Tentang Pasaraya Pulung & Pesta Nukenen

dalam DESTINASI/KEMBARA

Saya tiba di dataran tinggi Bario seminggu lebih awal sebelum Pesta Nukenen & Kebudayaan Bario 2017 bermula. Itu pun kerana tiket penerbangan yang dekat dengan tarikh pesta sudah pun habis terjual. Hanya ada kekosongan pada tarikh yang lebih awal. Pada mulanya saya merungut sebab banyak kerja-kerja lain yang perlu diberi perhatian. Mujurlah saya bekerja sendiri, kerja-kerja itu bolehlah saya tangguhkan sementara. Bukan boleh kaya pun kalau bikin buku, bukan? Saya fikir mungkin ini juga merupakan peluang untuk saya berkunjung ke Pasaraya Pulung setelah beberapa bulan tidak menjengah ke dalam pasaraya tersebut. Setibanya di Bario, saya rehat pada hari pertama sebab letih membawa beban kekusutan kotaraya. Saya hanya keluar ke pasaraya pada hari berikutnya.

Biar saya ceritakan sedikit tentang Pasaraya Pulung. Pasaraya Pulung merupakan satu-satunya pasaraya yang menjadi tumpuan masyarakat Kelabit di dataran tinggi Bario. Oleh kerana Bario begitu jauh dari bandar, maka di pasaraya inilah penduduk setempat mendapatkan bahan-bahan mentah seperti daging serta sayur-sayuran. Di rak pasaraya ini terpamer begitu banyak barang-barang mentah seperti paku-pakis, cendawan liar, asparagus liar, rebung, umbut bunga kantan liar, dore (bayam liar barangkali nama lainnya?), umbut rotan, umbut nenas dan banyak sayur-sayur lain, tetapi tiada sawi, lobak, brokoli, atau sayur-sayur lain yang selalu menjadi sebahagian dari hidangan kita sehari-hari. Ada juga bahagian untuk daging-daging segar cuma sama seperti bahagian sayur tadi, hanya daging-daging haiwan yang eksotik ada di pasaraya ini, contohnya daging kijang, rusa, pelanduk, musang, dan landak. Bahagian non-halal pula ada daging b*bi hutan, serta minuman burak (sejenis tuak beras). Itu antara barang-barang yang ada di dalam pasaraya ini.

Pasaraya Pulung beroperasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu, tidak pernah ditutup walaupun pada hari cuti umum. Pasaraya ini juga tidak dijaga oleh pengawal keselamatan kerana tiada bahagian kaunter bayaran dan barang-barang yang ada di dalam pasaraya boleh diambil percuma. Ya, barang-barangnya percuma! Walaupun percuma, orang-orang yang datang ke pasaraya ini hanya mengambil barang-barang dalam jumlah yang diperlukan sahaja. Paling banyak pun jumlahnya hanya untuk bekalan dua sehingga tiga hari lamanya. Kalau ada penduduk yang mengambil barang-barang melebihi keperluan tanpa menyedarinya, barang-barang yang lebih itu akan diberikan kepada jiran tetangga atau sesiapa yang memerlukan. Sungguhpun dibuka setiap hari, jarang sekali orang-orang datang ke pasaraya ini pada hari Ahad, tidak seperti pasaraya atau pusat beli-belah lain yang menjadi tumpuan orang ramai setiap kali hujung minggu tiba. Ini adalah kerana hari Ahad merupakan hari cuti umum untuk penduduk setempat. Mereka akan beramai-ramai berkunjung ke gereja pula untuk memenuhi keperluan rohani. Bila berfikir tentang ini saya teringat kata-kata seorang penulis yang saya tidak ingat nama serta bukunya, “Keperluan jasmani serta rohani harus dipenuhi seiringan agar dapat menjadi sebahagian dari ahli masyarakat yang ideal.”

Walaupun Pasaraya Pulung hanya beroperasi di daerah Bario, pasaraya ini tetap mempunyai banyak cawangan lain dalam daerah yang sama. Tidak ubah seperti kafe Starbucks atau kedai pakaian H&M mahupun Uniqlo yang merasakan kedainya harus ada di setiap cawangan pusat beli-belah. Beberapa hari sebelum Pesta Nukenen misalnya, Pasaraya Pulung menjadi tumpuan penduduk setempat untuk mendapatkan bekalan barang-barang mentah agar menyediakan hidangan untuk pengunjung pesta yang bakal bertandang nanti. Pada waktu inilah jelas kelihatan fungsi cawangan Pasaraya Pulung yang banyak di dalam derah yang sama. Kadang-kadang sebuah cawangan pasaraya sahaja tidak mampu memenuhi keperluan penduduk setempat yang tiba-tiba naik mendadak maka cawangan lainlah yang akan memenuhi keperluan ini. Pesta Nukenen merupakan salah satu acara penting yang diadakan di daerah Bario. Mari kita singgah sebentar ke Pesta Nukenen sebelum kembali ke pasaraya ini.

Setiap Julai, Pesta Nukenen dan Kebudayaan Bario (Bario Food & Cultural Festival) diadakan di daerah Bario. Pada waktu inilah pesawat Twin Otter datang ke Bario membawa begitu ramai pelancong tempatan mahupun asing sehinggakan terpaksa dijadualkan penerbangan tambahan untuk memenuhi permintaan pengunjung yang ingin merasakan sebuah percutian yang eksotik. Pesta Nukenen 2017 kali ini diadakan bermula 27 Julai sehingga 29 Julai. Pesta yang berumur 12 tahun pada tahun 2017 ini bermula pada tahun 2005 dan dianjurkan pertama kali oleh pihak pengurusan E-Bario dengan sokongan dari UPM, Alda Valley Food Adventures UK serta pejabat residen Miri. Pesta Nukenen kali ini dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Ungah Embas yang berkunjung mewakili Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Abang Openg. Di pesta ini, pengunjung berpeluang melihat serta menikmati kepelbagaian masakan tempatan serta makanan tradisi masyarakat Kelabit. Semua hidangan ini disediakan dengan menggunakan barang-barang mentah yang diperolehi dari Pasaraya Pulung. Selain menikmati makanannya, pengunjung juga berpeluang melihat dan mempelajari budaya masyarakat Kelabit yang dipersembahkan melalui tarian tradisional serta permainan tradisional atau bengkel kesenian tradisional yang diadakan sewaktu berlangsungnya pesta ini.

Begitulah sedikit sebanyak tempat Pesta Nukenen yang harus menjadi destinasi percutian anda di waktu akan datang. Sebelum mengakhiri tulisan ini, saya hendak menerangkan makna ‘pulung´ walaupun anda barangkali sudah dapat meneka maksudnya. Pulung dalam bahasa Kelabit membawa maksud ‘hutan’. Jika anda berkunjung ke Bario di waktu akan datang, Pasaraya Pulung haruslah menjadi destinasi kunjungan anda. Jika tidak tahu apa barang-barang yang boleh diambil dari pasaraya ini, anda mungkin boleh mendapatkan khidmat pemandu arah. Kalau tidak pun, anda boleh datang untuk window shopping seperti yang selalu anda lakukan setiap hujung minggu di Mid Valley, The Spring, 1Borneo atau Ujana Kewangan. Jika ada ada kekuatan, naik ke tingkat atas pasaraya ini dan rakam foto-foto pemandangan kampung diselimuti embun pada waktu pagi atau merakan senja pada waktu petang supaya anda boleh berkongsikan pengalaman anda di Facebook atau Instagram setelah mendarat di lapangan terbang Miri apabila sudah meninggalkan daerah Bario.

Demikian sedikit cerita saya mengenai Pasaraya Pulung serta Pesta Nukenen 2017. Saya tidak berpeluang merakam banyak gambar kerana sibuk melayan pengunjung pesta kali ini. Tolong mak berjual sikit-sikit, kelak boleh juak beli basics di H&M bila pigi Kuala Lumpur nanti bah, kan?

Balik ke Atas