Sufian Abas selesai melunaskan royalti penulis-penulis Laras 99

SASTERA/SEMASA

Satu hari yang indah buat dunia penerbitan buku skala kecil.

KUALA LUMPUR — Sufian Abas pada hari ini menghela nafas lega sebaik selesai menunaikan tanggungjawab kepada penulis-penulis naungan label penerbitannya, Laras 99. Beliau dilihat mengeluarkan sejumlah wang yang tidak diketahui amaun dari sebuah bank dan mengagihkan wang tersebut kepada para penulisnya yang ditatang bagai minyak yang penuh, iaitu antaranya Wani Ardy, Fernando Pessoa, Atilea Farrahnaz dan Jauhar Senapi.

Ketika ditemui Neon Berapi siang tadi Sufian Abas berkata, “saya petani buku. Hasil dari titis peluh ini saya beri semula agar mereka bertambah subur dan mekar. Dan untuk apa gaji CEO TNB 7 juta ringgit setahun jika masih ada kawasan yang tiada bekalan elektrik?”

Beliau tidak menyambung percakapannya dan hanya membuat isyarat tangan seperti sepasang matanya mahu bertentang mata dengan sepasang yang lain.

“Jarang-jarang kita dapat lihat Sufian Abas mengeluarkan wang di bank. Bila itu terjadi sudah tentu ada perkara besar yang akan berlaku dalam dunia penerbitan buku,” komen Amar Amir, bekas jurutera awam dan model sambilan untuk Laras 99.

Laras 99 ialah sebuah label penerbitan yang telah menerbitkan lebih kurang 6 judul buku. Ia dikendalikan sepenuhnya oleh penulis Kasut Biru Rubina yang pernah popular sedekad lalu secara bersendirian.

Balik ke Atas