SEMASA

Nyalakan API Dalam Malap Zaman

dalam PERSPEKTIF/SEMASA

“Jangan hanya merungut dalam gelap. Nyalakanlah lilin.”

 

Mungkin itu yang bermain dalam benak pelopor-pelopor gerakan pemuda anti-penjajah di sekitar tahun-tahun 1940an. Mungkin itu juga yang menjadi dorongan kepada Darwis seorang tukang jahit dari kelas marhaen bersama isterinya untuk bersengkang mata hingga dinihari kira-kira 71 tahun yang lampau untuk memastikan API muncul di khalayak kesedaran awam.

Darwis dan isterinya (yang tidak dinamakan) hanya muncul di lembaran memoir seorang tokoh API tanpa seorang pun dari kita mengingatinya walaupun hakikatnya, tanpa mereka berdua tak mungkin API lahir pada tarikh yang bersejarah tersebut.

Sejarah ternyata punya kecenderungannya yang tersendiri. Kecenderungan kepada tokoh. Tokoh diangkat sedangkan pelaku-pelaku yang turut menyumbang masa, tenaga dan jiwa raga mereka kepada pergerakan anti-penjajah tak terungkap di dalam naratif sejarah, baik yang dari arus perdana mahu pun dari arus pinggiran. Terpinggir hanya kerana mereka bukan tokoh seperti halnya yang terjadi pada Darwis dan isterinya.

Di mana mereka sekarang? Apa motivasi mereka? Apa impian mereka? Tanah Air yang bagaimana mereka idamkan? Bagaimana kesudahan hidup mereka selanjutnya tiada siapa yang tahu. Tapi tanpa sumbangan dan penglibatan aktif mereka, API mungkin tidak akan dilahirkan pada tarikh tersebut.

Darwis dan isterinya berkongsi nasib yang hampir sama dengan API yang mereka bidani. API adalah sebuah organisasi politik pemuda anti-penjajah yang turut hanya menerima sebaris dua kata dalam lembaran naratif rasmi sejarah nasional. Selebihnya API hampir dipinggirkan. Dilupakan dari memori kolektif sejarah kemerdekaan Tanah Air kita.

Kemungkinan besar ramai orang muda sekarang yang langsung tidak ada sebarang memori tentang API. Mereka mungkin punya memori kolektif tentang zaman kegemilangan Melaka. Memori kolektif tentang Tuah dan Jebat. Memori kolektif tentang UMNO yang melakukan perundingan di London untuk mendapatkan kemerdekaan.

Tapi mungkin ramai juga dari kita yang sedang membaca tulisan ini tiada langsung sebarang memori kolektif tentang API. Mungkin hanya namanya sahaja yang pernah kita dengar tapi tidak sejarahnya. Dari hayatnya yang pendek tapi penuh bergelora API merupakan gerakan pemuda Tanah Air yang paling digeruni oleh penjajah British.

Gerunnya penjajah British kepada API sehinggakan API menjadi organisasi politik yang pertama di Tanah Air kita yang diharamkan oleh British. Penjajah lebih takutkan API dari Parti Komunis Malaya (PKM). API mendahului PKM sebagai “the most wanted” bagi penjajah British sehingga ia perlu dihapuskan segera. Ironinya walaupun API dianggap oleh penjajah sebagai “the badass” zamannya tapi API tidak pernah diangkat sebagai pelaku penting yang menyumbang ke arah kemerdekaan Tanah Air kita.

Ternyata sejarah bukan hanya ditulis oleh mereka yang menang tapi mereka mahu kita, pemuda zaman kini melupakan tradisi radikal bangsa kita sendiri.

Tradisi radikal bangsa kita biarlah dipendamkan dan tak usah dirincikan kepada khalayak awam. Cukup sekadar sebaris dua kata dalam buku teks sejarah sekolah. Tak perlu khalayak awam khususnya orang muda tahu yang bangsa kita juga punya tradisi radikal dan gagasan-gagasan besar. Mungkin itu yang difikirkan oleh mereka yang ditugaskan untuk mencipta naratif sejarah nasional buat mengisi buku-buku teks sejarah untuk sekolah-sekolah.  Begitulah nasib API dalam naratif sejarah nasional bangsa kita.

API atau Angkatan Pemuda Insaf lahir pada 17 Febuari 1946 di Ipoh Perak dengan bantuan Darwis, Si Tukang Jahit dan isterinya yang tiada siapa tahu namanya. Tarikh kelahiran API itu juga adalah tarikh sambutan 6 bulan kemerdekaan sebuah negara baru Indonesia.

Indonesia negara tetangga bangsa serumpun baru sahaja membebaskan diri mereka dari penjajahan Belanda. Nah! Tanah Air kita bila lagi? Mungkin itu yang difikirkan oleh pelopor-pelopor API tatkala menghadapi zaman gelap sebagai anak jajahan. Pemuda harus bergerak. Pemuda harus berarak sebagai simbol kesediaan dan keberanian untuk merebut kemerdekaan dari penjajah. Berdiam diri dan merungut dalam gelap bukan pilihan.

Mungkin itulah yang menjadi dorongan untuk melahirkan API. Keinginan untuk bergerak aktif dan melawan bagi mencapai kemerdekaan Tanah Air. Merungut dalam gelap tidak akan membawa apa-apa perubahan. Nyalakanlah API!

Sepuluh bulan selepas kelahiran API, dan sepuluh bulan selepas gigih menyusun massa pemuda dari seluruh pelusuk Tanah Melayu, API akhirnya berjaya melangsungkan kongres pertama mereka di Melaka pada 22-24 Disember 1946. Di Kongres Pertama API itulah Testamen Politik API yang mengandungi idea inti API di dalam perjuangan merebut kemerdekaan Tanah Air dilancarkan.

Tapi kemerdekaan yang mereka inginkan bukan hanya kemerdekaan untuk Tanah Melayu ketika itu. Tapi kemerdekaan buat bangsa-bangsa yang masih terjajah merentasi sempadan ciptaan penjajah Eropah dan Siam. Kemerdekaan yang mereka citakan adalah kemerdekaan buat seluruh “Bangsa Melayu” di Alam Melayu atau Nusantara ini. Dari seluruh Kepulauan Indonesia, Wilayah Patani, Tanah Melayu, Kepulauan Borneo, sehinggalah ke Filipina.

Mereka mahukan kemerdekaan untuk seluruh bangsa “Melayu”. Idea “Melayu” mereka bukan hanya sekadar terbatas pada Melayu di Semenanjung semata-mata. Tapi “Melayu-Luas”. Melayu yang inklusif merangkumi seluruh anak-anak bangsa yang mendiami Alam Melayu ini. Melayu yang punya ciri-ciri keterangkuman merentasi sempadan geografi, batas budaya dan agama, tanah dan air yang membentuk Kepulauan Melayu. Inilah cita dan impian mereka.

Yang lebih menarik lagi idea “Melayu-Luas” ini tumbuh dan diperjuangkan oleh anak-anak Melayu dari Tanah Melayu yang datang dari kelas petani. Idea dan kesedaran “Melayu-Luas” mereka datang dari ranah akar-umbi yang berpusat di kampung, sekolah-sekolah pondok, sawah dan padi, serta kebun dan desa yang ketinggalan dan terpinggir dari arus modenisasi yang dibawa oleh penjajah British.

Ibrahim Yaakob, Ishak Haji Mohamad, Burhanuddin Al-Helmy, Ahmad Boestamam adalah antara tokoh yang terlibat baik secara langsung atau tidak langsung dengan API yang mengangkat idea “Melayu-Raya” yang berdasarkan kepada konsep “Melayu-Luas”. Mereka bukanlah datang dari kelas elit bangsawan. Mereka hanyalah anak-anak tanah jajahan dari kelas petani dan desa. Tetapi mereka membawa satu gagasan yang besar yang mengimpikan kemerdekaan sebuah bangsa Melayu dalam erti kata yang luas.

Kerana itulah mereka mengajukan idea kerakyatan yang berpaksikan kepada konsep “Melayu-Luas” dalam Perlembagaan Rakyat 1947. Dalam perlembagaan mereka itu, hatta orang Cina dan India sekali pun boleh diterima sebagai “Melayu.” Suatu idea yang besar dan jauh ke hadapan yang datang bukan dari kelas Melayu bangsawan, tapi kelas anak-anak Melayu petani dan desa.

Idea besar “Melayu-Luas” mereka ini yang turut merangkumi Cina dan India dan seluruh bangsa pribumi di Kepulauan Melayu atau Malay Archipelago ini sangatlah berbeza daripada idea “Melayu-Terbatas” yang diajukan oleh kelas elit bangsawan Melayu yang diwakili oleh UMNO ketika itu.

Kelas elit bangsawan Melayu menolak idea “Melayu-Luas”. Mereka lebih senang dengan idea “Melayu-Terbatas” ciptaan penjajah. Melayu yang ditakrifkan oleh Undang-Undang Tanah ciptaan British. Melayu yang dibatasi mengikut acuan sempadan penjajah British-Belanda 1824 dan juga British-Siam 1909. Kerana itu usulan untuk turut sama menyertakan Wilayah Melayu Patani di Selatan Siam ke dalam Persekutuan Tanah Melayu di kemudian harinya ditolak oleh kepimpinan elit bangsawan Melayu di Semenanjung.

Tapi API tidak melihat konsep “Melayu” sesempit itu. Melayu API adalah “Melayu-Luas”. Kerana itu tidaklah menghairankan bila salah seorang daripada tokoh utama API, Ahmad Boestamam dan pasukannya sanggup untuk melakukan perjalanan meredah hutan belantara hingga ke sempadan Siam untuk menyertai gerakan anti-penjajah Siam di Patani.

Tapi malangnya hasrat pasukan tersebut tidak kesampaian kerana pasukan penyambut dari Patani tidak datang ke tempat yang dijanjikan untuk membawa mereka masuk ke wilayah Melayu Patani.

Salah seorang daripada pelopor API, Abdul Rahman Rahim pula misalnya pernah bersama-sama bergerilya dengan gerakan kemerdekaan Indonesia melawan penjajah Belanda sebelum kembali ke Tanah Melayu. Idea “Melayu-Luas” mereka itu ternyata bukan hanya meniti di bibir semata-mata tapi turut mengalir dalam darah dan jiwa serta dibuktikan dengan perbuatan.

Dengan berbuatlah maka API dalam sejarah singkatnya itu berjaya menyusun dan mengumpulkan belasan ribu anggota pemuda dari seluruh Tanah Air kita dalam tempoh masa kurang dari setahun.

Menurut laporan risikan British, pada ketika itu anggota API bertambah dengan pesatnya daripada 2560 orang pada tahun penubuhannya 1946 hingga ke 10,000-15,000 tenaga pemuda pada pertengahan tahun 1947. Dalam tempoh kurang setahun ribuan pemuda-pemuda Melayu telah menyertai API dan terlibat di dalam latihan separa ketenteraan.

Latihan-latihan separa ketenteraan dan berkawad ini banyak dijalankan di sekolah-sekolah pondok di Semenanjung Tanah Melayu. Sokongan daripada tokoh-tokoh ulama tempatan seperti Ustaz Abu Bakar Bakir dari Madrasah Ehya As-Syarif dan Shaykh Junid Al-Tala yang memimpin Madrasah Al-Dinniah menyemarakkan lagi API dan meramaikan keanggotaan API di tingkat akar umbi. Ini menjadikan API sebuah tenaga pemuda yang cukup menggerunkan penjajah British.

Kondisi memanas di tahun-tahun 1946-1948 dan semangat berapi kelas pemuda yang mula menyatu untuk merebut kemerdekaan dari penjajah inilah yang menggusarkan kerajaan British. Akhirnya pada 30 Jun 1947, penjajah British mengharamkan API.

API tidak sempat membakar tapi semangat yang ditiup API ke dalam jasad dan jiwa anak-anak bangsa tidak terpadam sepenuhnya. Apabila Darurat diisytiharkan pada 18 Jun 1948, terdapat sebahagian daripada anggota-anggota yang pernah menyertai API (dan juga PKMM) sebelum API dan PKMM diharamkan telah turut melancarkan perang gerilya ke atas penjajah British.

Dua kampung yang menjadi markas utama API (dan PKMM) iaitu di Jenderam Hulu Langat dan Lubuk Kawah di Temerloh telah melancarkan perang gerilya yang sengit terhadap penjajah British dengan semboyan nasionalis radikal – merdeka dengan darah!

Dalam konteks hari ini tentulah agak kurang munasabah untuk melancarkan gerakan kemerdekaan kerana Tanah Air kita sudah pun merdeka. Begitu juga slogan ‘merdeka dengan darah’ yang dilaungkan oleh API tentulah juga kelihatan tidak relevan lagi bila yang menjadi pemerintah kita sekarang ini adalah anak bangsa sendiri.

Akan tetapi semangat API masih tetap relevan kepada kita semua khususnya kelas pemuda. API dalam Testamen Politiknya turut mengajukan kepada penyatuan seluruh tenaga pemuda tanpa mengira bangsa, agama, budaya dan keturunan demi suatu masyarakat yang lebih adil dan saksama diikat oleh rasa kebersamaan sebagai Bangsa Pemuda.

Bangsa Pemuda yang diajukan oleh API boleh kita sesuaikan pada masa kini sebagai suatu idea dan konsep di mana kemudaan sikap, idealisme, pemikiran dan keberanian serta gerak kerja yang gigih dan bersemangat tak mengenal erti kalah itulah yang mengikat kita dalam suatu kesatuan yang berpotensi menjadi tenaga perubahan yang cukup ampuh dan berkesan.

Ahmad Boestamam misalnya hanya berumur 26 tahun ketika beliau terlibat memimpin API. Dan anggota-anggota API di tingkat akar umbi kemungkinan besar ramai yang dari peringkat umur belasan tahun dan awal dua puluhan memandangkan latihan-latihan API banyak dilakukan di sekolah-sekolah pondok dan madrasah.

Cita-cita API untuk membangunkan sebuah negara-bangsa yang mengangkat nilai-nilai demokrasi kerakyatan, keberpihakan kepada kaum marhaen dan gerak kerja mereka yang aktif menyusun, bergerak dan melawan dengan penuh berani serta gigih terhadap regim penjajah, boleh dijadikan sumber rujukan dan inspirasi kepada kita pada masa kini untuk turut aktif dalam gerakan demokrasi dan perjuangan menuntut keadilan untuk semua anak Bangsa Malaysia.

Dengan kos sara hidup yang tinggi sekarang ini akibat GST, kekurangan rumah mampu milik, sewa rumah yang mahal, hutang pendidikan yang membebankan, pengangguran pemuda dan mahasiswa yang semakin meningkat, hutang negara yang berbillion-billion ringgit, soal kedaulatan negara akibat hutang kepada negara luar yang memprihatinkan, serta korupsi dalam kalangan penjawat awam dan politikus baik dari pihak pemerintah mahu pun pembangkang menjadikan zaman kita sekarang ini, walaupun tidak gelap seperti zaman penjajah, tetapi malap khususnya bagi pemuda dan rakyat marhaen. Di zaman yang malap sebeginilah penyatuan tenaga pemuda untuk menyalakan api perubahan menjadi sangat penting.

API boleh menjadi sumber rujukan kita. Beberapa nilai yang progresif dan inklusif yang dibawa oleh API pada 71 tahun dahulu masih boleh kita rujuk, mengangkat semula, dan nyalakan kembali bersesuaian dengan konteks masa kini.

Justeru itu dengan tujuan untuk menolak lupa dan menyuntik kembali sejarah API ke dalam kesedaran kolektif Bangsa Malaysia, pada 23hb Disember 2017 nanti suatu rapat umum dan pementasan semula perarakan API dalam konteks perjuangan pemuda masa kini akan diadakan di Kuala Lumpur.

Rapat umum memperingati 71 Tahun Kongres Pertama API ini dianjurkan oleh Malaysia Muda. Untuk maklumat lanjut, sila layari http://www.facebook/MalaysiaMuda.

Jangan hanya merungut dalam gelap. Ayuh kita nyalakan lilin bersama-sama!

 

Formula 1 Terakhir

dalam PERSPEKTIF/SEMASA/SUKAN

Mac 2009. Jumaat. 3.40 pagi. Media Registration Center (MRC), 50 meter dari registration tunnel. National press officer, seorang maintenance crew dan seorang analyst executive dengan buku checklist sedang memeriksa warna bunga di dalam pasu yang disusun di luar MRC. Kesemua mereka bermata barai. Tidur terakhir 20 jam sebelumnya -2 jam di atas sofa Media Centre- dan dihadapan mereka terdapat sebaris 12 pasu bunga. 3 darinya datang dengan warna yang salah. Kamu boleh melakukan kesilapan memilih pasangan hidup tapi tetap ke jinjang pelamin dengan sedikit perbincangan, mungkin satu dua tipu muslihat kamu dapat 5 zuriat tapi kamu tidak boleh biarkan matahari memulakan tugas 3 jam dari sekarang bila mana ada terdapat 3 pasu bunga yang tersilap warna di depan MRC. Mana boleh.

Sejam kemudian, 400 meter dari MRC, Nik -eksekutif penyiaran- sedang menghirup gelas kopi –styrofoam cup sebenarnya- yang ke-7 billion kali sejak dia memulakan tugas ‘pagi tadi’ di TV Compound. Pagi tadi bermaksud 2 hari lepas. Salah satu groupset walkie-talkie dari team live-feed tidak berfungsi dalam frekuensi biasa dan pesanan ringkas dari SMS yang diterima sebentar tadi meminta dia menyediakan frekuensi baru yang disahkan MCMC dengan kadar segera. “Kadar segera” ialah cara sopan penuh beradab untuk mereka –Formula One Management atau F.O.M- actually kata “10 f*****g minutes, you mother*****r you”.

Ah Siang bingkas bangkit selepas perbualan singkat telefon sebentar tadi. Capai kunci lori satu tan, bergegas ke Daihatsu Lite Delta ekzos separuh tercabut, kemudian ber-aryton senna ke nursery miliknya. 3 carnation warna periwinkle blue perlu sampai ke MRC sebelum pukul 6 pagi. Disaksikan unggas dan burung hantu, di pagi bertuah itu, lori Ah Siang telah memecahkan rekod kelajuan terpantas tidak rasmi untuk mana-mana Daihatsu Lite Delta dalam kategori Puchong -Litar Sepang. Dia tidak sedar pencapaian itu. Dia jauh lebih risaukan misi 3 pasu bunganya dan kontrak 3 tahun yang dalam bahaya dari hal-hal seperti itu. Hujung tip ekzos lori dia tertanggal terus di selekoh traffic light sebelum bulatan KLIA. Ini pun dia tidak sedar hinggalah 2 hari kemudian.

Menunggang 125Z ke Sepang, Najib cuba mengingati beberapa frekuensi yang telah di pre-approve untuk hal-hal emergency seperti ini. 2 sudah diambil team grid marshall sehari sebelumnya jadi ada 3 lagi. Masalah Nik di TV compound akan dia selesaikan sebentar lagi. 3 minit lebih cepat kalau dia tidak terbabas ke bahu jalan akibat satu ekzos lori tertanggal yang berada betul-betul di tengah jalanraya. “Binawe punya ekzos lori. Sikitttt jer lagi” bebel Najib merenung ke objek itu, sambil dia mengangkat semula 125z nya yang rebah di bahu jalan. Pada waktu-waktu sebegini, mereka yang dalam perjalan pergi kerja sama ada rajin atau gila. Najib, kedua-duanya.

Seminggu sebelum Formula 1, semua petugas SIC bertukar menjadi raksasa menakutkan. Actually, dalam 12 bulan, secara amnya staf SIC mempunyai dua saja karektor. Raksasa menakutkan 3 bulan menuju ke event besar dan langsung berubah menjadi mental crayon shin-chan, outcome akibat tekanan perasaan ketika berubah menjadi raksasa. Kami tidak pernah sempat untuk menjadi manusia biasa.  Kalau sebulan sebelum itu website administrator SIC pura-pura sibuk, seminggu sebelum Formula 1 dia jadi betul-betul sibuk. Sebulan sebelumnya COO mereka berada di Circuit Office seminggu sekali –ada 2 bangunan pejabat. Satu pejabat pentadbiran di Welcome Center, satu lagi circuit office di kawasan bangunan litar-, pad minggu Formula 1 dia berjalan kaki lebih 5 kilometer mengelilingi litar sehari 3 kali. Kalau di hari-hari bukan minggu Formula 1, makcik cleaner clearkan dustbin kami sehari sekali, hari itu dia buat sampai 3 kali. Unggas dan mergastua radius sekitar juga ikut turut busy di minggu Formula 1, saya, pernah terlalu busy sehingga pada satu tahap, saya literally perlu menggunakan 3 pasang walkie talkie dan 5 telefon bimbit pada masa yang sama. Saya tidak main-main. Sungguh. Kamu tidak ada idea betapa terlihat poyo-nya saya dengan kelengkapan elektrik keliling pinggang sebegitu. Untuk satu minggu, dedikasi seorang mat rock yang cool dan tidak kelam kabut perlu diketepikan dulu. Kalau kamu mahu ek-elehkan saya, ambil kira yang ini ialah one of those demi-negara punya pengorbanan.

Formula 1 ialah acara terbesar kami, tapi kami bukanlah penganjur. Untuk F1, kami  di sana hanyalah sebagai hos. Delegasi F1 yang dikepalai oleh F.O.M. akan secara praktis datang dan in a way memberitahu kami “look children, you favourite step mother has arrived and when I said I want it in 5 minutes, I mean half an hour ago. You follow?”. Dan kerana sikap mereka yang sebegini, kami di sana tidak begitu gemar sarkis ini. Berbeza dengan sarkis MotoGP yang datang dengan attitude yang agak Italiana; layback, easy going, happy-happy, Valentino Rossi. Tapi suka atau tidak, Formula 1 perlu berlaku. Demi negara.

Kesibukan bermula 6 bulan sebelum itu di peringkat komunikasi dengan F.O.M. tentang apa yang boleh dan tidak boleh kami sebagai hos dan penjual tiket, lakukan. Intensity sibuk meningkat 3 bulan kemudian. Ada monthly, weekly progress meeting di peringkat pengurusan dan hampir setiap hari ada pertemuan sebelum pulang peringkat department untuk kami sort out kan kerja-kerja kami yang inter-related. Pada peringkat ini, ketegangan meningkat. Bukan luar biasa kalau di sana sini terdapat situasi bertegang urat dan sedikit lagi mahu bertumbuk tapi kami telah diingatkan awal-awal oleh CEO; nothing personal. Kami bukan anjurkan pasal malam. Ini, tidak keterlaluan kalau dikatakan ialah event sukan terbesar negara dari segi pelaburan dinero. Perbelanjaan kerajaan, duit saya, kamu, kita semua dan kalau perlu bertegang urat kerana tanggungjawab kepada tax-payer, be it. Kalau perlu bertumbuk… tapi seingat saya tidak pernah berlaku. Tidak semasa hampir 5 tahun saya di sana. Tapi betul, ia intense.

Formula 1 ialah tentang apa berbeza-beza kalau ditanyakan kepada orang yang berlainan. Terok sebenarnya ayat sebegini sebab kalau kita cakap pasal apa sekalipun, ia berbeza untuk setiap orang tapi beri saya peluang guna ayat ini. Jangan nak jadi ass sangat. Cabaran terbesar kami ialah membawa kamu ke kaunter tiket dan beli tiket, bum on seat. Ini tidak mudah kerana, really, yang melihat F1 itu ialah kereta dengan rupa tak senonoh yang mencapai kelajuan 300 kilometer sejam lebih pantas dari kamu buat u-turn bila ternampak bekas makwe adalah dalam… 30 orang. 25 antaranya Mat Saleh, 2 dari Singapura, dan selebihnya orang Malaysia. 2 dari mereka dapat tiket complimentary. Eh Saripah, kamu janganlah lurus sangat. Way of saying Sherry, way of saying. 80 ribu lebih lagi punya alasan lain kenapa mereka beli tiket dan untuk yang tuduh saya mengkhianati Rock n Roll bilamana kami bawa dewa K-Pop Rain dulu tu, ingat kembali penerangan saya tadi pasal demi-negara. Dan demi negara, lebih 30 ribu orang beli tiket tahun tersebut tanpa menjejakkan kaki ke tempat penonton menyaksikan kereta aneh sedang berlumba. Kalau kamu letak pistol di kepala saya dan paksa saya come out dengan satu perkataan, saya akan cakap; atmosfera. Atmosferalah yang buat tiket dibeli dan F1 ialah sebahagian saja dari atmosfera itu. Sebahagian yang penting, sudah tentu.

F1 yang berlangsung tahun ini di SIC menjadi F1 terakhir sejak penganjuran pertama pada tahun 1999. Saya tidak mahu ulas banyak pasal itu. Saya lebih suka nyatakan di sini dengan pengalaman menjadi sebahagian warga kerja SIC sejak 5 tahun dulu, petugas-petugas di belakang tabir F1 sama ada kakitangan SIC, track marshall, medical officer, security, volunteer, grid girl, adalah antara panitia penganjur yang terbaik di dunia. Saya tidak main-main. Saya kenal mereka hampir kesemuanya. Salute.. salute.. salute.

Dan saya pasti ramai diantara mereka yang tersenyum kerana inilah kali terakhir mereka menjadi raksasa. Pesan peribadi saya kepada bekas rakan sekerja saya di sana; menjadi manusia normal not bad jugalah rupanya.

Punk Asshole melawan Punk Ivy League

dalam PANDANGAN/PERSPEKTIF/SASTERA/SEMASA

Pada era John Wick ini di mana garisan yang memisahkan antara anti-hero dan hero acuan moralis sudah semakin pudar, adalah amat menyedihkan apabila dunia aktivis kita semakin melupakan nilai-nilai terpinggir seorang pejuang kebebasan. Nilai terpinggir seorang bad boy pembela golongan tertindas, penyangak penegak keadilan dan asshole ilmuan berhaluan kiri, seorang PUNK. Ia mula perlahan-lahan dihakis dan digantikan dengan lunak seorang pejuang berpesona elit ivy league. Jika seorang aktivis itu bersifat poindexter pun, masih boleh diterima kerana mereka masih watak terpinggir, pemalu dan mangsa bulian. Seorang asshole membuli seorang poindexter atas nama keseronokkan, pada akhirnya nanti bulian itu semakin berkurangan kerana bosan dan hujungnya nanti mereka berkawan juga. Berbeza dengan seorang elit ivy league yang membuli seorang poindexter atas dasar kekuasaan dan naluri untuk memerintah dan memimpin semata-mata.

Memandaikan masyarakat adalah tanggungjawab besar. Setiap insan yang dahagakan ilmu dan berusaha ke arah membijaksanakan diri, secara nalurinya akan rasa terpanggil untuk memikul tugas itu dan melakukan sesuatu. Benar ia pekerjaan yang mulia, benar apa yang terpenting sekali ialah mencapai matlamat itu, dan benar juga antara ramai para bijaksana itu mereka berhak memilih cara mereka tersendiri. Tetapi ia menjadi kurang enak bila caranya kelihatan janggal, tampak terdesak dan tidaklah bergaya sangat.

Di sinilah fungsi prinsip mengambil-alih. Prinsip sifatnya bukanlah seperti lalang, mengikut arah angin atas keperluan. Bukan seperti anak nakal yang cuba menghisap rokok, tapi takut makwe tidak terima. Bukan seperti bawa kereta laju-laju macam nak kejar lampu kuning, tapi kemudian brek sampai berasap tayar. Itulah bezanya seorang idealist dan seorang opportunist, biar susah dan menderita asalkan prinsip tidak tergadai. Jadilah licik seperti seekor musang, bukan licik seorang usahawan.

“Tapi mana ada asshole yang ada prinsip dan idealist, tak asshole lah namanya tu.”

Tiba tiba ada brader rasta memintas kata-kata saya. Terasa gampang juga di hati memikirkan cebisan-cebisan kebenaran hujahnya itu. Maka dengan sabar saya membidas.

Asshole itu hanyalah sekadar analogi layman. Ia gambaran mudah karektor seorang PUNK yang tidak pedulikan keteraturan atau tertib pelaksanaan, yang mual dengan penunggang intelek. Pejuang bawah tanah, yang dasarnya menentang establishment, tidak pernah pun berminat menjadi ketua dan pemimpin gerakan kebebasan. Jauh sekali menjadi pejuang terhebat nombor satu. Lead for I shall not follow, follow for I shall not lead, laungan anarkis yang jika diterjemahkan kepada sastera akan berbunyi, “mampos ko la nak ikut sudah tak nak ikut sudah.” Yang secara konotasinya pula, mengukuhkan hujah tentang sifarnya keperluan untuk berasa hasad dengki atas kelebihan pihak lain atau keinginan untuk meraih perhatian. Tetapi benar, bukan semua punk bersifat asshole (punk yang boring), ada juga yang berhemah menyebarkan ilmu, ramai juga yang tahu menghormati golongan yang menentang dan skeptikal terhadap mereka.

Untuk tampak tidak peduli walaupun sebenarnya peduli (akan masalah dunia, akan perasaan orang) adalah suatu seni yang hanya mampu dihayati oleh orang yang membesar dengan muzik keras dan sering berselisih faham dengan guru disiplin. Ungkapan ini ditulis tanpa sokongan hujah yang konkrit kerana ia lahir dari rasa kerek dan privilege (atas pengalaman itu) semata-mata.

Jika diukur atas semangat memberontak dan melawan yang sejati, sebuah syarikat penerbitan berpengaruh yang ditimpa musibah kewangan baru-baru ini yang meminta simpati orang ramai, telah gagal. Untuk dibandingkan dengan sebuah syarikat penerbitan kecil berpusat di daerah terpencil itu, yang dikelilingi hutang sekian lama, tidak pernah walau sekalipun menggelabah dan gusar akan masa depan mereka yang kabur sejak mula.

Seorang bijaksana punk pernah berkata (Cobain atau MacKaye tiadalah pula pengesahan untuk di-google); “Kejayaan adalah musuh perjuangan. Apabila sesuatu yang kita usahakan sudah terlalu berjaya, berhenti dan mulakan yang baru.” (Prinsip ini bolehlah diaplikasi dalam penubuhan kugiran atau perniagaan idealistic.) MacKaye pula pernah menyebut, (jika tidak silap di dalam majalah HeartAttack atau Profane Existence.) “Kekalkan perniagaan anda dalam skala kecil. Semakin berkembang sesuatu perniagaan semakin sukar untuk dikawal.”

Logik pendapat ini selari dengan segala potensi kesulitan akibat pengurusan perniagaan yang semakin maju dan kompleks. Pertama sekali, punk tidak berminat pun untuk menjadi kaya, cukup sekadar kelangsungan hidup dan kelangsungan organisasi perjuangan. Keduanya, ia selari dengan semangat anti-establishment, anti-komersialisasi, anti-konsumerisme dan political correctness. Ada syarikat indie luar negara pernah pergi sejauh mengharamkan barcode pada produk mereka dan tidak mahu membalut CD atau kaset dengan plastik atas alasan mengurangkan kos tidak perlu dan mencabar budaya konsumer. Dan benar juga, walaupun asshole, ada banyak syarikat punk bertoleransi untuk tidak menghasilkan produk D.I.Y yang buruk dan murah kerana kasihan kepada konsumer yang berhak mendapat produk yang berkualiti.

Tidak perlulah saya menerangkan panjang lebar implikasi, dan kesan daripada kaedah perniagaan ala kapitalis di sini. Mengejar keuntungan, tamak, pengeluaran besar-besaran (kadang-kadang berlebihan), menjual populariti (komersialisasi), tawaran dan pakej menarik, membuka banyak cawangan dan chainstore dan sebagainya. Tidak salah bercita-cita tinggi, mahu berpandangan jauh (pandangan punk terlalu pendek barangkali), tidak mahu berada di takuk lama atau mencapai lebih ramai pembaca (pelanggan) agar ilmu dan mesej tersebar ke serata alam, bermesra dengan aliran arus perdana. Biarlah kedai kecil berasaskan model perniagaan mom’n’pop terlupus dimamah gentrifikasi dan penindasan dari orang tengah. Siapa suruh tak mahu maju.

Kembali kepada topik mengenai menjadi seorang asshole berhaluan kiri, bagi mengekalkan romantis asal seorang pemberontak sejati, yang tumbuh dari penindasan orang-orang yang tidak diberikan peluang setimpal, buruh bawahan yang hidup untuk hari ini esoknya belum tentu, yang semborono melakukan sesuatu secara spontan dan tanpa rancangan, yang tidak berdisplin, tidak tersusun, yang kasar, beatnik untuk setiap generasi mereka, artis yang sentiasa kelaparan, yang belajar dari buku yang dicuri, dari guru percuma, terpinggir dan rimas dengan manusia, liar dan sukar dikawal, mereka inilah yang mencipta ‘pemberontakkan.’ Selebihnya para ilmuan dan bijak pandai tertarik dengan pemberontakkan mereka, memimpin mereka, menyusun mereka, menjinakkan mereka, hingga hilang segala romantis dan keseronokan, hingga hilang kejutan, hilang taring, menjadikan perjuangan mereka bosan dan tidak lagi berjiwa. Kerana pada dasarnya mereka dalam kelas yang berbeza atau ‘orang luar’ yang tidak secukupnya memahami perjuangan orang gasar. Dan apabila revolusi akhirnya tercapai, hari pertama selepas revolusi, mereka semua menjadi konservatif.

Dan pemberontakan yang baharu bermula.

Thukul Cetak, buanglah nama Thukul itu…

dalam PERSPEKTIF/SASTERA/SEMASA

Seperti ribut taufan yang melanda, dunia buku di Malaysia gempar kerana isu penerbit buku Thukul Cetak yang melancarkan jualan “solidariti” dengan RM100 untuk 10 buku. Mereka berhutang sebanyak RM100,000 kepada kilang pencetak berpunca daripada cetakan 52 tajuk dan buku-buku yang berlebihan semasa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2017. Dalam istilah ekonomi, kita menamakan hal ini sebagai pengeluaran berlebihan atau “overproduction”. Dalam istilah kasar, kita menyebutnya sebagai ketamakan. Sama ada benar mereka tidak ada duit untuk membayar hutang itu atau sebaliknya, itu kita serahkan kepada Tuhan dan Thukul Cetak. Yang pasti, orang-orang dalam Thukul Cetak adalah pemain-pemain dalam industri buku. Mereka faham benar bagaimana ingin berniaga.

Tempoh masa terdekat ini juga sangat genting untuk Thukul Cetak. Beberapa waktu yang lepas mereka juga yang menjadi kontroversi kerana banyak isu. Daripada isu penerbitan terjemahan Mein Kampf – Hitler yang fasis, jualan buku Manifesto Komunis di Jakarta, menerbitkan buku Pak Latiff Mohidin tanpa kebenaran, masalah buku T. Alias Taib, tidak membayar penterjemah, memotong nama Triyanto Triwikromo pada buku Berbasikal ke Neraka (tajuk asal Bersepeda ke Neraka) sehinggalah isu buku Kisah-kisah Melawan dalam Al-Quran yang dianggap meniru buku Kisah-Kisah Pembebasan dalam Al-Quran (Eko Prasetyo), Thukul Cetak memang menghadapi banyak masalah. Tidak dapat dipastikan juga jika isu-isu itu sudah selesai atau belum. Tulisan ini tidak bermaksud untuk mengulas isu-isu tersebut. Dalam lumrah perniagaan pasti ada pasang surutnya dan kita sangat bersimpati dengan kejadian hutang yang menimpa mereka.

Namun, ada perkara yang perlu dipertanyakan kepada Thukul Cetak. Satu hal penting yang perlu dijejak kembali seawal penubuhan Thukul Cetak. Kenapa mengambil nama Wiji Thukul sebagai nama syarikat penerbitan? Apakah ada sebarang signifikan? Majalah Tumbuh yang diterbitkan oleh mereka juga diyakini diambil daripada nama Thukul yang bermaksud ‘tumbuh’. Ini belum lagi ditambah dengan slogan mereka “Keras dan Melawan” yang mewujudkan persepsi kepada masyarakat bahawa mereka ialah sebuah syarikat penerbitan yang melawan. Entah kebetulan atau tidak, slogan itu juga hampir sama dengan slogan penerbit buku di Indonesia, Resist Book yang menggunakan slogan “Baca dan Lawan”. Persoalannya, kenapa guna nama Thukul? Apa yang melawannya mereka? Mereka melawan apa dan siapa? Apakah mereka tidak tahu sejarah Wiji Thukul? Seorang kiri yang menentang kuat kapitalis. Sewaktu buku-buku kiri mereka sedang naik, Thukul Cetak bersikap bersahaja dan tidak membuat sebarang penafian. Terkini, mereka membuat pernyataan pula bahawa mereka ialah penerbit plural. Di manakah etika mereka sebagai penerbit?

Betul, Thukul Cetak boleh memberikan hujah bahawa di luar sana ramai lagi yang menjual buku dan kemeja-T berelemen kiri dan perlawanan. Kehidupan yang penuh pancaroba ini membuatkan ramai orang ingin menceburi bidang perniagaan supaya dapat bertahan dari segi ekonomi. Lebih-lebih lagi minat mereka pada kesenian. Golongan ini pula hanya terdiri daripada orang-orang kecil yang tidak mampu pun untuk ke konsert-konsert antarabangsa. Ataupun menaja percutian ke luar negara sebagai promosi mereka. Mereka juga tidak melakukan kerjasama besar dengan agensi kerajaan yang bersifat pro-kapitalis sebagaimana yang dilakukan oleh Thukul Cetak. Bahkan, sepengetahuan penulis, tidak ada yang menggunakan nama seumpama Wiji Thukul untuk menjual produk-produk mereka. Mungkinkah benar apa yang dinyatakan dalam buku “The Rebel Sell: How the Counter Culture became Consumer Culture?”. Malah, di Indonesia sendiri tidak ada yang berani untuk menggunakan nama Wiji Thukul. Mungkin, MarjinKiri dan Resist Book juga tidak mengenali betul Thukul Cetak.

Ia bukan sesuatu yang aneh jika muncul penerbit yang kewujudannya untuk keuntungan dan tidak mempunyai prinsip. Keuntungan yang diperoleh sudah pasti untuk mengembangkan syarikat penerbitan mereka. Ini bukan sesuatu yang baru. Ia jauh berlainan dengan penerbit-penerbit buku yang dicetuskan daripada gerakan atau organisasi tertentu. Contohnya, gerakan kiri yang menerbit buku dengan motif untuk mendanai pergerakan mereka dan sebagai alat materi mereka. Tujuan mereka terang-terang adalah untuk politik dan idea-idea mereka. Penerbit buku yang tanpa gerakan wataknya memang cuma ingin menjual sahaja. Ia adalah sesuatu yang sudah patut kita ketahui. Sama-sama ingin berdagang bagi kelangsungan hidup. Ia tidak perlu dibahaskan. Namun, apabila Thukul Cetak menggunakan nama Thukul, sentimen perlawanan, ingin memandaikan masyarakat atau slogan terbaru mereka “bangsa membaca bangsa melawan” supaya buku-buku mereka laku, kita pun tertanya-tanya seratus ribu soalan sebagaimana seratus ribu ringgit yang berjaya dikutip oleh mereka pada akhir kempen jualan kilat mereka.

Akhir kata, Thukul Cetak, buanglah nama Thukul itu…. Jika Wiji Thukul ada, pasti ditempelaknya anda kerana mengeksploitasi namanya. Anda pula tidak kiri seperti beliau. Dengan menggunakan namanya, anda sebenarnya hanya ingin menjual dan membuat laku sahaja. Penulis mengakui penulis takut kerana cuma menggunakan nama XX untuk menulis artikel ini. Sekurang-kurangnya, penulis tidak menyalahgunakan nama Wiji Thukul, dan tidak pula menggunakan laman sosial syarikat sendiri untuk memaki pengkritik-pengkritik dengan kata-kata makian….

Badass Bulan Ini

dalam FILEM/PERSPEKTIF/SEMASA

Bulan Julai belum habis tapi Neon Berapi telah sepakat memilih personaliti Badass Bulan Ini. Kami berharap semua setuju.

George A. Romero – Matinya Seorang Punk Rocker Filem

George A. Romero meninggal dunia awal minggu lalu pada usia 77 tahun setelah relak-relaks melawan kanser dalam kadar waktu yang agak segera.

Macam karier dia memula dulu, Romero dengan gengnya relaks-relaks buat produksi The Latent Image masa tahun 60-an kat pedalaman Pittsburgh*. Diorang pesen buat apa je yang boleh – iklan, video pendidikan, porno. Janji berbayar. Masa tahun 1968, berkat pengumpulan duit yang dah jadi bukit, Romero dan gengnya buat Night of the Living Dead – sebuah filem seram yang impaknya sama macam lahirnya punk rock dulu. Dengannya, wujudlah genre filem zombi. Ia pecahkan dan setkan segala rules untuk cerita-cerita mayat hidup sesudah tu, dan Romero meneruskan karier sebagai sutradara seram sampailah ke akhir hayat.

Anyway, jangan risau. Ini bukan entri Wikipedia. Aku bukan nak senaraikan satu-satu filem yang dia buat. Tapi satu benda yang aku nak ingatkan ialah dia ni peminat filem. Kalau kau pernah selak naskhah kajian pasal dia macam Knight of the Living Dead dan George A. Romero: Interviews, kau tahu dia akan cerita pasal filem tu atau filem ni yang bagi dia ilham untuk memperisikan setiap inci frame filem dia. Dia akan kata dia nak sangat buat balik filem Tarzan la, Dracula la. Ada yang dah nak buat pun, tapi kita sendiri tahulah pengalaman perit Romero masa berpindah ke Hollywood pada tahun 90-an dulu, Jelasnya, dia lagi banyak buat duit untuk develop projek dari dapat duit untuk filem-filem yang dihasilkannya.

Apa-apapun, Romero memang suka tengok filem dan buat filem. Kau boleh feel kat segenap karya dia. Sebagai budak nerd yang membesar dengan tengok video-video sewa, filem Romero jadi nikotin dan dadah untuk memenuhi sisi gelap aku. Mula-mula seronok tengok adegan ganas je, lama-lama aku mula tertarik dengan kraf yang tersorok di celah-celah nukilan picisan dia. Romero sunting hampir semua filemnya sendiri, stail dia yang suka potong-potong (dengan syot yang tak sampai tiga saat lazimnya) bukan takat agak terkehadapan masa tu, tapi jadi gerbang pemahaman aku mengenai filem. Kebanyakan filem takde bajet tahu apa yang dia nak, tapi Romero selalu tahu apa yang dia buat. Dia percepatkan suntingan supaya orang tak sempat berkas sebarang cacat cela. Tapi dengan modus operandi ni jugak, dia boleh buatkan pejabat hari Ahad dan laman belakang rumah Tok Wan kau macam baru kiamat hanya dengan teknik suntingan. Antara sebab aku suka Romero adalah pendekatan dia yang macam takat meniaga kuih tepi jalan.

Satu lagi sebab (yang aku rasa lagi penting): Filem dia biasanya bercakap pasal something. Night of the Living Dead banyak dipuji sebab ketengahkan protagonis kulit hitam yang cukup rare waktu tu. Pun begitu, Romero selalu cakap ni cuma kebetulan sebab memang heronya tu “pelakon terbaik yang datang audition.” Bagaimanapun, bila pemilihan bintang tu menjadi bualan orang, ia menggalakkan Romero untuk memanjangkan lagi tema progresif dan komentar sosial dalam filem-filemnya selepas tu. Dewasa ini, waktu diversiti dan representasi sibuk dicanang, trilogi Dead oleh Romero dengan sekilas ikan di air kedepankan protagonis yang rata-ratanya perempuan atau bangsa kulit hitam.

Tapi filemografi Romero di sepanjang 70-an dan 80-an memang unik pun. Dia mampu jadi pengkarya outsider yang ada orang rela dump duit dan ada pawagam sanggup tayang. Scene filem exploitation 70-an memang open untuk semua orang, dan dah tentu ramai orang rasa berbaloi nak melabur kat pengarah Night of the Living Dead. Dengan kelebihan nilah Romero menghasilkan wacana proto feminis menerusi Jack’s Wife dan karya anti-agama dengan Martin. Tak cukup dengan tu, dia buat filem separa autobiografi yang diberi sentuhan medieval (of all things!) melalui Knightriders.

Romero melabuh tirai era emasnya dengan Creepshow serta Day of the Dead. Day pada asalnya dia tak suka dek permasalahan produksi yang gila teruk, tapi lama-lama jadi kegemaran peribadinya antara ketiga-tiga filem Dead yang asal. Sikap ni memang tertanam kat jiwa dia: Dia pandai ambik peluang – meskipun tak ideal mana – dan laksanakannya dengan pro. Walaupun berlaku banyak kekesalan dan peluang yang tak terlepas, dia selalu berpaling dengan kanta pragmatik; telan saja takdir yang tertulis dan bukannya dok bayang seribu kemungkinan. Setelah sekian lama mendiamkan diri, genre zombi tiba-tiba meletup balik dan tiru habis stail Romero. Ada yang kata pengarah ni patut dapat sepam dua royalti daripada pencipta The Walking Dead (sebagai contoh). Biarpun tahu hasilnya kena sadur, Romero tak pernah bitter. Malah, dia ambik kesempatan untuk terus berkarya. Pada usia 77 tahun dan dibebani kanser, Romero sedang dalam usaha untuk buat filem yang seterusnya. Kita yang demam sikit pun terus tangguh kerja dua tiga hari.

Romero bukan takat cipta sebuah subgenre seram. Dia melahirkan budaya pencipta filem jugak. Dari satu segi, semua pengarah dari luar seperti Shane Carruth sampai ke geng Da Huang memang dok kejar apa yang Romero nikmati. Kisah sekumpulan budak muda yang bergabung untuk menghasilkan sebuah filem kecil merupakan enjin mimpi yang menggerakkan industri filem indie masa kini.

Jangan bagi tahu diorang, tapi Romero hadir pada masa yang sangat tepat. Diorang mugkin boleh cuba, diorang mungkin boleh berjaya; tapi keajaiban cuma datang sekali seumur hidup dalam satu bentuk: George A. Romero.

 

*Bukan kebetulan istilah-istilah seperti “Pisang” dan “Biskut” pada tajuk filem zombi Mamat Khalid diilham dari pekan kecil ini.

 

 

Nazim Masnawi ialah seorang tukang buat sari kata, seorang adik bongsu, seorang Islam, dan seorang lelaki kali terakhir diperiksa.

Balik ke Atas