Pelita Belia – Siri motivasi bercakap tentang masalah belia

Mat Tiara adalah seorang Pekerja Belia

Realitinya kita tidak dapat menjangka bila, di mana dan bagaimana kita akan menghadapi masalah. Kita sebagai manusia juga tidak mengetahui jenis masalah apakah yang akan kita hadapi. Kita ambil contoh pada hari ini; dalam seronok kita bercakap tentang kereta terbang dan Wawasan 2020, tak pasal-pasal kita duduk melepak dalam rumah dengan seribu perasaan letih bangun, letih tidur, letih bersetubuh, letih tengok tv. Dan kita juga tidak menjangka daripada seorang manusia yang mandi 2-3 sehari kemungkinan besar dalam tempoh PKP ini kena mandi hanya sekali sehari. Cuma apa yang ada ialah mungkin kekuatan dan kebijaksanaan kita sebagai makhluk yang bernama manusia untuk persiapan dan sikap melawan masalah-masalah yang muncul ini. Bukankah kehebatan manusia itu melawan masalah?

Kau pernah gagal dalam hidup? Pernah gagal dalam peperiksaan besar seperti UPSR, PMR, SPM dan STPM atau gagal semester pertama semasa di universiti? Aku ada seorang kawan, masa sekolah bijak macam celaka dengan SPM paling gempak di Malaysia. Tapi sebab enjoy, semester pertama dapat 0.45 CGPA. Tak boleh nak fikir aku hal macam ni. Macam celaka juga bila fikir hal ini. Gagal percintaan? Tak payah cakap, bersepah gagal bercinta sampai hisap dadah. Paling power gagal bercinta sampai nak terjun bangunan pun ada. Bila fikir balik, dua kali rasa macam celaka fikir hal ini.

Cuma aku selalu berkata kepada diri aku dan selalu bertanya-tanya sendirian, apakah yang menyebabkan kau-aku-kita-semua kembali pada hidup seperti hari ini? Apa yang mendorong kau terus kekal hidup dalam misi kehidupan kau sekarang selepas banyak benda palat berlaku dalam hidup kau? Apa formula kau melepaskan diri daripada belenggu kegagalan ini? Bagaimana kegagalan itu kau baiki? Kerat jari aku, sudah tentu perkara-perkara ini pernah bermain dalam fikiran kau-aku-kita-semua sewaktu kita hampir tertonggeng dengan masalah dan kegagalan kau-aku-kita-semua dahulu.

Salah satu keistimewaan menjadi manusia ialah sifat fight back yang telah dikurniakan kepada manusia. Sifat fight back yang ada pada manusia ini bagi aku satu sifat yang bagus. Bagaimana Nabi Adam fight back selepas turun dari syurga, cari Hawa dan fight back dengan doa dan memohon keampunan daripada Tuhan pencipta dunia. Bukan fight back seperti Azazil dengan dendam untuk menghancurkan Adam dan keturunan. Itu fight back negatif dan salah bagi manusia.

Sebagai pelajar Diploma Pembangunan Manusia sekitar 1997-2000. Satu satu subjek yang menarik telah aku belajar ialah Resilien. Aku rasa tajuk subjek tu Pembangunan Individu Resilien. Jadi resilien ini sebenarnya istilah sains fight back yang ada dalam diri manusia. Dalam sains, resilien merupakan satu sifat sesuatu bahan yang kembali ke bentuk asalnya meski dikenakan daya ke atasnya. Daripada pandangan psikologi ia bermaksud kebolehan seseorang individu itu kembali kepada keadaan asalnya yang normal dan terus menghadapi kehidupan walaupun pernah ditimpa kegagalan, bencana, musibah, kecelakaan diri dan sebagainya. Bahasa mudah, ‘hidup memang palat, tapi kita perlu teruskan hidup ini.’ Realitinya resilien dan fight back ini perlu ada dalam jiwa kita sebagai seorang manusia. Dengan kata senang, tolonglah jangan bunuh diri kalau ada masalah.

Sebenarnya hidup ini perkara yang menyeronokkan. Buatlah perkara yang kau suka, mengoratlah makwe yang kau suka, dengarlah muzik yang kau suka, tulislah apa yang kau suka, makan dan minumlah apa yang kau suka asalkan kau faham setiap apa yang kau suka dan tak suka itu ada sebab-akibatnya. Jadi para belia sekalian senangkan hidupmu dan jika kau hampir terkena penyakit mental illness pergilah berubat dengan doktor, bukan dengan Google.

Seperti kata-kata seorang punker dari ibu kota Malaysia, Kuala Lumpur;

“Kalau nak hidup lama, jadilah macam band Bad Religion, susah nak mati dia orang ni. Tapi bagi aku lepas album The Gray Race, deme dah tak ada dalam hidup aku. Bad Religion sebelum The Gray Race adalah kesayangan aku tapi itulah hidup, kita tak dapat pegang selamanya apa yang kita sayang. Punk kadang-kadang memang palat, tapi punk not dead.”

Diubah suai mengikut naluri tahun 2020

Apex
“Resilien” Against All fanzine, 1997