Valar Moghulis

PANDANGAN/PERSPEKTIF Teks oleh: Johan Radzi

Sekarang, Game of Thrones musim tujuh. Kita sekarang berada di episod tiga daripada saga agung ini dan kita tahu kita cuma berbaki empat episod lagi sebelum musim baru akan datang lagi tahun hadapan. Berbagai-bagai pertanyaan menujah-nujah minda ketika kita menanti kedatangan Malam Panjang yang digeruni. Siapakah pencipta asal White Walker? Bolehkah Tujuh Kerajaan bersatu sekali lagi sepertimana di bawah Dinasti Targaryen? Apakah identiti sebenar John Snow dan bagaimanakah Ibu Naga akan menghadapi seterunya yang merancang licik di balik King’s Landing? Apa pula wahyu yang akan diberikan Bran Stark kelak?

Bagi saya, musim ketujuh ini barangkali musim yang paling menarik berbanding musim-musim sebelumnya. Kita melihat Jon Snow yang asalnya seorang Penjaga Malam didaulatkan sebagai Raja di Utara, sejurus selepas kemenangan di Winterfell menewaskan Ramsay Bolton. Daripada seorang anak luar nikah kepada seorang raja. Dari Essos, Ibu Naga Daenerys Targaryen akhirnya merentasi Lautan Sempit dengan bala tentera tiga ekor Naga, segerombolan Dothraki, Second Sons, dan The Unsullied dengan tujuan merampas Takhta Besi daripada kerabat Lannister. Dua perkembangan ini tentu menarik untuk diikuti, apabila plot mulai berpisah daripada perkembangan enam musim di belakang.

Yang menarik untuk kita lihat reaksi sudah tentu juga Permaisuri Cersei. Sepanjang enam musim kita meneka bahawa perilaku-perilaku licik dan ganasnya terbit daripada kecintaan terhadap tiga anak yang dibapakan bersama Jaime Lannister. Dia menyanggupi apa-apa sahaja asalkan untuk melindungi mereka daripada kejahatan. Namun apabila satu-satu mati akibat tragedi, diakhiri oleh Tomnen yang terjun daripada jendela di hujung musim enam, kita tahu Cersei akan berubah selamanya. Didaulatkan sebagai pemerintah baru Tujuh Kerajaan, kita akanmelihat kemurkaan seorang ibu ke atas penentang-penentangnya.

Di antara ketiga-tiga watak besar ini ada seorang watak yang sedang bermain bidak. Dia Littlefinger, penjaga rumah pelacuran yang diserbu kaum pentaksub di King’s Landing. Pada penghujung musim enam kita ketahui akan kesukaannya kepada Sansa Stark dan impian untuk memerintah di atas takhta besi. Tujuan si tok dalang yang selama ini mencetuskan kontroversi dan perbalahan akhirnya dibongkarkan di bawah salju Utara.

Selain keempat-empat ini, terdapat juga beberapa watak yang menuntut perhatian kita. Antaranya Sansa Stark, Arya Stark, Bran Stark, Samwell Tarly, Randyll Tarly, Tyrion Lannister, Jaime Lannister, The Hound, Melissandre, si sida, serta adik beradik Greyjoy yang kini berpecah.

Kita menonton siri televisyen sebelum ini dan kita memang suka terpaku di depan televisyen namun mengapa GOT begitu mempesonakan?

Jawapannya saya fikir barangkali terdapat pada hakikat yang diucapkan Jaqen H’ghar, “Valar Morghulis.” Setiap insan akan mati. Ia kedengaran seperti sepotong ayat dari Quran atau sabda-sabda New Age namun ini adalah pegangan kaum yang menyembah Tuhan Berbagai Wajah di Essos. Ini juga akhirnya yang menjadi intipati kepada setiap penceritaan GoT. Tidak seperti naratif-naratif kontemporari lain, GoT bermain dengan idea ‘setiap insan akan mati’ untuk perkembangan plotnya. Saya beri misalan mudah: kita menonton Sherlock Holmes dan kita tahu dalam setiap kegetiran, detektif handal itu akan terselamat juga dan kembali menghidu jejak-jejak jenayah dengan minda analitiknya. Watak utamanya tidak akan mati – sekurangnya sebelum cerita ditamatkan. Begitu juga apabila kita menonton John Wick atau Harry Potter atau James Bond kerana jika protagonist cerita mati, naratif kita juga akan berakhir. Cerita tidak boleh ebrsambung apabila watak yang menggerakkan naratif mati. Pendek kata, naratif konvensional bergerak dengan bergantung kepada watak utama.

Namun pencipta GoT George RR Martin memakai kaedah yang berbeza. Di GoT anda tidak akan menemui sebarang watak utama. Anda mungkin akan berdesis Jon Snow namun idealnya dia masih seorang watak bidak. Ciri-cirinya seperti watak utama namun sukar untuk memasukkan dia ke dalam kotak itu. Yang ada cuma sedozen watak yang boleh jadi hero atau mati bila-bila masa apabila takdir menentukan. Kedengaran tragis bukan? Tetapi inilah resam kehidupan. Misalan yang paling menggoncang kita sudah tentu disaksikan semasa Perkahwinan Berdarah, apabila Robb Stark, ibunya Catelyn Stark, serta kerabat keluarganya disembelih beramai-ramai seperti haiwan korban Aidiladha. Kita juga tidak menyangka apabila kekasih Tyrion si gadis Shae mengkhianti dirinya serta bersenggama dengan bapanya. Juga yang lain dan yang lain dan yang lain yang tak tersebutkan di sini.

Kelebihan naratif seperti ini adalah cerita bergerak dengan watak. Elemen saspens dan kejutan dapat digunakan semaksimum; kita akan sentiasa mahu ikuti perkembangan watak-watak ini dari musim ke musim. Kita lihat bagaimana Jon snow membunuh ‘anak’ di dalam dirinya, sepertimana Arya yang kini ialah seorang jagal yang handal. Daenarys mempamerkan kepimpinan pada awal musim dengan mengepalai Dothraki dan memerdekakan hamba dan Tyrion perlahan-lahan tumbuh daripada si kaki botol ke penasihat yang bijak. Dengan ini, penonton mempunyai pilihan watak kesukaan mereka sendiri dan penonton turut maju ke hadapan plot bersama watak-watak ini.

Kaedah naratif sebegini juga turut mendedahkan kita kepada dunia yang lebih luas. Dengan mengikuti perkembangan watak kita dapat mengembara ke serata benua Westeros dan Essos. Kita difahamkan dengan perbezaan budaya di antara dua benua ini. Kita juga turut dibawa ke Tembok yang memisahkan Tujuh Kerajaan dengan kaum gasar yang tinggal di sebaliknya. Memang saya jangkakan, kaedah ini berkesan dalam cerita-cerita fantasi. Keajaiban dunia ini serta haiwan-haiwan mitos dapat dinikmati dengan seluas mungkin. Andaikata GoT hanya menuruti perkembangan satu watak, sudah tentu cerita ini akan membosankan. Malahan, kita juga tak diberi kesempatan untuk benar-benar menjelajah ke serata pelusuk dunia yang direka George RR Martin ini. Oleh itu keajaiban-keajaiban ini dieksploit sesungguhnya demi kekuatan naratif.

Dengan GoT sudah memasuki pertengahan musim, kita menjangka banyak lagi plot dan helah yang akan terbongkar dengan kedatangan episod. Misalnya, bagaimanakah nanti Jon Snow mahu melombong Dragonstone? Apakah taktik yang bakal dipakai Daenerys? Cersei pula? Dan apakah bisikan Littlefinger serta kehadiran Bran mengubah kepimpinan Sansa di Winterfell? Saya tidak tahu. Siri novel untuk musim ini belum diterbitkan dan segala-gala tentang masa depan dunia mereka dalam kekaburan imaginasi sutradara dan pengarang-pengarang cerita. Di internet meletup dengan teori oleh para peminat dari pelusuk global namun segala-galanya masih tergantung sekadar teori. Tetapi barangkali itulah kecantikan GoT. Setiap episod barunya akan sentiasa membunuh jangkaan-jangkaan awal kita. Kerana apabila peta dibentangkan dan lagu berdendang dan episode baru bertandang, setiap harapan-harapan awal kita akan sentiasa meleset; digantikan dengan pendedahan yang lebih menggugah perasaan – setiap masa tanpa gagal.

 

 

Balik ke Atas