Rukun ‘Manly’

PANDANGAN/PERSPEKTIF

“Saya faham kalau dalam bilik remaja wanita terpampang poster David Beckham dengan suit Armani tapi saya berasa tersinggung jika dalam bilik budak lelaki, poster David Beckham bukan dari jenis aksi sedang menyepak bola….”

 

Akak satu ofis saya pergi facial setiap bulan paling tidak, sementara satu budak HR ini mengunjungi kedai manicure pedicure juga sebulan sekali paling tidak. Bos saya seorang wanita. Saya pernah dimanipulasi oleh dia supaya turun ke lot parking mengambil beg tangannya yang tertinggal di suatu pagi kerana katanya ada satu benda penting yang dia perlukan. Sampai sekarang, saya masih belum find out apa jenis perasaan paling sesuai sebagai reaksi munasabah bila mengetahui benda penting yang boss saya maksudkan ialah hand and body lotion.

Ketika berkongsi kereta untuk menghadiri appointment, saya perasan mana-mana wanita yang berkongsi kereta dengan saya akan mula bersolek bermula dari masa saya start kereta hinggalah ke 5 minit terakhir sebelum sampai ke destinasi appointment. Itupun jika tiada kesilapan besar seperti tersilap memilih warna lip gloss.

Saya pernah diserang oleh sekumpulan akak-akak di ofis sini kerana kesalahan saya tidak seterika baju yang saya pakai untuk pergi kerja.  Saya ada banyak lagi pengalaman tapi pointnya di sini ialah, saya nak kata perempuan gemar kelihatan kemas dan cantik. Kalau 5 tahun dulu saya sanggup bertegang urat dengan mana-mana akak yang menegur pelakuan yang menurut mereka tidak senonoh; tidak seterika baju ke pajabat tapi sekarang, saya sudah malas. Saya sudah terima hakikat kemas dan rapi memang sifat semulajadi majoriti wanita. Mereka mahu diri sendiri sentiasa rapi  dan secara selfish, mareka juga mahu lelaki di sekeliling mereka kelihatan kemas. Leteran mereka bukan lagi satu masalah bagi saya.

Bagaimanapun, sejak akhir akhir ini saya perasan banyak lelaki yang sudah mula obses dengan dandanan diri atau disebut ‘grooming’. Kalau tidak silap saya, kegilaan sesetengah lelaki dengan perihal mendandan diri ini mula menggila apabila berlaku rampasan kuasa governing body bola sepak dari tangan FIFA ke tangan Posh Spice. Tiba-tiba, David Bechkam bukan lagi mengenai tendangan melencongnya yang ikonik tapi lebih kepada panjang mana mini mohawk kaler perangnya  atau cornrows-nya minggu ini di-tune ke arah mana. Saya faham kalau dalam bilik remaja wanita terpampang poster David Beckham dengan suit Armani tapi saya berasa tersinggung jika dalam bilik budak lelaki, poster David Beckham bukan dari jenis aksi sedang menyepak bola.

Tidak hanya dengan peristiwa Posh Spice merampas kuasa dari FIFA, perlembagaan institusi ‘manly’  yang tradisionalnya mementingkan perilaku yang menggambarkan kegagahan dan kekasaran juga dicabar dengan kemunculan filem-filem yang menampilkan a new breed of hero. Siapa sangka beberapa dekat selepas John Rambo yang bersenjatakan parang dan machine gun, muncul banyak Freddie Prince Junior yang bersenjatakan sejambak bunga dan kad ucapan cinta.

Secara gentlemen agreement, perlembagaan institusi ‘manly’ menggariskan satu perkara cukup mudah bagi memberi panduan lelaki itu perlu bagaimana; lelaki perlu kelihatan dan berpelakuan bertentangan dengan wanita. Dan mengikut hukum ini, perbuatan-perbuatan kecil seperti menyikat rambut, masih boleh diterima akan tetapi grooming atau disebut berdandan bukanlah pelakuan yang diterima sebagai ciri-ciri tradisi seorang orang lelaki. Fesyen ‘manly’ berpegang teguh kepada rukun ini sejak berabad lamanya tapi sekarang, cuba perhatikan persekitaran kita dan saya pasti anda akan dapat melihat perlanggaran hukum manly sudah amat berleluasa sekali.

Imbas kembali mana-mana majalah atau album gambar lelaki-lelaki pada tahun 70-an, 80-an atau awal 90-an dan kita akan mendapati tidak kira sekemas mana seorang lelaki, mereka masih kelihatan edgy, masih terdapat aura yang memberi idea mereka itu kasar dan mereka lelaki. Di kala itu, ikon lelaki ialah Nordin Ahmad, Eman Manan, Nasir Bilal Khan, Ramli Sarip dan juga M. Nasir. Kesemua nama ini dengan gagah menggambarkan dengan jelas rukun utama institusi manly. Dari pakaiannya, cara berjalannya, gaya rambutnya dan cara mereka membelasah mana mana frat boy yang gatal-gatal cuba mengorat makwe mereka.

Menggunakan alasan peredaran zaman sebagai alasan kenapa perlanggaran rukun manly ini berlaku rasa saya tidak begitu tepat. Ketika zaman beredar dari 70-an ke 80-an, hukumnya masih mengekalkan rukun manly yang sama begitu juga ketika zaman beredar dari 80-an ke 90-an, ia masih lagi menghormati rukun yang itu. Kalau dulu tiada lelaki yang boleh mengenakan baju berwarna pink di khalayak ramai tanpa di selubungi rasa bersalah tapi kini, sudah ramai yang mengiktiraf polo-T berwarna tak senonoh begitu dengan kolar tegak berdiri sebagai menifestasi modern day coolness.

Saya rasa, terdapat konspirasi yang telah dibentuk untuk secara halus menghapuskan rukun tradisi ini dan nampak gayanya, ia sudah mula menampakkan kesan. Bukan setakat masyarakat umum, para rockers yang secara tradisinya menjadi kubu terakhir perlindungan hukum ini juga sedikit demi sedikit turut diancam oleh revolusi ini. Melainkan kita i.e, para rockers semua duduk sejenak dan memikirkan bahaya ancaman ini, saya yakin suatu hari nanti ketika Pipiyapong bertanya kepada cucu bongsunya siapa rockers yang paling dia minati, cucu Pipiyapong tanpa rasa bersalah menyebut nama Justin Bieber.

Sudah tentu kita tidak mahu Pipiyapong yang rock itu mendapat serangan jantung dengan cara begini, do we??

 

 

Artikel ini pernah disiarkan di dalam Rokes edisi Mac 2011
Balik ke Atas