Pelita Belia – Siri 2

Mat Tiara adalah seorang Pekerja Belia

“Reformasi menghembuskan nafas baru ke dalam golongan muda Malaysia era 1990-an, ketika semangat belia dan aktivisme telah dilemahkan oleh falsafah kehidupan golongan muda yang berpandukan kekayaan material dan hedonism. Idealisme golongan muda sebelum reformasi bertentangan dengan golongan muda era 70-an, dengan idealisme perjuangan pro-miskin pro-rakyat mereka, yang digerakkan oleh budaya intelektual, selari dengan semangat merdeka, dan sesuai dengan nilai-nilai sebuah negara bangsa yang baru meraih kemerdekaan …”

Anas Alam Faizli, 2013

Reformasi 1998 bagi aku adalah pepecahan dalam semangat kesukarelaan terutamanya dalam pertubuhan belia di Malaysia pada tahun 2001. Bayangkan sebagai anak muda yang tiada langsung pengalaman dalam gerakan masyarakat kecuali dilantik sebagai Pengerusi Jiran Muda Taman Seri Tempoyang oleh Wan Husen, aku rasa macam nak berhenti kerja bila 3 hari selepas aku lapor diri, Pegawai Daerah Kemaman masa itu telah meminit surat dan meminta aku untuk merasmikan sebuah program silat di sebuah pasaraya di Kemaman.

“What the fuck kerja belia, ni? Kena berucap ke apa ni?”

Masa itu tahun 2001 dan aku teringat benarlah kata-kata pensyarah aku bahawa ketakutan nombor 1 di Amerika Syarikat adalah berucap di khalayak ramai dan rakyat Amerika Syarikat sanggup menghabiskan wang mereka untuk belajar pengucapan awam.


Perpecahan dalam gerakan kesukarelaan dalam pertubuhan belia di Malaysia terutamanya di Negeri Terengganu adalah perkara yang real. Bayangkan dengan pengalaman sifar dalam pergerakan belia aku terpaksa mengadap pula situasi politik yang real ini di peringkat akar umbi. Tahun 2001 setiap manusia di muka bumi Malaysia masih lagi berborak tentang reformasi dan setiap mereka saling berteka-teki sama ada kau ini penyokong Anwar atau Mahathir. Tahun 2001 juga bukan satu tahun yang nyaman dalam pergerakan belia di Negeri Terengganu apabila Kerajaan Persekutuan adalah Barisan Nasional dan Kerajaan Negeri adalah daripada PAS yang diketuai oleh Haji Hadi.

Aku pun semasa itu tak tahu nak sokong siapa. Nak sokong Anwar, akan dicop ‘budak reformasi’ dan sebagai pegawai kerajaan yang masih belum disahkan penjawatan kenalah menyokong kerajaan yang memerintah. Untuk lebih real aku ambil keputusan sokong Radiohead – masa itu Radiohead keluar album Amnesiac. Mula waktu maghrib sampai subuh hari aku layan album itu dan lagu kegemaran aku ialah Pyramid Song.

Mengikut Dr. Azimi Hamzah dan Dr. Turiman Suandi dalam buku mereka, Persatuan Belia di Malaysia: Perkembangan & Penyerlahan Potensi, gerakan belia di Malaysia mempunyai sejarah yang sangat panjang. Pertubuhan belia beruniform seperti St John (1908), Pengakap (1910) dan Pandu Puteri (1917) bertapak sejak awal 1900 lagi dan kebanyakan daripada mereka di pelopori oleh Penjajah Inggeris. Dengan semangat merdeka sekitar 1940an hingga 1950an barulah nampak orang Melayu terlibat dalam gerakan belia pelajar yang bercorak perjuangan nasionalisme ditubuhkan di Semenanjung Tanah Melayu.

Sedikit catatan sejarah ini menunjukkan bahawa setiap anak muda sama ada yang hidup dalam tahun 1900an atau 1990an atau pada tahun 2020 mempunyai semangat kesukarelaan dan idealisme mereka sendiri. Namun yang demikian melalui saluran manakah akan mereka bertindak?

Secara peribadi aku sangat bersetuju dengan pandangan saudara Anas Alam Faizli tentang gelombang reformasi yang memberi satu semangat baru kepada golongan anak muda di Malaysia pada ketika itu. Hembusan yang bermula pada akhir abad ke-20 sebenarnya memberi kesan dan impak sehingga tahun 2020 ini. Begitu banyak sekali perubahan dalam pergerakan belia di Malaysia terutamanya berkaitan dengan Dasar Pembangunan belia 1997 kepada Dasar Belia Malaysia 2018. Daripada tiada akta tentang pembangunan belia kepada Akta Pembangunan dan Pertubuhan Belia 2007.

Perubahan melahirkan konflik. Tahukah anda sebelum adanya Akta Pembangunan dan Pertubuhan Belia 2007, masih banyak persatuan belia dipegang oleh orang politik. Perkara ini sangat real dan berlaku sama ada pertubuhan belia di peringkat kebangsaan, negeri, daerah ataupun mukim. Politik adalah tentang pengaruh dan ‘memiliki’ persatuan belia adalah kekayaan terbesar orang politik. Tun Mahathir dalam buku Doktor Umum pernah berkata tentang Anwar Ibrahim,

“Sebagai Pemimpin ABIM, beliau mempunyai pengikut yang ramai dan ini boleh memberi kelebihan kepada UMNO….”  

Begitu banyak perubahan dapat dilihat namun perkara yang menjadi matlamat utama mengapa adanya pertubuhan belia bagi aku ialah sebagai satu platform untuk digunakan dalam mengasah semangat kesukarelaan dan pengalaman kepimpinan kepada mana-mana individu. Paling penting ia merupakan landasan terbaik untuk mereka belajar bercakap di depan khalayak umum.

Sebagai seorang pekerja belia melihat perubahan berlaku dan bertindak dalam perubahan itu merupakan satu pengalaman dan cabaran yang memeningkan, sedikit seronok dan mendatangkan gastrik.

Tentang Pegawai Daerah yang suruh aku pergi rasmi program silat di sebuah pasaraya itu, dua hari sebelum program aku dapat panggilan untuk menghadiri kursus.

Syukur sangat sangat pada Tuhan masa itu.