Cemburu Retrospektif dan Empati Terhadap Pasangan

PANDANGAN/PERSPEKTIF

CemburuIri hati (kerana orang lain pandai, berharta dll); 2. Kurang percaya atau syak wasangka (takut-takut suami mempunyai kekasih lain dll)

RetrospektifMeninjau atau mengenang kembali peristiwa dan sebagainya yang lalu

Cemburu Retrospektif Iri hati atau kurang percaya pada seseorang atau sesuatu kerana perbuatannya di masa lalu

EmpatiDaya menyelami dan memahami perasaan atau emosi orang lain

 

Cemburu adalah sesuatu yang paling celaka sekali dalam hidup seorang manusia kerana manusia diciptakan mempunyai akal, psikologi, emosi dan perasaan (hati). Lebih-lebih lagi manusia yang mempunyai pasangan. Aku tak tahu kau yang membaca kata-kata aku ni adalah seorang yang belum mempunyai pasangan, sedang mempunyai pasangan, atau baru saja putus dengan pasangan, tapi aku rasa kau cukup faham apa yang aku maksudkan, bukan? Cemburu ini memang celaka. Kalau setuju, sila berdiri tegak dan cakap, “Ya, saya setuju. Cemburu ni memang celaka!” sekarang. Kalau kau baca dalam LRT, nasiblah kan. Buat juga. Sebab aku tahu, semua orang pun setuju bila aku cakap cemburu ini sangat celaka.

Cemburu bermaksud seperti yang aku dah kepilkan di atas. Itu bukan maksud yang aku reka menurut pemahaman aku. Itu maksud yang aku petik daripada Kamus Dewan. Semua maksud perkataan di ataslah, senang cerita. Kau boleh semak sendiri dalam kamus. Memang ada. Aku tak tipu.  Tapi sekarang ni aku nak sebut pasal cemburu dahulu.

Cemburu adalah satu entiti dalam hati manusia yang terhasil akibat kau tidak berpuas hati (iri hati). Kau tak puas hati ada orang lagi lebih dari kau dalam beberapa hal. Atau kau tidak berpuas hati kerana orang tu mempunyai hidup yang lebih bahagia dari kau. Dan dalam konteks berpasangan ini pula, ketidakpuasan hati kau sebenarnya boleh dikategorikan kepada pelbagai aspek. Contohnya, kau tak puas hati ada orang lagi rapat dengan pasangan kau berbanding kau. Kau tak puas hati kalau orang lagi memahami pasangan kau berbanding kau. Kau tak puas hati kalau ada orang lebih dekat dengan pasangan kau berbanding kau. Kau tak puas hati kalau ada orang dilayan oleh pasangan kau lebih daripada pasangan kau melayan diri kau. Kau tak puas hati kalau pasangan kau lebih menjaga hati orang lain berbanding kau. Kau tak puas hati itu, kau tak puas hati ini. Ya, ada banyak kategori sebenarnya. Itu adalah bab cemburu.

Retrospektif pula sesuatu yang kita buat atau fikir pada masa sekarang, kerana sesuatu yang dah berlaku pada masa lepas. Contohnya macam… eh, susah pula aku nak bagi contoh. Kejap, aku fikir. Haa, contohnya macam kau sekarang sedang bekerja dalam bidang design, kemudian kau ada sedikit masalah untuk design sesuatu, dan kau teringat kembali yang pada suatu hari yang indah, cuaca redup tak redup, suhu hangat tak hangat, pensyarah kau ada menyebut sesuatu yang buat kau mampu selesaikan masalah design kau tu. Itulah yang dimaksudkan dengan retrospektif. Kau melihat sesuatu di masa lepas untuk menjadi rujukan kau dalam hidup kau di masa sekarang. Dah faham kan apa itu sebenarnya retrospektif? Kalau faham, bagus. Kita masuk ke empati pula.

Empati adalah apabila kau rasa sedih, marah, kecewa, bengang, gembira, dan segala macam lagi perasaan (tak semestinya semua perasaan itu sekaligus. Mungkin salah satu, mengikut emosi orang yang membuat kau rasa empati itu) kerana kau tahu, orang yang kau dengar masalah dia, atau kau bersama dengan dia, mempunyai sebuah pengalaman yang sama dengan kau sepertimana kau alaminya sebelum ini, atau kau boleh rasa semua perasaan itu kerana kau boleh ‘rasa’, sebab kau meletakkan diri kau secara imaginasi, emosi dan perasaan dalam situasi orang tu. Orang putih selalu cakap, “I know how it feels like. I can feel it coz I put myself in your shoes.”

Di sini aku nak petik kata-kata Marshall Mathers dalam lagu berjudul Beautifulnya;

In my shoes, just to see
What it’s like, to be me
I’ll be you, let’s trade shoes
Just to see what it’d be like to
Feel your pain, you feel mine
Go inside each other’s minds
Just to see what we find
Look at shit through each other’s eyes

 

Dah nampak bagaimana empati ini berfungsi? Jangan silap faham antara empati dan simpati. Simpati itu, kau tak ada rasa apa-apa gangguan emosi akibat penceritaan orang itu. Tapi kau tetap cuba menyelesakan orang yang sedang bersedih/marah/kecewa/bengang itu. Mungkin dalam tepuk bahu kau pada dia, atau pada setia kau mendengar kisahnya. Dah, kau tak payah nak tipu aku selama kau kenal orang, orang cerita masalah dia kepada kau, kau memang sentiasa rasa empati pada dia. Tak, tak mungkin semuanya adalah empati. Mesti ada beberapa kisah yang pada kau, kau berfikir, “Hek eleh, itu pun nak serabut ke. Senang gila kot problem hang ni.”, namun kau tak luahkan kata-kata kau, dan memek muka kau hanyalah muka poker, atau muka mengekspresikan reflek emosi yang kau dapat daripada orang itu.

Amboi, panjang pula cerita pasal empati. Tapi kau faham kan apa itu empati? Kalau faham, bagus. Kalau tak faham, pergilah cari pakar bahasa atau pakar psikologi dan tanya pada diorang apa beza empati dan simpati tu.

Sekarang, kita masuk pada bab ‘cemburu retrospektif’. Menatang bangang apa bendalah ini, kan? Merepek betul. Entah apa-apa nama istilah ini. Tapi jujurnya, aku pun baru tahu pasal cemburu retrospektif ni pada bulan Mac 2014. Sebab aku dihidap penyakit ini. Ya, aku namakannya sebagai penyakit sebab ia sangat… sakit. Rasa cemburu retrospektif ini lebih sakit daripada cemburu biasa. Kerana ia melibatkan sesuatu yang memang betul dah berlaku. Kau cemburu pada kisah lalu pasangan kau. Mungkin pada pasangan yang bercerita dia sangat suka diperlakukan begitu-begini oleh ex, tetapi dengan kau tidak dapat berbegitu-begini kerana kau bukanlah manusia yang sama seperti ex pasangan kau itu. Faham ke tak? Contohnya, pasangan kau dengan ex-nya pernah bersama-sama menjelajah beberapa pulau di Malaysia dalam masa setahun. Kau tak boleh berbegitu dengan pasangan kau kerana ibu bapa kau tak mengizinkan kau pergi bersama pasangan kau, dan kau adalah manusia yang sentiasa menurut apa saja kata ibu bapa kau. Ini membuatkan kau rasa cemburu pada kisah lalu pasangan kau yang menceritakan betapa bahagianya dia bersama ex-nya menjelajah pulau-pulau ini. Lagi-lagi apabila yang diceritakan kenapa dia bahagia dengan ex itu pada masa itu secara terperinci. Sudah tentulah kau yang tak dapat melakukan perkara itu dengannya akan berasa cemburu, bukan?

Ada juga aku buat survey mengenai cemburu retrospektif ni. Bila aku tanya, “Encik/Cik tahu tak mengenai cemburu retrospektif ataupun dalam Bahasa Inggerisnya ‘Retrospective Jealousy’?” Ramai yang jawab tidak tahu mengenainya. Akan tetapi bila aku mula memberikan definisi cemburu retrospektif ini, barulah mereka memahami dan mereka memberitahu aku yang mereka memang pernah mengalami cemburu yang begini. Cuma mereka tidak tahu istilahnya adalah cemburu retrospektif. Yang mereka tahu hanyalah mereka cemburukan pasangan mereka. Dan ada antara mereka yang langsung tidak selesa dengan pasangan mereka, kerana terlalu cemburu, membuatkan hubungan mereka mempunyai masalah. Dia tidak mampu lagi bersama dengan pasangannya secara intim. Dia tidak mampu lagi memeluk pasangannya. Dia tidak mampu lagi bercumbu dengan pasangannya, kerana diketahui pasangannya itu telah melakukan sesuatu yang lebih daripada itu, dengan orang lain. Perkara ini akan jadi lebih membimbangkan jika ia membuatkan kau rasa tertekan kerana tidak mampu menjadi seperti apa yang ex-nya berikan dahulu, membuatkan kau langsung dihidap depresi dan semakin hari semakin menjauhkan diri dari pasangan kerana terlampau tidak selesa bersamanya. Kalau belum kahwin bolehlah berpisah. Kalau dah kahwin dan ada anak-anak? Bagaimana?

Mesti kau fikir, “Kalau dah orang tu sayang kita seluruh hatinya sekarang, apa perlu peduli lagi pada kisah-kisah dan pengalamannya yang terdahulu?” kan?

Jika diikutkan memang ia semudah itu sebenarnya.

Kalau manusia ini tidak mempunyai hati.

Akan tetapi, manusia mempunyai hati.

Jadi, ia tidak semudah itu.

Hati inilah yang membuatkan manusia rasa tidak selamat (insecure), cemburu dan pelbagai lagi perasaan bangang lain yang mengganggu hubungan kau dengan pasangan kau. Kau boleh bayangkan, kalau cemburu biasa, contohnya jika pasangan kau terlalu melayan orang lain dengan mesra di timeline Twitter atau di Facebook, kau boleh tegur pasangan kau supaya kurangkan atau langsung jangan melayan sesiapa dengan mesra, kerana kau berasa cemburu.

Kalau benda ini berlaku pada masa lalu, kau nak selesaikan masalah kau ni bagaimana? Mana ada mesin masa yang boleh membuatkan kau menjelajah menelusuri masa lagi di dunia ini. Celah mana kau nak ubah masa lalu? Dan kalau kau boleh kembali ke masa lalu pun, kau mana boleh ubah perkara itu daripada berlaku. Nanti akan mengganggu kontinum ruang masa dan kau takkan berjumpa dengan pasangan kau yang sekarang. Faham atau tidak? Kalau tak faham, pergi tonton Back To The Future.

Kau faham sekarang kenapa cemburu retrospektif ini sakit gila babi?

Kalau faham, bagus.

Bagaimana hendak selesaikan masalah cemburu retrospektif ni?

Balik ke Atas