Para malaikat nafi dakwaan bertakbir Mokhtar Senik

LANGIT – Para malaikat hari ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Encik Mokhtar Senik dalam satu tulisan yang tersiar di laman Harakah Daily semalam, sumber yang baru pulang dari sana mengesahkan.

Tulisan Encik Mokhtar Senik itu menyatakan bahawa pencantuman PAS dan UMNO sebagai Muafakat Nasional telah membuatkan malaikat di langit melaungkan takbir sehingga bergema di seluruh penjuru alam.

“Ia jelas tidak bertanggungjawab. Kami banyak lagi kerja lain.” Malaikat yang hanya mahu dikenali sebagai Jay berkata. “Saya pun sebenarnya baru hari ini dengar nama PAS, UMNO dan Muafakat Nasional. Kalau awak (Neon Berapi) tak datang ke sini, memang saya tak tahu. Awak fahamlah saya kerja macam mana, bukan ikut parti. Jadi merepek sangatlah kalau kami nak bertakbir di langit pasal mereka. Nasib baik saya malaikat. Kalau saya manusia dah lama mengekek saya ketawa.” Sambungnya lagi dalam wajah yang bercahaya.


Satu lagi malaikat yang hanya mahu dikenali dengan nama Malik dipetik berkata, “jenis menipu orang kampung begini saya dah jumpa ramai. Tengoklah sendiri dalam tu (menunjukkan sebuah pintu di belakangnya), bukan saja yang menipu orang kampung, yang mesej bukan-bukan dengan makwe ada, yang kulu-kilir pakai jubah serban makan rasuah ada, yang tebang balak ada. Jadi yang petik nama kami tak tentu hala ni lambat laun kita berjumpa juga.”

Dalam laman rasmi milik parti PAS itu Mokhtar Senik juga turut menyatakan Muafakat Nasional sebagai sebuah nama dan piagam yang menggetarkan hati syaitan sehingga semua syaitan menjerit, meratap hiba penuh kecewa.

Namun begitu para syaitan ketika ditemui jelas menunjukkan reaksi yang berbeza. Mereka mengakui kebenaran kata-kata AJK PAS Pusat tersebut dan meminta orang ramai menerimanya dengan baik.

“Betul, saya tak habis lagi bergetar hati. Betul-betul marah dan berang ni sejak PAS dan UMNO bergabung. Dia AJK PAS Pusat, sembahyang tak tinggal, takkan dia nak tipu awak semua. Tak payah la nak dengar sembang malaikat tu. Saya tengok dengan mata kepala saya sendiri diorang bertakbir punya kuat,” ujar A‘awar, 8000 tahun yang sempat ditemui pihak Neon Berapi ketika dalam perjalanan pulang.

Malangnya pihak Neon Berapi gagal mendapatkan maklum balas daripada syaitan-syaitan lain yang sedang fokus bergetar hati di satu sudut tidak jauh dari gigi langit.