Wawancara: Johan Radzi, tinju dan peluru

SASTERA

Johan Radzi adalah seorang peninju amatur merangkap pelajar tahun akhir undang-undang. Beliau percaya dengan keganasan kata-kata untuk menyelesaikan segala masalah yang terbuku di dalam hati. Buku pertama beliau, Tinju & Peluru adalah mikroskop kepada kehidupan di Malaysia dan ditulis di bawah pengaruh Papa Hemingway waktu mereka bersama-sama memancing Toman.

 

Saudara peminat Hemingway. Apa tentang karyanya yang buat saudara tertarik, dan sejauh mana karya beliau mempengaruhi penulisan saudara?

Buat masa ini, buku Hemingway kegemaran saya ialah For Whom The Bell Tolls. Ia berlatarkan Perang saudara Sepanyol 1936, di antara pendukung-pendukung Republik dengan Nasionalis. Hemingway sendiri pernah terlibat ke sana sebagai wartawan perang. Saya cuba membaca To Have and To Have Not, tapi barangkali tak memukau seperti buku yang saya sebutkan tadi. Cerpen-cerpennya juga baik. Saya akui tulisan saya sendiri banyak dibayangi oleh gaya, serta tema-tema yang dibawanya. Cerpen-cerpen yang harus anda baca: The Capital of the World, Old Man At The Bridge, Cat in the Rain, Hills like White Elephant, Che Ti Dice La Patria, Now I Lay me, A Clean Well Lighted Place, dan In Another Country. Anda boleh dapatkan cerpen-cerpen ini di dalam kumpulan The First Forty Nine Stories.

Kita menyalin gaya untuk mengenal gaya kita sendiri. Daripada Hemingway saya pelajari tentang Teori Aisberg, cara penulisan yang ringkas, padat, dan minimalis. Gaya ini dirangka olehnya daripada tahun-tahun kewartawanannya di Amerika dan serata Eropah. Ia menegaskan bahawa tema utama sesebuah naratif tidak harus begitu tertonjol di permukaan, sebaliknya ia harus menyusup ke minda pembaca perlahan-lahan secara halus.

Cerita Perempuan yang Pulang Ke Lautan menampilkan  perubahan dalam penceritaan saudara. Apakah pencetusnya? Dan penulis mana yang menjadi model saudara?

Tiga perkara: The Autumn of the Patriarch, tragedi MH 370, serta pengalaman peribadi saya sendiri. Gaya penulisan tersebut diambil daripada buku Marquez yang kurang mahsyur—tetapi tidak kurang keagungannya—dalam perenggan-perenggan yang panjang dan sarat puitis. Memang benar saya mengutip idea ini daripada kehilangan pesawat itu, tetapi saya sengaja menukarkan alamat pendaratannya supaya tidak mengundang kontroversi yang berlebih-lebihan. Saya menulis cerpen ini dalam jiwa muda yang bergelora. Barangkali saya tidak akan dapat menghasilkan cerpen-cerpen seperti ini lagi.

Saudara ada menulis tentang dan kelihatan amat berminat dengan sukan tinju. Apakah ia memberi kesan kepada penulisan saudara dan apakah yang kita boleh pelajari dari sukan itu?

Ya, saya minat tinju, tapi hanya sebagai sukan. Saya tidak mengikuti sangat perkembangan sukan tersebut, kecuali susur galur Muhammad Ali (saya berharap Tuhan Tinju tidak murka). Ada sesuatu tentang tinju yang saya dapati sangat berseni: pertarungan ganas tetapi kemas, seperti apa yang kita panggil sebagai Sukan Gentleman. Saya juga melihat ini dalam Muay Thai. Tetapi jarang-jarang sekali dalam kemelut moden yang kita panggil sebagai MMA ini. Ada sesuatu tentang memukul dan dipukul yang begitu menghidupkan. Akhir sekali apabila tiga minit tamat dan anda letih berasak dengan seteru di gelanggang, bukanlah kalah-menang yang mustahak, tetapi semangat perlawanan yang anda dapat itu sepanjang bertukar-tukar tinju.

Ada orang kata kepada saya bahawa sukan tinju ialah sukan jantan. Ya, tapi kejantanan tidak harus diukur hanya melalui kelasakkannya sahaja. Seperti kawan saya Azriq, dia mendefiniskan kejantanannya sebagai pemain Boardgame. Begitu juga dengan kawan-kawan saya yang lain. Melalui muzik, lukisan, filem, fotografi, etsetera-etsetera. Kejantanan ialah keberanian untuk kita melakukan perkara yang kita cintai tanpa menghiraukan prasangka-prasangka masyarakat. Akan sentiasa ada orang berkata kepada anda, “kau tak boleh buat begini” atau “kau tak boleh buat begitu” atau “tiada siapa kisah dengan minat kau”, tapi orang-orang begini biasanya tidaklah pergi jauh mana dalam hidup mereka. Mereka takut dengan pencapaian anda kerana itu hanya akan menampakkan kelembikan mereka sendiri. Tidak kira apa orang kata, hiduplah dengan berani.

Siapakah penulis tempatan yang saudara suka? Apa tentang karya mereka yang buat saudara tertarik?

Penulis tempatan yang saya suka termasuklah Shahnon Ahmad, A Samad Said, Keris Mas. Dalam konteks moden pula, Wan Nor Azriq, Ridhwan Saidi, Saharil Hasrin, Azrin Fauzi, Syafiq Ghazali, dan Faisal Tehrani. Tapi saya lebih sukakan Faisal Tehrani pra-sastera wacana, kerana kerja-kerjanya yang baru ini terasa seperti membaca wikipedia. 1515 berdiri sebagai karyanya yang paling menggugah kalbu ini.

Apakah rancangan masa depan saudara?

Sekarang saya berada di tahun akhir pengajian Undang-Undang di UiTM Shah Alam. Buat masa ini, saya hanya merancang untuk menamatkan pengajian dan meneruskan Latihan Dalam Kamar. Saya masih menimbang-nimbang untuk kembali kepada Angkatan Tentera, tapi itu bergantung kepada keadaan juga. Tentang penulisan, saya sedang mengerjakan karya-karya baru. Kebanyakannya masih cerpen. Untuk novel, barangkali pasca universiti nanti saya mula fikirkan. Semasa di alam pekerjaan dan sebagainya. Saya mahu mengutip seberapa banyak pengalaman yang boleh untuk mengarang novel pertama saya nanti.

Balik ke Atas