Selamat Datang Ke Negeri Seribu Jabat Tangan

/
7 mins read

Hanya bunyi kipas pesawat Twin Otter yang kedengaran. Tidak ada perbualan antara penumpang. Sekali-sekala bunyi ketikan kamera mencelah dalam suasana bingit. 15 minit yang lalu, puncak Mulu dirakam. Tidak lama kemudian imej Batu Lawi terpampang di penjuru tingkap pesawat. Batu Lawi adalah mercu tanda sempadan Dataran Tinggi Kelabit. Setelah melewati Batu Lawi, pesawat melayang turun ke lembah Bario yang disorok banjaran gunung-gunung yang tingginya hampir 3500 kaki di atas paras laut.

Bario atau Bariew dalam bahasa Kelabit bermaksud ‘angin’. Suasana sejuk dan nyaman begitu terasa bila anda turun dari pesawat. Anda capai telefon bimbit dan hantar pesanan Whatsapp kepada keluarga anda untuk mengatakan bahawa anda selamat tiba ke destinasi tetapi malangnya talian internet tidak berfungsi. Maka anda pun hantar pesanan ringkas sebelum berikan telefon kepada rakan kembara anda sebab satu-satunya penghubung telekomunikasi yang berfungsi hanyalah Celcom. Selamat datang ke Bario, negeri seribu jabat tangan.

Selain pesawat Twin Otter, Bario juga dihubungkan melalui jalan darat namun jalan ini hanyalah jalan kayu balak yang cuma dapat dicabar dengan kereta pacuan empat roda. Begitupun, perjalanan ini mengambil masa sekitar 12-14 jam bergantung dengan keadaan cuaca dan jalannya. Jika nasib tidak menyebelahi anda, anda mungkin tiba di jambatan yang roboh dan barangkali terpaksa bermalam menunggu kontraktor syarikat pembalakan datang membaikinya. Itu antara cabaran yang harus dilalui sebelum anda tiba ke Bario. Sungguhpun kembara seperti ini kelihatan sukar, ia tidaklah dapat menandingi keramahan serta pengalaman menjelajah Bario apabila anda tiba juga akhirnya nanti.

Daerah Bario terdiri dari 13 kampung dan didiami masyarakat Kelabit yang merupakan salah satu kaum terkecil di Borneo dengan jumlah penduduknya seramai 9000 orang berdasarkan statistik tahun 2008. Sungguhpun perhubungan masyarakat Kelabit dengan dunia luar masih terbatas kerana kekangan geografinya, orang-orang Kelabit tetap ramah dan senang menerima kehadiran pelawat-pelawat yang datang ke Bario. Yang menjadi titik penting pertembungan masyarakat Kelabit dengan dunia luar adalah sewaktu kedatangan Mejar Tom Harrison dari Z Special Unit (Gabungan tentera Australia, British, Belanda, dan New Zealand) yang mengetuai Operasi Semut 1945 sewaktu melancarkan peperangan gerila ke atas tentera Jepun di bumi Borneo. Bermula dari kedatangannya, lapangan terbang dibina dengan bantuan masyarakat Kelabit yang direkrut menjadi anggota operasi berkenaan. Bertitik tolak dari kejadian ini, masyarakat Bario mengenal dunia luar.

Bila tiba di Bario, sawah padi dan ladang nenas terbentang luas menjamu pandangan pengunjungnya. Bario terkenal dengan berasnya yang wangi dan nenasnya yang manis. Orang-orang Kelabit terlibat sepenuhnya dalam kegiatan pertanian untuk menjana ekonomi setempat. Selain beras dan nenas, Bario juga terkenal dengan garam bukitnya yang halus dan berkhasiat. Garam ini diambil dari telaga air masin yang ditemui di Pa’ Umor, sebuah perkampungan kecil dalam daerah Bario. Air garam ini diproses dengan cara memasaknya sehingga meninggalkan hasil sejatannya. Hasil sejatan ini dimasukkan ke dalam buluh dan dibakar sehingga kering dan keras sebelum dibungkus dengan daun. Sebelum sistem matawang terkenal di kalangan masyarakat ini, beras dan garam merupakan barang tukaran dalam urusniaga kerana ia merupakan keperluan asas yang sentiasa mendapat permintaan.

Sebelum kedatangan mubaligh Kristian ke Bario, kepercayaan tradisional masyarakat Kelabit pada asasnya bersifat politestik-spiritualistik. Kehidupan mereka dipengaruhi oleh mitos, adat istiadat, pantang larang, dan alam ghaib. Sistem kepercayaan ini boleh dilihat jelas melalui susunan batu-batu besar yang berukiran yang boleh ditemui di beberapa kampung di Bario. Tapak-tapak ini merupakan destinasi yang menarik untuk dikunjungi kerana sejarahnya dan mitos di sebalik lagenda batu-batu tersebut. Menurut kajian yang diusahakan oleh Pertubuhan Kayu Tropika Antarabangsa (ITTO), tradisi megalit di Bario berlaku sejak 300 tahun yang lampau dengan penemuan seramik-seramik dari zaman Dinasti Ming serta tempayan dari kurun ke – 18 dan 19. Sistem kepercayaan lama ini akhirnya ditinggalkan sepenuhnya sejak kedatangan mubaligh Kristian sekitar tahun 1973.

Sejak akhir ini, Bario semakin menjadi tumpuan pelawat, bukan sahaja di kalangan pelawat tempatan malah di kalangan pelawat asing dari serata dunia. Bario juga menjadi tumpuan pasukan penyelidikan dari beberapa universiti tempatan seperti Unimas, UMS, dan beberapa universiti luar negara seperti Curtin University. Jika anda merancang untuk berehat dari dunia kota yang sentiasa sibuk, Bario menyediakan apa yang anda idamkan. Banyak aktiviti yang boleh dilakukan bila anda berkunjung ke Bario. Selain menikmati iklim dan pemandangannya yang indah dan nyaman, anda juga boleh menyertai jungle trekking, memanjat gunung atau sekadar mengikut penduduk setempat ke hutan untuk memburu atau mengutip hasil hutan untuk dinikmati. Jika anda menggemari sukan air, sungai-sungai di Bario sesuai untuk aktiviti kayak dan memancing. Setiap April – Mei, acara maraton Runners Wild diadakan dan ia merupakan acara yang ditunggu-tunggu oleh atlit maraton kerana trek larian yang mencabar.

Setiap Julai pula merupakan waktu yang paling sibuk untuk daerah Bario. Setiap tahun, Bario Food & Cultural Festival diadakan sekitar bulan ini bagi meraikan budaya serta variasi makanan masyarakat Kelabit. Pesta ini memperkenalkan budaya serta tradisi Kelabit kepada setiap pengunjung pesta. Selain variasi makanan yang banyak, pengunjung juga disajikan muzik dan tarian tradisional masyarakat Kelabit. Jika anda merancang untuk datang ke festival ini, anda dinasihatkan untuk menempah tiket penerbangan serta tempat tinggal seawal Januari kerana bilangan penerbangan yang dijadualkan ke dataran tinggi Bario amatlah terhad. Bario juga tidak menyediakan hotel lima bintang untuk anda namun anda pasti ingin menikmati pengalaman tinggal di homestay atau rumah panjang untuk melihat kehidupan sebenar masyarakat Kelabit dalam skala yang lebih intim. Beberapa homestay yang menjadi pilihan adalah Dayang’s Homestay di kampung Arur Dalan, Bario Asal Long House Homestay di Bario Asal, Labang Longhouse Lodge dan beberapa tempat lain di sekitarnya.

Bario juga tidak menawarkan mesin ATM dan pusat beli-belah untuk anda beli lampu suluh, peralatan berkhemah, baju dan kasut sukan serta farmasi Guardian atau Watson yang menjual krim penghalau serangga. Oleh sebab itu, pengunjung hendaklah merancang dan menyediakan segala keperluan dengan teliti sebelum memulakan kembara. Bario hanya mampu menyediakan sayur-sayur hutan yang segar serta nasi panas yang wangi untuk menyambut kedatangan anda namun janganlah gusar kerana anda pasti akan menganggap Bario sebagai kampung halaman sendiri kelak.