Punk serbu Annuar Musa minta borang ahli PN

Sejarah punk negara tercipta gara-gara kenyataan penulis terkenal

KUALA LUMPUR – Tidak kurang 3000 muda-mudi punk telah kelihatan berjalan kaki beramai-ramai dan berhimpun di kediaman rasmi Menteri Wilayah, Tan Sri Annuar Musa sejak jam 6 petang tadi. Kesemua punk itu yang rata-rata remaja yang baru tamat persekolahan dan belia awal 20-an dipercayai datang ke situ untuk mengisi borang keahlian PN (Perikatan Nasional), menurut sumber yang agak kagum.

Kejadian itu dikatakan berlaku ekoran kenyataan panas “Bukan punk kalau sokong PH” oleh seorang penulis novel terkenal dalam satu sidang medianya beberapa hari lepas.

“Saya orang pertama yang nampak gerombolan panjang muda-mudi ini mula berjalan kaki cukup berdisiplin awal petang tadi di Bukit Bintang. Lalu saya berhenti bertanya dan mereka kata mahu ke rumah Annuar Musa (Tan Sri). Jadi saya cepat-cepat balik ke rumah mengambil peralatan saya.” Ujar Ikhwan Sulong seorang peniaga food truck lontong goreng yang tidak menang tangan melayan sebahagian punk yang mahu berbuka puasa betul betul di pagar kediaman Menteri Wilayah.


Walau bagaimanapun tidak ada sebarang kekecohan berlaku dalam kejadian itu. Tan Sri Annuar Musa yang dilihat mengenakan jaket Burberry dapat mengawal keadaan dengan baik. Beliau telah keluar dan berbincang dengan kesemua punk itu dalam keadaan yang harmoni bagai seorang ayah dan anak-anak. Dan tidak lama selepas itu pembantu Tan Sri Annuar Musa muncul di depan pagar lantas mengagih-agihkan kertas yang berkemungkinan borang keahlian PN (Perikatan Nasional) dan juga beberapa kotak sabun mandi.

Tan Sri Annuar Musa ketika ditemui telah berkata, “ini satu sejarah! Saya benar-benar tidak jangka kejadian ini (kunjungan muda-mudi punk) berlaku dalam kerjaya politik saya. Saya berasa terharu dengan sokongan mereka yang tiba pada masa yang saya fikir sangat tepat dalam situasi negara hari ini. Jadi saya ucapkan terima kasih sangat sangat kepada… apa namanya? Cob Nobbler kan? Oh ya saya ada dapat satu naskah novel dia daripada mereka dan saya akan bacakan kepada semua wakil rakyat Perikatan Nasional.”

“Selepas ini saya berjanji akan usahakan supaya borang keahlian ini dapat dimiliki mereka di pejabat-pejabat pos seluruh negara, supaya mereka tidak perlu bersusah payah datang ke sini lagi.” Sambung Tan Sri Annuar Musa lagi.

Kumpulan muda-mudi punk itu mula bersurai kira-kira jam 9 malam sambil melaungkan “punk itu apa? Punk itu PN!” penuh bersemangat dengan tumbukan ke udara. Mereka juga mendapat layanan istimewa ikhlas daripada Menteri Wilayah dengan beberapa buah bas disediakan untuk muda-mudi punk itu selamat pulang ke rumah masing-masing.

Pihak Neon Berapi tidak berpeluang untuk menemuramah muda-mudi daripada kumpulan punk itu. Tidak ada seorang pun sudi bekerjasama dan kebanyakan berbisik sesama mereka mengatakan bahawa Neon Berapi media pro PH, jangan jawab apa-apa.

Namun begitu seorang pemuda yang tidak ada kaitan dengan himpunan itu tetapi berada berhampiran kawasan kejadian, Takiyuddin Hassan, 22 tahun, berkata, “rasa saya kalau abang yang bercakap itu hari terus dikejarkan ke hospital, perkara ini tidak akan berlaku.”