Kandas di Pulau Ketam

dalam DESTINASI/KEMBARA/PERSPEKTIF
“Maaflah, bot terakhir untuk ke Pelabuhan Klang dah berlepas setengah jam tadi. Sekarang sudah tiada bot lagi. Tunggu esok.”

Penambang itu menghidupkan enjin lalu mengundurkan botnya dari tebing jeti. Aku dan KB tercengang dan kami memandang ke timur merentasi hutan paya bakau dan tompokan-tompokan kelong, ke arah tanah besar yang telah kami tinggalkan beberapa minit lepas. Sekarang kami sedang berada di Pulau Ketam; terletak kira-kira setengah jam perjalanan botlaju dari Pelabuhan Utara. Pulau ini adalah di antara beberapa gugusan pulau lain berhampiran Pelabuhan Klang di samping Pulau Tengah dan Pulau Che Mat Zin. Deretan Kelong di tebing pulau dan kedai-kedai dengan nuansa filem Hong Kong lewat 50an. Populasi: dua ribu. Pekerjaan utama jika tidak bersangkut paut dengan perikanan, adalah perniagaan runcitan. Di sini kau tidak menemui kereta atau motor kerana basikal adalah gaya hidup hakiki.

Jadi bagaimana dua orang pemuda Melayu Selangor boleh terkandas di pulau yang asing seperti ini?

Ceritanya bermula apabila kami selesai membeli curut mini dari stor Pelabuhan Klang, atau KB memanggilnya Kameela Klang. Kami duduk di meja KFC hujung kedai dan memerhatikan kapal-kapal yang melintasi pelabuhan. Kami melabun akan beberapa hal remeh sebelum sesebuah gagasan liar menghinggapi kepala sahabatku, menetaskan keinginan yang serba spontan. Dia mencucuh curut, “jom pergi Pulau Ketam. Alang-alang kau sampai di sini siang.”

Memandangkan aku juga melayu pantang dicabar, pelawaan itu aku sahut dengan anggukan. Kami menyapa pegawai imigresen di pelabuhan dan mengenderai botlaju Ah Thian untuk merentasi Selat Kelang. Ini bukan kali pertama aku menaiki bot namun ini kali pertama aku merentasi perairan di wilayah ini. Angin bertiup garang dan ombak bergulung meliar dan botlaju Ah Thian menujah laju menuju ke matlamat yang selama ini aku hanya baca di Wikipedia. Satu kilometer sebelum tiba, permandangan kami menemui sebuah pulau yang diceracaki kelong dan kapal nelayan. Sebuah pulau gergasi tersergam hodoh seperti seekor kura-kura dari alaf Jurassic. Itulah Pulau Ketam.

Aku bertujuan untuk ke sini kerana pernah mendengar cerita lisan orang-orang tua via KB bahawa pulau ini pernah menjadi suaka bagi komuniti cina Taiwan semasa Pendudukan Jepun kemuncak peperangan di Asia Timur. Sini juga tempat yang pilihanraya dibekukan pada ’65 dan akhirnya dibuka semula PRU lepas. Sebuah tempat yang enigma seperti ini menuntut untuk diterokai, lebih-lebih lagi lokasi yang tak berjauhan dengan almamaterku.

Namun kami sampai di jeti tanpa perancangan; kami tidak memeriksa jadual perjalanan sebelum melangkah masuk ke dalam botlaju Ah Thian dan sekarang kami tiada cara untuk pulang ke Tanah Besar melainkan atas ihsan kapal-kapal nelayan tempatan. Aku memeriksa telefon: enam suku petang. Sekarang kami sudah terkandas di sebuah pulau yang kami tidak kenali sesiapapun, berbekalkan wang yang terhad dan pengetahuan mandarin yang sekadar taaruf setaraf kelas tadika. Senja yang menggusarkan.

“Aku kena pulang,” kata KB. “Aku lagi takut mak aku mengamuk berbanding tinggal di sini.”

Aku mengangguk. Baik, aku juga lebih berminat untuk tidak bermalam di sini. Lagi-lagi sekamar dengan seorang lelaki di hotel pelancongan mewah seperti di hadapan jeti. “Berapa ringgit kalau kita nak upah botlaju?”

“Seratus lima puluh, bro. Tapi aku sanggup bayarkan. Aku memang kena pulang.”

Aku mengangkat bahu. Kami melihat kapal-kapal nelayan yang bersinggahan di jeti. Di sini berbaris basikal yang disandarkan pada tiang dan dinding kusam. Seorang lelaki cina tak berbaju berdengkur di kerusi batu. Bunyi kocakan air akibat ombak-ombak kecil yang menghempas tembok jeti.

“Sini hanya ada satu ATM,” bilang KB. “Aku tahu mana tempatnya. Biar aku cucuk wang dulu.”

Kami memasuki pekan, melintasi surau komuniti dan balai bomba sukarelawan. Binaan bangunan di sini klasik cina; jika bukan kerana poster Dr Halimah yang terpampang pada beberapa sudut aku pasti fikir bahawa botlaju Ah Thian tadi – melalui mukjizat Tuhan atau hukum fizika kuantum – telah mengoyakkan kontinuum ruang-masa dan mengirimkan kami ke China sewaktu zaman Maharaja. Lorong-lorongnya sempit, anjing-anjing liar berkeliaran dengan mata waspada kepada orang asing. Papan iklan kayu dengan kaligrafi purba di ambang pintu dengan aroma sup babi dan hidangan laut di gerai-gerai kecil.

“Mak aku akan naik angin,” bisik KB sendirian. “Aku tak suka bila mak aku naik angin.”

Keluar dari jeti, kami menemui dua jurueletrik melayu yang sedang menyusun kabel eletrik dari timbunan beg hijau. Salah seorang daripada mereka menyalut kepalanya dengan baju hijau. Kami menyapa mereka dan kami ceritakan hal kami. Mereka beritahu kami bahawa bot terakhir memang jam lima setengah petang untuk hari minggu dan enam setengah petang untuk sabtu dan ahad. Selain itu, apa-apa pengangkutan bergantung kepada teksi bot yang agak mahal tambangnya.

“Tidak apa, kawan aku barangkali akan datang lewat malam ini. Jika kalian mahu menumpang, berikan aku nombor.”

Aku berikan nombor telefon dan kami bersalaman dan kami beredar. Aku tidak berapa yakin dengan kaedah tadi tetapi hari semakin suntuk dan kami langsung tiada tempat tinggal di tempat ini. Menjadi orang asing di pulau asing bukanlah prospek yang kau impikan semasa berjalan jauh. Apatah lagi dengan keadaan yang serba darurat. Kami merancang untuk ke balai polis dan dapatkan apa-apa bantuan jika boleh dimanfaatkan. Seorang lelaki melayu menyambut kami di kaunter. Setelah berbasa basi, seorang lelaki dengan nama Hester muncul dari balik bilik. Mereka ketawa mendengar cerita kami. “Tidur sajalah sini. Bot memang akan gerak esok.”

“Bagaimana?”

“Jom ATM,” jawab KB.

Aku mengangguk. Kami melalui lorong yang menghubungkan jeti, pekan, dan rumah-rumah kayu dan batu. Pekan di sini hanyalah dua batang jalan yang didereti kedai: Jalan Satu dan Jalan Dua. Dua melayu berbaju kurung menyapa kami dari ambang surau. Di sudut sebuah rumah, seorang makcik cina berambut kerinting menghidangkan nasi sup kepada dua anak orang asli. “Ini makan malam buat awak.” Mata kami bertentangan dan aku mengangkat tangan. Dia tersenyum. Aku rasa aku sukakan suasana pulau desa ini.

“Dulu aku pernah kemari. Seingat aku memang ada ATM Maybank. Kita cucuk duit sana. Kita tempah teksi.”

Kemudian perkara yang paling kritikal terjadi: ATM rosak. Tekan butang tak berbunyi. Skrin gelapnya memantulkan wajah resah kami. Aku mencekak pinggang memandang ke lorong yang menghubung kepada tokong. Sunyi. “Tiada cara lain nampaknya. Kita memang kena tunggu abang jurueletrik tadi. Kalau tiada, kita akan bermalam di sini. Kita mesti bermalam di sini.”

“Aku lapar,” sambungku lagi. “Makan dulu, fikir kemudian.”

Kami akhirnya berserah kepada takdir. Kami makan malam di gerai Indonesia di Jalan Dua, satu-satunya kedai bukan cina di pulau itu. Dua pinggan ayam penyet hangat dijamukan di meja kami. Aku duduk makan sementara KB menelefon ibunya sambil bermudnar-mandir di luar kedai. Aku tidak dapat dengar apa yang diperkatakan tetapi aku tahu ia serius. Beberapa kali dahinya berkerut. Kerana apa-apa hal pun, KB seorang anak ibu sejati. Aku menjamah dulu hidanganku. “Asal mana, kak?”

“Madura, dik. Kami sekeluarga dari sana.” Sambutnya mesra.

“Orang Indonesia yang banyak mampir di sini hampir-hampir semuanya Madura, dik.” Celah seorang pakcik dengan katarak pada mata kirinya. Dia sekarang sedang menghisap – secara tipikal – sebatang kretek dan secangkir kopi hangat. “Kamu?”

Aku menjelaskan keadaan aku dan KB dan dia tersengih. “Kamu memang sudah tiada harapan. Bermalam sajalah di sini.”

KB datang dan menjamah makanan. Dia kata ibunya mengamuk tetapi apa boleh buat. Aku mengangkat bahu. Kami meneruskan santapan sambil berfikir-fikir apa mahu dibuat sepanjang malam di sini. Kami berbual untuk seketika sebelum satu suara menegur kami dari belakang.

“Kamu cikgu?”

Kami menoleh. Seorang pakcik cina tua dengan tangan yang bersalut arang. Dia mengambil kerusi di meja kami dan bertanya sekali lagi. “Kamu dua cikgu?”

Aku menidakkan.

“Makan angin?”

Kami mengangguk hampir serentak. Kemudian dia seperti seronok, kerana untuk sejam selepas itu dia tanpa putus bercerita tentang sejarah peribadinya dan pulau yang tersisih di Selat Klang ini. Dia bertutur dalam bahasa melayu dan bahasa inggeris dan sedikit sebanyak mandarin namun untuk bahasa terakhir ini kami hanya tersengih sahaja kerana selepas itu dia akan jelaskan sendiri maksudnya.

“Tahun satu lapan lapan kosong pulau ini mulai dibuka. Nelayan dari Klang menemui banyak ketam di sini. Mereka membuka penempatan dan berhijrah beramai-ramai apabila hasil di sini lebih menguntungkan. Generasi pertama suku Hainan. Seterusnya Hokkien, diikuti Teo Chew. Tapi kamu juga akan jumpa beberapa sahabat dari Sumatra dan Orang Asli berhampiran.”

Kami mengangguk. Kami bertanya-tanya dan dia menjawab, kadang-kala secara loyar buruk tetapi kami okey saja dengan itu. Sampai di pertengahan satu soalan terpacul dari mulut sahabatku: “pakcik, sini polis berapa orang?”

Wajah tetamu kami itu berubah serta merta. Dia merapatkan dirinya kepada kami. “Ish, itu soalan sensitif. Jangan diomong lagi.”

Kami saling berpandangan. Di kepalaku terbit wajah dua anggota polis tadi dan suasana kelam pejabat mereka yang berlangsirkan ungu. Setelah melabun lagi tentang beberapa hal seputar pulau ini, tetamu kami (atau setepatnya tuan rumah?) pun meminta diri. Sebelum beredar aku ingin bertanyakan namanya. Dia cuma balas: tak usahlah, saya ini orang tua gila.

Selesai membayar untuk makanan kami, aku dan KB pun menghala semula ke jeti. Kami tiada idea bagaimana untuk dihabiskan malam ini dan kami fikir seeloknya kami fikir dari tepi jeti nanti. Bayu ketika itu menderu cukup kuat. Kepingan-kepingan kayu yang digantung di sepanjang siling jeti berklik-klik-klik melanggari satu sama lain. Aku memeluk tubuh, kedinginan mencebur sehingga ke tulang-belulang.

Sedang kami menangkap foto, tetiba seorang lelaki berbasikal elektrik melintasi sebelah kami. KB menegurnya mengangkat tangan, “cikgu.” Dia menuju terus ke hujung jeti.

Apabila selesai berfoto, kami menemuinya sedang menghisap rokok di hujung jeti. Dia menegur kami semula, “bagaimana kamu kenal saya cikgu?”

“Sebab cikgu pakai baju MSSD.” Jawab KB seloroh.

Dia memandang bajunya lalu ketawa. Dia memperkenalkan dirinya sebagai guru di sekolah tempatan. Cikgu Jan, namanya. “Aku sekarang pishang sebab kaki-kaki memancing dah tiada di sini. Itu pasal aku keluar sekejap ambil mood.”

“Kau lihat di hujung sana,” tuding Cikgu Jan ke arah hujung pulau yang meriah dengan lagu dan cahaya api. “Situ majlis pengebumian. Esok pagi mereka akan mengirimnya ke tanah besar. Abunya takkan disimpan di sini.”

Kami mengangguk. Kami tak tahu apa untuk diperkatakan. Melihat kami berdiam, dia lanjut bertanya, “kamu tidur mana malam nanti?”

“Tiada tempat lagi. Kami tak bawa wang mencukupi untuk menempah bilik hotel.” Jawab KB teragak.

“Tidurlah rumah aku malam nanti. Kita boleh sembang di rumah.”

Mendengar ini aku dan sahabatku berpandangan. “Tidak menyusahkankah, cikgu?”

“Tak mengapa,” jawabnya. “Jangan engkau letak pisau di leher aku malam nanti cukup.”

Kami dibawa ke rumahnya di kuarters guru Pulau Ketam. Ruang tamu rumahnya dipenuhi cat, berus, majalah, serta beberapa hasil kraf anak-anak muridnya. Empat batang joran tergantung kemas di dinding kaki lima. Cikgu Jan meminta kami duduk dan mula mengemop lantai. “Aku dah dua belas tahu di sini. Sepuluh tahun pertama, aku duduk sini dua bulan setahun. Dua tahun akhir aku mengajar sepenuh masa.”

“Macam-macam orang aku jumpa sekitar pulau ini. Jika ada tetamu, memang aku akan undang bermalam. Lebih elok daripada tidur di jeti.”

Selang beberapa minit kemudian, kedengaran hujan mulai menimpa ke atas bumbung rumah Cikgu Jan. Aku menyelak pintu dan tempias-tempias dingin menyapu muka. “Syukur kita sempat berteduh, Champ.”

Aku mengangguk. Aku tak mahu bayangkan bagaimana kami akan hadapi hujan dingin di jeti tadi. Cikgu Jan datang kepada kami ibarat satu petunjuk kudus untuk penyelamatan.

Kami berbual beberapa hal dengan Cikgu Jan selama beberapa jam. Banyak yang dikongsi dengan kami. Tentang migrasi penduduk dan upcara pengebumian kaum asli. “Mereka hanya akan membungkus mayat dan membiarkan ia ditelan laut di paya-paya bakau luar sana. Air pasang akan mengambil mereka.” Pengalamannya mengajar di pulau asing ini banyak yang mencuit hati; ada juga yang beberapa cerita yang menyentuh perasaan. Di sini, penduduk amat prihatin dengan perkembangan pendidikan. Mereka tidak kisah untuk mencurahkan banyak wang dan tenaga untuk pembangunan sekolah. Perpustakaan mereka juga didanai tabung penduduk serta syarikat Coca-Cola. Dia sudah kenal selok-belok di tempat ini. Pulau Ketam sudah menjadi ibarat rumah keduanya.

Kunjung larut malam, kami meminta diri untuk tidur. Kami membentangkan toto dan bantal dan berbaring dengan penuh kelegaan. Hujan di luar sudah mulai reda. Namun sejuknya masih meruap-ruap di segenap ruang bilik kami. “Aku masih tak percaya kita dapat bertemu Cikgu Jan, Champ. Jika tidak kita pasti terkandas di luar tadi. Kita tiada wang dan tidak kenal sesiapa pun di sini.”

Aku mengiyakan. Sebelum aku terlelap dibuai bayu, aku sempat mendengar bunyi air memanjati tanah ini perlahan-lahan secara halus. Bunyi air sedang pasang jam tiga pagi.

Cahaya pertama menyusupi jendela kamar kami seawal jam enam setengah pagi. Kami keluar untuk mengejar feri jam 8 suku. Sebelum itu, kami singgah di kopitiam dulu untuk secawan kopi dan roti bakar. Pekan itu agak meriah sewaktu pagi. Nelayan-nelayan mulai bergerak ke jeti dengan pukat dan joran di tangan. Anak-anak berjalan ke sekolah. Basikal lalu-lalang. Peniaga runcitan menyorong kotak-kotak barangan dan kopitiam-kopitiam riuh dengan bunyi televisyen yang menyiarkan berita pagi. Cikgu Jan menegur banyak orang dan rata-rata penduduk di sini amat meramahinya – meskipun dia hanya seorang antara 5% melayu yang menetap di pulau ini. Barangkali memang begitu sikap mereka terhadap guru yang mengajar di pulau ini.

“Cikgu, saya jalani Latihan Dalam Kamar di Mahkamah Klang. Namun saya tak pernah dengar apa-apa kes dari sini. Mengapa, cikgu?”

“Mudah,” jawab Cikgu Jan. “Di sini mereka mempunyai sistem mahakamah mereka sendiri. Segala hal dan perselisihan akan diselesaikan di tokong mereka, yang diurusi oleh penghulu kampung dan beberapa ahli agama. Oleh sebab itu kes-kes mereka tidak pernah sampai ke tanah besar.”

KB mengangguk. “Patutlah.”

“Ya. Kes di sini pun tidak berat. Ada pun hanyalah yang remeh-remeh, seperti mencuri pakaian dalam atau mengacau bini orang lain.” Sambungnya seloroh.

Kami meneguk kopi sampai habis dan meneruskan perjalanan. Kami tiba di jeti jam lapan. Ketika itu seorang kawan Cikgu Jan sedang menghisap rokok menghadap laut lepas. Aku tidak ingat namanya tetapi Cikgu Jan kata dia mempunyai nama seperti roang melayu, tetapi anutan yang sama sekali berbeza. “Mereka masih menyembah roh pokok dan badai.”

“Nanti kami masuk peluk islamlah perlahan-lahan, bang. Sekampung saya banyak sudah mengucap kalimah syahadah. Saya saja belum. Saya tunggu hidayah,” ujarnya tersengih.

Feri tiba. Aku menghulurkan sedikit wang buat Cikgu Jan namun dia menolak. Kami bertukar-tukar nombor dan Cikgu Jan menawarkan untuk membawa kami memancing jika kami mampir ke sini sekali lagi. Kami memasuki perut feri bersama penumpang-penumpang yang ingin ke Pelabuhan Klang. Mereka sedang memasang lagu karaoke mandarin dan awalnya aku sangka video dari China namun bangunan Sultan Abdul Samad di latar video melesetkan sangkaan tadi. Kami sengaja memilih kerusi bersebelahan jendela. Ambil mood.

Dalam perjalanan pulang, feri sekali lagi melalui hutan paya bakau yang merimbun di Selat Klang. Aku menatap hutan itu dan terfikir jika – sementara kami sedang lalui perairan ini – ada mayat siapa-siapa yang terdampar di sana menanti untuk dijamah alam. Kami melintasi kapal-kapal nelayan dan kelong-kelong yang terpacak di laut dalam. Ini tanda terawal aku lihat semasa ingin ke sini dan tanda terakhir semasa aku ingin meninggalkan.

Pelabuhan Utara mulai terbit dari hujung jendela kami. Pada ketika ini matahari sudah meninggi. Sinar suria terjumlah pada permukaan laut yang berkocak. Beberapa kapal nelayan teroleng-oleng. Di ambang dermaga kapal-kapal dagang menghampiri seperti raksasa dasar lautan yang gerun dan menakutkan. Mereka menuju gagah dan perlahan memuatkan kargo-kargo untuk dikirim ke Lembah Klang. Ini kali pertama aku menyaksikan mereka sedekat ini dan kapal-kapal gergasi ini sering mengkagetkan perasaan; ada sesuatu tentang rupanya dan saiznya dan kekuasaannya pada laut yang menuntut sejenis kedaulatan.

Kami melihat kapal-kapal ini belayar dan berlabuh dan akhirnya Pelabuhan Selatan muncul di balik teluk. Aku menghela nafas lega. Satu malam di Pulau Ketam terasa seperti dua tiga hari lamanya. Aku menyandarkan tubuh, membiarkan segala pergerakan fizik kapal ini melaksanakan tugasnya untuk menyampaikan kami kepada tujuan. Di kepalaku sudah terbayang rumah dan segala masalah-masalah yang kutinggalkan sebentar. Keretaku yang terletak di stesen KTM Pelabuhan Klang pun masih belum dijelaskan tiketnya. Feri kami parkir di tebing, memuntahkan penumpang-penumpang keluar. Sekarang aku berdiri di tebing, menoleh semula ke Selat Klang yang meriah dan sibuk.

KB menepuk bahuku. “Nanti kita telefon cikgu lagi. Kita harus cuba memancing di laut dalam nanti. Jika kita cukup gila, kita boleh sampai ke Sumatera”.

Aku angguk. “Ya, tiga orang gila di laut lepas menuju kepulauan Sumatera. Aku suka idea itu. Tapi sebelum itu – tengok dulu jadual pulang jam berapa. Kita tak mahu kandas Acheh dan diculik lanun.”

Kami berdua ketawa.

 

Balik ke Atas