Filem Kenalah Best!

8 mins read

Sepotong rayuan agar korang ada taste sikit

“Kurang-kurang bukan level filem A. Razak Mohaideen la.”

Aku dah lama tulis pasal filem. Dekat 15 tahun. Aku tak tau dah berapa kali orang balas ulasan aku dengan ayat gitu untuk pertahankan filem yang aku tak suka tapi diorang suka. Aku kira orang yang suka sebut ayat gitu bukan tengok pun filem A. Razak Mohaideen – yang tidak disangkal majoritinya memang bobrok – tapi entah macam mana bagi sesetengah golongan, ia sewajarnya jadi penanda aras untuk menilai sebarang wacana layar perak.

Golongan ni muncul balik kebelakangan ni bila filem-filem Malaysia mula masuk era separa baharu. Di mana filem-filem produksi besar mula menghasilkan karya yang separuh komersial dan separuh artsy* seperti Pekak, Interchange dan Desolasi. Secara tak langsung, ia mula menarik minat (sikit-sikit) young educated middle-class untuk tengok. Tapi terbukti berpendidikan tak semestinya bijak, dan golongan ni senang triggered bila pengkritik “terlalu berfikir” pasal sesebuah filem. Aku tak nak sembang lebih, tapi aku nak tarik sikit fokus dan lihat implikasi besar ayat “kurang-kurang bukan level filem A. Razak Mohaideen la.” Aku nak terjemah soalan tu untuk huraikan maksud sebenar ia:

“Kurang-kurang bukan level filem paling teruk dalam sejarah la.”

Aku tak tau apa jadi dengan audiens pada era ni sampai begini sekali takde cita rasa dan value. Apa salahnya kau expect lebih dari yang paling teruk kat filem yang menggunakan beratus krew dengan bajet berjuta? Aku bukan expect level yang mendambakan anjakan paradigma pun – perfek atau boleh pergi Oscar, aku expect filem tu kurang-kurangnya kompeten.

Pun begitu bagi golongan ni, had serendah yang aku harapkan tu dah kira melampau. Mencitakan kompeten paling asas – yang filem itu dibikin dengan kemas pada fundamentalnya – dicop sebagai elitisme atau pretentious. Aku menyirap dengan benda ni – tirani ekspektasi rendah nilah yang jadi punca banyak filem kita teruk. Buat apa susah-susah nak buat cerita best bila penonton tak kisah atau peduli pun?

Apa maksud aku bila aku sebut “kompeten” ni? Sikit sebanyak, aku cakap pasal penceritaan asas. Atas sebab yang tak diketahui, kat sinilah audiens kita meletakkan sempadan – mendamba penceritaan yang senonoh dianggap eksyen dan merosakkan feel diorang yang nak enjoy je. Tapi bila bab sinematografi tak pulak bersikap gini – kalau filem tu lighting teruk, dan berterusan diberkas sampai kita tak nampak amenda yang berlaku, takde siapa pulak yang akan kata “Kurang-kurang bukan level filem A. Razak Mohaideen la.” Ini sebab kita expect kecekapan paling asas dari segi sinematografi dan lakonan. Dah gitu resminya – filem yang tak nampak apa memang takkan dikeluarkan. Tapi filem yang plot dia tak masuk dek akal, yang temanya bukan takat ke laut tapi benua lain terus, yang motivasi watak dan arc dia entah kebenda? Itu okey je.

Sebenarnya kau yang tak fun sebab suka filem yang jalan ceritanya tak masuk dek akal, dan tak nak melakukan perbincangan lebih deep lepas tu. Serius, kau bukan mengada-ada bila kau harap filem yang plot-driven mempunyai plot yang dipandu oleh cause dan effect. Ini bermakna kau nak apa yang berlaku dalam filem tu bermakna, dan bukan pakai belasah. Tak semua filem seharusnya ada plot yang rumit, tapi setiap filem perlu ada asas pemahaman dan struktur. Ada benda yang perlu kena set up dan ada pay off. Ia tak perlu restriktif sangat tapi penceritaan yang baik perlu distruktur, dengan jatuh bangun, dengan turun naik agar penonton dapat berpaut pada cerita tersebut. Ini benda asas! Ni bukan benda deep yang kau belajar kat sekolah filem – setiap cerita perlu ada permulaan, pertengahan dan pengakhiran, dan ketiga-tiga bahagian ni perlu saling berkait dengan logik dan pacing. Sang Kancil dan Buaya pun ada benda ni.

Dalam penceritaan setiap filem perlukan karakter. Bukan setiap karakter tu perlu jadi bahan kajian kondisi manusia dan berlapik-lapik, tapi watak-watak ni kenalah ada elemen yang kau kenal kat personaliti diorang dari segi kelemahan dan kelebihan. Dan watak utamanya harus berubah di akhir cerita dalam aspek tertentu. Kalau tak, buat apa kita perabis lebih dua jam untuk ikutnya?

Still, aku bukan membutuhkan Shakespeare kat sini. Ini adalah had minimum yang kau patut expect dari filem – watak yang ada personaliti dan matlamat berubah. Kalau kau perkenalkan satu unsur kat personaliti watak ni, ia patut ada pay off dia. Aku bukan nak ajar tulis skrip kat sini – tidak – tapi ini adalah contoh besar buat golongan yang suka kata “Kurang-kurang bukan level filem A. Razak Mohaideen la” untuk pertahankan filem yang penceritaan dia tak sampai asas kompeten pun. Kalau ketiga-tiga filem aku sebut awal tadi dirakam dengan kamera 80-an, tidak syak lagi semua orang akan kata ia filem teruk.Tapi bila watak dan cerita berbunyi-bunyi pahatnya, korang buat pekak je.

Filem kenalah best! Dan yang membuatkan filem tu best ialah penceritaan dan karakter. Penceritaan dan karakter adalah asas binaan buat semua naratif. Tanpanya, kau cuma takat ada montaj sekuens yang takde tarikan, makna dan emosi. Memang sedih bila kita mintak sejumlah kecil kecekapan ni dan orang cop kita sebagai melebih-lebih. Memang sedih sebab ada orang terima je benda tak best dan tak mintak had minimum tu dinaikkan. Jelas, diorang tak peduli dari sudut fundamental. Kalau dulu persoalan sesebuah filem tu terletak pada best atau tak best, sekarang cuma “kurang-kurang taklah tak best langsung.” Dan aku percaya had tu akan berterusan turun sampai masuk lubang kubur dan bila tengok filem tak best, reaksi orang pada masa akan datang adalah “Kurang-kurang tak mati tengok filem tu.”

Puas aku borak pasal ni tapi ada satu mamat ni dulu pernah ikhtisarkan dengan kelas:

“Orang tulis buku dan filem, filem yang ada cerita, filem yang buat kau peduli siapa punya bontot kau tengok, dan kenapa bontot tu kentut.”

Itu je yang aku mintak. Aku tak bengang dengan kentut tu, aku tak nak sisihkan bontot tu. Aku cuma nak peduli siapa punya bontot aku tengok tu, dan kenapa bontot tu… kentut.

 

Tamat

 

*Aku tak setuju dengan gambaran ni but you get what I mean.