/

Temu Bual Bersama Hazbi Ghazali – Pengarah-Penulis Filem If You Tolerate This Your Children Will Be Next

Selama mengenali Hazbi Ghazali sejak di bangku sekolah, beliau sememangnya seorang yang amat fasih tentang ilmu filem. Bukan sahaja dari segi keprolifikan tontonan, tetapi estetika. Saban hari, kami rakan-rakan akan mendengar beliau membedah filem-filem terbaru yang belum sempat kami hadam, malah tidak tahu kewujudan pun. Setelah meningkat alam dewasa minat beliau tidak lagi begitu ketara, namun perbualan tentang filem sesekali akan terpacul juga dari mulut sekiranya beliau bertemu pasangan yang sajak.

Dan saya kira Hazbi telah menemui pasangan yang benar-benar sajak dengan produksi Sidang Kopi. Bersama-sama, beliau tampil sebagai pengarah-penulis menerusi filem pendek If You Tolerate This Your Children Will Be Next (IYTTYCWBN) untuk Kuman Pictures Challenge, sebuah peraduan filem pendek bersempena dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dilaksanakan di seluruh negara.

Bagaimanapun, penyertaan IYTTYCWBN dibatalkan akibat penghantaran lewat; kira-kira sejam setelah tempoh tamat. Ini masih tidak melemahkan semangat pemuda berusia 27 tahun yang berasal dari Kuala Lipis ini, apatah lagi apabila karya debutnya itu telah menerima lebih dua ribu tontonan di YouTube dalam tempoh kurang 48 jam. Malah, sewaktu menemui Hazbi pada pagi ini untuk sesi temu bual, berani saya katakan terdapat kilauan membara pada mata beliau yang sudah lama saya tidak lihat.


Sekurang-kurangnya sejak zaman sekolah.

Yang pasti, walau ke mana pun hala tuju hidup Hazbi selepas ini pada era dunia dilanda wabak, IYTTYCWBN bukanlah wacana skrin pertama dan terakhir kita akan saksikan daripada beliau.

Anda terkilan penyertaan anda untuk Kuman Pictures Challenge dibatalkan kerana lewat hantar?

HG: Oh, tak juga. Saya bukan nak sangat masuk pertandingan, tapi lebih ke arah nak memeriahkan lagi suasana. Sebenarnya, elok juga penyertaan IYTTYCWBN dibatalkan sebab advantage filem kami sangat banyak – kami melakukan penggambaran di premis perniagaan yang luas dengan kru yang agak ramai (para pekerja kafe Sidang Kopi) berbanding dengan penyertaan lain yang serba-serbi kekurangan. Ada yang melakukan penggambaran seorang diri di dalam bilik sahaja, jadi agak tak adil. Melainkan filem lain turut mempunyai kapasiti seperti yang kami ada, baru saya rasa lega sikit untuk betul-betul masuk pertandingan tersebut.

Jadi boleh dikatakan penggambaran IYTTYCWBN agak mudah bagi anda dan kru?

HG: Pun tidak. Masalah penggambaran di premis perniagaan ialah pihak berkuasa selalu meronda di kawasan sekitar. Hari penggambaran yang asal terpaksa dibatalkan kerana polis datang suruh tutup lampu. Walaupun waktu perniagaan Sidang Kopi sudah tamat pada ketika itu (selepas jam tujuh petang), saya dan kru tidak dibenarkan berada di kedai waima sebarang urusan sekalipun. Jadi semasa penggambaran berjalan keesokan harinya, saya dan kru memang perlu berjaga-jaga setiap masa. Dalam kebanyakan waktu kami terpaksa bekerja dalam gelap dan hanya menyalakan lampu apabila kamera sudah betul-betul berputar.

Anda tidak risau risiko direman?

HG: Bak kata Werner Herzog, rakam syot kamu – ditangkap, dihumban masuk penjara cuma sementara… tapi filem selamanya.

Itukah punca kelewatan IYTTYCWBN yang sebenar-benarnya?

HG: Terus terang cakap, idea saya pun datang lewat – dua hari sebelum tarikh tutup. Inspirasi saya hanya tercetus apabila sudah menonton beberapa filem pendek Kuman Pictures Challenge. Saya suka hampir semua – terutamanya The Quarantine oleh Brotherz Unity – tapi apa yang saya cari dalam sesebuah filem seram macam tak ada sangat. Dan bak kata Jean-Luc Godard, kritikan terbaik ialah buat sendiri sahaja. Jadi berbekalkan syot-syot yang terperam di dalam kepala otak selama ini, saya pun mengajak kru Sidang Kopi untuk melaksanakannya.

Bagaimana reaksi kru Sidang Kopi apabila mula-mula mendengar idea IYTTYCWBN, sebuah cerita seram absurd tentang kerusi hidup?

HG: Agak mengejutkan, semua menerimanya dengan hati terbuka. Poin pertama yang saya jual kepada mereka ialah saya nak buat filem ini dengan serius, tapi kita tidak take ourselves seriously. Boleh dikatakan inilah sikap umum orang Lipis sebenarnya. IYTTYCWBN mempunyai premis yang sangat melalut, namun pada dasarnya ia masih membawa semangat Lipis.

Adakah itu yang anda cari dalam sesebuah filem seram? Semangat Lipis?

HG: Oh, tak, tak. Semangat itu lebih berkaitan roh; hal yang mengganggu saya berkaitan perlaksanaan. Bila saya tengok penyertaan lain, banyak yang terlalu nak kehadapankan “mesej.” Saya percaya kita kena buat filem sebagai filem dulu, nombor dua baru mesej. Kalau nombor satu dah mesej, maknanya filem kita hanyalah iklan untuk kepercayaan kita (yang bukannya selalu betul). Kalau kita letak filem dulu, ia boleh jadi sebuah filem baik yang membuatkan khlayak nak gali lagi dan menemui mesejnya kemudian. Ada sebab kenapa pengalaman menonton filem selalu dibandingkan dengan nikmat menjamu selera – yang penting apa terasa di lidah dan tekak dulu, baru zat-zat yang menular ke badan. Kalau kita hadam makanan hijau sentiasa, di mana letaknya joie de vivre? Saya percaya guru kesihatan Kevin Zahri pun bersetuju dengan kenyataan saya ni (ketawa).

Boleh cerita bagaimana proses perlaksanaan idea IYTTYCWBN?

HG: Apabila semua kru Sidang Kopi sudah bersetuju untuk terlibat, penerbit-pelakon Ismail Othman lantas menghasilkan poster. Ia tidaklah begitu mencerminkan produk akhir, tetapi kami mahu mempersembahkan sesuatu yang evokatif, off-kilter dan tidak boleh diagak sebagai pengumuman bahawa kru Sidang Kopi sedang merangka sesuatu. Seterusnya, saya mula menulis skrip yang sangat longgar – hanya mensasarkan story beats. Ia sekadar untuk meluahkan apa yang terbuku di minda. Kemudian, setelah berdiskusi dengan penerbit Nazim Masnawi untuk menggilapkan lagi struktur cerita, saya beralih ke fasa storyboard. Boleh dikatakan inilah aspek yang paling saya menitikberatkan setelah disyor oleh penerbit Pipiyapong (Firdaus Abdillah Hamzah). Biarpun terdapat unsur humor, IYTTYCWBN ialah sebuah filem bergenre seram. Ia bukanlah sebuah drama eksperimental yang membolehkan saya pakai belasah atas alasan “art.” Saya kena pastikan bahasanya semua betul, dan dari situlah baru saya tambah tolak dari segi tekstur, pergerakan, depth dan ritmanya.

Tapi Kuman Pictures Challenge merupakan pertandingan runcit-runcitan oleh sebuah produksi mandiri, bukankah ini peluang anda untuk bereksperimen?

HG: Ya, tapi ini untuk disiplin diri saya sebagai pengarah-penulis buat kali pertama. Kita hidup pada era anti-intellectualism di mana orang di media sosial selamba menyanggah kenyataan doktor berlesen tentang vaksin dan kebulatan bumi, jadi saya tak nak jadi sebahagian daripada golongan yang menyumbang kepada permasalahan itu dari aspek pembikinan filem pula.

Anda nak kata pengarah yang bereksperimen tidak ubah seperti golongan anti-vaksin?

HG: Saya bercakap tentang saya. Pengarah lain saya tak tahulah.

Boleh saya kata yang pengalaman anda berlakon dalam filem pendek Kitab arahan Syazwan Rosli banyak membantu anda semasa praproduksi IYTTYCWBN?

HG: Boleh juga, tapi bantuan lebih banyak datang dalam bentuk inspirasi daripada filem-filem seram yang terdahulu…

Ada sebarang filem secara spesifik?

HG: Secara sedarnya tak ada. Tapi saya fanatik filem seram, dan di luar sedar, saya banyak terikut gaya arahan Stanley Kubrick menerusi The Shining terutama pada syot pembukaan dan juga suntingan dissolve pada minit 1:10. Nazim (Masnawi) benar-benar tak suka teknik tu. Katanya, ini bukan 70-an dan dah tak ada orang melakukan transisi pakai dissolve lagi melainkan Nicolas Winding Refn. Tapi saya tak peduli – bila kita sebagai pengarah rasa okey maknanya okeylah tu. Semasa penggambaran kita banyak ikut undang-undang, semasa suntingan pula kita lebih banyak ikut naluri.

Lagi satu yang saya banyak terikut, di luar sedar, ialah Key & Peele.

Siri sketsa komedi tu? Serius?

HG: Ya, agak mudah kita memandang rendah terhadap Key & Peele kerana ia sebuah “komedi,” tetapi persembahan sketsa mereka pada kebanyakan waktu sangatlah sinematik terutamanya apabila mereka memparodikan filem genre. Biarpun hiburan picisan, adegan aksinya benar-benar meletup secara harfiahnya manakala adegan seramnya pula benar-benar menakutkan. Tonton sketsa Make-a-Wish sebagai contoh dan katakan saya salah.

Berapa lama masa penggambaran dan suntingan? Adakah banyak timbul konflik di antara kru yang serba mentah ini?

HG: Sekali lagi, storyboard banyak menyelamatkan keadaan. Sebelum penggambaran, masing-masing dah meneliti satu per satu syot, jadi tak ada masalah komunikasi antara satu sama lain. Setiap orang tahu kedudukan mereka pada setiap masa. Menurut Pipiyapong yang pernah terlibat dalam beberapa pembikinan filem mandiri sebelum ini, kebanyakan pengarah ingat mereka genius sangat. Semua konon dah tercatit, termasuk shot list, dalam kepala otak mereka. Kru hanya perlu ikut tanpa banyak soal. Mereka lupa kru juga manusia, dan kadang kala syot perlu mengambil masa lama untuk diselenggarakan. Kalau kita membiarkan mereka termangu tanpa penerangan buat beberapa waktu, silap haribulan boleh berlaku pemberontakan kecil. Jadi sepanjang lima jam penggambaran dan sejam setengah suntingan, boleh dikatakan langsung tidak timbul konflik.

Sebagai pengarah-penulis buat kali pertama, apakah pengajaran paling berharga anda dapat dalam menghasilkan IYTTYCWBN?

HG: Kita percaya yang kita boleh menghidupkan/ membina/ menghasilkan sesuatu, tetapi kita sering lupa yang lebih penting ialah kepercayaan orang sekeliling terhadap penghidupan/ pembinaan/ penghasilan berkenaan. Sejak dari minit pertama saya menyuarakan idea IYTTYCWBN kepada kru Sidang Kopi, langsung tiada sinisisme. Mereka percaya dengan visi saya dan tidak sabar hendak melaksanakannya meskipun saya tidak mempunyai latar belakang perfileman. Minat saya untuk menghasilkan filem telah lama terbuku di hati, namun ia hanya dapat dilerai oleh kru Sidang Kopi.

Sewaktu menghasilkan IYTTYCWBN, saya dapat melihat keraian fitrah manusia dalam menyelesaikan masalah. Ya, segala kehebatan manusia juga dapat saya temui menerusi rakan-rakan saya seperti penerbit Sutrisno Roni – keberanian, semangat, kasih sayang, perasaan ingin tahu – tapi ia juga mengajak saya untuk mendakap kemampuan manusia dalam melihat satu-satu masalah itu lalu bekerjasama tanpa ego atau perasaan nak bersaing. Ia menyedarkan saya bahawa dengan segala masalah yang kita hadapi sekarang tatkala melawan pandemik global Covid-19 ini, dengan keperibadian, timbang tara dan dedikasi yang betul, kita boleh selesaikan segalanya; satu demi satu. Di sini, saya bukan setakat merasakan harapan – saya menyaksikan sendiri ia terjalin. Dan ini membuatkan saya tidak sabar untuk menghasilkan karya seterusnya bersama kru Sidang Kopi.

Adakah ini bermakna kita akan lihat lebih banyak filem daripada Hazbi Ghazali?

HG: Harap-haraplah. Saya dan kru Sidang Kopi sudah merancang untuk menghasilkan beberapa filem lagi dengan skop lebih besar, cabaran lebih luas, dan idea lebih bernas.

Apa perancangan terdekat anda?

HG: Saya baru saja menyiapkan IYTTYCWBN versi director’s cut (yang boleh ditonton di bawah). Ia tak banyak beza dengan suntingan asal kecuali beberapa syot yang diganti dengan alternate take, dan satu beat yang asalnya saya tak masukkan.

Selain itu, saya sedang menulis draf pertama If You Tolerate This Your Children Will Be Next 2 yang diharap dapat memulakan penggambaran dalam seminggu dua lagi.

Wow, adakah kita akan melihat sambungan pertualangan protagonis IYTTYCWBN lakonan Ismail Othman?

HG: Tidak, kali ini saya sendiri akan tampil sebagai hero.

Oh…