Pelita Belia – Belia dan akuarium

Mat Tiara adalah seorang pekerja belia

Sekitar tahun 2008, aku telah menceburi sebuah scene yang dikatakan boleh menghilangkan stres iaitu membela ikan. Ketika itu pejabat aku terletak di sebuah daerah tepi pantai yang indah dan penuh lambang bulan yang sentiasa mengambang. Oleh kerana kecantikan pantainya dan juga ikannya aku tertarik melihat ikan yang berwarna-warni yang bermain-main di gigi air.

Scene akuarium pada ketika itu sebenarnya scene yang agak stres dan bersifat sangat kimia. Kadang-kadang aku sedikit menyesal kerana tidak belajar kimia bersungguh-sungguh semasa SPM dulu. Bayangkan ketika itu fikiran aku bermain-main dengan persoalan pH air sama ada air itu bersifat alkali atau berasid. Aku terpaksa memanggil pakar akuarium bagi menentukan kedudukan pH air antara 6.5 hingga 7.5. Dan paling real aku terpaksa memastikan suhu akuariaum sekitar 26 atau 27 darjah celsius.

Pada permulaan membela ikan akuarium aku mengambil langkah seperti seorang profesional dengan membela beberapa ikan nemo. Dengan pertolongan beberapa pakar kejuruteraan akuarium aku berjaya mendapat beberapa ekor ikan nemo dan batu karang hidup yang real. Mengikut apa yang aku belajar ketika itu pH air untuk membela ikan marin dalam 7 hingga 8 dan bagi memastikan suasana akuarium seperti air laut maka beberapa bahan kimia perlu dititiskan untuk menipu ikan nemo tersebut agar mereka percaya mereka masih lagi berada di dalam Laut China Selatan.


Beberapa minggu kemudian, mereka meninggal secara seekor demi seekor, bukan berjemaah. Menurut kajian aku kematian mereka berkemungkinan disebabkan oleh stres yang melampau. Masa itu aku letak akuarium di sebelah tv dan ada kemungkinan drama-drama Melayu dan juga sinetron Indonesia yang dipasang oleh bini aku menyebabkan ikan tersebut mengalami kemurungan lalu menyebabkan kematian mereka.

Selepas itu aku cuba membela ikan lain. Aku berhasrat untuk membela ikan flower horn tapi aku perhati ikan ini mirip manusia. Kadang-kadang aku rasa flower horn ini mungkin sejenis manusia yang telah disumpah menjadi ikan. Scene kena sumpah jadi binatang ini sebenarnya scene yang real. Ingat tak kisah sekumpulan masyarakat pada zaman Nabi Musa yang telah disumpah menjadi kera kerana dikatakan menangkap ikan pada hari Sabtu? Paling sejarah ingat tak kisah mak Bawang Merah menjadi ikan kaloi selepas ditolak ke dalam perigi oleh mak Bawang Putih? Pernah tengok ikan kaloi? Kata pakar kehidupan ikan air tawar, mulut ikan kaloi paling sedap dimakan.

Paling mantap tentang scene akuarium ini jika dilihat dalam Youtube ialah penggunaan muzik latar kumpulan muzik yang berasal dari Iceland seperti Mum dan juga Sigur Ros. Bayangkan kita melihat ikan-ikan berenang di dalam akuarium dengan latar belakang lagu “Olsen Olsen” Sigur Ros dan ikan nemo bermain-main dengan batu karang dalam suasana lagu “Green Grass of Tunnel” daripada Mum. Dan sesungguhnya mengikut ahli psikologi melihat makhluk ciptaan Tuhan akan menghilangkan stress dan seterusnya membaiki mental.

Jadi apa kena mengena Belia dan Akuariuam? Hubungannya mudah sahaja. Kalau nak jadi ikan, jadilah ikan laga, ikan haruan, ikan puyu atau ikan keli. Dalam keadaan apapun akan terus hidup. Kalau boleh, jadilah macam ikan keli – lepas kena buang isi perut pun masih lagi bergerak dalam plastik.

Sebenarnya kalau mengikut akademik dalam proses pembangunan belia, Teori Pembangunan Belia Positif (PYD) seharusnya diguna pakai bagi memastikan kelangsungan golongan belia. PYD digunakan untuk menyerlahkan potensi dan memantapkan golongan belia. Ramai bijak pandai percaya bahawa setiap golongan belia mempunyai kekuatan dan aset tersendiri pada diri mereka namun memerlukan sokongan ramai pihak bagi menyerlahkan lagi potensi mereka.

Bagaimana? Sama seperti membela ikan.



Notakaki: Pada minggu depan ruangan Pelita Belia memberi laluan kepada sebuah karya agung Mat Tiara iaitu “Jabatan Runsing Negara.” Karya ini diinspirasikan daripada sebuah buku tulisan Dr. Ahmad Atory Hussain, “Pentadbiran Awam – Asas Pemikiran dan Falsafah.”