Kerancuan: Menanggapi Esei ZF Zamir

/
11 mins read

Kata pujangga ‘Kejayaan adalah musuh perjuangan. Apabila sesuatu yang kita usahakan sudah terlalu berjaya, berhenti dan mulakan yang baru’ barangkali bukanlah sesuatu yang baru, saya kira. Dan ketika ZF Zamir mengungkapkan kata-kata tersebut lewat artikel beliau yang diterbitkan dalam laman majalah Tumbuh, saya menanggapi perkara tersebut dengan serius dan teliti. Lebih unik lagi, menurut beliau, melawan kejayaan ini merupakan ideologi ‘terkiri’ sekali dalam alam semesta dan menyatakan kekalahan Kuntowijoyo. Sehingga sekarang, saya masih terpinga-pinga dan tertanya-tanya, apakah signifikan quotation Kuntowijoyo dalam artikel tersebut dan apakah takrifan ZF Zamir mengenai konsep ‘kejayaan’?

‘Kejayaan’, adalah satu kata yang berakar daripada ‘jaya’ yang membawa maksud yang pelbagai dan dalam menggunakan kata tersebut, peri penting untuk melihat konteksnya. Kepentingan melihat konteks adalah bertujuan agar pentafsiran terhadap sesuatu tidak terpesong daripada makna sebenar kata yang digunakan dan dalam ‘kata pujangga’ yang dikatakan oleh ZF Zamir (yang sebelumnya dimuatkan dalam artikel Stam Stapa), saya kira konteksnya sudah terpesong. Berdasarkan artikel Stam Stapa, ‘kejayaan’ yang dimaksudkan (barangkali) bersifat individual dan konteksnya merujuk kepada prinsip sebagai seorang punk. Manakala ‘kejayaan’ yang ditafsirkan oleh ZF Zamir pula sehingga sekarang saya masih samar-samar. Apakah ‘kejayaan’ yang dimaksudkan oleh saudara ini berbentuk materi? Barangkali ya, kerana perenggan tersebut diakhiri dengan persoalan menang dan kalah.

Pada perenggan ketiga esei ZF Zamir, saya semakin keliru dan celaru. Apakah kesinambungan perenggan pertama, kedua, dan ketiga? Dan apakah sebenarnya yang ingin disampaikan? Adakah ianya jawapan kepada persoalan yang dikemukakan oleh XX? Atau mungkin, balasan kepada artikel Stam Stapa? Atau ianya serangan peribadi terhadap Pipiyapong? Sulit untuk saya mencari kesinambungan tulisan saudara. Kesulitan sebegini sama seperti membaca Ulysses, yang saya mampu habiskan sehingga muka surat ke-5 sahaja.

Untuk perenggan seterusnya, ZF Zamir hadir dengan satu lagi quotation yang saya tidak pasti siapa mengungkapkannya, Goenawan Mohamad atau Martin Suryajaya. Ketidakpastian saya ini kerana penyusunan ayat dalam perenggan tersebut agak rancu. (Tetapi boi, tenang. Goenawan Mohamad, ketika menulis Jawaban Untuk Martin ketika berdebat dengan Martin Suryajaya pernah menulis). Kerancuan tersebut kita tinggalkan sebentar dan mengambil intipati quotation yang dikemukakan. Ya, saya sangat setuju bahawa menulis menyajikan sebuah perdebatan yang bermanfaat. Tidak ada tapi-tapi untuk itu. Tetapi, di mana perdebatannya? Di perenggan seterusnya? Di mana? Perenggan ke-5, 6, 7? Di mana? Sekali lagi, saya hilang dalam tulisan ZF Zamir.

Perdebatan, saya fikir, akan bermula dengan permasalahan ataupun isu yang dibangkitkan. Setelah mengenalpasti permasalahan/isu, barulah ianya akan dibedah menggunakan pendekatan yang dipilih dan bersesuaian dengan perkara yang dibangkitkan. Kesesuaian memilih pendekatan ini penting kerana mana mungkin kita membedah masalah kecederaan pemain bola sepak menggunakan teori matematik moden? Dalam membedah permasalahan/isu, pelbagai pendekatan boleh diambil sebagai analytical tools sama ada ianya berbentuk teori, model, mahupun konsep. Jangan tersinggung. Bukan niat saya untuk mengajar saudara ZF Zamir dan sidang pembaca janganlah berspekulatif tentang perkara tersebut.

Membaca perenggan ke-7 tulisan ZF Zamir seolah-olah memberi harapan kepada saya untuk mengetahui isu yang dibangkitkan oleh beliau. Perenggan tersebut menyatakan bahawa ada ‘gesaan agung lagi mempersonakan’ yang meminta Thukul Cetak menggugurkan nama ‘Thukul’ kerana telah mencemarkan nama Wiji Thukul. Ya, kali ini jelas. Inilah isu yang dibangkitkan oleh XX lewat artikelnya. Akan tetapi, setelah menghabiskan perenggan tersebut, saya memicit-micit kepala saya. Picitan saya semakin kuat. Sambil memicit saya berfikir, ‘apakah yang cuba disampaikan dalam perenggan ini?’. Tidak ada jawapan yang saya temui. Yang saya temui adalah satu lagi quotation yang saya kira tidak memberi makna kepada perenggan, tetapi (barangkali) ianya ditujukan kepada beberapa orang yang turut mengkritik Thukul Cetak.

Di perenggan seterusnya, ZF Zamir memberikan satu contoh yang saya fikir sangat menarik (tapi bukankah sebelum ini penjual insurans?). ZF Zamir menggunakan kata ‘mereka’. Ini bermakna, pelaku bukanlah secara individu, tetapi lebih daripada satu. Ya, contoh yang diberikan agak baik dan signifikan terhadap situasi. Benar, berdasarkan pemerhatian saya, ramai yang ‘tidak senang’ dengan Thukul Cetak. Demografinya juga pelbagai. Ada yang sudah bekerjaya, ada yang masih menuntut di pusat pengajian tinggi, dan ada yang masih keliru dengan diri sendiri. Saya fikir ianya adalah konflik horizontal yang tingkatnya sangat individual dan bukannya kolektif. Tetapi, saya tidak nafikan bahawa ada tingkat kolektif yang turut tidak senang dengan Thukul Cetak. Alasan ketidaksenangan itu terpulang kepada pegangan masing-masing. Berbalik kepada perenggan, contoh yang baik telah diberikan tetapi diakhiri dengan satu kenyataan yang tidak tahu di mana pangkalnya. Kali ini, ZF Zamir bersurah bahawa penentang kepada Thukul Cetak adalah orang yang menolak kejayaan dan penolakan tersebut ditanggapinya sebagai laluan untuk meraih populariti.

Kali ini, saya tidak lagi memicit dahi, tetapi menepuknya dan bertanya pada diri sendiri, ‘Sesingkat itu?’. Tidakkah saudara sedia maklum bahawa populariti tidak semestinya diraih? Dalam dunia yang serba di hujung jari, populariti boleh datang bergolek tanpa perlu diraih. Ianya juga datang dalam dua bentuk. Pertama olok-olok, kedua penghargaan. Selalunya, yang olok-olok ini tidak akan bertahan lama kerana ianya tidak asli dan buat-buatan. Tetapi penghargaan akan kekal lebih lama kerana ianya datang daripada ketulusan dalam menanggapinya. Sekali lagi, saya hilang dalam tulisan ZF Zamir.

Perenggan seterusnya adalah perenggan yang saya fikir, sangat menarik untuk dibahaskan. ZF Zamir mengemukakan satu persoalan yang dianggapkan akan memberi manfaat kepada warga dan bukannya satu kenyataan basa-basi. ZF Zamir membuka lembaran sejarah pertemuan Marx dan Engels dan mengakhiri perenggan dengan satu pertanyaan (seakan-akan) berbunyi begini, ‘Jika Marx dan Engels tidak bertemu, apakah kita (di sini kini) akan menulis (atau tahu) akan kesedaran kelas? Selepas itu, ZF Zamir mengemukakan lagi soalannya yang difikirnya berkesinambungan daripada soalan sebelumnya. Kali ini, beliau mengambil latar revolusi Rusia, China, Vietnam, Cuba, Manuskrip Paris yang turut disertakan dengan dua lagi quotation yang datangnya daripada Marx dan Goenawan Mohamad (yang menanggapi Marx).

Saya menanggapi soalan-soalan ini cukup lama. Selain mencari kesinambungan perenggan demi perenggan, saya mempertanyakan diri saya sendiri, apakah tujuan soalan ini diajukan?

Mengenai kesedaran kelas, saya fikir, atau saya rasa, Marx dan Engels hanya memberikan konsep saintifik mengenainya. Maksud saya, Marx dan Engels meneliti secara terperinci perkara tersebut dan berfikir bagaimana ianya berlaku dan apakah proses-prosesnya. Kesedaran kelas ini sudah lama terjadi di muka bumi ini dan bukan Marx dan Engels yang menemuinya, tetapi mereka yang memberikan konsep yang lebih saintifik mengenainya. Apa yang lebih penting disini adalah bagaimana kita (yang di sini kini) menggunakan perkara tersebut untuk kegunaan sejagat, ketimbang daripada mengetahui siapa yang menemuinya terlebih dahulu. Bukanlah saya katakan ianya tidak penting, tetapi dalam konteks ini, romantisme sejarah siapa dahulu siapa kemudian harus diketepikan.

Kemudian, berkenaan Revolusi Rusia, China, Vietnam, Cuba dan Manuskrip Paris, saya akui ada kesinambungannya. Tapi, apakah kepentingannya dalam esei ini? Dan apa pula signifikan quotation Marx dan Goenawan Mohamad? Mana penjelasannya? Atau mungkin, contohnya barangkali? Sampai hati saudara meninggalkan tanggungjawab saudara terhadap quotation tersebut. Setidak-tidaknya, berilah satu situasi yang tepat untuk memudahkan pesan tersebut sampai maknanya kepada pembaca. Bukankah saudara sendiri mengatakan bahawa XX lari daripada tanggungjawab terhadap tulisannya? Bagaimana pula dengan saudara? Berjalan atau berlari?

Perenggan seterusnya, ZF Zamir menggunakan konsep ‘Dialektika’. Barangkali, ZF Zamir mahu menyambung hujah beliau di perenggan sebelumnya (kesedaran kelas, Marx, Engels, Manuskrip Paris dan kemudiannya, dialektika). Pada perenggan ini, satu lagi soalan dikemukakan dan beliau bertanya, ‘apakah untuk orang yang tak bertindak, untuk orang malas atau dalam bahasa lain untuk orang yang tidak suka atau gemarkan kejayaan; adakah mereka tidak berfikir? Soalan ini berat sekali. Saya terpaksa menulisnya di kertas. Kata kunci yang saya dapati adalah, tidak bertindak, orang malas, dan orang tidak suka atau gemarkan kejayaan, dan ditutupi dengan satu penyataan berbaur semacam tuduhan bahawa golongan ini tidak berfikir. Yang menarik adalah sebelum perenggan ini berakhir, ZF Zamir tegas menyatakan bahawa kejayaan bukanlah sejenis musuh yang harus dilawan.

Sekali lagi, rancu. Kenapa? Lihat kata kuncinya. Tindak, barangkali sifatnya lebih kepada aksi. Malas pula mungkin merujuk kepada sikap. Manakala suka atau gemar mungkin merujuk kepada perasaan dan di sini, kata yang mengikat kesemua ini adalah ‘kejayaan’. Tegas benar saudara dengan kata ‘kejayaan’. Tapi kejayaan apa yang saudara maksudkan? Saudara tidak jelaskan ini di awal esei saudara. Jadi saya kebingungan. Dan ya, benar, kejayaan bukanlah sejenis musuh yang harus dilawan. Tapi, bukankah di awal esei ini saudara sudah menyatakan kekalahan Kuntowijiyo dan kemenangan Punkers? Adanya istilah kekalahan itu menandakan adanya perlawanan. Sebenarnya, ada perlawanan atau tidak? Hmmm.

Sebenarnya, saya mahu menulis lebih panjang lagi berkenaan artikel saudara. Tetapi mungkin waktu terlalu sempit dan saya terkejar-kejar dengan hal-hal lain, saya terpaksa berhenti di sini dan saya akan kembali menyambung atau mengulas (atau mengomentar) tulisan saudara yang secara peribadi, saya fikir agak rancu. Saya harap, saudara menyambutnya dengan tangan terbuka dan tolong, jangan adakan poster untuk berdebat kerana saya perlu mengharungi Laut China Selatan untuk duduk di atas panggung yang sama dengan saudara. Hal tersebut sukar untuk saya laksanakan.