Siri Kembara Miri: Dari Gua Niah Ke Kuala Baram

dalam DESTINASI/KEMBARA

Untuk tulisan kali ini, saya habiskan sehari suntuk Isnin yang lalu memandu sepanjang jalan persisiran pantai Miri – Bintulu sehingga tiba di Gua Niah sebelum patah kembali ke Kuala Baram. Selalunya bila rakan-rakan bertanya tentang tempat-tempat menarik yang boleh dikunjungi di sekitar Miri, saya tidak tahu destinasi yang boleh dicadangkan atas beberapa alasan. Alasan yang paling utama adalah tidak mengetahui gaya kembara mereka dan bandaraya Miri adalah sebuah bandaraya yang santai, sesuai dengan panggilannya sebagai Miri The Resort City maka riadahnya sudah tentu berdekatan dengan laut dan pantai. Begitupun, ada beberapa tempat menarik yang boleh anda lawati di luar bandaraya yang malas ini dan destinasi ini boleh dikunjungi dengan sedikit kerajinan dan titisan peluh. Lainlah jika anda seorang yang lebih gemar melakukan kembara mengusung perut, ada beberapa tempat makan yang harus menjadi kewajipan bila berkunjung ke Miri. Kali ini kita bersenam dahululah, ya? Di siri kembara seterusnya saya bawa kalian makan-makan di sekitar bandaraya Miri pula.

Seperti dikatakan awal tadi, saya ke Gua Niah Isnin yang lalu. Pekan Batu Niah terletak lebih kurang sejam setengah perjalanan dari bandaraya Miri. Ada dua jalan menghubungkan Miri – Batu Niah iaitu jalan lama Miri- Bintulu (laluan Pan Borneo yang baru), atau jalan persisiran pantai Miri – Bintulu. Jarak pemanduan tidak jauh beza namun jalan persisiran pantai lebih santai perjalanannya sebab jalannya yang lebih lurus, melewati beberapa perkampungan nelayan di sepanjang jalan, amatlah sesuai jika ingin menurunkan tingkap dan gerak-gerak tangan buat gelombang macam dalam filem-filem roadtrip Barat. Lagipun jalan lama Miri – Bintulu merupakan litar perlumbaan bas-bas ekspres serta lori tangki, mana mungkin dapat dicabar kereta pacuan empat roda yang kurang daya pecutannya jika hendak memotong. Memandu menyusuri jalan persisiran pantai ini tidak terasa jauh destinasi yang ingin ditujui, apatah lagi ditemani Frank Sinatra yang tidak henti-henti mengajak saya menyanyi bait-bait korus lagunya. Saya tiba di pintu masuk utama Taman Negara Niah dalam catatan masa 1 jam 20 minit dengan purata kelajuan 80 km/j. Setelah meletakkan kereta dan memastikan segalanya berkunci dan selamat, saya terus ke kaunter bayaran masuk sebelum menaiki bot untuk menyeberangi sungai Niah untuk memulakan perjalanan menuju pintu utama Gua Niah.

Salah satu pantang-larang utama bila menaiki bot adalah jangan menuturkan perkataan ‘buaya’. Pantang-larang ini menjadi pegangan penduduk setempat yang mendiami kawasan pinggir sungai bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku. Ironinya, di beberapa tempat ada pula kelihatan kanak-kanak yang berenang dan bermain air di pinggir sungai yang jelas dikatakan ada buaya. Untuk memahami situasi ini, ada pantang-larang atau kepercayaan tradisional yang perlu anda ketahui agar boleh menerima keberanian kanak-kanak itu. Menurut adat orang Iban, apabila seorang anak dilahirkan, ritual “Meri’ Anak Mandi” (Memandikan Anak) akan diadakan di sungai. Dalam ritual ini, persembahan akan disediakan dalam tiga bahagian; untuk semangat penjaga keluarga (tua’), semangat air (antu ai’) dan semangat hutan (antu babas). Persembahan untuk semangat air akan dihanyutkan di sungai dan pengendali ritual akan memanggil semangat air (semangat kura-kura, buaya & ikan) supaya menjaga anak yang baru lahir ini sepanjang hayatnya. Sebab itulah ada yang berani mandi di sungai kerana percaya semangat inilah yang menjaga mereka sewaktu berada di sungai. Pada hari aku mengunjungi Guah Niah, paras air sungai Niah agak tinggi disebabkan oleh kerana hujan maka hilang sedikit kekhuatiran terhadap buaya. Buaya selalunya beralih ke tempat yang menawarkan permatang pasir sebagai lokasi berjemur yang ideal. Buaya tidak dapat mengawal suhu badannya dan sebab itu ia keluar masuk air supaya dapat memastikan suhu badannya berada di tahap yang ideal agar dapat berfungsi sebagai pemangsa yang sempurna. Berbeza dengan buaya darat. Buaya jenis ini lebih gemar berjemur supaya kulitnya sedikit ‘tanned’ agar dapat dijadikan topik perbualan bersama rakan sepejabat terutamanya golongan wanita sambil mengeluh betapa percutian di tepi pantai sememangnya begitu diperlukan oleh kerana tekanan kerja yang berpanjangan sambil mencadangkan beberapa destinasi percutian tepi pantai yang mungkin boleh dilawati bersama suatu masa kelak dalam bentuk gurauan yang berniat.

Perjalanan dari jeti bot ke pintu utama Gua Niah mengambil masa lebih kurang 20 minit, menyusuri laluan lantai kayu yang berlubang serta sedikit reput di beberapa tempat sejauh 3.5km. Anda mungkin terpesona melihat pokok-pokok yang tidak dapat diukur dengan pemeluk serta sungai yang mengalir jernih, jangan lupa berwaspada meniti laluan yang diusangkan alam dan cuaca ini kerana pusat kecemasan tidaklah begitu dekat jika berlaku perkara yang tidak diingini. Setelah 20 minit berjalan, saya tiba di Gua Dagang (Trader’s Cave) yang menjadi pusat jual beli pemungut sarang burung dan peniaga sebelum tahun 1970-an. Struktur serta tiang pondok sementara yang dijadikan sebagai tempat tinggal keluarga penjolok sarang pada suatu ketika dahulu masih jelas kelihatan dan teguh oleh sebab didirikan dengan kayu belian. Dua telaga air juga dijumpai di gua ini, digunakan sebagai kegunaan minuman serta mandi dan cucian. Dari Gua Dagang ke pintu masuk utama Gua Niah tidaklah begitu jauh, hanya perlu mendaki beberapa set tangga lagi untuk tiba ke pintu gua utama. Selain pintu masuk utama ini, ada juga bukaan lain yang menjulur ke dalam gua seperti Mulut Besar, Lubang Tulang, Lubang Hangus, Gan Kira dan Lubang Tahi Menimbun. Kalau ingin meneroka lebih jauh ke dalam Gua Niah, anda dinasihatkan agar membawa bekalan air secukupnya, lampu suluh LED yang terang dan mudah dibeli di pasar malam, kasut sukan yang selesa serta topi bagi mengelakkan diri dari terkena bom-bom tahi kelawar yang dilepaskan dari siling gua. Saya tidak berpeluang meneroka jauh ke dalam gua, sekadar berpusing mengambil gambar di beberapa kawasan yang masih boleh disinari dengan lampu pancar telefon bimbit. Gambar-gambar kembara pun hanya diambil dengan menggunakan telefon bimbit. Mungkin setelah editor laman ini yakin dengan kemampuan tulisan kembara saya, maka berpeluang juga nanti mengembara sambil merakam gambar dengan menggunakan kamera jenis mirrorless berjenama Fujifilm yang compact namun powerful. Untuk peneroka gua yang lebih berpengalaman, Gua Niah mungkin menawarkan kembara yang lebih santai. Anda disyorkan untuk meneroka Taman Negara Mulu jika inginkan kembara yang lebih mencabar ketahanan fizikal.

Perjalanan saya singkat di Batu Niah sebelum memandu pulang ke Miri. Saya sempat membuat beberapa hentian di beberapa tempat yang berdekatan. Hentian pertama, makan tengahari di pekan Bekenu yang terletak lebih kurang setengah jam perjalanan dari bandaraya Miri. Seperti pekan Batu Niah, Bekenu juga sebuah pekan yang santai. Ia terkenal dengan ladang kelapa sawit dan udang galah juga buaya. Udang galah dan buaya sememangnya pasangan yang sukar dipisahkan. Bagi mengenang jasa serta keberanian pemancing udang galah, saya mengambil peluang menjamu selera dengan sepinggan mi goreng udang galah di restoran Sing Chiong yang terkenal dengan masakan udang galahnya. Sesudah makan dan setelah memuat naik gambar makanan ke laman Instagram, saya meninggalkan restoran itu dan berjalan kaki di sekitar pekan Bekenu. Beberapa rumah kedai yang diperbuat dari kayu masih berdiri dan bersaing dengan beberapa lot kedai simen yang baru. Selain sekolah, pasar ikan dan klinik kesihatan, anda juga boleh mengunjungi Bekenu Esplanade menikmati pemandangan sungai Sibuti. Saya sempat melihat dan merakam beberapa buah bot laju yang sedang mengadakan test run atau latihan (barangkali) untuk Regata Subis yang seterusnya.

Setelah puas melihat pekan Bekenu, saya meneruskan pemanduan ke Pantai Tusan yang terletak tidak jauh dari simpang pekan Bekenu. Pantai Tusan semakin menjadi tumpuan pengunjung akhir-akhir ini, disahkan dengan penemuan gerai-gerai minuman dan makanan serta beg plastik berwarna-warni yang menghiasi pinggir jalannya. Beberapa tahun yang lalu, fenomena ‘Blue Tears’ atau laut bercahaya biru di waktu malam berlaku dan sejak itu ia menjadi destinasi santai hujung minggu bukan sahaja untuk warga tempatan malah pelancong luar. Tidak dinafikan Pantai Tusan adalah destinasi sempurna untuk mereka yang mula berjinak-jinak dengan dengan fotografi oleh kerana pemandangan pantai yang bersih serta cantik di waktu senja di samping kewujudan hakisan batuan yang menyerupai kepala kuda sedang minum air (Batu Kuda). Selain Pantai Tusan, ada beberapa pantai berdekatan yang boleh dilawati seperti Tanjung Bungai dan Pantai Peliau.

Perjalanan pulang ke Miri dari Pantai Tusan melewati beberapa homestay yang dekat dengan persisiran pantai seperti Homestay Kampung Kedayan, Tim’s Seaside Lodge serta beberapa tempat lain yang menawarkan pakej percutian hujung minggu yang bersahaja. Melewati Tim’s Seaside Lodge, Kampung Bakam pun kelihatan, menandakan bahawa bandaraya Miri hanya lebih kurang 15 minit jauhnya. Kampung Bakam merupakan sebuah perkampungan nelayan yang menjadi tumpuan warga tempatan membeli hasil tangkapan laut yang segar dengan harga yang memuaskan. Kampung ini terletak berdekatan muara sungai Bakam yang tidak kurang terkenal dengan kehadiran sang bedal. Kebanyakan sungai di sekitar Miri memang dihuni buaya. Namun ini tidak membimbangkan sebab kerajaan Sarawak akan meluluskan lesen memburu buaya dan mungkin rancangan seperti Swamp People boleh diterbitkan suatu masa kelak.

Luak Bay, Tanjung Lobang, Marina Bay, Kampung Pulau Melayu, Piasau Nature Reserve,  antara kawasan persisiran pantai yang tidak asing bagi warga Miri. Jika di Langkawi anda boleh island hopping, di Miri anda boleh beach hopping. Aktiviti utamanya sudah tentulah swafoto atau yang lebih berseni, merakam gambar cengkerang serta gambar buih ombak yang dirakam dengan menggunakan teknik burst capture. Saya akan bawa anda ke beberapa tempat ini di siri yang akan datang. Sabar.

Akhirnya saya tiba di Kuala Baram sebagai destinasi terakhir kembara ringkas saya kali ini. Kuala Baram di suatu ketika dahulu merupakan pekan yang sibuk kerana perkhidmatan terminal feri serta bot ekspres yang disediakan bagi mereka yang ingin mudik ke Marudi atau pulang ke kampung yang jauh di hulu Sungai Baram. Beberapa kedai masih dibuka dan beroperasi, menjadi tempat membeli barang-barang runcit serta top-up telefon untuk penduduk di sekitar kawasan perindustrian Kuala Baram. Sebahagian besar tanah-tanah di Kuala Baram adalah milik syarikat gergasi industri pembalakan, Shin Yang Group of Companies. Memandu menyusuri jalan di Kuala Baram membuat saya sedikit teruja membayangkan kekayaan pemilik syarikat yang entah boleh diwarisi berapa banyak generasi. Selain menempatkan kilang-kilang perindustrian, pelabuhan bot dan kapal, Kuala Baram juga menempatkan sebuah zoo mini dan taman buaya, Miri Crocodile Farm. Taman ini menempatkan buaya yang tidak terkira bilangannya dan beberapa spesis haiwan liar seperti rusa, landak, monyet, serta burung-burung liar. Sejumlah haiwan ini sudah pun memasuki generasi yang ke-3 dan sukar dilepaskan ke habitat asalnya kerana bimbang dicemuh oleh orang-orang kampung dan tidak lagi mampu menjadi sebahagian dari kitaran hidupan liar yang ideal maka taman inilah tempat untuk kesinambungan generasinya.

Setelah kembara yang singkat, saya pulang ke rumah dan menyediakan kari kambing untuk makan malam sebelum meng-edit gambar-gambar yang dirakam sepanjang kembara melalui perisian VSCO cam, sesekali mengeluh tentang warna kulit tangan yang tidak sekata disebabkan terdedah dipancar sinar matahari setelah memandu sepanjang siang. Apapun, begitu banyak yang berbeza antara kembara solo dan kembara secara berkumpulan biar dari segi pengalamannya atau jadual perjalanannya (itinerary). Kembara solo mungkin lebih bebas dan longgar jadualnya namun anda mungkin terdedah kepada risiko kesukaran mendapatkan bantuan jika berhadapan dengan sebarang kecemasan. Apa pun, setelah perjalanan yang sunyi sepanjang hari, saya simpulkan lagu-lagu Frank Sinatra kurang sesuai didengar untuk pemanduan jarak jauh. Bah, lepas tok kolek duit pake jalan-jalan carik makan rah Miri tok gik kita. (Ok, selepas ini kita kumpul duit untuk jalan-jalan cari makan di sekitar Miri pula.)

Balik ke Atas