Pegawai RTM idam Anugerah Juara Susu 2020

SHAH ALAM – Pegawai Penerbit Rancangan RTM, Encik Norismadi Abdul Manaf mengidamkan harapan besar untuk merangkul Anugerah Juara Susu 2020 yang dianjurkan oleh syarikat susu yang sedang meningkat naik, Farm Fresh. Norismadi yang berasal dari Bentong, Pahang yang lebih dikenali sebelum ini dengan panggilan Pablo Madini dalam dunia bola sepak pernah ditemubual dalam sebuah laman web yang terkenal dari Pahang iaitu BOLOSEPOK atas kapasitinya selaku Naib Presiden Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM).

Perubahan cita-cita beliau daripada seorang penganalisa bola sepak tempatan dan luar negara kepada penjual susu sebenarnya telah mendatangkan kejutan kepada banyak pihak. Paling ketara sahabat baiknya yang juga kolumnis tetap di Neon Berapi, Mat Tiara.

“Sejak PKP dan sejak tiada lagi siaran langsung bola sepak saya dapati beliau berubah pendirian. Saya kenal dia sejak umur saya 13 tahun lagi dan saya seronok tengok kawan saya jadi terkenal. Wajahnya sentiasa muncul dalam tv dan kadang-kadang suara dia saya dengar dalam radio. Gambar dia bermain bola dengan TMJ pun saya masih simpan sampai sekarang. Saya tak tahu kenapa dia boleh bertukar arah jauh macam ini. Lagipun dia dah unfriend saya di Facebook.” Ulas Mat Tiara seorang pegawai belia dan sukan dengan nada yang agak patah hati.


Untuk mendapat kepastian tentang perkara ini, wartawan Neon Berapi telah menghubungi Encik Norismadi Manaf melalui satu panggilan video.

“Betul, perkara itu betul, tapi saya cuma buat hujung minggu saja. Sebab jiwa saya jadi bara sikit bila saya dengar cerita tentang Puan Erni yang menerima Anugerah Juara Susu 2019 raih pendapatan RM10,000 hingga RM15,000 sebulan dengan menjual susu. Saya sedang berusaha ke arah itu. Dan saya juga tidak teragak-agak untuk mendapatkan tunjuk ajar daripada Puan Erni.

Apabila ditanya tentang apa pandangan ahli Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) tentang hala tuju beliau yang beralih daripada dunia sukan kepada dunia susu, beliau dengan ringkas menjawab,

“Isnin ini (esok) saya bercadang untuk pergi daftar syarikat di SSM dan selepas itu berjumpa dengan Pegawai TEKUN. Saya akan pastikan seluruh masyarakat Shah Alam dapat menikmati susu yang saya jual.”