Aloy Paradoks berkata-kata tentang KL LePark, kemajuan bangsa, kegiatan membaca dan Woodstock

MUZIK/SASTERA/SENI & BUDAYA Teks oleh: Pipiyapong

Tiga hari lepas, sekitar jam 10.31 malam aku dapat mesej daripada Aloy Paradoks.

‘Pipi, buat tweet berbayar untuk KL LePark, boleh?’

Aku termenung jauh membaca mesej Aloy sebelum aku balas, ‘Berapa RM nak bayar?’ tepat jam 11.03 malam.

Selang seminit mesej daripada Aloy masuk lagi.

‘Buat 5 hari menjelang. Tapi tak payah hardcore. Sambil sambil aje dan tak payah banyak banyak. Berapa kau letak?’

Aku garu kepala. Jarang-jarang aku menghadapi dilema begini. Tapi demi seni, aku menaip panjang kepada Aloy.

‘Aloy, seumur hidup aku cuma pernah buat kerja tweet berbayar ni dua kali. Yang pertama aku buat tweet berbayar pasal Hari Guru, dia orang bayar aku RM1500. Yang kedua aku buat tweet berbayar pasal kuiz bola, dia orang bayar aku pergi Wales.’

Tak sampai seminit, Aloy balas pendek.

‘Babi.’

Dan setelah berbincang panjang kami sepakat untuk mengadakan temuramah ini demi seni.

Aloy, apa sebenarnya KL LePark?                       

Gerakan penerus Galakan Membaca yang dah kita-kita cetuskan lama dulu, hingga scene buku alternatif berkembang seperti sekarang. Namun dengan pendekatan baru membawa ke jalanan secara terbuka, dan menjadikan literature kita lebih bersifat inklusif.

Gila babi. Pendekatan baru macam mana tu?

Kalau sebelum ni, benda-benda begini biasanya kita buat di tempat-tempat terpencil, banglo lama atau rumah kawan-kawan contohnya. Namun semua itu atas faktor desakan bajet yang akhirnya menjadi style. Masih tetap cool, dan patut diteruskan. Cuma kalau untuk aku secara peribadi, takkanlah 10 tahun dulu aku buat event dalam rumah flat, sekarang pun masih nak buat yang sama. Aku kenalah move sikit, macam buat dalam mall pulak contohnya, macam sekarang ni. Sebab bila untuk menjadikan literature kita lebih senang sampai ke masyarakat kita kena senangkan dia orang jugak. Caranya inilah yang aku rasa, kita buat di tempat yang dia orang tak teragak-agak nak datang, tak segan, dan senang nak akses sebab public transport banyak. Kita dah buka laluan dengan mudah untuk dia orang, tapi kalau dia orang berdegil jugak tak apalah. Dia tak minat sangat la maksudnya.

Dalam aspek promosi pun perlu diambil kira jugak, kalau dulu kita-kita buat benda ni promosi memang kurang. Tapi sekarang kalau ada kelebihan, promosi kita kena jalan lebih sikit walaupun nampak macam pergi ke target audiens yang bukan-bukan. Pada aku tak apa, sebab kita nak meramaikan umat lagi dalam scene membaca ni, bukan nak mengehadkan. Kalau puak ni lagi ramai, lagi berkembang siapa yang untung? Kita semua jugak yang untung. Publisher akan berkembang dan bertambah, yang nanti menjadikan lebih banyak bahan baru yang pelbagai sifatnya akan terbit. Bila kuantiti meningkat akan terdapat juga peningkatan kualiti secara tak langsung.

Kalau begitu kenapa KL LePark dan siapa sebenarnya target audiens untuk acara ini?

Hajat kami besar, kalau boleh nak jadikan ia level nasional dan untuk semua. Maka kami pilih nama KL itu sendiri dan gabungan semangat Lepak untuk memperlihatkan ianya bersifat santai, chill dan relaks. Kemudian untuk tahun pertama dulu ia dibuat di Taman Tasik Perdana, maka kita ubahsuai Lepak kepada Lepark. Sedikit mengada-ngada, tapi ok. Awek-awek suka kot nama tu, kalau dia suka, bolehlah dia ajak pakwe dia datang teman. Pakwe ni biasanya ngikut aje.

Target adalah golongan muda masyarakat bandar. Sebab kita semua tahu kemajuan sesuatu bangsa itu di masa akan datang, bermula dari bagaimana pemuda dan pemudinya sekarang. Sementara kenapa masyarakat bandar pula ialah; kerana jika kita berjaya mempengaruhi atau membentuknya di sini, ia akan tersebar luas ke seluruh ceruk dengan mudah. Kerana apa sahaja trend yang terjadi di kalangan masyarakat bandar, akan terlihat cool oleh semua orang dan menjadi ikutan.

Jadi target itu termasuk muda-mudi di Taman Tun misalnya atau di Pandan yang saya lihat tadi berkumpul menyiapkan tiga biji motor?

Kita anggap membaca itu macam makan nasi. Semua orang harus makan nasi. Kalau benda itu baik, semua orang harus diberi peluang. Jangan prejudis, Pi… jangan.

Bagaimana KL LePark ini boleh membantu orang tergalak untuk membaca pada fikiran saudara?

Kalau orang dah memang membaca itu tak ada masalah. Kita pancing dengan kewujudan bahan bacaan di acara. Tapi kalau yang bukan khalayak membaca perlu ada sesuatu yang boleh menarik dia orang. Jadi salah satunya dengan persembahan, mungkin diharap dengan kita melibatkan band-band muzik itu boleh menjadi daya tarikan di samping menyerikan lagi acara.

Lagi satu kita galakkan keterlibatan penulis dalam acara ni, supaya hubungan antara penulis dan pembaca itu wujud. Hubungan dua hala ini tak kurang pentingnya. Dan itulah resepi kebangkitan alternatif dulu, kita tiada sempadan. Selain itu, lazimnya bila ada penulisnya sendiri, orang akan lebih teruja untuk mendapatkan bahan bacaan tersebut. Maka untuk menggalakkan budaya membaca ialah, orang itu perlu ada benda yang nak dibaca terlebih dahulu, jadi inilah yang kita buat. Kita provide sumber untuk mendapatkan bahan.

Dalam tempoh beberapa kali menganjurkan acara begini, adakah saudara merasakan peningkatan pembaca?

Kalau kita bercakap trend membaca dalam scene, mungkin sedang menurun sekarang. Jadi dalam situasi inilah kita perlu lagi berjuang habis-habisan. Sebab kalau tak terus berjuang, mungkin mampus terus agaknya. Agaknyalah. Dari sudut peningkatan kita tak boleh nilai pada sesuatu kadar yang sedang menurun, sebab kalau ada peningkatan kita takkan nampak. Cuma apa yang jelas, setiap kali benda begini terus diadakan, akan ada pembaca baru yang muncul untuk mencuba. Dan ada antaranya yang terpengaruh, hanya setelah sekian lama dia lihat aktiviti kita. Sebelum ni macam tak peduli, tapi sebab kita konsisten, akhirnya dia pun terbuka hati.

Oh trend membaca tetap menurun?

Aku rasa ya. Sebab itu kita perlu ada usaha. Pengisian perlu ada. Pembuat buku jangan fikir buat buku tu semata-mata untuk jual je. Itu masalah tu kalau macam tu.

Boleh jelaskan pengisian yang bagaimana maksud saudara?

Sekarang ni bila dah berlambak penerbit, aku nampak semua berpusu-pusu nak jual buku dan buat keuntungan, tak ada lagi nak berfikir macam mana nak hidupkan scene, hidupkan scene pada mereka ialah buat buku jual bagi kencang semata-mata. Itu masalah tu pada aku. Event-event sekarang pun adalah target memang event untuk jual buku, bukan lagi untuk membuat sesuatu yang cool dan bermanfaat, asyik jual jual jual, akhirnya orang pun bosan. Kalau dulu kita bikin event, utama sekali adalah pengisiannya dulu, apa kita nak buat dengan event tu, apa kita nak share dengan crowd, apa kita nak eksperimen, orang pun seronok, tapi sekarang dah tak ada semangat begitu. Bila pengisian acara tu dah kosong, akhirnya lama-lama, akan jadi lame.

Berbalik pada KL LePark untuk edisi kali ini apakah ada sesuatu yang istimewa?

Kali ni kita bawa budak sekolah untuk perform. Dengan harapan scene kita ni boleh meresap masuk dalam kalangan dia orang pula. Senang cakap kita nak bentuk dan sebarkan propaganda membaca dari awal. Selain tu kali ni kita akan buat play reading karya Anton Chekhov. Dan untuk reading tu kita memang panggil para pelakon teater yang power power dan mantap. Kita ada  Nam Ron, Fazleena Hishamuddin dan Mustaqim Mohamed. Pemilihan mereka perlu sebab jika kita ambil orang yang tiada pengalaman untuk reading tu, ia mungkin akan jadi bosan dan mendatar.

Namun kalau diikutkan banyak lagi yang kita boleh buat sebenarnya. Namun kita perlu sedar batas dan kemampuan terhadap sesuatu penganjuran itu. Dan kali ini, ini yang termampu kami usahakan.

Okey akhir sekali apa harapan saudara untuk KL LePark kali ini? Ada apa-apa pesanan untuk muda-mudi pembaca Neon Berapi sempena KL LePark?

Harapan aku dan team tinggi sangat sebenarnya kalau untuk KL LePark ini secara umum. Kalau boleh aku nak buat santak sampai seminggu, ala-ala woodstock, tapi versi buku. Namun apa-apa pun berpada-padalah kan, nak buat sampai seminggu, modal pun bukan anak-anak. Dan kalau untuk KL LePark kali ni harapan aku macam biasa la, aku harap kalau tak ramai, sikit yang dapat manfaat dari program kita pun cukup lah. Manfaat ni untuk semua, untuk pengkarya, penerbit dan pembaca apatah lagi. Pesanan aku untuk pembaca Neon Berapi pulak tak ada apa sangat pun, cuma kalau setiap dari kita adalah orang yang membaca, akhirnya yang maju bukan setakat kita je, malah bangsa. Ayuh lapangkan dada, lupakan problema dunia seketika, dan mari bersuka-suka. Di KL LePark.

 

KL LePark akan berlangsung pada Sabtu 16 September 2017 dari jam 10 pagi hingga 11 malam di Maju Junction Mall, Kuala Lumpur.
Balik ke Atas