COVID-19: Johor Bahru PKP Scene Report

Laporan keadaan PKP daripada Jimbo Tiram yang sedang berada di zon merah

Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua. Saya Jimbo dari Ulu Tiram, Johor Bahru ingin melaporkan situasi terkini keadaan PKP di Johor Bahru.

Seperti yang kita semua maklum, kita semua sedang memasuki fasa ke-3 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Johor Bahru telah dikenal pasti sebagai kawasan ‘merah’ dan ia sedikit memberi impak seram kepada saya dan seluruh penduduk JB.

Keadaan pasar awam masih terkawal. Stok tempe dan tauhu masih mencukupi. Cuma ada kenaikan harga yang mendadak bawang dan juga ikan bilis kopek. Perkembangan ini sememangnya tidak begitu baik untuk rakyat kerana bawang adalah bahan penting untuk menumis sambal dan membuat nasi goreng. Walaupun duit bantuan telah diterima, langkah berjimat-cermat sukar dilakukan jika kerajaan tidak memantau harga bahan-bahan penting dalam memasak. 


Kita juga maklum harga minyak petrol turun mendadak dengan ‘timing’ yang tidak kena. Ia bukanlah pekara yang menggembirakan. Malah saya percaya ia seolah-olah mempermainkan perasaan rakyat jelata yang sedang dikawal pergerakannya. Saya juga khuatir rakyat terpaksa menggoreng ikan menggunakan minyak petrol RON95 kerana harganya jauh lebih murah daripada minyak masak.

Bekalan topeng muka dan sanitizer telah mula membanjiri pasaran. Saya sempat meninjau beberapa kedai dan pasaraya. Mereka masih menjualnya dengan harga agak tinggi walaupun harga telah dikawal oleh kerajaan. Ramai pengguna yang merungut getah topeng muka tidak berkualiti dan getah mudah lodos. Kualiti sanitizer juga menghampakan. Ia cair seakan air yang dibekalkan oleh Syarikat Air Johor. 

Apa yang menyedihkan saya, topeng muka terpakai semakin bersepah di lot-lot parking. Walaupun ditimpa bencana wabak, segelintir manusia masih lagi dengan tabiat buruknya, “bagai babi merasa gulai.” Manusia tidak pernah serik membuat kerosakan di atas muka bumi ini. Saya menyeru kepada semua agar menjaga kebersihan dan tidak membuang topeng muka anda di merata tempat. Kucing, anjing atau burung amat berisiko terkena jangkitan daripada topeng muka bersepah-sepah ini. Atas kecuaian kamu, tidak mustahil wujud kluster-kluster baru dalam kalangan haiwan-haiwan tadi.

Roadblock sekitar JB semuanya beroperasi dengan berkesan. Dengan disiplin dan integriti yang tinggi pasukan keselamatan, saya percaya ramai yang telah kecewa dengan alasan-alasan remeh untuk meloloskan diri daripada sekatan jalan raya.

Salah seorang warga JB, Syed Syahrul Zarizi memberitahu – dirinya telah ditegur polis sewaktu beliau cuba merentas daerah JB. Walaupun hanya teguran sopan daripada pihak berkuasa, beliau terus trauma dan beliau amat menyesal atas tindakannya itu. Sama-sama kita ambil iktibar daripada apa yang berlaku.

Lain pula ceritanya dengan seorang peniaga food truck. Nur Ikhwan dengan jujur telah mengaku mengupah seorang barber untuk trim rambutnya halaman rumah. Ini mengakibatkan jiran-jiran lain juga datang berkerumun untuk mendapatkan khidmat gunting rambut secara mobil itu. Walaupun apa alasannya, tindakan itu adalah amat bertentangan dengan perjuangan rakyat Malaysia yang sedang berusaha memutuskan rantaian COVID-19 yang sedang menjadi wabak. Saya sendiri telah meluangkan masa untuk mengadakan satu sesi kaunseling dalam telefon bersama Nur Ikhwan. Beliau dengan rambut baru gaya flat-top itu – akhirnya telah berikrar tidak akan mengulangi perbuatannya.

Perubahan cara kehidupan yang baru ini, amat memberi kesan emosi yang kritikal kepada beberapa warga JB yang saya kenal. Atas dasar prihatin, saya telah menghubungi saudara Hafizudin. Saya tidak tergamak menyatakan di sini beliau adalah pesakit mental – tetapi berdasarkan maklumat yang saya terima beliau amat tertekan dengan keadaan sekarang. PKP ini telah memburukkan lagi tekanan perasaan yang dialaminya sejak 8 tahun lalu. Belum pun luka percintaannya sembuh, kini impiannya untuk melancong ke eropah pula lebur begitu sahaja.

Saudara Hafizudin yang bertugas di salah sebuah pusat fesyen terkemuka memberitahu bahawa dia sendiri amat bimbang dengan keadaan dirinya. Ibunya sering terjaga di waktu malam kerana dia sering menjerit WELCOME TO UNIQLO! WELCOME TO UNIQLO! WELCOME TO UNIQLO! berulang kali. Ibarat abu di atas tunggul. Begitulah seriusnya situasi Saudara Hafizudin ini. Saya ingin menyeru mana-mana pakar atau individu yang prihatin agar tampil memberikan pertolongan kepada beliau.

Kamaruzaman Awang seorang jurutera kimia di Pasir Gudang juga mengalami tekanan mental yang tidak kurang hebatnya. PKP telah memisahkan beliau dengan isteri dan anak-anak yang kini berada nun jauh di Kelantan. Mujur beliau ada kebolehan membaiki mesin basuh dan juga mahir dalam wiring. Masa lapangnya diisi dengan membaiki alat elektrik jiran tetangga. Yang lucunya Kamaruzaman Awang ada bergurau sewaktu video call-nya dengan saya. Katanya jika kerajaan meneruskan PKP hingga fasa ke-5 – dia tidak teragak-agak akan bernikah lagi. Hujahnya lagi, dia tidak sanggup menyambut Aidilfitri tanpa masakan ketupat rendang seorang isteri.

Berkenaan ekonomi pula, rata-rata teman saya di sini masih lagi dapat bertahan dari segi kewangan. Walaupun duit simpanan makin meruncing, masing-masing bijak berjimat-cermat dalam berbelanja. Syukur. Duit bantuan yang diterima dibelanjakan untuk bekalan makanan. Kami berjaya mengawal nafsu untuk menangguhkan pembelian piring hitam, cakera padat ataupun kaset. Cabaran kewangan ini mungkin memberi kesan yang agak ‘tough’ kepada peniaga kecil seperti saya dan beberapa rakan yang lain. Ah! Ini bukannya waktu sesuai untuk mengeluh miskin. Lagipun saya yakin bayaran lumayan secara one off untuk laporan yang saya tulis ini mampu tampung kehidupan saya sepanjang tahun 2020 ini.

Sekian sahaja laporan saya.