Adab atau Adat

PANDANGAN/PERSPEKTIF Teks oleh: M. Hanif

Antara perkara yang menjadi ukuran apabila berlaku pertemuan sesama manusia adalah tingkah laku atau dalam perkataan lainnya disebut sebagai adab. Tingkah laku ini diperincikan sebagai sesuatu perbuatan, perlakuan atau pengucapan yang difikir baik mengikut norma masyarakat sekeliling. Pentingnya soal adab ini sehinggakan menjadi titik tolak bagi seorang manusia sama ada untuk menerima atau menolak, suka atau benci, berkawan atau bermusuh dengan seseorang. Maka tidak hairan jika ada dalam kalangan manusia yang sanggup berhabis semata-mata untuk mendapatkan perhatian bila berlaku pertemuan atau perkenalan dengan seseorang. Apatah lagi jika orang yang hendak ditemui itu adalah golongan kasta atasan.

Disebabkan sangat pentingnya soal adab jugalah maka ramai manusia berkorban masa berlatih cara bercakap dan berbahasa, cara berjalan, cara duduk, cara pakai sehinggalah pada cara makan. Hasratnya hanya satu, menarik perhatian. Kita juga percaya lagi yakin apabila kita melakukan sesuatu dengan penuh sopan santun lagi hormat, maka lagi tinggilah peluang untuk seseorang itu berasa selesa lantas boleh menerima kita selayaknya.

Besarnya soal adab ini sehingga ia juga menjadi sangat penting dalam hal ugama – walau apa anutan sekalipun. Apatah lagi dalam ajaran ugama Islam yang sangat menitik beratkan perhubungan sesama manusia sehingga diturunkan beberapa ayat dalam Al-Quran hanya untuk menyatakan kepentingan adab. Sehingga dijelaskan bahawasanya diutuskan seseorang rasul itu adalah untuk menyempurnakan adab. Untuk mempertegaskan lagi kepentingan adab ini, ia juga dijadikan kayu ukur pada ketinggian ilmu seseorang sebagaimana disebut-sebut, “terlebih dahulu kamu beradab sebelum kamu berilmu.” Maka sangat jelas pada kita bahawa orang yang tinggi ilmu itu semestinya tinggi juga adabnya. Selari.

Walau bagaimanapun, kenyataannya, keadaan yang berlaku pada masa ini sangat tidak cocok dengan apa yang diungkapkan tadi. Kita jadi sangat biasa berjumpa dengan orang bijak pandai tetapi rendah akhlaknya, hebat bicara tetapi penuh penipuan, tinggi darjatnya sama tinggi dengan egonya. Lantas bagi orang yang mahu berfikir atau merenung pasti akan nampak jelas kepincangan yang berlaku apabila ilmu yang dimiliki tidak lagi mampu untuk memandu adab. Ilmu dan adab itu seolah-olah dua perkara yang tidak sekufu. Maka, apa sebenarnya maksud adab dalam kehidupan ini?

Silap kita adalah apabila memandang adab itu sekadar pada tingkah laku luaran sahaja.Tetapi tidaklah silap juga kerana sememangnya itulah yang diasuh kepada kita semenjak kecil. Kita dilatih untuk menghormati orang tua dengan cara bersalam cium tangan atau memberi salam. Kita diajar untuk menunduk penuh santun apabila melintas di hadapan mereka malahan sampai tahap sama sekali tidak boleh mempersoal atau mempertikai segala apa yang keluar dari mulut mereka. Tetapi, adakah itu sebenarnya yang dipanggil adab?

Aku memandang semua perkara sopan santun penuh tertib yang diajar dan dilatih sejak dari kecil itu sebagai satu bentuk adat Melayu untuk menghormati orang yang lebih tua. Tidak dinafikan perkara itu baik, tetapi soal adab ini memerlukan satu penelitian yang lebih halus, lebih terperinci dan lebih dalam sehingga ia duduk setingkat atas berbanding adat.

Adab itu pada pandanganku harus boleh diterima semua, merentas segala budaya. Adab itu satu perkara universal yang boleh diterima tanpa bahasa sehinggakan apabila seseorang itu dalam keadaan diam sekalipun, tidak luput adabnya. Adab itu adalah satu perkara yang ghaib yang mana tidak boleh diumpamakan dengan mata kasar tetapi boleh ditilik dengan mata hati. Adab itu real, tidak ada kepura-puraan, tidak dilakon-lakon dan tidak dirancang-rancang.

Adab terbit secara semulajadi pada anggota zahir kesan daripada hati yang bersih, ikhlas dan jujur. Maka, adab itu sebenarnya adalah kerja hati. Bukan kerja anggota zahir seperti yang difahami selama ini. Atas sebab kita menilai pada yang zahir, maka kita selalu tertipu dan seronok untuk ditipu. Atas dasar itu juga maka kita selalu meletakkan kepercayaan kepada orang yang salah dan atas dasar itu juga kita cenderung untuk berlaku khianat.

Orang yang sentiasa menjaga hatinya dari perkara-perkara kotor tentu sekali tidak sanggup melakukan hal sekeji itu. Tidak akan menipu masyarakat untuk kepentingan peribadi. Tidak akan mengambil kesempatan pada golongan yang memerlukan. Tidak akan sesekali berhujah untuk menunjukkan tinggi ilmunya dan tidak akan menolak sebarang kritikan dan perbezaan pendapat.

Fahamilah dengan jelas, bahawa hati yang bersih akan memandu seseorang itu untuk bertingkah laku betul. Fahamilah juga bahawa, adab itu sebagai sesuatu yang dirasai pada batin, bukan dilihat pada zahir. Sebagaimana angin, biarpun tidak kelihatan, tetapi berasa jua.

Balik ke Atas