Wilayah Laut yang Terpisah dari Ibu Pertiwinya

dalam DESTINASI/KEMBARA

Natuna dan Anambas adalah dua kepulauan yang terletak di dalam wilayah besar Republik Indonesia. Dua kepulauan ini kemudian diletakkan di dalam provinsi Kepulauan Riau dan ibu kotanya ialah Tanjungpinang di Pulau Bintan.

Bersempadan dengan Vietnam di utara, Borneo di timur, dan semenanjung emas di barat, penduduk asal kepulauan Natuna dan Anambas sebenarnya menggunakan Bahasa Melayu dialek Terengganu. Ya, Terengganu.

Sedikit masa dahulu, Republik Indonesia mengisytiharkan kemerdekaannya dari penjajah. Walaupun ditentang kuat Belanda, akhirnya Indonesia mencapai kemerdekaan yang ditagih.

“Kemerdekaan dengan darah.”

Ayat ini sering dilaungkan segelintir mereka setiap kali mahu menyindir Malaysia yang mencapai kemerdekaannya dengan batang pena.

Berbalik kepada Natuna dan Anambas yang menggunakan dialek Terengganu di dalam kegiatan seharian, mengapa mereka terjebak dan dianggap sebahagian wilayah Indonesia? Mengapa kedua kepulauan ini tidak menyertai gagasan Malaysia? Sedangkan letaknya adalah di tengah-tengah antara Semenanjung dan Sabah Sarawak. Kedudukannya pula sejajar dengan Terengganu dan Pahang.

Berdasarkan Surat Keputusan Delegasi Republik Indonesia, Provinsi Sumatera Tengah yang bertarikh 18 Mei 1956, Kepulauan Natuna dan Anambas telah dimasukkan sebagai salah sebuah wilayah di dalam Republik Indonesia. Jika mengikut tarikh di atas, jelaslah ketika itu barisan pemimpin atasan tanahair sedang bertungkus-lumus memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu. Mungkinkah mereka terlepas pandang atau membiarkan sahaja aksi Indonesia yang kemudiannya mewujudkan konfrontasi pada 1963? Adakah pada mereka, pembentukan Tanah Melayu lebih penting?

Jika saya menjadi warga Natuna dan Anambas ketika itu, pastilah saya akan terkejut apabila tanah kelahiran sendiri tiba-tiba dikatakan sebahagian daripada Indonesia.

Harus diingat kedudukan geografi Natuna dan Anambas memainkan peranan penting untuk Indonesia menggelarkan diri sebagai negara kepulauan mengikut undang-undang laut antarabangsa. Jadi tidak hairan jika mereka berkeras untuk meletakkan Natuna dan Anambas di dalam wilayah mereka.

Saya pernah berkunjung ke Tanjungpinang sedikit masa dahulu. Ketika bersarapan, ada satu juadah yang dipanggil nasi dagang. Saya kemudian bertanya dan mereka mengatakan ini adalah makanan istimewa dari Tarempa. Di mana letaknya Tarempa ini? Di kepulauan Anambas tuan-puan.

Tulus di dalam hati saya, alangkah bagusnya jika Natuna dan Anambas ini sebenarnya milik Malaysia. Dengan lokasi yang berada betul-betul di tengah Pentas Sunda, saya amat yakin ini adalah habitat terbaik untuk segala jenis hidupan laut dan amat pasti kepulauan ini dipenuhi flora yang beraneka-ragam baik di darat mahupun laut.

Selain itu, kepulauan ini mampu menjadi tempat persinggahan laluan laut di antara semenanjung dan Sarawak. Juga menambahkan lagi destinasi pelancongan yang disediakan Malaysia.

Saya akan selamanya mengganggap Malaysia telah kehilangan sebuah permata di tengah samudera yang telah jatuh ke tangan orang. Alangkah beruntungnya mereka.

Balik ke Atas