Bacaan tekanan darah bekas gitaris The Official dilaporkan pada paras tidak membimbangkan

/
1 min read

Satu khabar yang melegakan mat-minah oi, ska, punk, rock di seluruh negara.

KUALA LUMPUR — Amir atau lebih dikenali sebagai Amir Skinhead dikatakan melakukan pemeriksaan tekanan darah di tempat kerjanya Dapur NJ, sebuah restoran nasi ayam berwibawa berhampiran Hospital Ampang kira-kira jam 9 pagi tadi. Semasa pemeriksaan sedang berjalan, semua pekerja Dapur NJ menanti dengan wajah yang agak berdebar sebelum akhirnya berpelukan sesama sendiri sebaik mengetahui bacaan tekanan darah Amir.

Bacaan pada alat sukat berjenama Omron yang sering dimiliki pesara kerajaan di rumah itu mencatatkan 132 bagi tekanan sistolik dan 75 bagi tekanan diastolik Amir. Namun begitu Neon Berapi masih belum mendapat maklumat apakah itu sistolik dan diastolik dan perlu merujuk kepada doktor perubatan terlebih dahulu.

“Saya berasa lega, dan saya percaya semua peminat muzik juga berasa lega,” komen Rozani Razali, pelajar jurusan senibina di Universiti Greenwich, London, “kita semua sedia tahu darah tinggi bukanlah penyakit yang sesuai untuk seorang bintang rock,” sambung beliau ketika dihubungi dalam satu panggilan telefon.