Shorts Sendiri

10 mins read

Shorts Sendiri yang kali pertama diadakan pada 19 Mei 2017 yang lalu adalah inisiatif yang ditunjangi oleh Amir Muhammad. Dijadualkan akan berlanjutan sehingga beberapa siri, acara ini memilih Markas Kota Damansara sebagai ruang pameran filpen-filpen yang mencari tayangan debut secara terbuka. Untuk siri pertama, lima filpen telah dipilih. Bagaimana corak kuratorial tidak diberitahu. Namun, filpen-filpen yang mahu ditayangkan mestilah belum ditayangkan kepada umum dan pengarahnya perlu hadir untuk sesi santai selepas tayangan. Namun saya pasti, ia semestinya menawarkan sesuatu yang berlainan dan unik dalam caranya tersendiri.

Sebenarnya, sudah lama kita tidak mempunyai tayangan umum filpen-filpen seperti ini. Seingat saya, pada sekitar awal dekad 2010an, banyak acara-acara tayangan filpen yang giat diadakan saban minggu. Ketika itu kita ada Malaysian Shorts di Help Institute, Maskara Shorties, Mimpi dan juga beberapa tayangan casual di ruang-ruang persendirian. Acara di Maskara Shorties misalnya, pernah menayangkan filpen sehingga lewat malam di perkarangan rumah PENA. Ia menunjukkan pada ketika itu, ramai orang bikin filpen sehingga acara seperti ini banyak diadakan untuk memenuhi permintaan tayangan.

Perkataan filpen juga turut muncul ketika kita (majoritinya di KL) menerima musim buat dan tayang filpen-filpen ini. Pertama kali saya menjumpai perkataan filpen adalah melalui Ridhwan Saidi dalam tulisan-tulisan di dalam blognya. Malah, Ridhwan juga pada ketika itu giat bikin filpennya sendiri. Selain Ridhwan, ada banyak lagi pengarah yang menghasilkan filpen. Semuanya punya stail dan cara tersendiri dalam penyampaian cerita. Antara nama-nama mereka yang turut menghasilkan filpen pada awal dekad 2010an adalah Razaisyam Rasyid (yang kini sudah mengarah filem panjang dan beberapa telemovie), Rewan Ishak (yang kini banyak mengarah iklan komersil), Fazleena Hishamuddin (kini banyak menulis dalam pelbagai gaya penulisan), Nazri M.Annuar (kini menjadi penulis sepenuh masa) dan ramai lagi nama-nama yang tidak mungkin saya dapat tuliskan semuanya.

Berdasarkan pemerhatian saya yang mengikuti acara-acara seni di sekitar Kuala Lumpur, trend penayangan filpen ini tiba-tiba menjadi suram ketika munculnya trend baharu dalam penulisan dan penerbitan buku. Secara tiba-tiba semua orang mahu bikin buku pula. Dengan kemunculan beberapa penerbit buku pada awal dekad 2010an seperti DuBook Press dan Terfaktab Media (diasaskan tahun 2010), Buku Fixi, Lejen Press dan Selut Press (ketiga-tiganya diasaskan pada tahun 2011) dan banyak lagi yang turut sama tumbuh pada sekitar waktu tersebut. Selain itu, kemuliaan Perdana Menteri yang mengumumkan pemberian Baucar Buku 1Malaysia pada tahun 2012 turut memberi kesan kepada industri buku negara. Dan ini sekaligus memberikan impak secara perlahan-lahan terhadap trend penayangan dan pembikinan filpen.

Penayangan filpen kemudiannya berganjak ke platform lain. Filpen yang dibuat kini biasanya ditayangkan di hanya melalui Youtube atau Vimeo atau Facebook. Mat Luthfi misalnya memilih untuk membuat tayangan filpen-filpennya hanya melalui channel Youtube yang dimilikinya. James Lee daripada Doghouse73 Pictures turut akur dengan perubahan semasa dan turut menayangkan beberapa filpen dan filem melalui platform Youtube dan tidak melalui acara tayangan menggunakan layar besar. Semakin kurang acara-acara yang membuatkan penonton hadir bersama-sama untuk menyaksikan tayangan filpen. Apa yang membuatkan mereka memilih platform sebegini tidaklah dapat dipastikan. Berkemungkinan kerana ia membolehkan filpen mereka mencapai penonton yang tidak dapat hadir ke acara-acara tayangan yang biasanya terhad di beberapa lokasi sahaja. Namun pada saya, apalah makna filem jika tidak dipancar ke layar besar.

Sememangnya dalam era teknologi dan internet kini, pengkarya perlu mencari cara lain untuk membuatkan hasil karya mereka sampai kepada masyarakat. Pengedar filem arus perdana misalnya telah memilih cara lain untuk memasarkan filem-filem mereka. Mereka menjual terus kepada penonton di rumah melalui platform-platform digital seperti Netflix, Iflix, Astro First dan sebagainya. Penonton akhirnya terbiasa menonton filem menerusi kaca televisyen dan mengubah budaya penontonan. Kini tidak ramai orang yang begitu komit untuk hadir ke panggung menyaksikan filem di layar lebar. Saya kira, budaya penontonan seperti inilah yang tidak wujud dan menjejaskan aktiviti penontonan seperti hari-hari yang lalu. Saya tetap beranggapan bahawa untuk menghayati filem yang baik, ia perlu disertai dengan usaha kendiri untuk berjalan keluar dan masuk ke dalam bilik gelap dan menonton filem menerusi pancaran projektor (samada digital atau tidak) yang jatuh ke atas layar perak. Justeru itu, saya kira aktiviti penayangan filpen seperti Short Sendiri ini perlu ada untuk mengekalkan budaya penontonan filem yang sebenar.

Saya pernah melihat lukisan Van Gogh The Starry Night melalui cetakan replika dan menerusi paparan digital di dalam komputer. Namun pengalaman melihat lukisan minyak itu di depan mata ketika lawatan ke New York memberikan pengalaman yang berbeza. Suatu pengalaman yang tidak saya dapat ketika melihat versi digital dan replika. Saya kira, begitu juga aktiviti penontonan di layar besar. Saya tegas mengatakan filem yang baik perlu ditonton di layar besar dan aktiviti seperti ini wajar diteruskan.

Shorts Sendiri edisi 1 yang dibuat baru-baru ini mungkin mahu mengisi kembali kekosongan aktiviti penontonan dan apresiasi filpen di Kuala Lumpur. Terdapat lima buah filpen yang ditayangkan untuk edisi kali ini iaitu Lembu Atas Tangki (arahan Ezham Mohd Noh), Limbo (arahan Thiyagu Govindan), Pantai Remis (arahan Isyraq Yahya), Selasih (arahan Azizulhakim Salleh) dan dokumentari Leukerbad (arahan Faisal Tehrani). Selepas tayangan dibuat, sesi bual santai yang dikendalikan Nazri M.Annuar dibuat dan mendapat respon yang menarik daripada penonton. Beberapa soalan dan komen ditujukan terhadap pembikin filpen-filpen dan diakhiri dengan santai. Antara yang menjadi bualan dan menarik perhatian adalah Leukerbad dan juga Pantai Remis.

Secara peribadi, saya begitu gemar dengan penghasilan filpen Pantai Remis. Saya lihat ia sebagai sebuah filpen yang aneh seperti filpen-filpen Ridhwan Saidi tapi punya tona yang vivid. Dengan penggunaan bahasanya yang stylize, adegan-adegan yang aneh dan lakonan yang ganjil menjadikan filpen ini menolak realiti. Jika seseorang berhasrat mencari mesej dan mengharap pedoman dan hidayah selepas menonton filpen ini, dia akan hampa. Filpen ini tidak dibuat untuk memenuhi kehendak penonton yang dahagakan naratif konvensional tetapi untuk kepuasan pengkarya itu sendiri. Malah melalui sesi soal jawab selepas tamat tayangan, pengarahnya menegaskan bahawa dia hanya sekadar buat mengikut intuisinya sendiri. Keperibadian dan hala tuju yang sangat intuitif ini terpapar jelas dalam filpen ini. Malah saya berasa beruntung kerana dibenarkan untuk melihat dunia melalui perspektif pengarah yang aneh ini.

Antara lain yang saya gemari adalah Leukerbad arahan Faisal Tehrani. Ia merupakan sebuah filpen dokumentari mengenai perjalanan sekumpulan rakyat Malaysia ke Geneva, Switzerland untuk melobi hak kemanusiaan komuniti yang didiskriminasikan di Malaysia – dalam hal ini kebebasan beragama. Dokumentari ini bukan seperti dokumentari Majalah Tiga (dan saya pasti Faisal Tehrani punya citarasa yang baik untuk tidak menjadikan Majalah Tiga sebagai penanda aras). Ia dibuat dengan gaya seorang amatur tetapi punya sentuhan peribadi yang baik. Perjalanan ketika musim sejuk ini menemui imej-imej yang dingin. Ia menjadikan filpen ini kelihatan suram dengan warna-warna pudar dan kromatik. Namun, pemilihan Faisal Tehrani yang mengikuti karektor utamanya yang penuh ceria dan positif memberikan warna terhadap filpen ini. Warna-warna kromatik terhapus kerana kita menemui warna-warna lain yang lebih cerah melalui aspel teknikal yang sengaja dibuat tidak kemas. Sedikit sebanyak ia memberikan feel seperti menonton filem Dancer in the Dark (2000) arahan Lars Von Trier.

Saya tidak mahu mengulas filpen-filpen yang lain bukan kerana ia tidak bagus tetapi saya tidak menangkap perasaan saya ketika saya menonton filpen Pantai Remis dan Leukerbad. Biarlah ia diulas dan dikritik oleh orang-orang. Namun, berdasarkan kuratorial filpen-filpen pada malam tersebut, ia dilihat seimbang – ada yang baik, ada yang biasa-biasa sahaja, ada yang guna penceritaan dan teknik konvensional, ada yang melawan, ada yang selekeh dan ada yang kemas. Saya fikir, ruang acara seperti Short Sendiri inilah yang membenarkan ciri-ciri tidak lazim dalam sesebuah filem untuk ditayangkan. Ia mungkin menemui sesuatu yang baharu dan mungkin tidak. Bersesuaian dengan namanya yang mirip kepada ungkapan syok sendiri, saya yakin acara ini dibuat hanya untuk kepuasan sendiri berbanding memenuhi kehendak massa.

Tulisan ala retrospektif ini cuma ingin melihat kegiatan filpen yang telah kita ada dulu dan yang terkini dibuat dalam acara Shorts Sendiri. Mungkin setelah program Baucar Buku 1Malaysia yang telah ditukar cara pengagihannya akan mengembalikan budaya dan kegiatan filpen macam yang telah berlaku sekitar tahun 2010. Dikhabarkan edisi kedua Shorts Sendiri akan dibuat pada 21 Julai 2017 bertempat di Markas Kota Damansara. Anda boleh pergi ke FB page Shorts Sendiri untuk maklumat lanjut.