Pelita Belia

Mat Tiara adalah seorang Pekerja Belia

Hari-hari dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini mengingatkan aku kepada banyak perkara. Banyak perkara yang boleh dikenang kembali seperti perjuangan kebebasan semasa remaja, penghayatan muzik keras seperti Minor Threat, RATM dan Propagandhi pada waktu pagi dan menjadi manusia yang larut dalam suasana romantik dengan alunan muzik sedap The Cure dan The Smiths pada waktu subuh hari, berselisih faham dengan keluarga terutamanya arwah Tok Mat tentang hala tuju masa depan yang kelam dan situasi tegang dan sedap ketika bermain bola sepak di atas sebuah padang simen keras di kawasan perumahan melayu kelas menengah atau bahasa ekonomi sekarang M40.

Dari sebuah kawasan berbukit dengan sistem pengangkutan yang agak baik di mana perjalanan Bas ke Kuala Lumpur berjalan lancar dan perkhidmatan keretapi yang banyak memberi nyawa kepada bandar Kuala Lipis aku berhijrah ke sebuah negeri pantai timur yang hampir dengan Laut China Selatan iaitu Terengganu. Sebuah negeri yang jauhnya dari Kuala Lumpur iaitu kira-kira 10 jam perjalanan pada tahun 2001 dengan jumlah berhenti tepi jalan yang sangat banyak dan sebuah negeri yang keretapi hanya menjadi sejarah di mana kepala keretapi diletakkan di Muzium Negeri.

Sebenarnya Terengganu dengan aku tak lari jauh mana sejak kecil. Membesar dengan majalah Gila-Gila, aku cukup suka dengan kartun Lagak A. Mahmud karya Fatah Ngah. Kartun tersebut sedikit sebanyak memberi kefahaman aku tentang Terengganu dan bahasa Terengganu dan mungkin sedikit tentang budaya Terengganu. Sebagai orang luar yang bekerja di Terengganu, aku dapati bahawa Terengganu ini mempunyai personaliti budaya yang berbeza bermula dari Kemaman hingga ke Besut. Paling mudah dari segi bahasa. Di daerah Kemaman, Marang, Dungun dan Kuala Terengganu kita akan dengar lebih banyak G seperti ikang, makang, simpang, jalang-jalang dan G itu berkurangan bila masuk ke daerah Setiu dan Besut dengan bunyi yang sangat Kelantan.


Manakala daerah Hulu Terengganu mempunyai dialek yang agak berbeza apabila dikatakan kosa kata bahasa masyarakat Hulu Terengganu ini mempunyai persamaan dengan bahasa Kepulauan Maluku, gugusan kepulauan Thailand, Pulau Borneo dan ada juga teori mengatakan bahawa kemungkinan besar bahasa Hulu Terengganu ini merupakan dialek yang paling tua dan asli dalam semenanjung Tanah Melayu. Contoh :- larai = lari, akaw = aku, ruhok = susah. Itu baru bahasa bukan bincang hal masyarakat belah pantai dan dan masyarakat belah bukan pantai.

Semasa di Kuala Lipis dalam bilik pemberontakan aku dengan gambar Tun Mahathir membaca doa ditampal di sebelah jadual kelas semasa menjadi Guru Sandaran Tak Terlatih SMK Orang Kaya Haji Kuala Lipis, aku selalu mendengar kata-kata semangat petikan daripada lirik lagu Propagandhi berjudul Anchorless yang berbunyi “I don’t want to live and die here…” berulang-ulang umpama zikir seperti menghalau aku dari Lipis. Sejak itu semangat pengembara menjadi begitu tinggi sekali umpama KLCC dan impian menjadi realiti apabila diterima menjadi pekerja kebajikan dalam gomen pada tahun 2001 dan 3 bulan selepas itu aku sambar tawaran sebagai pekerja belia dalam industri gomen sehingga sekarang.

Oh ya Fatah Ngah adik beradik dengan Manan Ngah kalau korang nak tahu.