Pelita Belia – Siri 3

Mat Tiara adalah seorang Pekerja Belia

Your emotions are nothing but politics. So get control

Ian Mackaye

Semasa mengambil Sarjana Pengajian Belia di UPM dahulu, aku berkesempatan hadir ke kelas Youth & Society yang dikendalikan oleh Profesor Dr. Turiman Suandi. Kalau tidak silap kelas itu berjalan setiap Khamis atau Jumaat. Aku ambil kelas itu sebab aku rasa perlu untuk aku bersembang secara ilmiah dan akademik tentang pembangunan belia.

Kebanyakan pelajar kelas itu terdiri daripada pelbagai cabang sarjana/ doktor falsafah dan juga daripada pelbagai latarbelakang. Dari kelas itulah aku kenal Johari dari Arab Saudi, Jufitri iaitu Presiden Majlis Belia Malaysia, dua tiga orang pegawai tadbir diplomatik, seorang brader yang ambil PhD kaji pasal makanan, seorang brader dari Afrika, seorang makwe dari Filipina dan beberapa remaja yang menyambung Master PhD sebab tak ada kerja aku rasa. Kelasnya seronok sebab pertama kita orang bersembang dalam bahasa inggeris, bersembang berdasarkan pengalaman dan pandangan masing-masing tentang belia.

Pada satu hari kami telah diberi tugasan tentang sesuatu subjek berkaitan belia. Paling tenang aku minta untuk buat tentang muzik dan kaitannya dengan belia . Bagi aku belia dan muzik tak lari jauh mana. Paling skema muzik merupakan benda asas yang belia kena dengar. Dengan beberapa panduan daripada Profesor Turiman aku jumpa banyak jurnal tentang muzik dan belia. Sangat banyak, orang barat sudah lama kaji pasal muzik dan dikaitkan dengan belia, muzik dan psikologi belia, muzik belia dan pemberontakan dan sebagainya.


Lama juga aku memikir tentang hal apa aku nak bentang dalam kelas nanti tentang muzik dan belia. Kalau ikut senang aku, aku boleh buat tentang ‘Dikir barat dan pengaruhnya dalam kalangan belia Kelantan.’ Aku ketika itu bekerja di daerah Gua Musang. Setiap tempat yang aku pergi di ceruk-ceruk kampung, dikir barat adalah satu hiburan wajib. Dan serius ia menghiburkan. Dikir barat bila masuk bab dikir karut umpama rap battle di barat dengan bentuk nasihat, kritikan sosial dan sebagainya. Tapi akhirnya datang juga buah fikiran aku untuk membentangkan tentang ‘muzik dan DIY.’ Aku fikir apa salahnya bercerita tentang muzik punk secara ilmiah sedangkan dengan tenang lagu Chumbawamba berdendang banyak sekali semasa Piala Dunia 1998.

Maka secara auto aku teringatkan Ian Mackaye. Kenapa tidak aku membentangkan tentang Ian Mackaye? Tentang prinsip beliau mengenai hidup dan muzik. Sekurang-kurangnya aku boleh memberi perspektif baru tentang punk rock secara akademik kepada rakan-rakan sekelas aku.

Jadi dengan semangat perjuangan punk rock aku telah menggunakan internet ini semahu-mahu untuk mencari maklumat tentang Ian Mackaye dan punk rock. Dari Google sampai ke YouTube dalam tempoh dua minggu tersebut. Tentang Straight Edge, scene punk rock Washington DC, Dischord Records yang dimiliki oleh Ian Mackaye dan juga band-band projek beliau. Masa itu juga aku dengar hampir semua lagu Fugazi. Untuk makluman Fugazi ini dahulu aku cuma dengar album Repeater (1990), itu pun sebab Saha brader hardcore dari Kluang kenalkan pada aku. Selepas Minor Threat hanya Embrace saja yang aku dengar. Pernah sekali masa meningkat tua aku ada berpakat dengan Amat Kiamat untuk buat band macam Embrace. Tapi itulah Amat sibuk main FIFA. Ketika itu aku kerja di Gua Musang dan tiap-tiap malam melepak dengan Amat Kiamat dan Pipi.

Sebenarnya lepas membaca tentang Ian Mackaye tiba-tiba aku dapat idea yang banyak tentang projek scene indie-DIY-punk-rock. Walaupun aku tidak menganggap diri aku sebagai seorang punk rock yang sejati tapi semangat Ian Mackaye telah menjalar dalam jiwa aku. Aku selalu berkata kepada diri aku kalau mamat Ian Mackaye masih buat banyak projek muzik kenapa aku tidak? Jawapannya mudah sebab aku tiada kemahiran bermain alat muzik.

Jadi sekitar tahun 2012 bila scene buku mula mahu bercambah, dengan semangat Washington DC aku berpakat dengan Pipi untuk terbitkan satu syarikat buku indie yang dinamakan Neon Terbit. Walau bagaimanapun semangat yang membara itu kadang-kadang hancur dengan scene rumah urut.

Semangat untuk menjadikan Kuala Lipis setaraf dengan Washington DC membara. Bak kata Ian Mackaye, “kenapa perlu pergi ke New York untuk jadi punk rock?” maknanya kenapa perlu pergi ke Kuala Lumpur untuk jadi penulis buku yang hebat? Kenapa perlu ke Kuala Lumpur untuk jadi seorang tukang buat kopi yang hebat? Kenapa tidak Kuala Lipis?

Dengan menggunakan MS Power Point aku letak gambar Ian Mackaye dari muda sampai tua, aku letak lagu Straight Edge, latar belakang beliau secara ringkas, falsafah Straight Edge, projek-projek terkini beliau dan untuk nampak ilmiah aku letak rujukan penulisan tesis, jurnal akademik berkaitan Straight Edge, punk rock dan Ian Mackaye.

Pada hari kejadian untuk buat pembentangan, aku tidak hadir ke kelas dengan alasan yang maha kukuh. Kelas itu aku dapat A+.