Pencinta Filem vs Peminat Filem

16 mins read

SESIAPA yang suka filem dan mengangkatnya sebagai sesuatu yang indah dan hakikat* satu part tu akan dilihat menjengkelkan sewaktu berdiskusi tentang filem. Pencinta filem memanjang nak diskas filem pada tahap yang dianggap elitis, terlalu deep atau entah apa-apa bagi penonton kebanyakan. Pencinta filem juga secara paradoksnya lazim dilihat terlalu negatif terhadap kebanyakan filem, tak reti nak enjoy filem-filem dek terlalu menganalisis segala-galanya sebab nak tunjuk pandai. Secara langsung, ini akan membangkitkan persoalan apa kejadahnya masalah mamat/minat sekor ni. Kenapa mereka ni takleh nak rehat kejap otak tu dan layan je filem macam orang biasa?

Berikutnya, aku cuba nak mintak maaf bagi pihak pencinta filem dan menerangkan sebab-musabab orang gini boleh memberi reaksi negatif begitu. Dengan berbuat demikian, aku cuba nak berdialektik tentang hubungan di antara peminat filem biasa, yang menikmati filem tanpa fikir lebih-lebih, dengan pencinta filem yang melihat kritikan sebagai keperluan spesifik dalam menghayati bukan sekadar filem, tetapi hidup itu sendiri. Matlamat aku dekat sini untuk meletakkan pencinta filem (juga para pencinta bentuk seni yang lain) dalam kelompok falsafah, yakni mencintai kebijaksanaan.

Yang sebenar-benarnya bukan apa, kebanyakan penonton semacam risau pasal pengkritik. Bagi mereka, golongan ni terlalu serius dalam menonton filem sampai hilang objektif utama aktiviti menonton filem itu sendiri iaitu, bak kata orang putih, to have fun. Kalau dia dok analisis, kritik dan teliti setiap inci benda dalam hidup ni, seperti kebanyakan pengkritik buat, kehidupannya akan jadi depress; tak boleh nak enjoy apa-apa dan rasa seronok dengan apa-apa. Reaksi sebetulnya terhadap orang sedemikian adalah dengan suruh dia berhenti risau, tenang-tenang, dan layan sahaja filem (atau kehidupan secara umumnya). Memang penting untuk menarik pengkritik ke landasan ini sebab jika terlalu lama sangat dok layan pengkritik ni, sikap pesimis dan terlalu menganalisis dia menjadi tidak tertanggung, terlalu menderita. Membuatkan dia fikir pengkritik ni memang asshole seasshole assholenya. Kalau ini berlaku, jalan terbaik adalah buat dek je dengan pengkritik ni, tak pun me-Raid 2: Berandal-kannya.

Tesis utama yang aku nak ketengahkan di sini adalah sikap penonton biasa ni sebenarnya membayangkan pandangan sejagat, mereka takut untuk bertanyakan soalan deep tentang filem dan kehidupan secara umum. Respons ini mencerminkan reaksi negatif kebanyakan orang terhadap falsafah dan golongan yang cuba berfikir – reaksi yang lazimnya dismisif dan agresif. Contoh terbaik reaksi negatif begini adalah seperti dalam Apology oleh Plato. Bapak kepada bapak falsafah Socrates berdiri di hadapan rakyat Athens untuk mempertahankan kehidupan dan nilai-nilai dipegangnya. Dia dituduh melakukan perkara-perkara mungkar dan merosakkan akhlak remaja. Walhal, dia cuma mengkritik, mempersoal, dan mencabar nilai dan norma masyarakat ketika itu. Nilai dan norma yang dilihatnya amat destruktif buat jiwa manusia. Nilai dan norma yang dipegang Athens kuno ini lebih kurang sama dengan pegangan masyarakat moden sekarang, nilai yang mendominasi pelbagai budaya sejak tiga ribu tahun lalu. Pendek kata, nilai yang meraikan kebebalan, keselesaan, materi, hiburan, kedudukan, autoriti dan kuasa. Kalau nak lagi pendek, keraian yang orang biasa percaya “untuk kasi happy.” Tradisi falsafah, tak kisahlah Barat ke Timur, adalah untuk mencabar pandangan ini; untuk menawarkan alternatif buat kehidupan sebegini; untuk menawarkan cara yang menekankan kebijaksanaan, keindahan, hakikat, kemuliaan dan kelegaan batiniah. Ahli falasafah adalah seseorang yang lebih sanggup terseksa, kena paksa rimjob, malah mati dari hidup berasaskan status quo. Bak kata Socrates sendiri, “Kehidupan yang tidak didalami adalah kehidupan yang sia-sia.”

Sudah tentu, aku taklah menyamakan pengkritik atau pencinta seni ni dengan keterelan Socrates. Lagipun, Socrates sanggup mati demi kepercayaannya**. Tapi selagi seseorang tu berpegang teguh pada falsafah***, dia secara semula jadi akan menjalinkan wasilah yang dinamik lagi power dengan keindahan serta seni. Pengkritik mendambakan sesuatu yang lebih lagi daripada dirinya dan ummah yang lain; mengharapkan sebuah orientasi yang lebih tinggi darjatnya dari sekadar “fun” lagi menghiburkan; mengharapkan orientasi yang memberat kepada Keindahan (kalon). Pengkritik (atau mana-mana pencinta filem dan pembincang seni) ialah kapsul ammonia seperti mana juga Socrates, menyedarkan orang dari lena yang panjang.

Kesedaran tu boleh menjadi sesuatu yang menjengkelkan, malah memeritkan. Ini juga bermakna kita kena lepaskan banyak benda yang kita sayang demi mencabar diri dengan  seekstrim mungkin. Bagaimanapun, ia adalah kesedaran untuk kehidupan yang lebih bermakna. Mungkin lebih susah, tapi ia adalah hidup yang dipenuhi keindahan dan bukan rasa nak seronok-seronok sahaja; menikmati filem sebagai seni dan bukan sekadar hiburan.

Pada awalnya, ada slek sikit pada perbandingan ini. Sebabnya ada banyak cara seseorang tu boleh jadi pengkritik filem atau ahli falsafah dengan sesetengahnya dicop sebagai “betul” dan sesetengahnya “salah.” Perbezaannya terletak sama ada seseorang itu percaya falsafah dan kecintaan terhadap filem sebagai sesuatu yang orang tu boleh buat atau orang tu in fact boleh capai.

Biar aku terangkan sikit perbezaan ini dengan fokus kepada ahli falsafah kejap sebelum beralih kepada pengkritik filem. Pada zaman dulu kala, ahli falsafah dilihat sebagai cikgu mahupun cendekiawan. Ulama yang hidupnya hanya untuk mencari keamanan dan kebijaksaan (dalam Buddha mereka digelar Boddhisattva, Hindu digelar Guru dan Kristian digelar Saint). Tatkala ia semakin berkembang, falsafah menjadi teramatlah abstrak dan bersifat rasionalistik di Barat. Ia berpunca dari budaya Barat yang obses dengan, bak kata orang putih, the reasoning faculty of men sebagai teras kemanusiaan kita. Ini berlawanan dengan budaya Timur lama yang melihat manusia sebagai makhluk rohaniah, yang mampu melangkaui tanggapan rasional. Rasionalisme Barat ini akhirnya membawa kepada zaman Enlightment sewaktu sistem, prinsip, aksiom, pengaruh sains dan revolusi industri diraikan. Ini sekali gus menjadikan falsafah sebuah disiplin yang abstrak lagi analitis lalu membuka jalan kepada tradisi analitis Anglo-Amerika abad ke-20. Atas sebab ini, kebanyakan ahli falsafah hari ini dilihat macam orang tak betul yang layan kepala sendiri, tak habis-habis dok kaji teori itu dan konsep ini yang tak ada kaitan langsung dengan real life; bertekak dalam esoterik dan bahasa entah apa-apa tentang dilema yang entah apa ke benda. Pandangan ini secara luasnya (dan malangnya) memang betul. Kritikan moden terhadap ahli falsafah sebagai orang yang kerek lagi gelabah nak mampus memang padan dengan batang hidung. Bagaimanapun, kita perlu sedar manifestasi moden yang orang anggap sebagai “falsafah” ni tak ada kena-mengena dengan kecintaan terhadap kebijaksanaan dulu kala, tak ada kena-mengena dengan tradisi lelaki dan wanita dalam usaha mereka untuk memperbaiki diri dan masyarakat melalui humiliti, persoalan intelek dan perkembangan rohaniah.

Berlawanan dengan ini, berdirinya ahli falsafah dan pencinta filem yang sejati (yang tak wajar dicop sebagai “pengkritik”semata). Orang sebegini pelawa kita untuk membangkit persoalan dan berdialektik dalam dialog yang mencari hakikat dan keindahan. Tujuan falsafah – dan kritikan filem – adalah untuk mengasah wawasan seseorang itu, untuk membuka mata terhadap erti hakikat dan keindahan. Wawasan tak boleh dibuat main, ia perlu dilatih dan dikembangkan. Ia menyeluruhi cara hidup, keperibadian seseorang itu; bukan hanya sesuatu yang dibuat dari semasa ke semasa atau letak angka 2020 di belakang. Tradisi ini diturunkan kepada kita daripada Socrates, Plato, Buddha, Lao Tzu mahupun Averroes. Ahli falsafah analitis moden lazimnya jahil dan tolak terus cara berfikir lama ni. Di sini tiada dikotomi antara objektif dan subjektif, logik akal dan emosi. Di sini hanya terdapat keterbukaan (aletheia) terhadap segala kemungkinan, mengenali hakikat dan keindahan melalui perkongsian hubungan dan wasilah.

Pencinta filem kenalah jaga-jaga dengan cara gebang, pembawaan diri serta ajakan mereka dalam mencari keindahan ni. Bab ni memang mudah ralat bila mereka cepat melatah, sinikal dan bersikap elitis. Aku sendiri pun banyak kali jadi begini bila bercakap tentang filem, buatkan orang jadi lagi tersisih dari mendekatkan mereka dalam melihat hakikat dan keindahan satu-satu karya itu. Kegagalan ini banyak dilakukan oleh para pengkritik dan penulis kini. Sekali ego diselitkan dan dia perasan lagi power dari orang lain, dia dah gagal sebagai ahli falsafah. Inilah punca keruntuhan fakulti kritikan dan sebab utama orang fuck off mereka.

Misal katalah, aku berjaya kasi kau berfikir sikit pasal filem, taklah terlebih analisisnya tapi ala ahli falsafah. Memang dah jadi kelaziman untuk membangkit persoalan sama ada perbandingan yang aku buat tu tak melebih-lebih sangat. Lagipun, kita hanya bercakap tentang filem. Falsafah dan persoalan tentang makna dan kewujudan adalah satu menda, tapi apa pulak kaitannya dengan filem? Bukan ke filem ni alat hiburan, untuk kita cabut kejap dari hiruk-pikuk kehidupan dalam dua tiga jam? Kalau gitu, bukan ke kita sekarang ni dah tersasar dari realma philosophia tu sendiri?

Pertanyaan ini aku kira menyentuh ruang paling dalam hal ini. Kalau fungsi filem hanya sebagai hiburan, jadi pencinta filem ni memang pathetic. Ia seolah-olah menyamakan seseorang itu dengan pencinta rollercoaster ataupun karipap (yang kedua-dua merupakan “alat” hiburan). Kebanyakan orang tidak melihat filem sebagai seni langsung. Lukisan, ya; arca, ya; muzik, kadang-kadang; tapi filem tak. Suatu ketika dulu, karya terbaru oleh pengkarya-pengkarya unggul seperti Fellini, Kurosawa, Ozu, Godard, Scorsese, dan sebagainya dianggap sebagai temasya budaya yang penting. Peluang untuk orang berdialog dan merungkai falsafah. Filem hari ini betul-betul dilayan macam baju di almari – tukar-tukar macam tu je. Dan kualiti sesebuah filem itu berasaskan best atau tak best semata. Ini juga jelas terpampang dalam penulisan mengenai filem. Persoalan tu sesuai diterap dalam bab rollercoaster mahupun karipap (sesetengahnya kau suka, sesetengahnya kau tak suka), tapi ia benar-benar gagal dalam bab menyentuh merit artistik dan falsafah sesebuah filem itu.

Macam mana kalau filem tu bukan hanya untuk escape? Macam mana kalau seni menghidangkan kita sesuatu yang bukan untuk kekenyangan sejenak? Begitulah perspektifnya dalam setiap budaya dan setiap orang sebelum tibanya era moden ini. Kita benar-benar dah tolak habis keindahan dek dominan melampau sains dan teknologi yang melihat hakikat itu pada sesuatu yang boleh ditambah tolak dan dibuktikan. Oleh itu, seni budaya cumalah sesuatu untuk mengalih perhatian dari kehidupan “sebenar,” dari kerja-kerja yang wajib dan lebih penting untuk diselesaikan. Perspektif begitu membawa kepada kehidupan yang dingin, gelap, terasing, mengelirukan dan merepek. No wonder la orang tercari-cari ruang untuk escape, dan filem (atau memana art) memang pun boleh membuka ruang tersebut kalau tak betul-betul.

Barang kali pandangan terhadap kehidupan dan art sebegini adalah salah. Barang kali realiti moden ini yang telah kita cipta dengan sistem penindasan adalah antitesis kepada segala ciri kemanusiaan. Sebelum era moden, semua orang melihat hakikat dan keindahan sebagai sesuatu yang berkait rapat sampai Socrates dalam Symposium melihat ahli falsafah – pencinta kebijaksanaan – juga merupakan pencinta keindahan – philokalon. Dalam dunia kuno****, seni dalam semua medium baik puisi, hikayat, lukisan, gambar dan (ya!) filem adalah cara untuk menyelami kebenaran, menyelusuri makna sebenar kemanusiaan, membuka ruang-ruang realiti yang masih tidak diterjah, menyentuh kehidupan yang masih dirangkumi misteri, malah mendekati divine. Pandangan terhadap seni sebegitu menterjemah kepada pandangan terhadap hidup yang lebih bermakna. Jika seseorang itu melihat kehidupan ni sebagai sesuatu yang tak ada apa sangat dan hanya sesekali diselangi oleh menda-menda fun, maka pandangannya terhadap seni pun samalah terhad. Pun begitu, jika hidupnya dipenuhi dengan kegembiraan, keindahan dan hakikat*****, dia akan melihat seni sebagai satu lagi cabang falsafah, sebagai elemen untuk menyucikan jiwa manusia.

Aku malas nak bentangkan nas-nas bagi pandangan yang aku lemparkan di sini. Aku cuma arah kau untuk berpaling ke arah Plato, Aristotle, Lao Tzu, Gautama Buddha, Averroes, kitab-kitab Hindu, Kristian dan Islam, serta karya-karya Dickens dan Dostoyevsky (yang mengatakan “Keindahan akan Menyelamatkan Dunia”). Seseorang yang mencintai seni dengan cukup dalam akan menunjukkan kasihnya bukan dengan keangkuhan dan analisis kabur tetapi pelawaan ke arah kehidupan yang lebih best. Budaya yang gagal mencintai keindahan, yang gagal melihat penceritaan, seni, puisi, tarian dan filem sebagai butir-butir kebenaran dan falsafah adalah budaya yang bobrok; yang tiada lain hanya akan mendatangkan kebinasaan dan kemungkaran terhadap dunia.

Sebagai manusia, kita bertanggungjawab untuk memandang seni dengan serius, dan bukan setakat menjadikannya bahan hiburan. Ia adalah untuk menganjak kehidupan kita melangkaui paradigma dan kebaikan, dan tidak sekadar tunduk pada konformiti hari ini yang berlandaskan benda “manis-manis” dan “relaks-relak” sahaja (maknanya yang selesa). Hidup sentiasa adalah usaha mencari hakikat dan keindahan, tak kisahlah payah macam mana pun. Dan hidup begitu, tidak syak lagi, adalah sebuah keraian.

 

*Pendek kata, sesiapa yang menganggap filem sebagai seni.

**Aku jauh sekali rela berputus kepala dari badan bila berdepan dengan mamat tiga line yang declare Young and Dangerous is the best film ever.

***Bukan takat pada akademik moden tapi seseorang yang berfikir-fikir dan kritikal tentang dunia.

****Dan budaya hari ini yang tidak dimonopoli oleh keobsesan terhadap teknologi dan keselesaan.

*****Melihat segala kepahitan bukan sebagai sesuatu yang harus dijauhkan, tetapi harus dilalui.

 

Artikel ini pernah diterbit di dalam naskhah Buku Eksotikata pada tahun 2014.