/

Kekal di jalan tepi: Perbualan kosong bersama Ian MacKaye

Bekas anggota utama Fugazi dan Minor Threat serta pemilik Dischord Records Ian MacKaye bercakap tentang pemeliharaan diri, obsesi digital dan pencarian pokok pangkal kehidupan.

Wawancara oleh Andrea Kurland ini terlebih dahulu disiarkan di laman web Huck pada 4 Ogos 2015. Neon Berapi telah mendapatkan kebenaran terjemahan bagi berkongsi panduan dalam menerajui hidup yang tidak bernaratif.

Ian MacKaye tahu saya takut bertentang mata dengannya. Beliau membawa saya bertawaf ke sudut-sudut bersepah Dischord House – rumah bertingkat yang mengoperasikan label rekodnya sejak tahun 1981 – dan membiarkan saya menjenguk ke bahagian dapur. Dinding di belakang Ian berdiri bagai makam yang kusam, menyeluruhi dirinya seperti monumen vinil. Setiap permukaan dipenuhi rekod dan disusun tinggi dengan cakera padat serta piring hitam The Faith, Minor Threat dan Snakes; bertindak seperti hiasan dinding yang direka sendiri. Sebuah peta lama yang renyuk turut ditampal di sebalik kepala beliau, namun kedudukan lokasinya sukar dikenal pasti.

Kalau ditimbal-timbal, Skype memang suatu bencana. “Awak berada di rumah dekat London, saya di Arlington, Virginia. Saya tengok awak, lepas tu kita berborak. Ini memang… tak masuk akal!” kata Ian sambil mencapai teh. “Dulu saya ingat orang merendahkan pandangan mereka sebagai tanda hormat. Kemudian saya sedar rupanya mereka tengok skrin, bukannya kamera. Tapi pergerakan mata kita apabila bercakap dengan seseorang amat penting. Pandang saya… tengok betul-betul!”


Sepasang mata biru lalu menatap saya dengan tajam, menusuk hingga 4000 batu jauhnya.

Duduk berhadapan dengan Ian MacKaye merupakan suatu pengalaman yang luar biasa. Bukan kerana dia cukup disegani dek menyuntik punk dengan falsafah lantangnya – suatu semangat yang berpaut pada kebergantungan diri, seperti yang disampaikan melalui Minor Threat dan Fugazi. Atau hakikat bahawa Dischord Records dibina berlandaskan prinsip-prinsip tersebut dan langsung tidak goyah apabila ramai yang sebaliknya memilih wang. Ia juga bukanlah kerana sejarah akan melihat beliau sebagai penyimpan mohor besar hardcore dan punk wilayah D.C., sebuah gerakan budaya yang sekian lama menjadi subjek untuk dokumentari-dokumentari melankolik yang pada pendapat Ian mengikhtisarkan beribu-ribu naratif pengalaman menjadi terlalu ringkas. Susuk ini sememangnya maha bijaksana. Tidak ubah seperti bersembang dengan Aristotle melalui Google hangout – jika Aristotle memakai beanie dan gemar mencarut.

Pada usia 52 tahun (pada tahun 2015), “budak” yang dahulunya bermain bass untuk Teen Idles, kemudian menubuhkan label rekod sendiri supaya lagunya didengari, kini sudah semakin jauh ke dasar kontinum. Hampir setiap pagi beliau bangkit dari tidur, berjalan menuju Dischord House, dan menyelesaikan hal-hal sepatutnya. Sebahagian hal tersebut ialah berkaitan pemeliharaan – memuat naik setiap persembahan secara langsung Fugazi sejak 1987 ke dalam arkib digital. Ini adalah riwayat kehidupan. Sebuah legasi. Jejak langkah seorang manusia yang tidak pernah kenal erti lelah.

Dan ia sama sekali tiada kaitan dengan kelangsungan hidup.


Anda membuatkan saya terfikir. Apabila saya menyebut isu ini berkaitan “kelangsungan hidup,” anda balas ia bukanlah sesuatu yang anda boleh berhubung kait.

Perkataan “kelangsungan” tu sendiri – yang kita kena “melangsungkan” hidup. Saya faham yang kita dengan penuh melodramatik anggap kehidupan adalah sesuatu yang perlu “dilangsungkan.” Tapi awak masih bernafas, itulah kehidupan, awak sedang “melangsungkannya.” Ini datang dari idea yang kehidupan manusia ialah naratif – seperti filem atau buku yang awak harus melangsungkan kehidupan di celah sabur limbur. Saya rasa itu bahaya kerana pada akhirnya ia buat orang rasa hidup mereka tak cukup gila. Dalam kepala otak saya, kehidupan bukanlah satu perang – walaupun manusia cipta keadaan yang buatkan mereka fikir macam tu – dan saya berpendapat istilah “teraju” adalah lebih adil. Saya lihat kehidupan pada dasarnya sebagai padang yang kosong. Pembinaan ruang kosong itu bukan sahaja mempunyai kaitan dengan masyarakat, tapi juga dengan diri kita sendiri. Persoalan sebenar ialah cara kita meneraju ruang itu, dari mula sampai habis. Kalau orang anggap diri mereka sebagai peneraju, mungkin mereka akan lebih memainkan peranan. Penerajuan adalah tentang penglibatan dalam sesuatu perkara manakala kelangsungan adalah tadah sahaja apa yang dilempar kepada kita. Dengan penerajuan, kita boleh buat keputusan sama ada mahu berada dalam situasi itu dari awal atau tak.


Bagaimana itu boleh menyumbang kepada kejayaan?

Boleh dikatakan masyarakat melihat kejayaan sebagai sesuatu yang mutlak – sama ada awak menang atau kalah. Tak bolehkah berterusan mengerjakan sesuatu itu dikira berjaya? Kejayaan adalah sesuatu yang sentiasa berubah-ubah. Dengan muzik saya misalnya, saya tak ada matlamat. Menyertai kugiran merupakan suatu keputusan besar bagi saya. Saya sedar yang rupanya saya boleh buat benda ni kerana punk beri saya lampu hijau. Saya boleh bermain bass, yang memang tak logik – mamat ni dok henyak wayar sampai keluar bunyi. Itu merupakan satu kejayaan. Kemudian, saya bermain bersama mamat-mamat lain, dan mereka susun atur pula gabungan bunyian itu menjadi sesuatu yang harmoni. Itu satu kejayaan. Kami tulis lagu kami sendiri. Itu satu kejayaan. Kami bermain di satu persembahan. Lagi satu kejayaan. Setiap hari adalah kejayaan – kalau awak meraikannya. Tapi saya rasa betul juga awak cakap, masyarakat melihat kejayaan tu macam “gelang bras.” Awak pernah dengar pepatah ni? Di fun fair Amerika, mereka meletakkan “gelang bras” sedikit jauh supaya tak boleh capai dek tangan. Kalau awak berjaya kedepankan sikit badan dan cangkuk gelang tu, awak boleh tebus hadiah. Jadi begitulah pepatahnya, “Mengejar gelang bras.” Ia menyebarkan konsep peraduan di mana kejayaan ialah titik akhir segala-galanya. Tapi bagi saya, kejayaan itu tidak tetap sifatnya.


Bagaimana pula jika perubahan itu didorong oleh kemahuan untuk berkembang? Kapitalisme lahir dari idea yang kita perlu berkembang untuk maju ke hadapan. Pernahkah anda merasai tekanan seperti itu?

Saya sebulat hati menolak konsep itu. Dischord dibikin oleh beberapa orang budak yang rekodnya tak dipandang sesiapa melainkan mereka dan rakan-rakan mereka. Tapi itu merupakan era yang cukup bermakna bagi saya. Bila sendiri yang menyapu gam rekod tu semua, memang rasa macam kitalah yang paling industri rakaman. Semua duit yang dihasilkan kekal dalam label, tapi saya tak pernah terfikir yang benda tu tak boleh pergi. Ada saja perkara saya nak buat setiap hari – jadi apa benda lagi yang tak cukup dalam hidup ni? Sepuluh tahun kemudian, beratus ribu rekod sudah terjual dan dari situ juga datangnya cabaran-cabaran lain, tapi saya tak pernah rasa, “Oh, sekarang kami dah berjaya!” Saya hanya fikir, “Sekarang, hari ini.” Label kini agak kecil, tapi tak kurang pentingnya. Perkara paling sukar ialah persepsi orang tentang situasi ini. Relevan atau tak relevan bukanlah keutamaan bagi yang terlibat. Bagi yang benar-benar buat, mereka tak lakukan untuk relevansi, tapi mereka dihakimi oleh masyarakat yang tunduk kepada konsep relevan tak relevan yang abstrak lagi merepek. Ini adalah seni, saudara-saudari! Kalau awak dapat berhubung dengan ia, maka awak dapat berhubung dengan ia, walaupun orang lain tidak. Pendapat yang kita perlu berkembang setiap masa tu… maksud saya, cuba bayangkan seseorang, awak atau saya, berterusan mengembang. Ia bukanlah suatu gambaran yang enak. Lambat-laun kita akan meletus. Dan itulah yang terjadi kepada semua benda. Isu sebenar di sini adalah perkataan yang bermula dengan huruf T-A. Tamak. Bila kita bercakap tentang berkembang, itulah yang kita fikirkan. Saya nak lagi dan lagi dan lagi – itulah konsepnya.


Bagaimana tentang ketamakan dari segi populariti? Dalam industri saya, statistik seakan ukuran baru untuk menilai kejayaan. Ia tak ubah seperti berapa banyak pengikut Twitter kita ada. Bagaimana kita boleh meneraju dengan konsep kejayaan seperti itu dan mencapai kepuasan?

Kalau kita ada jumlah pengikut yang sekian-sekian, kita relevan. Kalau tak ada, tak relevan. Saya rasa melalut betul. Pernah sekali satu akhbar tempatan menulis satu artikel tentang Urban Outfitters yang menjual kemeja-T Minor Threat. Mereka menghubungi saya untuk kesahihan dan saya cakap, “Ya.” Syarikat lain yang mencetaknya, dan saya rasa lantaklah. Tajuk berita yang mereka tulis lebih kurang berbunyi macam, “Ian Mackaye Dah Tak Peduli.” Ini mengundang banyak gila komen. Memang tak masuk akal. Rakan-rakan menghubungi dan kata, “Kesian kau, teruk kena kecam di atas talian.” Tapi iyalah, internet adalah sebuah akuarium. Pertempuran berdarah boleh berlaku – seperti ikan-ikan di dalamnya bertembung, membelasah satu sama lain. Istana di dalamnya habis runtuh. Batu-batuan bertaburan. Tapi untuk yang berada di luar akuarium, setitis air pun tak membasahi kita. Itu bukanlah realiti. Kalau orang lain mahu berkomunikasi cara itu, saya takkan menghakimi. Tapi kalau awak terluka, atau terasa kecil, maka keluarlah dari akuarium tersebut. Maksud saya, awak banyak menghabiskan masa di dalam dunia itu, apa yang awak boleh simpulkan?


Saya rasa ia seperti makhluk bota yang perlu diberi makan setiap masa, tapi kita tidak mengetahui sebab-musababnya. Jadi bagi saya, ia sejenis kegusaran yang tidak berpenghujung. Dalam penerbitan, kami dinilai berdasarkan sejauh mana kami dapat berhubung dengan pembaca.

Respons saya kepada orang yang menilai kita berdasarkan jumlah “Likes” adalah, “Pergi mampus!” Itu semua sia-sia. Konsep yang kita dinilai berdasarkan jumlah butang diklik – kita patut tolak semua tu sebagai satu bentuk penerajuan. Awak seorang penulis. Memang tak patut awak perlu habiskan masa berurusan dengan mesin sebagai kayu pengukur kerja. Sejujurnya, saya pemuzik dan saya habiskan banyak masa dengan membaca emel. Bila awak hantar emel kepada saya misalnya, perbualannya macam kayu. Kemudian bila kita bercakap di telefon barulah semuanya jelas. Kalaulah tak ada jurang laut di antara kita, saya dah pelawa awak datang ke sini dan berborak. Itulah kepuasan sebenar, meluangkan masa dengan orang. Itulah sebabnya saya buat apa yang saya buat. Saya tak buat untuk mengasingkan diri saya. Saya lebih berminat mengemudi dunia ini bersama orang lain.


Adakah anda rasa teknologi ini bagus untuk budaya yang anda turut sama terlibat?

Akan sentiasa ada orang yang mengaku punk kata mereka sedar bahawa teknologi adalah alat, bukan cara hidup. Jadi saya rasa punk akan terus bertahan, atau menyusur macam biasa. Tapi bila awak cakap, “Budaya yang awak turut sama terlibat,” saya tak rasa awak boleh beri definisi budaya itu. Maksud saya… boleh ke?


Ia bergantung bagaimana kita maksudkan dengan punk, atau DIY. Bagi saya, ia berkenaan cara kita menghargai kebergantungan diri lebih daripada perkara lain. Saya fikir semua jenis orang pun akan terinspirasi daripada itu, bukan sekadar muzik. Adakah ini masa yang baik untuk golongan muda melakukan sesuatu dalam hidup mereka?

Saya rasa masa memang sentiasa baik untuk perkara itu. Definisi punk bagi saya adalah ruangan bebas. Ia adalah satu ruang di mana idea-idea baru boleh dibentangkan tanpa perlu melalui penapisan atau diambil kesempatan dari segi keuntungan. Jadi bila kita tak risau tentang boleh jual atau tak boleh, barulah fikiran kita lapang. Masalah dengan idea-idea baru, ia tidak mempunyai audiens. Dan mengikut terma pasaran, audiens adalah pelanggan. Kalau awak tiada audiens, maka ia tidak menguntungkan. Punk suatu masa dulu adalah tempat di mana semua perkara itu tak penting. Saya tak kenal mana-mana pemuzik punk rock yang fikir, “Saya akan menyara hidup dengan kerja ini.” Mereka yang begitu takkan bertahan lama. Dari pertembungan budaya ini saya terima satu anugerah; kebenaran untuk mencipta secara bebas. Dan reaksi saya adalah untuk menjaga anugerah ini dan memastikannya kekal hidup kerana ia sentiasa memberi. Sudah tentu ada sesetengah yang beranggapan, “Wow, kalau kasi gilap sikit, mesti boleh jual.” Kemudian ia tidak lagi berupa anugerah.

Tapi saya tak suka bercakap panjang lebar mengenai komputer. Boleh nampak gejalanya bila ia boleh begitu mendominasi perbualan ini. Kita hanya mampu berbincang tentang gajet. Sejak sedekad lalu, masyarakat ketagih teruk dengan teknologi. Kalau kita hidup menerusi skrin, benda lain tak payah buat. Saya kerap berfikir tentang kesan psikologi pejabat kepada kita. Orang bekerja lapan, 10, 12 jam sehari. Tengok skrin komputer, kemudian tengok sekeliling awak, tiada satu benda pun bergerak. Tak pernah lagi dalam sejarah peradaban dunia orang bekerja 10 jam tapi tiada apa pun yang bergerak. Bayangkan kalau kita menyapu selama 12 jam, berapa punya bersih rumah kita? Pinggan kotor sebelah komputer kita? Ia masih di situ! Sudah tentu ada kesan psikologi kepada masyarakat. Saya tak tahu kesan yang macam mana, tapi akan sampai masanya orang akan berhenti sejenak dan sedar ini adalah sebuah alat. Dan hidup – kehidupan sebenar – adalah di luar rangkumannya. Memang satu keajaiban kita sedang bercakap merentasi lautan, tapi ini tak bermaksud saya ingin hidup di dalamnya. Saya juga mahu keluar. Kalau mahu bercakap tentang penerajuan sebenar, seseorang itu perlulah mencari keseimbangan. Kalau kaki kanan dan kiri tak setara, kita akan tersungkur.


Adakah terdapat kaitan rasa kegusaran itu – pada obsesi kita terhadap teknologi – dengan perasaan yang melahirkan straight edge? Adakah anda juga gusar dengan budak-budak yang mengambil dadah?

Ya, semestinya. Perkara ini tak pernah masuk akal untuk saya. Struktur masyarakat adalah konsep yang menindas. Saya tak nampak menjahanamkan diri itu sebagai satu cara memberontak yang betul. Malah, ia menambah lagi; awak menjadi duri dalam daging bagi mereka, jadi bantulah dengan menjauhkan diri. Dewasa ini, teknologi pula diedarkan, dadah jenis baru, dan kita hanyut. Saya tak pernah terlibat dengan dadah kerana saya menyaksikan kejatuhan zaman 60-an. Sebagai peminat Hendrix, saya bercakap dengan orang yang pernah melihat persembahannya namun mereka tak dapat ingat apa-apa kerana terlalu khayal ketika itu. Tak masuk akal betul kita boleh tak ingat apa yang berlaku dalam hidup kita. Konsep berpesta ria ni umpama kita berterusan dibawa arus. Membiarkan memori hidup kita terbenam di dasar. Saya lebih suka menikmati saat yang sedang berlaku dan menyematnya di fikiran. Sesetengah orang berpendapat yang straight edge adalah gerakan bebas pengaruh alkohol dan dadah, tapi dalam kepala saya ia berkenaan ketetapan diri. Saya rasa ia sangat positif. Tapi orang akan ada saja cara untuk mengecam. Awak di England – awak tentu tahu, bukan? Masyarakat memang suka menyindir.


England mempunyai suatu sindrom dinamakan “tall poppy…”

Sindrom apa benda…?


Ia adalah pepatah bila pokok popi tumbuh terlalu tinggi, akan ada orang yang hendak mencantasnya. Ia sangat berbeza dengan American Dream misalnya, atau budaya memberi sokongan tanpa berbelah bahagi. Di sini bila hidup seseorang itu bagus, masyarakat akan lebih cenderung untuk komen. “Tak perlu nak hidung tinggi sangat.”

Awak pernah dengar konsep “crab pit?” Katalah awak menggali satu lubang di pantai lalu mencampak beberapa ekor ketam ke dalam, mereka akan cuba melepaskan diri dengan memanjat dari sisi lubang. Tapi kalau seekor sudah berada pada satu takat, yang lain akan menariknya ke bawah. Saya tak rasa ia perbuatan khianat, cuma mereka mencari sesuatu untuk dipaut saja. Jadi bila seekor semakin menghampiri puncak, yang lain melihatnya sebagai salah satu anak tangga. Akibatnya, mereka akan menarik satu sama lain ke bawah. Hatta, “crab pit” ialah konsep yang memakan diri sendiri. Saya rasa ia sangat bermasalah, jelik.


Bagaimana pula dengan fahaman perlindungan. Bila orang menjadi terlalu melindungi satu-satu “scene” dan kemahsyuran dilihat sebagai titik kematian. Apa pandangan anda mengenai rasa hak milik seseorang itu terhadap sesuatu budaya kolektif?

Pada awalnya, saya menggantikan idea “scene” dengan puak. Minat saya dalam punk hadir dari kemahuan untuk membina “keluarga.” Kebanyakan punk yang saya kenal adalah golongan yang dipinggirkan. Mungkin mereka ada masalah di rumah dan rasa terpinggir, baik dari segi politik, bangsa, ataupun seksualiti – malah jantina mereka juga! Mereka rasa kesunyian tapi saya merasakan, “Oh, kita ada satu sama lain.” Waktu muda kita nak jaga benda tu, macam “Ini benda penting, jangan kasi rosak.” Sampai suatu tahap saya menyedari perlindungan berlebihan yang merosakkannya kerana ia bergesel dengan cubaan saya untuk membina komuniti secara inklusif. Sesudah itu, saya lihat pula orang yang menakrifkan diri secara eksklusif. Macam, “Kami semua pakai jaket ungu, dan kalau awak pakai jaket warna lain, awak bukan geng kami.” Perkara itu memang tak boleh belah. Kalau kita tutup hati kita, lambat-laun ia akan berhenti berdegup. Anak muda yang mempunyai pandangan ortodoks tentang punk masih lagi bertatih – mata mereka akan terbuka suatu hari nanti. Tapi kebanyakan orang datang hanya untuk melawat. Mereka melihat pemandangan sekitar dan sudahnya pulang ke rumah. Saya sentiasa mencari pelari maraton. Mereka yang sedar bahawa protes ialah salah satu bentuk latihan dan kehidupan itu ada di luar sana jika kita menginginkannya. Kita hanya perlu terbuka, sentiasa berhubungan, dan menunjukkan minat. Mereka itulah yang saya anggap sebagai puak saya.


Bila anda tengok semula sejarah sendiri, adakah ia difragmen kepada beberapa era?

Saya seorang yang anti-bab dalam buku. Segalanya adalah pendakian tangga. Saya takkan sampai ke sini sekarang jika saya tidak melalui anak-anak tangga itu.


Mengapakah orang terlalu obses dengan permulaan dan pengakhiran? Rasanya ramai yang berharap saya tanya tentang “zaman kemuncak punk rock,” bagaikan ianya sebuah era yang baru usai. Kenapa kita memfragmen sesuatu dengan cara itu?

Saya rasa sebab lebih mudah nak menulis tentangnya. Kita sukakan pengakhiran kerana ia mudah dihadam. Cuba fikir tentang kesan medium elektronik ke atas cara kita berfikir. Radio, televisyen, filem, komputer. Sampai suatu masa kesemuanya disirikan sebagai cerita. Tapi bila kita hidup dalam masyarakat yang sentiasa dipersembahkan dengan cerita-cerita, minda kita pun diformat semula untuk menghasilkan naratif hidup kita sendiri. Ini mengelirukan kerana kehidupan tiada jalan penceritaan. Dunia ini tiada jalan penceritaan. Jika ada sekalipun, ia lebih besar dari kemampuan kita untuk tulis. Teringat saya ketika bermain dalam kugiran, akan ada seseorang yang berkata, “Itulah perkara terhebat yang saya pernah lakukan.” Siapa yang berfikiran macam tu?! Saya tak anggap hidup ini berfasa-fasa. Saya anggap hidup ini adalah kehidupan.


Itulah hakikat yang saya sering dengar, bahawasanya hidup akan berubah sebaik sahaja kita mencecah usia 30 tahun. Saya melihatnya di dalam budaya sosial setiap masa, bahawasanya kita harus menimba sebanyak mungkin pengalaman sebelum mencapai usia tertentu. Sebagai seseorang yang memberi takrifan kepada pelbagai budaya anak muda, apa pendapat anda tentang obsesi keremajaan?

Saya rasa itu semua mengarut. Saya tak percaya dengan budaya remaja. Dengan menerimanya awak juga menerima tempoh tamat. Bukanlah saya akan sentiasa muda, pergi matilah sama tu! Saya bernyawa! Saya masih hidup! Bila orang cakap, “Ugh, saya rasa tua,” Saya macam, “Apa kejadah, mat? Awak bukan tua, awak dah memang begitu.” Kalau sejuk kita boleh pakai kot. Kalau basah kita keringkan badan. Tapi kalau dah tua kita memang tak boleh nak buat apa. Biar saya tanya awak satu soalan: apa peranan yang awak mainkan dalam menjadi seorang manusia berusia 31 tahun?


Um? Tiada penglibatan aktif.

Tepat sekali! Apa yang kita lakukan adalah bangun. Itu saja. Kita bangun tidur. Terdapat konsep dalam budaya Amerika bahawa kanak-kanak bukan “orang.” Itu ditegaskan dengan penyataan, “Akan sampai suatu masa nanti awak perlu menjadi ‘orang.’” Tapi seseorang itu ialah orang sejak mereka dilahirkan. Mereka nyata dan mereka sah. Bila seorang budak 15 tahun ada satu idea, ia bukanlah idea yang tak benar. Tapi jika kita diberitahu lagi dan lagi yang kita perlu menjadi “orang,” ini melahirkan mentaliti yang perbuatan kita tak memberi sebarang makna. Kerana apabila mereka akhirnya menjadi “orang” mereka akan bebas dari segala bentuk hukuman, jadi mereka tak bertanggungjawab. Pengalaman ini semua? Ia sekadar selingan. Macam, “Saya kena rasa semua benda!” Saya kenal orang yang tidur dengan satu orang sahaja, saya juga kenal orang yang tidur dengan 100 orang. Pengalaman mereka mungkin berbeza, tapi tekanan dari luar membuatkan kedua-duanya fikir jika mereka ada tersilap langkah. Saya harap orang tidak menghabiskan hidup mereka dengan memikirkan segala yang boleh atau patut dilakukan dahulu. Saya harap mereka hidup dengan memikirkan segala yang patut dilakukan sekarang.


Pernahkah anda berasa gelisah atau dilanda perasaan tergugat?

Saya sama sekali bukanlah seorang yang mudah gelabah. Saya membayangkan rasa tergugat itu sebagai peringatan untuk menghasilkan sesuatu. Sewaktu remaja saya sangat tak selesa dan bimbang dengan tubuh badan saya. Tapi sampai suatu masa saya sedar yang kerisauan tidak mendatangkan sebarang manfaat. Jadi saya kelaskan rasa itu, macam, saya tak boleh ubah perkara ini, jadi lebih baik buat sesuatu – bekerja. Ketika kecil, saya tak boleh terima konsep kematian. Ia sangat tak tertanggung bagi saya, saya jadi takut gila. Tapi saya akhirnya sedar yang saya takkan dapat jawapan daripada sesiapa pun. Jadi saya fikir – teruskan hidup. Saya rasa cara terbaik untuk menghadapi semua benda ini adalah dengan menerima ketidakfahaman dengan tenang. Saya terima perkara yang saya tak faham, yang saya takkan boleh faham, dan saya tenang dengan hal itu. Sekiranya rasa tergugat, saya terus berlatih lagi. Saya tulis lagu. Buat saja sesuatu.


Konsep yang kita boleh melibatkan diri secara aktif dalam kehidupan – yang kalau kita nak buat sesuatu, kita harus buat – apa yang membezakan anda dengan orang yang tiada kesedaran itu?

Saya tak tahu… kita hanya berjaga dari tidur terhad untuk beberapa hari saja. Meskipun, secara ironisnya, saya beranggapan yang kehidupan adalah abadi, sebab saya tak fikir ada pemahaman sebenar tentang sebelum dan selepasnya. Oleh itu, berdasarkan pengetahuan ini, maka kehidupan adalah abadi. Tapi kalau kita nak habiskan masa dengan berjaga, saya tak nampak yang bangun tidur untuk kerja macam tiada hari esok adalah cara hidup yang betul. Itu memang gila. Sama juga dengan dunia pasaran; buat perkara sama setiap hari. Konsep yang mengatakan masa kita ialah kepunyaan syarikat?! Itu bukanlah cara untuk hidup.


Kebergantungan kepada diri sendiri ialah medium luar biasa untuk meneraju hidup, tapi apakah nasihat anda kepada orang yang dirundung ragu-ragu?

Saya berpegang kepada konsep tentang pengubahan sumber cahaya. Cara sesuatu itu dilihat berkait rapat dengan pantulan cahayanya. Kadang kala sesuatu itu nampak sukar untuk ditembusi, tapi mungkin kita cuma perlu tukar sumber cahayanya. Sebagai contoh, kalau awak rasa terbeban dengan kerja – awak tertekan tapi takut untuk keluar dari situasi itu, sebab awak rasa awak akan jadi tak relevan. Nasihat saya: relaks. Tukar sumber cahaya. Lihat pada situasi itu dan sedarlah bahawa biarpun ia penting kepada awak – dan saya juga akan kata benda sama pada diri sendiri – biarpun ia penting kepada kita, kerja kita sebenarnya tak masuk dek akal. Ketakutan kita tidak berasas. Awak cakap, “Ramai orang terinspirasi daripada awak,” tapi walau tahap macam mana sekalipun kemahsyuran, populariti atau apa jadah yang saya miliki ini diukur; ketahuilah bahawa 99.9% populasi dunia baik yang hidup atau mati tidak pernah dan tidak akan mengenali saya. Saya tak wujud. Terdapat seluruh kota agam di Indonesia yang tak ada seorang pun pernah dengar nama saya. Muzik yang saya mainkan tak penting. Dan kalau itu membuatkan saya tertekan, saya patut sedar yang ia tak masuk dek akal dan ketakutan saya tak bertempat. Sebab apa benda paling teruk yang boleh jadi pun? Serius, apa benda paling teruk yang boleh jadi dekat kita?


Yang saya tak menepati tarikh akhir. Saya akan rasa risau sebelum kami hantar cetak setiap minggu – iaitu sekarang. Ada suara dalam kepala saya berkata, “Anda akan terlepas! Anda seorang yang gagal!” Ada satu suara lagi macam, “Ini hanya majalah, bertenang sikit.”

Itulah pasal, ia tak penting. Tak ada apa yang penting. Hidup cuma satu garisan lurus. Cuma ada dua titik muktamad, satu pada permulaan dan satu lagi pengakhiran. Kita boleh berbahas sama ada memilih untuk beranak dikira sebagai satu titik lain. Yang lain adalah kedambaan – penambahan, pertambahan, dan percambahan. Cara kita bercakap, benda yang kita miliki, cara kita mengenal pasti diri; pada satu tahap, itu semua hanyalah muslihat. Sementara kita bercakap ini mungkin ada 100 orang lain telah dibunuh, mungkin 1000, siapa tahu; tapi keadaan itu tidak memberi apa-apa kesan kepada perbualan kita. Kalau kita letakkan sesuatu pada perspektif, kita akan sedar betapa ia tak penting. Jadi nilainya bergantung kepada kita, dan kalau kita mahu letakkan nilai, kenapa pula kita letakkan nilai-nilai negatif?


Saya boleh katakan yang anda berada dalam kelompok minoriti – minoriti yang mendapat hidayah – kerana bebas merasai diri umpama sebutir habuk di alam semesta. Tatkala masyarakat lebih cenderung kepada idea yang “saya mesti menjayakannya!” Mengapakah nisbah ini tidak seimbang?

Saya rasa definisi awak tentang masyarakat sedikit tersasar. Orang yang bekerja di ladang Vietnam, atau di mana saja, saya tak rasa mereka fikir, “Saya mesti menjayakannya!” Saya rasa mereka hanya buat kerja mereka. Awak di London. Awak bekerja dalam bidang yang obses dengan digital. Mungkin kerana ketidakpentingan medium tersebut, dan bila kita mengamatinya, ia mengakibatkan orang sangat ingin dilihat mustahak. Ia sangat bertentangan. Macam kita buat gula-gula kapas, tapi kita obses dengan nutrisi. “Kena ada zat di dalamnya!” kata mereka, sebab mereka tahu ia hanya gula-gula kapas. Saya bukan nak merendah-rendahkan. Orang takut bila memasuki usia 30 tahun, orang takut bila memasuki usia 40 tahun, jadi secara amnya orang memang suka rasa takut. Saya rasa ia adalah kelaziman. Kelaziman memberikan kita kefahaman. Dan orang tak boleh tenang dengan ketidakfahaman. Saya ada baca satu artikel tentang kapal angkasa yang ditugaskan untuk mengambil gambar, dan kalau tak silap Carl Sagan juga terlibat. NASA beritahu yang mereka hanya akan mengendalikan kamera itu apabila sudah sampai ke penghujung sistem solar. Selepas bertahun-tahun, apabila ia terkeluar dari sistem solar lalu NASA putuskan untuk membiarkannya sahaja, Sagan melobi untuk ambil sekeping lagi gambar – dan ia adalah gambar Bumi. Boleh awak bayangkan bagaimana rupa bumi dari luar sistem solar?


Seperti bintang?

Langsung tak macam bintang. Ia hanya titik kecil. Dan Sagan menuding ke arah titik kecil di dalam lautan angkasa yang sangat luas itu, lebih dari apa yang kita boleh bayangkan, atau timbal, dan beliau cakap, “Setiap idea yang pernah manusia fikirkan, setiap perselisihan, setiap perperangan, setiap perkara yang pernah terjadi, berlaku di situ.” Betapa sia-sianya kita sanggup mati disebabkan harta sedangkan ia merupakan habuk tak bermakna pada skala kosmos? Saya suka idea tersebut. Kerana ketidakpentingan sangat membebaskan. Jika kita berhenti fikir yang ini adalah tanah kita, maka kita akan bebas. Kalau itu tanah kita – harta aku, konsep aku, “scene” aku, masyarakat aku – kita dah kena mempertahankannya. Kita terikat dengannya.


Bagaimana dengan legasi? Adakah ia penting untuk anda?

Tidak. Saya sudah pun ada satu legasi dan sedar betapa ia berbahaya dan mengelirukan. Saya tak berminat dengan legasi dari segi reputasi saya. Akan tetapi, saya berminat untuk tinggalkan satu jejak. Saya rasa sangat jelas bahawa kerja yang saya lakukan – yang kita lakukan – adalah tentang budak-budak yang buat benda yang mereka mahu dan tunjuk ia boleh pergi walau apapun syarikat-syarikat gergasi cakap. Meninggalkan tanda, atau jejak, supaya orang tahu ia tak mustahil – saya harap itu akan memberi inspirasi kepada orang lain yang pasti akan tiba untuk buat perkara yang sama. Jadi, ya, saya berminat dalam melakukan dokumentasi – tujuan saya membina arkib adalah kerana rasa tanggungjawab sebagai penjaga. Kebanyakan hasil kerja saya tertumpu kepada idea yang bukan saja kita boleh bina jalan sendiri, malah kita juga boleh mengemudi di atasnya. Tapi masalah dengan jalan-jalan kecil ini ia dibina bersebelahan dengan lebuh raya yang panjang. Ia jarang digunakan dan menjadi terbiar; tumbuhan liar menjalar, kemudian orang pun ingat ia tak boleh dilalui. Mustahil untuk dilalui. Tapi ia sebenarnya boleh dilalui – cuma tak lama. Lebuh raya panjang kekal lama kerana para pemiliknya, yang mendirikan plaza tol, akan memastikan perkara itu. Ia hanyalah landasan yang berbeza. Dan penting untuk orang tahu bahawa wujudnya kemungkinan lain.


Apakah alat peneraju paling penting yang harus seseorang harapkan?

Saya tak boleh berpura-pura ada jawapan untuk awak. Tapi sampai satu tahap dalam hidup, saya putuskan yang asas untuk semua hujahan saya adalah ini: Kesakitan itu memeritkan. Ia hakikat untuk awak dan juga saya; saya tak mahu menyakiti orang lain kerana saya tak mahu disakiti. Permudahkan sesuatu dan kita akan nampak ia boleh dilakukan. Saya ada baca satu buku sewaktu berusia awal 20-an – oleh C. S. Lewis, kalau tak silap. Ada satu imej yang menggambarkan hidup sebagai sebatang pokok dan setiap keputusan yang kita buat adalah dahannya. Dan dari situ pula, setiap keputusan lain yang kita buat, adalah dahan yang lebih kecil, dan lagi kecil, sehinggalah sampai ke ranting. Pengarang tersebut menerangkan bahawa jika kita berada di dahan yang salah, jika kita buat keputusan yang tak baik, kita perlu kembali ke pangkal pokok – kerana bila di dahan itu, setiap keputusan yang kita buat akan salah. Itu adalah perkara yang mengagumkan bagi saya. Saya hanya meneraju, saya buat silap, jadi saya perlu kembali ke pangkal. Kerana di pangkal, hidup – kehidupan yang serba ringkas – sentiasa betul.



Terjemahan oleh Ashraf Sahdan

Illustrasi oleh Ismail Mohd & Ahmad Lutfi Selamat