Miri: Dari Perkampungan Nelayan ke Bandar Minyak, dan kini Bandaraya Peranginan

/
5 mins read

Anda mungkin mengenal Miri sebagai sebuah bandar industri minyak. Namun itu hanya berlaku pada abad ke-21. Sebelum minyak ditemui pertama kali di Bukit Kanada pada penghujung tahun 1910, Miri adalah sebuah perkampungan nelayan yang kecil. Kampung Wireless misalnya adalah salah-satu antara perkampungan nelayan yang sudah begitu lama bertapak di Miri. Menurut cerita lisan penduduk tempatan, ia mendapat nama sempema pembinaan menara telekomunikasi milik Jabatan Pos & Telegraf yang dibina di tengah-tengah kampung tersebut oleh kerajaan British di sekitar tahun 1950-an. Pada waktu itu, Miri semakin membangun dan tanah-tanah di sekitar kampung dibersihkan untuk mendirikan bangunan-bangunan. Ini memaksa sebahagian besar penduduknya berpindah ke hulu Sungai Miri (juga dikenali sebagai Piasau Utara). Walaupun ramai yang berpindah, tetap ada yang memilih untuk terus tinggal di kampung yang wujud sehingga ke hari ini. Penduduk kampung ini rata-ratanya berbangsa Melayu serta Melanau. Kampung Wireless terletak tidak jauh dari muara Sungai Miri. Ia merupakan penempatan yang ideal di zaman dahulu kerana tidak jauh untuk paragraph nelayan dari kampung ini keluar ke laut untuk menangkap ikan. Kampung ini juga begitu dekat dengan pasar serta rumah-rumah kedai bagi memudahkan para nelayan menjual hasil tangkapan mereka kepada pembeli, lebih-lebih lagi bila ’emas hitam’ mula membawa masuk pekerja asing ke telaga minyak di Miri.

Bukit Kanada menyimpan sejarahnya yang tersendiri. Ia merupakan tempat di mana telaga minyak yang pertama ditemui di Sarawak pada bulan Disember 1910. Telaga minyak ini diberi gelaran Grand Old Lady. Bermula dari penemuan minyak di Bukit Kanada, Miri dilanda perubahan demi perubahan sehinggalah menarik perhatian tentera Jepun untuk menyerbu Miri pada tahun 1941 di zaman penjajahannya di bumi kenyalang. Tentera Jepun mengambil alih operasi carigali minyak dan seterusnya mendirikan membina lapangan terbang pertama di Lutong, sekaligus menjadikan Lutong sebagai sebuah penempatan yang penting di waktu itu. Syarikat Shell juga membina ibu pejabat serta loji penapisan minyak yang pertama di Lutong pada masa itu, menjadi sebab mengapa Lutong adalah sebuah kawasan yang penting pada masa itu. The Grand Old Lady berhenti beroperasi pada tahun 1972 dan diwartakan sebagai tempat bersejarah. Struktur-struktur telaga minyak dibaiki dan dibina semula sebagai tugu peninggalan Grand Old Lady yang mana menjadi tarikan pengunjung untuk datang beriadah di Bukit Kanada.

Walaupun Miri beralih dari perkampungan nelayan yang kecil kepada industri carigali minyak, bot-bot nelayan tetap tidak gentar membelah ombak Laut China Selatan dari dahulu sehinggalah ke hari ini. Beberapa perkampungan nelayan masih menjadi tumpuan warga tempatan untuk mendapatkan bekalan hasil laut. Antaranya ialah Tanjung Bungai, Kampung Bakam dan Batu 1 Kuala Baram. Suasana di pasar-pasar basah di kampung-kampung ini meriah lebih-lebih lagi bila musim ‘bubuk’ mendarat di jeti pelabuhan nelayan. ‘Bubuk’ atau udang Geragau merupakan udang bersaiz kecil yang menjadi bahan utama dalam pembikinan belacan serta cencaluk. Oleh kerana saiznya yang kecil, jaring bermata halus perlu digunakan. Alat untuk menangkap ‘bubuk’ dipanggil sebagai ‘Pelanggai’ dan kegiatan menjaring bubuk pula dipanggil sebagai melanggai. Lazimnya bandar-bandar yang terletak di persisiran pantai menawarkan pilihan restoren makanan laut dengan harga yang tidak menjerut poket walaupun dikunjungi pada waktu tengah bulan. Miri tidak terkecuali. Cuma harga kerang di sini agak mahal kerana kesukaran untuk mendapatkannya.

Begitulah secara ringkasnya bagaimana sebuah perkampungan nelayan berubah menjadi salah sebuah bandaraya yang penting di Sarawak. Miri kini semakin dikenali sebagai bandaraya peranginan, setelah dikenali sebagai bandar minyak setelah sekian lamanya. Andai ’emas hitam’ tidak ditemukan pada tahun 1910, mungkin Miri membangun menjadi sebuah bandar yang lain pada hari ini namun menurut cerita lisan yang meniti di bibir-bibir orang lama, minyak sememangnya sudah ditemui sebelum tahun 1910 oleh penduduk asal di Miri dan digunakan untuk menampal kebocoran pada bot nelayan bila dicampurkan dengan damar serta digunakan untuk menghidupkan api. Apa pun kemungkinan di masa yang lalu, laut dan waktu adalah pengaruh terbesar yang akhirnya mengubah Miri menjadi Miri yang dilihat pada hari ini. Nantikan sambungan kembara bandaraya Miri ini di tulisan yang akan datang.