Faham Satira Lebih Bijak?

/
9 mins read

Hampir dua tahun dahulu saya pernah menghasilkan sebuah kajian ilmiah (tesis yang sebetulnya) berkenaan fungsi satira dalam mengkritik landskap politik. Kini, tahun-tahun selepas saya berjaya melengkapkan kajian itu, saya menyedari bahawa yang dikatakan sebagai ‘kononnya’ kajian ilmiah itu sebenarnya adalah bersifat mediocre. Yang bersifat permukaan sahaja dan tidak menyeluruh. Perkara ini mungkin disebabkan batasan-batasan waktu atau sememangnya bacaan saya yang masih lagi tidak mendalam. Apapun, setiap ‘tesis’ yang terhasil harus dikritik malah perlu diperkembangkan lagi. Saya tidak berhasrat untuk mengulas panjang tentang perkara ini. Sebaliknya, saya cuma ingin mengambil secebis perbahasan yang pernah saya limpahkan dalam kajian terdahulu dan cuba dipersoalkan di sini. Saya ingin mengangkat persoalan kefahaman satira dalam tingkat-tingkat kelas yang berbeza.

 

SATIRA DAN MEMORI

Lewat kebelakangan ini, melalui pemerhatian saya terdapat individu-individu yang seolah-olah melihat satira adalah satu medium yang eksklusif — jenaka implisit yang hanya mampu difahami oleh sesetengah individu yang ‘kononnya’ mempunyai daya intelek yang tinggi. Benar, satira menurut Shahnon dikategorikan kepada dua; yang kasar (Juvenal) dan yang halus (Horatio). Sarjana-sarjana yang mengkaji satira secara ilmiah juga berpendapat bahawa penggunaan imej dan lambang seringkali menyebabkan sesebuah satira itu sukar difahami dan tersembunyi. Malah, sesebuah satira itu seringkali bersangkutan dengan keadaan-keadaan tertentu yang mungkin sahaja dibatasi dalam lingkungan geografi, bahasa, budaya dan latar masa. Gowers, antara yang menyokong pendapat ini. Beliau menyatakan bahawa karya Horace adalah jelas menunjukkan ‘kesatiraan’ pada zamannya, namun mesej yang cuba disampaikan dahulu ‘tidak sampai’ pada hari ini.

Satira sangat bergantung kepada pengalaman bersama (shared experience) dan semangat zaman (zeitgeist). Umberto Eco menulis dalam salah sebuah novelnya, berkenaan memori. Memori terbahagi kepada dua jenis, implisit dan eksplisit. Memori implisit ditafsirkan sebagai memori yang dipelajari melalui pengalaman lepas misalnya memberus gigi, membuka radio, atau mengikat tali leher. Memori eksplisit pula terpecah lagi kepada dua jenis yang lebih kompleks — yang pertama dikenali sebagai memori semantik dan yang kedua dikenali sebagai memori episodik atau autobiografi.

Memori semantik berfungsi untuk mentafsir fungsi dan jenis-jenis sesuatu; misalnya saya mengetahui bahawa berus gigi mempunyai berus yang berupaya mencuci celahan gigi, radio terbahagi kepada analog dan digital atau tali leher mempunyai saiz yang berbeza. Memori episodic pula menghubungkaitkan setiap memori dengan pengalaman hidup kita. Misalnya, saya memberus gigi setiap pagi sebelum pergi bekerja, menghidupkan radio dalam kereta sepanjang perjalanan ke tempat kerja dan memakai tali leher sebelum masuk ke pejabat untuk bertemu pelanggan. Upaya untuk memahami satira bersangkutan dengan memori episodic seseorang kerana perkara ini mempunyai perkaitan dengan kesedaran (consciousness) bahawa — individu itu sedar bahawa dia sedar. Oleh hal yang demikian, apabila individu itu tertawa atau tersenyum dek kerana telah memahami mesej yang cuba disampaikan oleh pelaku satira (satirist), justeru dia menyedari bahawa dia memahami apa yang telah disampaikan dengan menghubungkaitkan setiap pengalaman-pengalaman yang pernah dilaluinya.

Satira adalah cerminan sosial dan refleksi kepada individu yang terkesan secara langsung. Misalnya, individu akan lebih memahami sesebuah sindiran yang dilakukan oleh pelaku satira jika mesej yang disampaikan bersangkutan dengan pengalaman hidupnya. Contoh jelas yang dapat dilihat adalah melalui rancangan komedi situasi Pi Mai Pi Mai Tang Tu yang sangat menggambarkan realiti sosial pada waktu itu. Pi Mai Pi Mai Tang Tu disifatkan oleh Abd. Ghani sebagai, “…satira yang dibawa ke hadapan masyarakat massa moden yang mengalami urbanisasi dan pelbagai warna-warni kehidupan dan manusia.”

 

PENGARUH KELAS SOSIAL TERHADAP KEFAHAMAN SATIRA

Dalam kajian terdahulu, saya juga melihat kefahaman individu terhadap satira berdasarkan status sosial dan kelas-kelas masyarakat. Mengapa demikian? Hal ini digariskan dengan tiga perkara; pertama, kerana golongan kelas menengah mempunyai bahan bacaan yang lebih eksklusif berbanding golongan kelas pekerja. Kedua, mempunyai latar pendidikan yang lebih tinggi dan ketiga, penguasaan bahasa Inggeris yang tinggi.

Saya mengakui bahawa kajian-kajian daripada sumber yang dinyatakan ini agak lama daripada segi tahun dan ianya tidak mengambil kira faktor internet yang semakin meluas melalui penggunaan peranti-peranti canggih. Namun sebahagiannya masih berlaku di kawasan-kawasan luar bandar. Justeru, saya turut mengambil pengalaman Ezra Zaid selaku individu yang mempunyai latar belakang pendidikan tinggi dan kehidupan sebagai seorang anak kelas menengah atasan. Menurutnya, pengaruh pandangan politik, ekonomi dan sosial beliau sangat bergantung kepada gabungan latar pendidikan dan bapanya ― seorang peguam, bekas senator dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM). Tetapi, adakah trait-trait ini sebenarnya boleh melambangkan ‘kecerdikan’ seseorang?

Pada pandangan peribadi saya, perspektif berlainan harus dilihat dalam satira demi membezakan kefahamannya antara dua peranan individu. Yang pertama sebagai pelaku satira dan kedua, sebagai penonton. Sebagai pelaku satira, individu tersebut harus mempunyai pengetahuan yang luas dan peka terhadap keadaan sekelilingnya. Selain itu, menurut Quintero, seorang pelaku satira harus percaya kepada kebenaran, mengamalkan prinsip kemanusiaan (humanitarian) dan bertanggungjawab terhadap aksi-aksi serta kemarahan yang telah ditimbulkannya.

Pelaku satira mempunyai tugas yang lebih berat berbanding dengan penonton. Hal ini berbeza dengan tanggungjawab penonton yang bertugas untuk mentafsir mesej yang cuba disampaikan oleh pelaku satira. Namun, tafsiran-tafsiran inilah yang kemudiannya tidak lagi menjadi urusan si pelaku satira, sebaliknya bergantung pula kepada penonton. Misalnya, melalui perspektif kartun dalam temubual yang dijalankan terhadap kartunis Ronasina. Menurutnya, mesej yang cuba disampaikan oleh kartunis melalui sesebuah karikatur politik dalam bentuk lukisan telah menjadi milik awam dan bebas ditafsirkan melalui pelbagai sudut.Justeru, justifikasi terhadap upaya untuk memahami satira sebenarnya tidak wajar untuk digandingkan dengan keupayaan intelek seseorang. Fahaman begini persis meletakkan generalisasi terhadap sebuah masyarakat umum yang jelas mempunyai pelbagai spektrum berbeza.

Setiap peringkat masyarakat bermula daripada peringkat keluarga, komuniti dan negara mempunyai pengalaman-pengalaman yang berbeza. Dalam faham empirisisme Locke melalui konsep ‘tabula rasa’ — manusia dikatakan berbeza berdasarkan pengalaman-pengalaman lepas yang telah mereka lalui. Manusia sentiasa dinamik dan berubah. Hal ini juga disentuh dalam pencirian tentang kesedaran terhadap ‘ilmu’ melalui konsep ‘a posteriori’ iaitu taakulan melalui pengalaman atau pemerhatian. Pengalaman dan pemerhatian mendasari kefahaman individu terhadap sesuatu, termasuklah — satira.

 

ANGAN-ANGAN DAN SALAH FAHAM TENTANG SATIRA

Bila kita berbahas soal satira — khususnya yang politikal ― ada segelintir yang berpendapat bahawa satira adalah pemicu kepada perubahan rejim atau pergerakan. Bagi saya, tidak. Ini hanyalah tanggapan yang idealistik. Namun apa yang mungkin boleh dilakukan adalah, jika berhasrat untuk memicu sesebuah perubahan, satira yang dihasilkan haruslah bersifat realisme‒sosial. Yang mendasari kehidupan manusia secara realpolitik.

Selain itu, satira memang berfungsi untuk mengejek, menokok-tambah, menyindir. Satira tidak akan menjadi sopan, namun ada segelintir yang rapuh hatinya melihat pelaku satira ― khususnya Juvenal ― adalah ‘tidak bijak’. Kemudian individu-individu ini begitu sombong melihat sarcasm Barat (yang dianggapnya ‘lebih bijak’) dan membanding-bandingkannya pula dengan sindiran Melayu yang kononnya ketinggalan. Perbandingan ini tidak adil.

Sarcasm British misalnya amat berbeza dengan Amerika Syarikat, yang mana satu pihak membawa tema realisme‒sosial dan sangat bersifat Juvenal, dan yang satu lagi sangat idealistik. Satira, bak kata Fathi Aris Omar, berfungsi untuk membentuk pemikiran seseorang. Satira tidak berfungsi dengan sempurna dengan adanya individu yang mempunyai sifat sedemikian. Satira berdiri atas konsep-konsep yang dibangunkan oleh setiap unsur material dan non-material. Satira tidak terbina dengan satu subjek. Justeru, pandangan bahawa kononnya memahami satira adalah ‘luwes’ dan anjal pemikiran berbanding dengan yang tidak ― tidak lain dan tidak bukan hanyalah pandangan angkuh.