Badass Bulan Ini

FILEM/PERSPEKTIF/SEMASA

Bulan Julai belum habis tapi Neon Berapi telah sepakat memilih personaliti Badass Bulan Ini. Kami berharap semua setuju.

George A. Romero – Matinya Seorang Punk Rocker Filem

George A. Romero meninggal dunia awal minggu lalu pada usia 77 tahun setelah relak-relaks melawan kanser dalam kadar waktu yang agak segera.

Macam karier dia memula dulu, Romero dengan gengnya relaks-relaks buat produksi The Latent Image masa tahun 60-an kat pedalaman Pittsburgh*. Diorang pesen buat apa je yang boleh – iklan, video pendidikan, porno. Janji berbayar. Masa tahun 1968, berkat pengumpulan duit yang dah jadi bukit, Romero dan gengnya buat Night of the Living Dead – sebuah filem seram yang impaknya sama macam lahirnya punk rock dulu. Dengannya, wujudlah genre filem zombi. Ia pecahkan dan setkan segala rules untuk cerita-cerita mayat hidup sesudah tu, dan Romero meneruskan karier sebagai sutradara seram sampailah ke akhir hayat.

Anyway, jangan risau. Ini bukan entri Wikipedia. Aku bukan nak senaraikan satu-satu filem yang dia buat. Tapi satu benda yang aku nak ingatkan ialah dia ni peminat filem. Kalau kau pernah selak naskhah kajian pasal dia macam Knight of the Living Dead dan George A. Romero: Interviews, kau tahu dia akan cerita pasal filem tu atau filem ni yang bagi dia ilham untuk memperisikan setiap inci frame filem dia. Dia akan kata dia nak sangat buat balik filem Tarzan la, Dracula la. Ada yang dah nak buat pun, tapi kita sendiri tahulah pengalaman perit Romero masa berpindah ke Hollywood pada tahun 90-an dulu, Jelasnya, dia lagi banyak buat duit untuk develop projek dari dapat duit untuk filem-filem yang dihasilkannya.

Apa-apapun, Romero memang suka tengok filem dan buat filem. Kau boleh feel kat segenap karya dia. Sebagai budak nerd yang membesar dengan tengok video-video sewa, filem Romero jadi nikotin dan dadah untuk memenuhi sisi gelap aku. Mula-mula seronok tengok adegan ganas je, lama-lama aku mula tertarik dengan kraf yang tersorok di celah-celah nukilan picisan dia. Romero sunting hampir semua filemnya sendiri, stail dia yang suka potong-potong (dengan syot yang tak sampai tiga saat lazimnya) bukan takat agak terkehadapan masa tu, tapi jadi gerbang pemahaman aku mengenai filem. Kebanyakan filem takde bajet tahu apa yang dia nak, tapi Romero selalu tahu apa yang dia buat. Dia percepatkan suntingan supaya orang tak sempat berkas sebarang cacat cela. Tapi dengan modus operandi ni jugak, dia boleh buatkan pejabat hari Ahad dan laman belakang rumah Tok Wan kau macam baru kiamat hanya dengan teknik suntingan. Antara sebab aku suka Romero adalah pendekatan dia yang macam takat meniaga kuih tepi jalan.

Satu lagi sebab (yang aku rasa lagi penting): Filem dia biasanya bercakap pasal something. Night of the Living Dead banyak dipuji sebab ketengahkan protagonis kulit hitam yang cukup rare waktu tu. Pun begitu, Romero selalu cakap ni cuma kebetulan sebab memang heronya tu “pelakon terbaik yang datang audition.” Bagaimanapun, bila pemilihan bintang tu menjadi bualan orang, ia menggalakkan Romero untuk memanjangkan lagi tema progresif dan komentar sosial dalam filem-filemnya selepas tu. Dewasa ini, waktu diversiti dan representasi sibuk dicanang, trilogi Dead oleh Romero dengan sekilas ikan di air kedepankan protagonis yang rata-ratanya perempuan atau bangsa kulit hitam.

Tapi filemografi Romero di sepanjang 70-an dan 80-an memang unik pun. Dia mampu jadi pengkarya outsider yang ada orang rela dump duit dan ada pawagam sanggup tayang. Scene filem exploitation 70-an memang open untuk semua orang, dan dah tentu ramai orang rasa berbaloi nak melabur kat pengarah Night of the Living Dead. Dengan kelebihan nilah Romero menghasilkan wacana proto feminis menerusi Jack’s Wife dan karya anti-agama dengan Martin. Tak cukup dengan tu, dia buat filem separa autobiografi yang diberi sentuhan medieval (of all things!) melalui Knightriders.

Romero melabuh tirai era emasnya dengan Creepshow serta Day of the Dead. Day pada asalnya dia tak suka dek permasalahan produksi yang gila teruk, tapi lama-lama jadi kegemaran peribadinya antara ketiga-tiga filem Dead yang asal. Sikap ni memang tertanam kat jiwa dia: Dia pandai ambik peluang – meskipun tak ideal mana – dan laksanakannya dengan pro. Walaupun berlaku banyak kekesalan dan peluang yang tak terlepas, dia selalu berpaling dengan kanta pragmatik; telan saja takdir yang tertulis dan bukannya dok bayang seribu kemungkinan. Setelah sekian lama mendiamkan diri, genre zombi tiba-tiba meletup balik dan tiru habis stail Romero. Ada yang kata pengarah ni patut dapat sepam dua royalti daripada pencipta The Walking Dead (sebagai contoh). Biarpun tahu hasilnya kena sadur, Romero tak pernah bitter. Malah, dia ambik kesempatan untuk terus berkarya. Pada usia 77 tahun dan dibebani kanser, Romero sedang dalam usaha untuk buat filem yang seterusnya. Kita yang demam sikit pun terus tangguh kerja dua tiga hari.

Romero bukan takat cipta sebuah subgenre seram. Dia melahirkan budaya pencipta filem jugak. Dari satu segi, semua pengarah dari luar seperti Shane Carruth sampai ke geng Da Huang memang dok kejar apa yang Romero nikmati. Kisah sekumpulan budak muda yang bergabung untuk menghasilkan sebuah filem kecil merupakan enjin mimpi yang menggerakkan industri filem indie masa kini.

Jangan bagi tahu diorang, tapi Romero hadir pada masa yang sangat tepat. Diorang mugkin boleh cuba, diorang mungkin boleh berjaya; tapi keajaiban cuma datang sekali seumur hidup dalam satu bentuk: George A. Romero.

 

*Bukan kebetulan istilah-istilah seperti “Pisang” dan “Biskut” pada tajuk filem zombi Mamat Khalid diilham dari pekan kecil ini.

 

 

Nazim Masnawi ialah seorang tukang buat sari kata, seorang adik bongsu, seorang Islam, dan seorang lelaki kali terakhir diperiksa.

Balik ke Atas