LuQman (2017): Membawa Makna Syok Sendiri ke Tahap Lain

7 mins read

LuQman ialah sebuah filem bobrok yang hanya pengarah power boleh buat. Ia sebuah karya syok sendiri yang punyalah syok sendiri sampai kau kagum mengenangkan agak rare filem tempatan masa kini dibuat tanpa memikirkan reaksi penonton; reaksi sesiapa pun! Jelas, Mahadi J. Murat diberi lesen besar untuk buat filem yang dia nak (ia diterbit oleh kolej milik dia anyway) dan dia tak sia-siakan peluang tersebut. Kalau nak banding, LuQman membuatkan objectivism dalam Terbaik dari Langit nampak macam ada sense of restrain tahap filem Iran.

Masih, ia bukan filem yang bagus. Tolak tepi soal keterukan teknikal filem ini yang lagi sedap dibual di kedai kopi, LuQman tak pernah menjustifikasi kewujudan ia sendiri. Hanya sampai babak ketiga, bila cerita tiba-tiba buat selekoh ke daerah overwrought, barulah aku betul-betul enjoy filem ini pada tahap kau jangka daripada pengarah tua yang dah lama cecah tempoh tamatnya.

LuQman berkisah pasal… well, Luqman (Wan Hanafi Su) seorang penyajak yang… well, syok sendiri. Pun begitu, dia bukan pesen yang susah cari makan. Somehow, karya-karya dia yang cuma tahap pra-diploma membuatkannya dihormati pada peringkat institusi tertiari. Macam Mahadi sendiri, buat talk sana sini bukan sesuatu yang asing baginya. Dan macam Mahadi, dia ada isteri yang muda, Ayu (Raja Ilya) yang dikenalinya di salah sebuah talk. Ayu ialah seorang penari tradisional, dan macam Mahadi, filem ini berputar sekitar pertelingkahan falsafah lama dan baru – tak kisahlah baik dari segi sosial mahupun budaya – antara mereka berdua.

Keadaan ini tidak membantu bila munculnya Marwan (Josiah Hogan) yang asalnya cuma nak interbiu Luqman untuk tesisnya, tapi entah macam mana terdampar dalam dunia Ayu sekali. (Aku tak tahulah kalau ada watak macam Marwan wujud dalam hidup Mahadi tapi harapnya taklah.) Hatta, sebuah hubungan suam-suam kuku segi tiga pun terjadi tatkala Luqman dihimpit dengan kehampaan dunia yang kian berubah.

Maaf cakap, aku kira jalan cerita aku tulis di atas ini ini jauh lebih intrig dan diperkemas dari yang dipapar dalam filem ini. Strukturnya (terutamanya pada awal-awal) sangatlah bersepah, ia boleh disamakan dengan mimpi yang kau lalui masa kena demam panas. Sebenarnya itu tak menjadi masalah, tapi filem ini tak pernah beri justifikasi fragmentasi ini. Kalau nak kata mengikut rentak puisi, sajak-sajak yang Luqman lontarkan lazimnya berbentuk perjuangan keras dan bukan metafora tebal. Ini memang memberi kesan kepada banyak benda. Contohnya, watak Marwan diperkenalkan tanpa gembar-gembur. Dan meskipun selalu muncul, dah sampai separuh jalan pun dia tak pernah ucap lebih dari dua baris ayat. Mutu lakonan Josiah Hogan persis Keanu Reeves era awal 90-an buatkan kau lebih celaru tentang fungsi dan perkembangannya.

Wan Hanafi Su ialah Wan Hanafi Su sebagai watak titularnya. Tak ada yang lebih, tak ada yang kurang. Tapi kekerekan dan kekolotan Luqman membuatkan aku yakin dia ialah antagonis filem ni masa awal-awal. Dia seorang penyajak yang begitu terbeban dengan budaya, falsafah Melayu dan sebagainya sampai manisfestasi Za’aba sesekali muncul untuk memberinya nasihat. Ini ialah jenis-jenis unsur yang penulis suka selitkan ke dalam ceritanya agar penulis kelihatan terseksa, penuh artistik dan sangat penting. Aku tertanya-tanya pendita mana yang muncul masa Mahadi tengah shoot Roda-Roda (1985) dulu.

Raja Ilya pula gila babi power. Langsung tak terpalit dengan produksi yang krewnya tak sampai 10 orang (dan dikalangi student), Ilya menyuntik profesionalisme dan prestij yang jarang-jarang kita kecapi daripada pelakon baru begini. Watak Ayu yang berfungsi sekadar untuk membias hikayat Luqman dilakonkan dengan penuh dimensi pada setiap masa, malah kadang kala dalam masa yang sama! Ada satu adegan intense di babak ketiga di mana Ilya berdialog panjang tanpa berganjak walau sedikit pun – hanya mimik muka dan intonasi suara dipersembahkan melalui celahan pintu. Dan kita percaya segala hal yang dia marahkan, khuatirkan dan takutkan. Kalau tak kerana susuk wajahnya yang tak berupa girl-next-door, sudah lama aku kira Ilya telah diangkat sebagai heroin Malaya ala Lisa Surihani atau Maya Karin.

Tapi aku kira bukan sengaja Mahadi mengambil Ilya sebagai Ayu kerana rautnya. Meskipun kerek dan kolot, Luqman tetap hero naskhah ini dan secara tidak langsung menjadikan filem ini agak misogini. See, pada pertengahan cerita, Luqman menyuruh Ayu berhenti menari apabila melihat dia dan Marwan kian intim biarpun isterinya itu mempunyai tanggungjawab untuk memelihara tradisi yang lain. Walaupun keadaan bertambah kompleks, penekanan utamanya tetap “Aku tak suka tengok kau menari dengan lelaki bukan muhrim.” Dan pada akhirnya Luqman berada di pihak yang benar kerana Marwan benar-benar jatuh cinta dengan Ayu dan bertukar menjadi, bak kata orang putih, a downright villan masa babak ketiga.

Ini berbalik pada kenyataan syok sendiri yang aku cakap awal-awal tadi. Jadi pencerita ini satu kerja yang kompleks. Kadang kala penulis itu menulis kisah yang dekat dengan dirinya untuk mencabar kepercayaannya sendiri. Tidak bagi LuQman, cerita ini ditutur untuk menggemukkan delusi Mahadi yang melihat LuQman sebagai benteng terakhir budaya kita or whatever. Dia mungkin sering mempersoal dirinya, dia mungkin menyatakan pendiriannya tanpa asas yang jelas; tapi fundamentalnya dia tahu Hakikat (seperti Luqman al-Hakeem sendiri) dan bila everything all said and done besok, kita akan menyesal sebab tak beri apresiasi terhadap kewujudannya. Tanpa sangsi, beginilah Mahadi yang sudah lanjut usia meramal perasaan kita bila dia ke takah tiga kelak.

Mahadi pengarah yang power, atau dulunya dia pengarah power. Dia tahu makna filem dan dia tahu cara nak mengisinya – meskipun pengisiannya di sini sangat bobrok. Pada era orang semakin memandang serong dengan istilah “syok sendiri,” Mahadi muncul dengan LuQman dan membawanya ke tahap yang lain. Aku ingat budaya beronani lalu menepek benih kau ke segenap skrin dah pupus di Malaysia, namun LuQman membuktikan sebaliknya. Dan dengan itu, nak tak nak aku kena bagi tabik spring biarpun spring tu kendur dan tak bagi efek apa.