Membaca

/
8 mins read

Membaca adalah sesuatu yang kita lakukan setiap hari. Sebagai suatu kebiasaan kita tidak menganggapnya sebagai memerlukan perbincangan atau renungan.

Namun pandangan dan sambutan kita terhadap tindakan dan kegiatan membaca telah berubah secara sedar atau tidak. Pelbagai tuntutan dan tanggungjawab kehidupan sama ada sebagai seorang pelajar atau orang yang bekerja atau orang yang berkeluarga atau semua sekaligus, membawa bersamanya pelbagai proses yang membatasi. Aktiviti-aktiviti seharian yang padat mengurangkan masa yang boleh diketepikan untuk membaca.

Kemajuan teknologi turut menyukarkan keinginan dan tujuan untuk membaca. Perkembangan media elektronik dan sosial, dan alat dan aplikasi jaringan sosial mengenakan pendekatan dan gaya yang baru dalam berhadapan dengan teks. Infrastruktur dan ekosistem yang disediakan dan menampungi teks-teks ini tidak menganjurkan pembacaan yang lama dan mendalam. Teks sebegini paling panjangnya kira-kira satu atau dua halaman.

Fenomena sebegini mengubah sifat dan konstitusi kegiatan membaca yang bermakna.

Ini kerana pada saya, membaca itu sendiri mengandungi dalamnya tiga unsur, yakni kesendirian, renungan dan kesabaran.

Kesendirian atau solitude adalah penting kerana ia meminta kita untuk memberikan masa kepada diri kita sendiri. Hanya kita dengan teks. Tidak ada pihak lain yang mengarah. Dan tiada gangguan lain. Keadaan sebegini membolehkan kita membaca sesuatu dengan mendalam dan bermakna. Ia memberi peluang kepada kita untuk mencerna dan mendakap inti sesuatu teks. Ini berbeza dengan pembacaan yang hanya melihat kepada unsur-unsur luaran dan bentuknya sahaja. Sesuatu teks mempunyai lapisan makna dan pesannya yang pelbagai dan berbeza.

Ada kalanya terdapat nilai dan maksud yang bertentangan. Kadang kala terdapat juga suatu pesan yang ingin disampaikan mendahului dan lebih asasi berbanding yang lain. Sejauh mana kita dapat mengenal inti suatu teks dan pengaruhnya kepada kita bergantung kepada keintiman kita dengan teks tersebut. Di tingkat ini proses atau ruang kesendirian membebaskan kita untuk memahami dan menafsir suatu teks.

Selepas memahami dan menafsir suatu teks, kita perlu menilai makna, idea dan sudut pandang yang disampaikan oleh teks berkenaan. Proses penilaian ini adalah apa yang saya maksudkan sebagai renungan. Membaca sahaja tanpa memahami adalah proses yang tidak produktif. Dan lebih bahaya lagi sekiranya kita membaca tanpa menilai dan memberi satu pandangan. Ini mengambarkan kita tidak mempunyai sikap dan tidak dapat mengungkapkan dan meluahkan kemanusiaan kita.

Dalam tindakan dan kegiatan membaca kita mempersembahkan dan mempertaruhkan pendirian kita. Kita menilai dan bertanya adakah suatu teks itu menyampaikan fakta dan ide dan naratif yang benar atau palsu? Adakah ia mengajukan dasar hidup yang luas atau sempit? Adakah ia menganjurkan jalur pemikiran yang bersifat emansipatif atau mengekang? Apakah kesan cara berfikir atau cara hidup yang dinyatakan teks tersebut kepada kondisi manusia atau the human condition?

Proses renungan menggiatkan kita untuk membuat penilaian-penilaian ini dan mencapai satu kesudahan, walau bagaimana tentatif kesudahan tersebut. Namun proses ini tidak sehala. Bukan kita sahaja yang membentang pendirian ketika menilai dan berhadapan dengan suatu teks. Tetapi teks tersebut turut berfungsi untuk mencabar dan menyoal dan menyangsi. Ia mendesak kita untuk menyoal kembali pendirian dan rukun atau premis yang kita pegang. Ada juga kemungkinannya kita mengubah terus pendirian dan tingkah laku sebelum ini.

Membaca bukan sesuatu yang kita boleh buat dengan mudah dan cepat. Setiap proses kesendirian dan renungan memerlukan kesabaran. Membaca memerlukan kesabaran.

Kebolehan untuk memahami sesuatu teks dan ide dan paradigma yang dibawanya tidak bergantung kepada kepandaian atau bakat semata-mata. Ia memerlukan ketelitian dan kesudian untuk memberi tumpuan kepada perkara-perkara yang kecil. Kebanyakkan masanya perkara sedemikian dilihat sebagai tidak relevan dan menyusahkan. Namun tumpuan kepada perincian ini yang akan menyinari penghayatan kita kepada suatu teks. Sehalus dan serumit mana perincian ini yang akan membezakan kita dengan orang lain dalam meresapi dan menggunakan teks tersebut.

Ada beberapa perkara lagi yang saya ingin ketengahkan sebagai sumbangan kepada huraian tiga unsur yakni kesendirian, renungan dan kesabaran sebelum ini.

Pertamanya berkait dengan anjuran bahawa sesuatu teks perlu dibaca secara sendirinya sahaja. Ini bererti segala makna dan ide yang ingin dicari atau difahami ada dalam teks tersebut dan teks itu sahaja. Ini berpandukan kepada andaian bahawa sesuatu teks itu berdaulat dan tidak bersangkut baik keadaan sosialnya maupun tempoh waktunya. Pemahaman sebegini kurang tepat.

Ini kerana setiap teks semestinya produksi dan tindak balas terhadap suatu keadaan dan waktu. Pembacaan setiap teks akan mengajak dan membawa kita melampaui teks berkenaan. Dengan membaca suatu teks kita akan mengenal keadaan dan realiti sosial yang menghasilkan teks berkenaan. Pada masa sama kesedaran suatu keadaan dan waktu akan membawa kita mencari dan membolehkan kita memahami teks yang akan timbul atau ada. Antara teks dan keadaan sosial wujudnya hubungan dialektika.

Keduanya membaca ternyata bukan tindakan dan kegiatan yang bersahaja. Membaca bukan untuk menyenangkan hati kita. Ia tidak berfungsi sebagai ruang untuk melarikan diri dari dunia sebenar dan penafian hakikat kondisi manusia.

Sebaliknya membaca adalah suatu intervensi nyata di bumi manusia. Dengan membaca datangnya kesedaran, aksi dan gerakan. Tujuannya hanya satu, yakni untuk menganjurkan dan mencetuskan perubahan dalam individu dan masyarakat. Di tingkat individu perubahan ini meliputi lapangan rohani, akal dan estetis. Di tingkat masyarakat perubahan adalah sosial merangkumi lingkungan sosio-budaya, politik dan ekonomi. Oleh itu membaca dan kata-kata bukan kemewahan. Ia adalah cetusan dan langkah untuk protes dan mengubah diri dan masyarakat.

Terakhir tinggal persoalan yang paling asasi, yakni bagaimana dan kenapa kita membaca? Benar untuk mendorong perubahan tetapi bukan itu sahaja. Di sebalik aksi perubahan sosial ada perkara yang lebih asas.

Ini adalah affirmasi kita terhadap nilai insaniah dan kemuliaan insan. Dalam membaca kita mencari dan mengukuhkan kepercayaan kita terhadap nilai-nilai yang mengikat semua manusia dan masyarakat, yakni kemerdekaan, keadilan sosial, kesamarataan dan solidaritas. Kita membaca untuk mengingatkan diri kita bahawa nilai-nilai ini senantiasa wujud. Semua manusia dan masyarakat menganjurkan dan membincangkan nilai-nilai ini merentasi ruang dan waktu. Maka kita membaca untuk mengiktiraf warisan dan usaha kumulatif ini dan mempertahankannya daripada cita bencana yang menafikan dan menindas manusia. Setiap tindakan membaca dan ujaran kata adalah affirmasi nilai insani dan penentangan kezaliman.

Di kala dunia moden yang menonjolkan betapa megahnya kemewahan material dan kecanggihan teknologi, ia menyajikan dan membesarkan hati kita untuk mengejar benda yang besar, laju dan menyilau. Sering kali kita menyerah sahaja. Tetapi kita abaikan baik sedar maupun tidak sedar beransur terkikisnya nilai diri kita.

Dalam hal ini, ada baiknya kita mencari yang jernih, tenang dan lestari.

 

Tulisan ini dimuatkan dalam buku Lastik! yang diterbitkan pada 2016