lemah tetapi masuk dek akal: Beliau sudah “kehabisan tokoh untuk ‘name-drop’ ketika berbual.”

“Setakat malam tadi, saya percaya saya dah sebut semua nama orang dalam dunia ini – secara harfiahnya, dari sebesar-besar ikon seperti Henry Rollins sampailah ke makcik kantin Sekolah Kebangsaan Sri Kinta,” jelas bintang rock yang popular dengan lagu Gadis Elektrik dan naskhah Anarki di Kuala Lumpur. “Selepas berborak hal kerja dengan rakan-rakan melalui Zoom, dan saya sekali lalu petik nama Anton Karas pemain zither terkemuka pada pertengahan abad ke-20, saya sedar sudah tiba masanya saya kurangkan percakapan kerana dah tak boleh nak ‘name-drop’ sebarangan lagi.”

Jayzuan mengimbau kenangan nama-nama yang pernah disebutnya dalam setiap perbualan selama ini termasuklah di media sosial.

“Nama siapa sahaja saya tak pernah sebut untuk menguatkan lagi hujah tanpa dipinta? Bila bercakap tentang teknik penulisan, belum sempat satu dua perkataan keluar dari mulut, saya dah hambur muka orang dengan nama Charles Bukowski lagi dan lagi,” ujar Jayzuan lalu mengeluh panjang. “Saya kalau boleh tak nak kitar semula nama-nama yang pernah dipetik, namun mengenangkan amalan ‘name-drop’ bukanlah sesuatu yang mudah dikikis, saya akan lebih banyak berdiam diri seperti Bob Dyl—ah, tengok? Saya nak petik nama lagi. Ugh.”

Malangnya, kebanyakan peminat rock tempatan tidak dapat membayangkan dunia tanpa sumbangan Jayzuan yang lebih banyak datang dalam bentuk sebutan nama dari penghasilan muzik itu sendiri.

“Kegeniusan beliau memang tak boleh disangkal lagi. Awak ada baca tak tweet beliau beberapa hari lepas? Panjangnya tak sampai 20 perkataan, tapi beliau berjaya sebut dekat 18 nama tokoh rock mandiri dari Joe Kidd sampailah ke Takahara Suiko untuk bercakap tentang minum air masak,” ujar Fendi Mehrollah, seorang peminat tegar. “Saya ingat sekurang-kurangnya bolehlah beliau pergi dekat 20 tahun lagi untuk menyebut nama siapa-siapa, namun apakan daya jumlah penduduk bumi yang hampir mencecah lapan billion manusia masih tak cukup. Pendek kata, dunia ini terlalu kecil untuk Jay(zuan).”

Bagaimanapun, Jayzuan mengakui dia bersedia untuk “name-drop” lagi jika peluang emas terbuka luas.

“Orang kata setiap hari artis baru lahir bagai cendawan tumbuh lepas hujan, jadi siapa tahu, kan?” jelas Jayzuan. “Kejap… saya dah pernah petik nama artis baru Indonesia Nadia Ahadi ke belum? Aduh, saya pernah, kan?”

Apabila ditanya tentang projek terbaru, Jayzuan menerangkan beliau sedang bertungkus-lumus mempersiapsiagakan Radio Tenggara, sebuah wahana muzik terbitan Tapau TV yang akan menampilkan lagu-lagu alternatif dari negara serantau.

“Ia akan dilancarkan tak lama lagi, jadi saya berharap pada waktu itu sudah ada personaliti-personaliti baru yang sedang meningkat popular,” tambah Jayzuan. “Kalau tak pening juga saya nak keluarkan kenyataan tanpa disokong oleh mana-mana nama.”