Pelajaran Sejarah di Universiti: Menuju Kekaburan

/
15 mins read

Saya ialah seorang guru sejarah di sebuah universiti. Sebelum markah peperiksaan akhir tahun dikeluarkan, kami akan bermesyuarat. Mesyuarat ini ada beberapa tujuan. Antaranya untuk menilai prestasi markah para pelajar, menganalisis corak (pattern) kehadiran pelajar-pelajar di kelas serta tahap dan kualiti soalan-soalan peperiksaan yang dibuat — sama ada selari dengan kemahiran dan kefahaman pelajar atau tidak. Seperti di mana-mana universiti, mata pelajaran yang saya ajar tidak lari daripada beberapa pembahagian yang mempunyai peratusan pemberat yang berbeza. Walaubagaimanapun, pembahagian ini adalah berbeza antara mata pelajaran-mata pelajaran yang lain. Untuk mata pelajaran saya, pembahagian ini terpecah kepada beberapa bahagian penilaian iaitu ujian (lisan dan bertulis), tugasan berkumpulan (satu dan dua) serta peperiksaan akhir semester.

Semester ini, prestasi pelajar-pelajar saya masih sama. Kurang memberangsangkan khususnya dalam aspek markah peperiksaan akhir. Berbeza dengan tugasan dan ujian, para pelajar nampaknya sangat lemah dalam hal menjawab peperiksaan akhir yang memerlukan daya usaha individu (bukan berkumpulan). Apakah daya usaha individu itu? Dalam konteks ini adalah — membaca, memahami dan menulis karangan tentang apa yang telah mereka sudah belajar di dalam kelas.

Pada hujung semester, para pelajar dikehendaki untuk memberi maklum balas terhadap mata pelajaran yang telah diambil semester itu. Maklumat daripada maklum balas yang didapati daripada para pelajar ― mereka tidak gemar subjek sejarah. Mata pelajaran yang diambil itu hanyalah merupakan ‘takdir’ yang harus ditelan akibat daripada keputusan birokrat-birokrat kementerian yang mewajibkan para pelajar universiti mengambil subjek teras ini.

Lalu, saya ditanya oleh Ketua Jabatan — sebuah soalan yang maha sukar dan menjadi polemik dalam mana-mana universiti di belahan-belahan dunia mana sekalipun, “Bagaimanakah caranya untuk menaikkan minat para pelajar terhadap mata pelajaran sejarah?” Saya terkesima dan termenung kira-kira lima belas saat. Sekonyong-konyong muncul wajah Tun Mahathir dengan muka garang menunjal-nunjal dahi saya dan berteriak-teriak, “60:40! 60:40! 60:40!”

Soalan ini sangat berat. Soalan ini tidak mempunyai jawapan objektif. Soalan ini merentas ruang dalam dewan kuliah dan kelas. Soalan ini tidak mempunyai jawapan binari: malas-rajin. Soalan ini sebenarnya adalah persoalan falsafah yang terkait dengan seluruh struktur, infrastruktur dan superstruktur. Tetapi sudah pasti saya redamkan sahaja ― jawapan yang saya persembahkan kepada Ketua Jabatan hanyalah sebuah senyuman paling manis.

REVOLUSI INDUSTRI KE-4

Selain daripada ribut Irma yang sedang melanda Amerika Syarikat saat tulisan ini dihasilkan, dunia juga dilanda ribut Revolusi Industri ke-4 (RI-4). Perkara ini juga ribut-ribut diperkatakan dalam masyarakat ― khususnya dalam kalangan syarikat-syarikat dan pemodal-pemodal. Lalu apa perkaitannya RI-4 dengan budak-budak saya lemah sejarah?

Begini, sejarah tidak harus dibaca secara naratif. Apalagi metanaratif. Menyebut tentang sejarah, izinkan saya berbeza pendapat dengan Faisal Tehrani di dalam novel Bedar Sukma Bisunya yang menegaskan bahawa — sejarah berlaku secara tiba-tiba. Faham sejarah saya berbaur materialisme. Lebih tepatnya, materialisme atas sejarah. Saya menganut faham bahawa sejarah sebenarnya terjadi atas sebab dan akibat determinisme ekonomi. Sejarah tercatit berdasarkan ketentuan ekonomi. Ini bermaksud, atas kehendak ekonomilah sejarah dilukis, dilakar, ditatap dan ditafsir umum.

RI-4 adalah tuntutan ekonomi hari ini — yang secara sedar ― bakal (sebahagiannya telah) mengorbankan ramai buruh-buruh kilang, syarikat-syarikat dan lain-lain perusahaan akibat daripada kegilaan para birokrat terhadap kecerdasan buatan (Artifical Intelligence). Adalah lumrah perniagaan dalam sistem kapitalisme untuk memaksimumkan produksi terhadap sumber yang terhad. Rasionalnya? Pengeluaran produk dalam skala besar adalah demi memenuhi tuntutan pasaran. Maksimum output, minimum input. Ini adalah akidah — akidah yang harus dipegang oleh mana-mana perniagaan; semuanya atas sebab untuk memaksimumkan keuntungan.

Apakah perlunya lagi manusia jika pekerjaan yang sama boleh dilakukan oleh robot-robot yang tidak haus, tidak lapar, tidak beranak, tidak perlu ambil Emergency Leave (EL), tidak demam dan ambil Medical Certificate (MC), tidak perlu tidur dan tidak kepada segala tuntutan yang lain-lain lagi? Jawapannya sudah tentulah tidak perlu. Habis ke mana mahu dihantar buruh-buruh yang kerja mereka bakal diganti robot ini? Jawapannya, hantar sahaja ke neraka. Mereka tidak kompeten. Kudrat mereka perlu dibayar berkali-kali. Mereka akan jatuh sakit. Mereka akan tiba-tiba ambil Emergency Leave sebab anak sakit. Mereka akan berhenti kerja sebab mencari upah lebih untuk menyara keluarga akibat tekanan ekonomi. Mereka akan kompelin itu ini.

Faham materialisme berpegang bahawa tugas negara adalah untuk melayan (cater) kepentingan-kepentingan kapitalisme. Oleh disebabkan itulah wujudnya golongan yang dikenali sebagai golongan satu peratus – yang berkuasa menentukan letak duduk sesuatu perkara dalam melibatkan kepentingan negara.

Lalu dalam hal ini, sistem pendidikan tidak terkecuali terlibat dalam pembuatan keputusan semata-mata untuk melayani kehendak pemilik-pemilik modal. Talbis-talbis yang sedap didengar pada masa kini wajib mengandungi ciri-ciri (sekadar menulis beberapa perkataan popular), ‘berdaya saing’, ‘berdaya kreatif’, ‘kompetitif’, ‘kemahiran tinggi’, ‘serba boleh’, ‘anjal’ (fleksibel) dan ‘kebolehpasaran’.

Nah, dimana harus diletakkan sejarah? Kalau menurut tuntutan zaman ini, yang penting adalah untuk menjadi manusia teknis yang lengkap dengan ciri-ciri yang telah saya tuliskan tadi. Lengkap semuanya, InsyaAllah, masuklah kita ke dalam pasaran. Hiduplah kita. Inilah yang barangkali tafsiran ‘menjadi orang’. Sejarah tidak ada dalam perkara ini. Tidak penting dan tidak jadi kudis pun kalau tiada. Yang paling penting adalah bagaimana membentuk manusia-manusia teknis.

Sejarah tidak menghasilkan komoditi. Subjek sejarah hanya mengenang perkara-perkara lalu. Sejarah tidak berguna satu sen pun untuk membangunkan syarikat-syarikat dan kilang-kilang. Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) baru-baru ini mengumumkan enam bidang pengajian yang sukar untuk mendapat pekerjaan setelah graduan menamatkan pelajaran, salah satunya adalah Sains Sosial. Saya fikir, bidang ini bukan mentah dalam menjuarai carta ‘pengajian yang tak ada kerja’. Sejak zaman-zaman Dasar Ekonomi Baru (DEB) saya fikir Sains Sosial sudah perlahan-lahan mampus. Padahal, jika kita semak kembali latar pendidikan para birokrat atau ahli-ahli politik generasi lalu, majoriti daripada mereka mengambil bidang sastera sebelum ditawarkan pekerjaan yang stabil dan gaji yang sedap. Tahun-tahun mereka betul-betul seperti tahun-tahun ‘Impian Amerika’ (American Dream). Tidak pula kita dengar perkataan ‘kompeten’ bergema pada waktu itu. Mahasiswa pada di zaman itu saya fikir lebih radikal dan sensitif terhadap sejarah dan hal-hal kemanusiaan. Setakat ini, (berdasarkan pengetahuan dan pembacaan cetek saya) mungkin Prof. Muhammad Abu Bakar sahaja yang benar-benar terkenal mengupas tentang peranan mahasiswa dan idealisme mereka di Malaysia.

Lemah dalam sejarah tidak mengapa, yang paling penting adalah daya keusahawanan.

PEMBELAJARAN ABAD KE-21

Ada dua kaedah pembelajaran yang menjadi perdebatan dalam kalangan pendidik pada hari ini – moden dan tradisional. Hal ini seolah-olah mengingatkan saya kepada polemik Kaum Tua dan Kaum Muda yang pernah rancak diperdebatkan dahulu. Kaum Tua adalah golongan yang tradisional, yang rileks-rileks, yang guru bercakap; murid diam mendengar. Kaum Muda pula yang lebih progresif, lebih rancak, terbuka dan lebih berpendapat.

Persis Kaedah Pembelajaran Abad ke-21 (selepas ini KPA-21), secara ideanya pelajar harus mengambil bahagian secara aktif dalam kelas. Guru hanya bertindak sebagai fasilitator. Pelajarlah yang harus mencari maklumat tentang klu-klu yang diberikan oleh guru merangkap fasilitator itu tadi. Mencari maklumat ini pula haruslah dengan menggunakan pelbagai medium – yang paling terkini haruslah telefon pintar atau komputer riba. Maka, ma’na guru tadi perlahan-lahan hilang – seperti yang berlaku dalam RI-4 yang telah dibahas tadi. Mesin menggantikan guru sebagai tukang pemberi maklumat. Maklumat ada di mana-mana. Inilah modenisasi dan globalisasi. Semuanya rentas-rentas.

Tidak cukup untuk sekadar menjadi seorang manusia teknis, pelajar harus menjadi seorang ubermensch. Adiwira moden ini harus pantas membuat kerja dan luas pula meneropong pemandangan-pemandangan di ceruk-ceruk negara yang lain. Pelajar harus mempunyai ciri-ciri berdaya saing, berdaya kreatif, kompetitif, kemahiran tinggi, serba boleh, anjal (fleksibel), kebolehpasaran dan berjiwa usahawan. Ya, usahawan. Pelajar kita harus menjadi usahawan. Hanya kekayaan sahaja yang mempunyai upaya besar untuk kita mengubah kehidupan dan dipandang tinggi. Menurut semangat zaman ini, pemikiran kita harus binari dan aritmetik. Harus benar-salah, hitam-putih, kaya-miskin atau bodoh-pandai. Kita juga mengalami krisis nilai, yang mana sesuatu perkara atau pekerjaan itu harus diletakkan angka-angka sebagai indikator. Perkara-perkara abstrak juga perlu kita letakkan nilai-nilainya. Perkara ini dinamakan sebagai reifikasi. Saya lupa di mana saya membaca tentang reifikasi ini, sama ada dalam Utusan atau Mastika.

Berbalik kepada meletakkan nilai kepada sesuatu yang abstrak – dalam hal ini, nilai akademia diletakkan nombor tiga, empat atau mungkin nombor lima dalam menentukan ‘manusia-nya’ seseorang insan. Kekayaan 1, intelektual 0. Tentang serangan-serangan terhadap intelektual, hal ini sebenarnya telahpun dikupas oleh seorang sarjana kusut masai bernama Zizek secara mendalam dalam siri-siri syarahannya. Bukan sahaja Zizek, malah sarjana-sarjana terdahulu dan kontemporari ― sudah dan masih ― berjuang mempertahankan intelektualisme meskipun telah lembik-lembik, lebam-mebam serta birat-birut ditinju-tinju oleh kehendak pasaran.

KPA-21 tidak sahaja perlahan-lahan menghilangkan ma’na dan falsafah guru-murid, namun secara lebih lagi membentuk sebuah masyarakat yang ‘tidak berakar tunjang’ dalam konteks ilmu. Saya cuba memetik pendapat penulis misteri bernama Affandi Hasan tentang perlunya dibezakan tentang konsep: ilmu, maklumat dan pengetahuan. Ketiga-tiga perkara ini dibahaskan secara rapi oleh Al-Attas melalui gagasan ta’dib atau adab-adab dalam konteks ilmu. Ayah saya ― juga seorang bekas guru ― cukup pesimis terhadap kaedah ‘moden’ ini. Baginya, “…pada akhirnya, kita hanya akan melahirkan generasi yang cuma pandai meniru.” Ya, saya tahu – perbahasan peniruan atau mimesis ini juga akhirnya akan terjun ke ruang tautologi. Justeru, kita tinggalkan perbahasan itu di sini.

Rata-rata anak muda yang saya ajar nampaknya inginkan ‘keseronokan’ dalam belajar. Keseronokan ini pula ditafsirkan dengan perlunya elemen-elemen bermain di dalam kelas. Bermain sambil belajar. Keseronokan dalam belajar mungkin relatif bagi semua orang. Namun, yang saya dapat lihat adalah; keseronokan dalam takrifan bermain sama sekali tiada korelasi dengan kefahaman terhadap pelajaran selagi mana anak-anak muda tidak diajak untuk membaca dan lebih penting ― berfikir. Generasi ini dikatakan sebagai generasi yang cekatan terhadap teknologi dan mudah bosan ketimbang gaya lama. Fikir saya, bagaimana pula penerimaan orang-orang di dalam industri ― kelak ― yang sarat tradisi dan tradisional dan telah beku serta banal dengan keseimbangan (equilibrium) pasaran ― terhadap anak-anak muda yang suka bermain ini?

Mungkin pada waktu itu (atau sekarang pun sudah berlangsung) pasaran lebih anjal dan serta merta ― jika sempat ― berubah. Maka pada waktu inilah segala anak muda adiwira ini akan berperang sesama sendiri dan segelintir yang serba teknis akan berjaya menembus ke dalam sistem serta mendapat kerja, beranak dan mati.

KEMANA AKHIRNYA?

Kemana akhirnya akan saya kemudi untuk menoktahkan tulisan ini? Jawapan saya tidak kemana-mana. Sama seperti sistem pendidikan kita yang tak tahu entah kemana hala mahu dibawa anak-anak generasi Millenial ini. Suruh mereka seronok dan bermain-main dalam kelas semasa belajar (baca: gamification) tetapi mengamuk bila anak-anak ini menulis resume main-main minta kerja bila sudah keluar universiti. Universiti pula dikorporatkan segala-galanya.

Tulisan ini tidak langsung berhasrat untuk menelurkan sebuah penyelesaian. Tulisan ini hanya tersekat pada proses ‘pengajuan masalah’ mengikut garis panduan untuk menyelesaikan masalah-masalah seperti yang pernah ditetapkan oleh Hussein Alatas. Permasalahan ini bukan terletak di pundak universiti sahaja, malah seperti yang telah saya nyatakan awal-awal tulisan sebelum ini bahawa permasalahan ini terkait dengan seluruh gagasan struktur, infrastruktur dan superstruktur.

Saya fikir yang penting adalah manusia itu harus sedar akan hakikat dirinya – bahawa dia tidak harus terperangkap dalam definisi-definisi yang objektif. Saya fikir bahawa pelajar-pelajar harus diajar untuk benar-benar membaca dan berfikir. Saya pernah mendapat maklum balas tentang, “Apakah harapan anda untuk kelas ini?” dan jawapannya antara lain adalah; “…kurangkan belajar dan banyakkan aktiviti di dalam kelas.”

Jujurnya, saya tidak pasti sama ada perkara ini menjurus kepada kebaikan atau keburukan. Kesannya tidak dapat dipastikan dengan benar-benar pasti kerana proses ini baru berlangsung. Tetapi melalui pengalaman-pengalaman lepas, menuntut ilmu memang sesuatu perkara yang serius dan memerlukan daya pengamatan yang tinggi.